Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Kelebihan Suka Menjamu Orang Makan


Menjamu makanan kepada tetamu atau sesiapa sahaja adalah seperkara yang baik dan mempunyai banyak kelebihan. Berkata Saiyidina Ali r.hu; "Jika aku dapat mengumpulkan rakan-rakanku atau satu sha’ dari makanan, lebih utama lagi bagiku daripada aku memerdekakan seorang hamba sahaya." Saiyidina Ibnu Umar r.huma pula berkata; "Antara tanda kemuliaan seseorang ialah makanannya ketika dalam pelayaran dan tidak lokek memberikannya kepada rakan-rakannya."

Para sahabat Nabi s.a.w dahulu kala sering berkumpul untuk majlis bacaan al-Quran al-Karim, dan mereka tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun sekadar jamuan ringan.

Berikut di bawah ini adalah kisah dari perkongsian seorang uztaz tentang kelebihan dan keberkatan hidup yang diperolehi oleh orang yang suka menjamu orang lain makan. Semoga kisah ini bermanfaat kepada kita semua.

Ada seorang pakcik ini, umur sudah dekat 75 tahun. Namun badan sihat, muka ceria dan rezeki murah. Apa saja yang dia nak, semua Allah mudahkan. Keluarga bahagia, cucu-cucu semua hafiz-Hafizah. Bahkan ada jadi Maulana besar di Seri Petaling. MasyaAllah.

Ada orang tanya, apa rahsianya? Pakcik itu pun kongsikanlah. Beliau beritahu;

"Sebenarnya dahulu hidup saya susah juga. Kemudian ada seorang ulama pesan pada saya, selalulah jamu orang makan kerana Allah. Tanpa perlu suruh orang itu doakan pun, pasti Allah akan bagi rezeki yang luar biasa. Allah bagi keluarga bahagia. Allah tak bagi kaya tetapi Allah bagi senang. Semua yang kita nak, dapat.

Allah bagi umur panjang, fikiran tenang dari duniawi, akhirat jadi matlamat, tubuh badan sihat walaupun umur macam ni tapi Alhamdulillah masih lagi dapat keluar dakwah dengan orang-orang muda." Katanya.

Itulah pengajarannya. Bila kita gembirakan orang kerana Allah, Allah akan gembirakan kita. Ada pula sesetengah orang yang kurang cerdik, kerana nak gembirakan manusia, dia sanggup cari murka Allah. Orang macam ini biasanya hidupnya sempit dan tak tenang. Ini kerana nak cari redha manusia, sanggup dia abaikan perintah Allah.

Manusia yang cerdik ialah yang mencari redha Allah, walaupun di sana ada manusia tak suka. Allah pasti akan angkat orang sebegini dan memuliakannya.
Hampir setahun lebih tinggal di Bangi, saya melihat ada beberapa abang di sini yang begitu suka menjamu orang makan. Tak cukup dengan jamu di kedai, selalu ajak pula makan di rumah. Mereka ini hidupnya bahagia, walaupun tak sekaya orang jutawan tetapi kerana pemurahnya mereka, maka Allah lebih lagi pemurah dengan mereka. Allah takkan biarkan mereka (menyimpang) jauh pasti ada yang datang menasihati.

Tanpa mereka tahu, mereka sering didoakan oleh orang yang mereka jamu makan. Asbab itu insyaAllah rezeki mereka tak putus. Allah bagi mereka sihat dan Allah lapangkan masa mereka untuk keluar dakwah. Mereka juga ada masa bahagia bersama keluarga. Semua ini kerana berkat dari sifat suka menjamu orang makan.

Jamu orang makan ini, tak semestinya kena Briyani, tetapi biskut cicah teh pun dikira menjamu. Memang sifat suka menjamu ini sudah sebati dalam diri mereka. Semoga Allah mengurniakan kita sifat mulia seperti ini juga. Amin.

      Baca : Pegangan Hidup Yang Baik - Usah Bergaduh

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Gemar memberi makan kepada orang lain kelak akan memperoleh naungan pada hari perhitungan amal. “Tiga perkara siapa pun yang ada padanya, kelak akan dinaungi oleh Allah di bawah arasy-Nya pada hari tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Iaitu, berwuduk pada waktu cuaca dingin, mendatangi masjid meskipun gelap dan memberi makan orang yang kelaparan.” (Hadis Riwayat Abu Muslim al-Ashbahani).

- Daku Amat

Tags : pedoman pegangan hidup usah bergaduh muhasabah diri

Manfaat Taklim Rumah, Percakapan Iman Dan Muzakarah 6 Sifat Sahabat Nabi Bersama Anak Isteri


Bagi anda yang sedang buat taklim rumah harian selepas subuh (yakni bacaan hadis harian bersama keluarga), usahakanlah juga buat percakapan iman, percakapn akhirat dan muzakarah 6 sifat sahabat radiallahu'anhum bersama keluarga walaupun sekejap. Agar kita dapat cakap depan isteri dan anak-anak kita tentang kebesaran Allah. Dan mereka juga bertukar-tukar cakap depan kita tentang kebesaran Allah. Supaya mereka biasa dengan percakapan iman. Biasa dengan percakapan akhirat. Itulah percakapan yang benar kerana itulah matlamat sebenar kita.

Dengan asbab kita mulakan hari kita dengan percakapan iman dan percakapan akhirat, maka insyaAllah pagi-pagi hari kita sekeluarga keluar rumah dengan matlamat akhirat. Keluarga kita akan brtambah bahagia kerana bahagia datang dari Allah. Dan Allah akan luaskan rezeki kita dan kurniakan kita juga rezeki yang luar biasa. Ini bagi mereka yang matlamatnya Akhirat. Kesannya juga insyaAllah sepanjang satu hari itu kita cakap percakapan iman sahaja. Cakap percakapan akhirat sahaja. Kita akan cakap yang manfaat sahaja. Jumpa kawan pun akan cakap yang meningkatkan iman sahaja. Bila nampak orang saja, Allah akan datangkan kita fikir bagaimana nak bawa dia bersama keluar jalan Allah.

Tetapi bila percakapan iman dan akhirat tidak dibuat di rumah setiap pagi, maka khuatir nanti kita, isteri dan anak-anak keluar rumah pagi ini dengan bawa matlamat dunia sebagai matlamat utama. Orang yang hidupnya matlamat dunia dan jadikan dunia sebagai kerisauan utama dalam dirinya maka dalam maksud hadis disebut; "Allah akan sempitkan hidupnya dan kemiskinan terbayang-bayang di matanya iaitu dia selalu fikir dia akan hidup susah, fikir hutang itu tak selesai, fikir hutang ini tak selesai, fikir masalah ada sana-sini, depan belakang, seakan-akan dia yang selesaikan semuanya.

Sebenarnya Allah yang sempitkan hidupnya dan bayangkan kesusahan itu sebab banyak sangat dia fikir dunia. Akibat dari jadikan dunia sebagai kerisauan utama. Akibat tak buat percakapan iman di rumah pagi-pagi bersama keluarga kesannya juga ialah sepanjang hari itu kita akan cakap dunia sahaja. Keluarga kita akan keluar rumah dengan bawa matlamat dunia sebagai utama. Akhirnya jumpa kawan saja kita akan cakap dunia. Kemudian akan masuk pula percakapan yang merapu. Kita akan cakap yang lagha. Sedangkan ini bukan percakapan mukmin. Ini kesan dari tak mulakan hari dengan percakapan iman.

Jadi kita semua azam pagi ini. Abang-abang yang baru balik dari masjid solat subuh berjemaah, kumpul isteri dan anak-anak, buat taklim rumah. Selepas itu buat percakapan iman dan muzakarah 6 sifat sahabat. Kemudian buat mesyuarat harian ringkas, karguzari (beri laporan) apa yang dibuat semalam. Tanya isteri dan anak-anak juga karguzari apa yang mereka buat semalam secara ringkas. Kemudian bentangkan apa yang nak dibuat hari ini. Gula ke sayur ke habis masukkan sekali dalam mesyuarat. Binncang nak masak apa, nk beli apa pun cerita dalam mesyuarat, agar perbelanjaan dapat dikawal.

Tanya isteri dan anak-anak tentang azam mereka hari ini nak baca al-Quran berapa muka. Semalam solat awal waktu tak? Puasa Ramadhan yang haid, sudah mula ganti ke? Sama-sama ingat-mengingati. Kalau kita buat gash dakwah semalam jumpa siapa maka cerita dalam mesyuarat. Siapa yang kita sedang taskel dan apa saja takaza, jemaah-jemaah yang sedang bergerak dekat di tempatan kita maka cerita depan isteri dan anak-anak. Agar mereka juga tahu dan sama-sama risau dan sama-sama doakan dalam tahjud mereka. Dalam doa mereka selepas solat fardhu. InsyaAllah, kita azam amal.

Kitab taklim - Fadilat Amal karangan Syaikhul Hadis Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi dan Muntakhab Ahadis susunan Syaikh Muhammad Yusuf Kandhalawi

Taklim rumah yakni menghidupkan Bacaan Hadis di dalam rumah. Iaitu ambil satu waktu kumpul semua anak-anak walaupun bayi yang masih kecil dan isteri kita dan mulakan bacaan Hadis dan kisah-kisah Nabi s.a.w bersama Para Sahabat Baginda. Kesan daripada Taklim rumah yang istiqomah insyaAllah, ALLAH akan keluarkan Maksiat yang ada di dalam rumah kita hingga semunya keluar rumah. Menghapuskan segala majlis lalai yang ada di dalam rumah kita.

Kadangkala kita tidak sedar maksiat berlaku di dalam rumah kita tanpa pengetahuan kita. Anak-anak tidur di bilik mereka perlu diawasi. Mungkin kita melihat anak-anak kita sudah baik, Alhamdulillah dari segi pakaian luaran mereka. Contohnya, kalau anak-anak perempuan dengan niqab, purdah dan tudung labuh apabila mereka keluar rumah. Tetapi kita tidak tahu bila kita tidur, mereka di bilik-bilik mereka tidur lewat malam sampai jam 3-4 pagi bermesej dengan lelaki yang bukan mahram.

Apa yang lebih malang lagi bermesej dengan suami orang. Melayan perasaan yang sedang dipandu nafsu syahwat. Tanpa sedar dia sedang melangkah mendekati pintu zina yang ALLAH telah Larang dengan mafhum Firman-Nya; "Jangan hampiri Zina..." sedangkan itu maksiat yang mereka merasakan tidak salah dan mereka rasa tidak berdosa dengan menganggapnya itu perkara biasa dan akhirnya mereka tidak akan taubat sebab mereka tidak rasa itu dosa. Syaitan tipu dalam merosakkan anak-anak di dalam rumah kita sendiri walaupun kita telah berusaha menjaga anak perempuan kita dari pengaruh luar.

Begitu juga anak-anak lelaki kita. Kita tidak tahu di dalam hp mereka apa yang mereka simpan. Waktu malam mereka juga tidur di bilik mereka dan kita pun tak tahu apa yang mereka buat. Jadi dengan kita menghidupkan Taklim Rumah bacaan hadis dengan mencari satu waktu yang sesuai untuk kumpul semua anak-anak dan isteri kita dapat duduk bersama mendengar hadis secara istiqomah setiap hari.

      Baca : 7 Produk Popular Yang Pada Asalnya Dicipta Untuk Tujuan Lain

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


InsyaAllah kita sangat-sangat berharap dengan adanya Taklim Rumah, Percakapan Iman dan Muzakarah 6 Sifat Sahabat Nabi bersama anak isteri akan menjadi asbab ALLAH akan hancurkan batil dan maksiat yang ada di dalam rumah kita juga dalam diri ahli keluarga kita. Semoga keluarga kita hidup bahagia dengan kasih sayang kerana Allah s.w.t seperti keluarga Para Sahabat Nabi s.a.w. Amin.

- Daku Amat

Tags : taklim bacaan hadis keluarga sakinah muzakarah percakapan iman dan amal

8 'Hadiah' Allah Taala Di Bulan Ramadhan Bagi Hamba Yang Bertaqwa


Dengan rahmat Allah, Ramadhan tiba lagi. Ramadhan datang bersama 'hadiah-hadiah' yang terlalu banyak, mahal dan besar-besar dari Allah Taala. Hadiah buat orang-orang yang bertaqwa (bukan untuk orang yang Islam cuma di kad pengenalan tetapi zalim dan fasiq). Hadiah dari Allah Taala yang bermacam-macam, diletakkan di dalam wadah (bekas) dari bahan-bahan yang mahal.

Berikut 8 'hadiah-hadiah' Allah s.w.t di bulan Ramadhan :

1. Hadiah keampunan-Nya - hadiah terbesar buat orang yang bertaqwa.
2. Hadiah keredhaan-Nya - juga mahal.
3. Kasih sayang-Nya yang sangat diperlukan.
4. Rahmat-Nya.
5. Berkat dari-Nya dunia dan akhirat.
6. Diberi-Nya pahala berganda-ganda.
7. Hadiah lailatul qadar - diberi ganjaran seribu bulan beribadah.
8. Syurga-Nya yang kekal abadi.

Kedatangan bulan Ramadhan adalah bulan di mana untuk saling bertukar-tukar hadiah, di antara hamba (manusia) dengan Khaliq (pencipta) yakni Allah s.w.t. Hadiah di antara kedua-dua pihak bukan satu pihak sahaja.

Hadiah dari Allah adalah mahal bagi nisbah 'hamba'. Hadiah dari hamba adalah mahal juga untuk Allah. Siapa yang dapat menghadiahkan sesuatu yang mahal kepada Allah, maka dapatlah hadiah dari Allah yang juga sangat mahal nilainya.

Rupa-rupanya ketibaan bulan Ramadhan pun adalah waktu untuk 'bertukar-tukar hadiah' di antara hamba dengan Tuhan. Tidak semua hadiah hamba dibalas hadiah oleh Tuhan. Hadiah-hadiah yang mahal dari hamba sahaja yang dibalas hadiah oleh Tuhan, seperti yang akan disebutkan. Wadah-wadah orang yang bertaqwa yang hendak diisi dengan hadiah-hadiah tadi ada pulangannya.

Wadah-wadah itu ada banyak di antaranya :


1. Ada wadah puasa yang diisi dengan keinsafan, timbang rasa, kesabaran, rasa hamba, rasa lemah, lembut hati, lapang dada, bertolak ansur.

2. Wadah sembahyang diisi dengan hadiah-hadiah rasa kehambaan, rasa dilihat, rasa hina, rasa rendah diri, lembut hati, rasa harap, malu, rasa kerdil, tawadhuk, khusyuk, gementar, takut, taubat, menyesal, takut dengan dosa di masa depan.

3. Wadah membaca al-Quran diisi dengan dapat ilmu, pengajaran, keinsafan, terasa kebesaran Allah, terasa rahmat dan kasih sayang-Nya kepada insan, hati tenang, bertambah takut dengan Allah dengki hilang.

4. Wadah zikir seperti tasbih, tahmid, takbir, diisikan dengan mensucikan Allah, memuji Allah, membesarkan Allah, tawakkal, penyerahan diri kepada Allah, baik sangka.

5. Wadah membesarkan akhirat, mudah dengan dunia, dunia tidak menyusahkan hatinya.

6. Wadah tenang dengan dunia, gelisah dengan akhirat.

Jika setiap wadah-wadah tadi dapat diisi pula dengan rasa-rasa yang telah disebutkan di atas, orang bertaqwa sungguh-sungguh dapat manghayati Ramadhan dengan akal fikiran, hati dan jiwa raganya.

Roh Ramadhan menjadi roh kepada hatinya dan jiwanya. Roh di atas roh, jiwa di atas jiwa. Rohnya bercahaya dengan cahaya Ramadhan. Itulah orang bertaqwa. Orang bertaqwa sahaja yang pasti dapat hadiah yang besar. Kerana orang bertaqwa itu dapat membawa hadiah pula untuk Tuhan.

Hadiah-menghadiahi. Saling bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Allah. Sesiapa yang tidak dapat memberi hadiah di bulan Ramadhan kepada Allah seperti yang telah dinyatakan, dia tidak akan dapat hadiah dari Allah. Sesiapa yang tidak dapat hadiah dari Allah maka sia-sialah sahaja Ramadhannya. Dia tidak dapat apa-apa kecuali kelaparan, kehausan dan keletihan semata-mata.

Cuba kita fikirkan Ramadhan yang telah lama kita lalui, adakah kita membawa hadiah-hadiah yang berharga kepada Allah? Kita tentu dapat mengagak nilai hadiah yang kita telah anugerahkan kepada Allah pada setiap Ramadhan bukan?

      Baca : Saya Akan Pergi Tidak Lama Lagi - Tun Dr. Mahathir Mohamad

ADVERTISEMENT

Apakah hadiah-hadiah kita itu Allah balas dengan hadiah yang telah disebutkan? Semua soalan-soalan itu setiap orang boleh memberi jawapan, berdasarkan ilmu pengetahuan seperti yang telah dinyatakan.

Sungguh susah hendak dapat hadiah dari Allah Taala di bulan Ramadhan, jika bulan Ramadhan kita jadikan bulan pesta minum dan makan. Pesta borak-borak dan bualan-bualan kosong selepas sembahyang sebelum pulang. Bukan pesta mencapai hati dan jiwa takut dan cintakan Allah.

Bulan Ramadhan sebenarnya adalah pesta rohaniah, pesta hati dan jiwa. Bukan pesta lahiriah atau pesta syariat tapi rohnya tidak ada!

- Daku Amat

Tags : ramadhan 2017 bulan ramadhan puasa lailatul qadar taqwa bulan keberkatan keampunan pesta ibadah akhirat kelepasan neraka

11 Akibat Berbuat Maksiat


Seorang mukmin jika berbuat satu dosa, maka ternodalah hatinya dengan setitik warna hitam. Jika dia bertaubat dan beristighfar maka hatinya akan kembali putih bersih. Jika ditambah dengan dosa lain, titik itu pun bertambah hingga menutupi hatinya.

Itulah karat yang disebut Allah dalam surah Al-Muthaffifiin ayat 14 yang mafhum-Nya, “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka." Tahukah anda apa akibat yang menimpa diri jika melakukan maksiat?

Berikut 11 antara akibat berbuat maksiat :

1. Memadam cahaya ilmu pengetahuan

Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Namun, kemaksiatan dalam hati dapat menghalangi dan memadamkan cahaya tersebut. Ketika Imam Malik melihat kecerdasan dan daya hafal Imam Syafi'e yang luar biasa, beliau (Imam Malik) berkata, "Aku melihat Allah telah menyiratkan cahaya di dalam hatimu, wahai anakku. Janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan maksiat".

2. Menghalangi rezeki

Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkan ketakwaan bererti menimbulkan kefakiran. Seorang itu dicegah dari rezeki akibat dosa yang diperbuatnya.

3. Menimbulkan jarak dengan Allah

Diriwayatkan ada seorang lelaki yang mengeluh kepada seorang arif tentang kesunyian jiwanya. Sang arif berpesan, "Jika kegersangan hatimu akibat dosa-dosa, maka tinggalkanlah (perbuatan dosa itu). Dalam hati kita, tidak ada perkara yang lebih pahit daripada kegersangan dosa di atas dosa".

4. Menjauhkan pelakunya dari orang lain

Terutama dari golongan yang baik. Semakin berat tekanannya, maka semakin jauh pula jaraknya hingga berbagai manfaat dari orang yang baik terhalangi. Kesunyian dan kegersangan ini semakin menguat hingga berpengaruh pada hubungan dengan keluarga, anak-anak dan hati nuraninya sendiri. Seorang salaf berkata, "Sesungguhnya aku bermaksiat kepada Allah, maka aku lihat pengaruhnya pada perilaku binatang (kenderaan) dan isteriku".

5. Menyulitkan Urusan

Jika ketakwaan dapat memudahkan segala urusan, maka pelaku maksiat akan menghadapi kesulitan dalam menghadapi segala urusannya.

6. Menggelapkan hati

Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap-gulita. Ibnu Abbas radiallahu 'anhuma berkata, "Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk itu mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk".

7. Melemahkan hati dan badan

Kekuatan seorang mukmin terpancar dari kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat maka kuatlah badannya. Tetapi bagi pelaku maksiat, meskipun badannya kuat, sesungguhnya dia sangat lemah jika kekuatan itu sedang dia perlukan, hingga kekuatan pada dirinya sering menipu dirinya sendiri. Lihatlah bagaimana kekuatan fizikal dan hati kaum muslimin yang telah mengalahkan kekuatan fizik bangsa Persia dan Romawi.

8. Menghalangi Ketaatan

Orang yang melakukan dosa dan maksiat akan cenderung untuk memutuskan ketaatan. Seperti selayaknya orang yang satu kali makan tetapi mangalami sakit yang berpanjangan dan menghalanginya dari memakan makanan lain yang lebih baik.

9. Memendekkan umur dan menghapus keberkahan

Pada dasarnya umur manusia dihitung dari masa hidupnya. Sementara itu tidak ada yang namanya hidup kecuali jika kehidupan itu dihabiskan dengan ketaatan, ibadah, cinta dan zikir kepada Allah s.w.t serta mementingkan keredhaan-Nya.

10. Menumbuhkan maksiat lain

Seorang ulama salaf berkata bahawa jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal tersebut akan mendorong dia untuk melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Dan jika seorang hamba melakukan keburukan, maka dia pun akan cenderung untuk melakukan keburukan yang lain sehingga keburukan itu menjadi kebiasaan bagi si pelaku.

11. Mematikan bisikan hati nurani

Maksiat dapat melemahkan hati daripada berbuat kebaikan dan sebaliknya akan menguatkan kehendak untuk berbuat maksiat yang lain. Maksiat juga dapat memutuskan keinginan seseorang untuk bertaubat.

      Baca : 7 Tanda-Tanda Allah Sayang

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Firman Allah s.w.t dalam al-Quran, surah Az-Zumar ayat 53 :


Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
- Daku Amat

5 Tip Berhijrah Menjadi Muslim Lebih Baik


Setiap orang yang merancang hidupnya pasti ada memasang azam yang ingin dicapai sama ada dari segi kewangan, kesihatan, kerjaya, keluarga, peribadi dan lain-lain.

Antara azam yang mesti setiap seorang Islam 'tanam' jauh di lubuk hati mereka adalah untuk memperbaiki diri menjadi muslim yang lebih baik daripada sebelumnya.

Berikut 5 tip untuk berubah menjadi muslim yang lebih baik :

1. Ilmu

Setiap perkara yang ingin dilakukan dan setiap cita-cita yang ingin dicapai mestilah dilaksanakan dengan ilmu. Kita harus faham mengapa kita harus berubah, ke arah mana kita harus berubah, setakat mana tahap yang perlu dicapai dan yang paling penting bagaimana untuk melaksanakan perubahan tersebut.

Sebagai seorang Islam, perkara paling penting yang harus difahami adalah tujuan kita diciptakan di dunia ini dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran dan dijelaskan oleh hadis-hadis Nabi s.a.w.

Hakikat yang agak menyedihkan adalah kebanyakan dari kita gagal memahami apatah lagi melaksanakan tuntutan-tuntutan sebagai seorang Islam.

2. Ikhlas

Setiap perkara yang dilakukan haruslah ikhlas semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Perkara ini memang senang diungkapkan, tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan. Ini kerana sebagai manusia yang lemah, kita sentiasa dipengaruhi oleh faktor-faktor keduniaan dan keuntungan yang boleh diperolehi di dunia sehingga boleh memesongkan niat kita semata-mata kerana Allah s.w.t.

Oleh itu untuk ikhlas, kita harus menjalani proses latihan yang panjang untuk membuang segala kebergantungan kita kepada dunia dan menjadikan keredhaan Allah semata-mata sebagai matlamat.

3. Keazaman tinggi dan tindakan

Sesudah mempunyai ilmu, matlamat yang jelas, niat yang ikhlas, kita harus melaksanakan segala tindakan yang sudah dirancang dengan disiplin yang tinggi.

Senarai tindakan harus sentiasa disemak dan dipastikan pelaksanaannya dan sesi review dilakukan secara konsisten untuk melihat keberkesanan pelaksanaan tersebut dan bagaimana untuk menambahbaik lagi.

4. Persekitaran dan group sokongan kondusif

Melakukan perubahan dan penambahbaikkan bukanlah untuk beberapa ketika sahaja. Namun itulah yang sering terjadi kerana perubahan yang berterusan adalah satu proses yang sukar dan panjang dan adalah mustahil dilakukan tanpa support system dan persekitaran yang membantu.

Akan datang waktu-waktu di mana sebagai manusia biasa kita akan berasa lemah, namun disaat inilah keluarga, rakan-rakan dapat membantu memberikan semangat untuk terus kekal bersemangat dan istiqomah.

5. Doa dan tawakkal

Sebagai seorang Islam, kita harus yakin bahawa hidayah adalah milik Allah dan kita wajib memohon untuk mendapat hidayah dengan berdoa. Kita juga harus yakin bahawa segala tindakan baik atau buruk adalah atas kehendak dan izin Allah s.w.t jua.

Dan kita sebagai hamba-Nya haruslah bersyukur atas nikmat kebaikan yang dikurniakan Allah s.w.t dan memohon doa serta berusaha bersungguh-sungguh untuk dihindarkan dari amalan yang buruk.

Kesimpulan

kita sebagai seorang Islam harus berusaha untuk berubah dan mendapat hidayah dan tidak hanya mengharap hidayah dengan angan-angan kosong tanpa usaha yang rapi dan tersusun. Allah s.w.t telah mengilhamkan kepada manusia dua jalan iaitu jalan kejahatan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwanya. Manakala rugilah orang yang mengotori jiwanya.

6 Kelebihan Solat Dhuha Yang Anda Perlu Tahu


Solat Dhuha mempunyai kedudukan mulia oleh itu disunnahkan untuk kita mengerjakan. Abu Hurairah r.hu pernah berkata, Rasulullah s.a.w berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan; puasa tiga hari tiap bulan, dua rakaat Dhuha dan Witir sebelum tidur.

Solat sunat Dhuha dilakukan pada waktu matahari sedang naik. Sekira cuacanya berhalangan adalah lebih mudah dengan merujuk kepada takwim waktu solat. Masanya adalah 28-30 minit selepas Syuruk, iaitu sekiranya waktu Syuruk 7.32 pagi dan ditambah 28-30 minit, maka masuknya waktu Dhuha bermula jam 8.00 pagi.

Walaupun begitu waktu paling afdal melakukan solat Dhuha adalah anggaran matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi.

Paling banyak yang dikerjakan sebaiknya ialah lapan rakaat dan paling banyak yang disabdakan oleh Baginda s.a.w ialah 12 rakaat. Paling sedikit yang boleh dikerjakan adalah dua rakaat.

Berikut 6 kelebihan solat Dhuha yang anda perlu tahu :

1. Dosa terampun

Orang yang solat Dhuha akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah s.w.t.

Sayyidina Abu Hurairah r.hu berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesiapa yang mengambil berat menjaga dua rakaat solah sunat Dhuha maka dosa-dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan." (Ibnu Majah)
2. Tergolong orang bertaubat

Barangsiapa yang menunaikan solat Dhuha ia tergolong sebagai orang yang bertaubat kepada Allah s.w.t.

“Tidaklah seseorang selalu mengerjakan solat Dhuha kecuali ia telah tergolong sebagai orang yang bertaubat.” (HR Hakim)
3. Tercatat sebagai orang taat

Orang yang menunaikan solat Dhuha akan dicatat sebagai ahli ibadah dan taat kepada Allah s.wt..

Sayyidina Abu Darda r.hu berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesiapa yang bersolah sunat Dhuha dua rakaat tidak akan ditulis dalam kalangan orang-orang yang lalai daripada beribadat. Sesiapa yang mengerjakan empat rakaat akan ditulis dalam kalangan ahli ibadat dan sesiapa yang mengerjakan enam rakaat maka dia akan dibantu dalam segala urusannya pada hari itu. Sesiapa yang mengerjakan lapan rakaat maka akan ditulis dalam kalangan 'Qanitin' (yakni orang-orang yang taat). Sesiapa yang mengerjakan dua belas rakaat maka Allah s.w.t akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga.

Allah s.w.t sentiasa memberi kurniaan dan sedekah kepada hamba-hamba-Nya setiap siang dan malam dan tiada kurniaan Allah s.w.t yang lebih afdal ke atas salah seorang hamba-hamba-Nya lebih daripada taufiq untuk berzikir kepada-Nya." (Tabarani : Majma' uz-Zawa'id)
4. Masuk syurga dari pintu yang khas

Orang yang istiqamah melaksanakan solat Dhuha, kelak ia akan masuk syurga melalui pintu khusus, iaitu pintu Dhuha yang disediakan oleh Allah s.w.t.

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu bernama pintu Dhuha. Apabila Kiamat telah tiba maka akan ada suara yang berseru, "Di manakah orang-orang yang semasa hidup di dunia selalu mengerjakan solat Dhuha? Ini adalah pintu buat kalian. Masuklah dengan rahmat Allah s.w.t.” (At-Tabarani)
5. Rezeki beres

Allah s.w.wt mencukupkan rezekinya.

Sayyidina Abu Darda r.hu meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda; "Wahai anak Adam, janganlah kamu sekali-kali lemah daripada menunaikan empat rakaat solat sunat (Isyrak) pada permulaan hari nescaya Aku akan memenuhkan keperluanmu sepanjang hari." (Musnad Ahmad : Majma' uz-Zawa'id)
Keterangan :
Kelebihan ini ialah untuk solat Isyrak dan ada juga kemungkinan bahawa yang dimaksudkan ialah solat Dhuha.

6. Sudah bersedekah setiap sendi tulang

Orang yang mengerjakan solat Dhuha ia telah mengeluarkan sedekah.

Sayyidina Abu Zar r.hu berkata bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda; "Menjadi tanggungjawab setiap orang daripada kamu memberi satu sedekah bagi pihak setiap sendi (yakni pada jasadnya sebagai mensyukuri terhadap kesejahteraan anggotanya itu).

Maka setiap ucapan kalimah 'Subhanallah' ialah sedekah, setiap ucapan kalimah 'Alhamdulillah' ialah sedekah, setiap ucapan kalimah 'Laa ilahaillallah' ialah sedekah, setiap ucapan kalimah 'Allahu Akbar' ialah sedekah, menyuruh orang membuat kebaikan juga ialah sedekah dan melarang daripada kemungkaran ialah sedekah dan dua rakaat solah Dhuha sudah memadai untuk menunaikan kesyukuran bagi pihak semua sendi." (Muslim)
Kesimpulan

Selain keutamaan yang disebutkan di atas, masih ada keutamaan lainnya yang sayang untuk dilepaskan begitu saja, iaitu dengan mengerjakan solat Dhuha ada pahala besar berupa pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan umrah yang diterima Allah.

Wallahu 'alam.

Kenapa Ramai Yang Bercerai Ustaz?


Seorang murid bertanya kepada gurunya seorang alim mengenai 13 orang bercerai dalam seminggu. Mereka minta nasihat. Murid itu minta nasihat guru alim ini kenapa jadi begini? Dia sangat sedih.

Jawab guru alim itu; "ramai orang baik tapi tidak pandai menzahirkan kebaikannya. Ramai orang saling mencintai tapi tidak pandai menzahirkan cintanya."

Sehingga keduanya bersedih dan menangis dan meraung kerana terpisah. Saling mencintai teramat namun cinta bertukar menjadi benci dan begitu benci sehingga tidak nampak walaupun satu kebaikan lagi.

Hal ini berpunca dari tidak mencintai Nabi s.a.w dengan sebenarnya. Orang yang teramat cinta Nabi s.a.w kehidupannya sentiasa mencontohi Nabi s.a.w.

Nabi s.a.w orang paling baik kepada keluarganya. Nabi s.a.w buat segala kerja rumah saat Baginda berada di rumah. Nabi orang paling rajin saat berada di rumah. Sehingga baju dan kasut yang koyak pun beliau jahit sendiri.

Nabi s.a.w sentiasa makan berjemaah. Minum dari tempat isterinya minum. Makan sebekas dan sehingga licin. Sangat menghargai makanan. Gembiranya orang yang masak. Tidak pernah complain atau keji makanan. Pernah rambut jatuh dalam makanan tetap berbual kebaikan di sebaliknya.

Isteri jatuhkan makanan dengan sengaja di depan sahabah Nabi s.a.w kutip makanan dan langsung tidak marah kerana Baginda s.a.w besarkan Allah dan utamakan akhirat.

Nabi s.a.w saat isterinya membuatnya marah tetap baginda s.a.w boleh sebut kebaikan isterinya, diam, mendoakan dan memanggil isterinya dengan panggilan yang mulia dan disukai isterinya.

Nabi s.a.w boleh menerima kekurangan pada isterinya walaupun baginda s.a.w manusia paling sempurna dan tiada manusia sepertinya. Sentiasa memaafkan. Nabi s.a.w menggunakan kelebihan yang ada pada isterinya untuk kerja dakwah dan kerja agama. dalam mendakwahkan wanita-wanita.

Nabi s.a.w tetap baring atas riba, tidur satu selimut ketika haid dan membersihkan darah haid isteri yang menitik. Ini benar-benar membuatkan isteri rasa benar-benar dihargai.

Nabi s.a.w membiarkan isterinya yang tertidur dan baring atas bahunya. Meminta maaf kepada isterinya walaupun tak salah dan menerangkan sebab tindakannya walaupun sebenarnya tidak perlu kerana Baginda seorang Rasul.

Nabi s.a.w selalu memberikan hadiah dan penghargaan kepada kebaikan isterinya. Pernah Nabi s.a.w kata, Wahai Juwaiyah kamu duduk beribadah dari sebelum subuh dan tidak bangun sehingga waktu dhuha ini. Pujian yang sangat hebat. Kemudian Nabi s.a.w hadiahkan zikir khusus padanya.

Nabi s.a.w memuji Abu Bakr di depan Aisyah r.ha Menghargai ayah mentuanya. Nabi s.a.w sangat baik dan merupakan sahabat pada mentuanya, disayangi dan dicintai bukan sahaja oleh isteri malah oleh mentuanya.

Nabi s.a.w dukung isterinya dan kenakan pipinya saat dukung isterinya dengan kasih sayang. Nabi s.a.w selalu pegang tangan dan gosok-gosok tangan atau peha isterinya walaupun bukan saat bersama. Itu membuat wanita rasa dihargai.

Nabi s.a.w sentiasa mendoakan isterinya dan kadang-kadang didengari dan diketahui isterinya. Nabi s.a.w pernah mandi bersama-sama dan bergurau ketika mandi bersama.

Nabi s.a.w Tahajud dan menangis di waktu malam. Isteri baginda s.a.w selalu ikut solat dibelakang Nabi s.a.w, saat pengabdian Nabi s.a.w di waktu malam.

Nabi s.a.w pernah kata ini salah saya kepada isterinya walaupun Baginda s.a.w tidak salah.

Nabi s.a.w pernah pesan jangan bersama isteri seperti binatang. Juga pernah pesan jangan menolak suami walaupun atas unta (kenderaan tertutup dalam perjalanan). Maksudnya Nabi s.a.w ajar supaya bergurau senda, menggoda isteri dan benar-benar bersama yakni saling menggembirakan saat membuat hubungan intim. Keduanya mencapai apa yang dinginkan. Memahami kehendak pasangan masing-masing.

Nabi s.a.w tidak pernah kata kenapa macam ini? kenapa tak macam ini? tapi saat berlaku Nabi s.a.w kata apa yang berlaku telah ditakdir oleh Allah. Nabi s.a.w tunjuk satu-satu seperti menunjuk orang buta. Pegang tangan pimpin sampai destinasi. Bukan tahu mengarah saja tapi sama-sama buat.

Baginda s.a.w sangat menyayangi anak-anak. Selalu dukung cucunya. Bermain dan mendidik dengan perkataan yang baik. Jagalah Allah, Allah jaga kamu. Baginda s.a.w sentiasa senyum. Abdullah ibnu haris kata aku tidak pernah lihat seseoang yang lebih banyak senyum dari Nabi s.a.w.

Nabi s.a.w penuh dengan akhlak yang mulia. Hormat orang tua, sayang kanak-kanak, suka melayan tetamu yang datang. Suka memberi makan dan suka beri salam.

Nabi s.a.w saat bersalam atau pegang tangan tidak akan tarik tangan sehingga orang itu lepaskan. Tidak akan alihkan telinga sehingga orang itu habis bercakap yakni mendengar dengan teramat baik dan tidak biarkan orang itu berlalu tanpa membantu menyesaikannya.

Begitu juga isteri Nabi s.a.w dan anak perempuan Nabi s.a.w turut mempunyai sifat seperti Nabi s.a.w. Suami isteri saling berlumba menunaikan hak dan memaafkan hak yang tak tertunai. Berlumba buat baik sehingga sama-sama masuk syurga dan paling utama mendapat redha Allah.

6 Janji Allah Kepada Orang Rajin Bersedekah


Sedekah adalah amalan yang mulia. Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita. Kerana setiap perbuatan baik akan dibalas dengan perkara yang baik juga. Allah s.w.t akan melapangkan dada, membuatkan kita gembira, melegakan perasaan dan mensejahterkan seluruh hidup kita.

Bersedekahlah kita walau sedikit dengan seikhlasnya. Kerana, dalam setiap rezeki dan harta yang kita miliki itu terdapat juga hak orang lain. Jadi, adalah lebih baik jika ia dikongsi dan dinikmati bersama. Beriman dengan-Nya dan bersedekah seikhlasnya. Sedekah seikhlasnya mampu meringankan beban seseorang dan menjauhkan diri kita daripada panas api neraka.

Semua perkara atau wang yang kita sedekahkan kepada golongan yang memerlukan mesti terdiri daripada hasil yang halal. Kerana, pemberian yang halal akan menggugurkan dosa dan mendatangkan pahala. Selain itu juga akan dijauhkan dari bala. Seseorang yang bersedekah dengan harta yang halal juga akan dijauhkan daripada api neraka dan akan dimasukkan ke dalam syurga.

Sekiranya seseorang bersedekah dengan harta yang haram, dia tidak akan memperolehi sebarang kebaikan kecuali azab kerana memberi sesuatu yang haram kepada orang lain. Terdapat sebuah hadis mengatakan bahawa di dalam neraka Jahanam terdapat sebuah rumah yang bernama ‘Baitul Huzni’ yang disediakan Allah bagi orang yang bersedekah daripada harta yang haram.

Selain dapat membantu sesama manusia, Allah s.w.t juga akan membalasnya dengan pahala bagi mereka yang ikhlas melakukannya.

Berikut 6 janji Allah Kepada orang yang suka bersedekah :

1. Menghapuskan dosa-dosa

Janji Allah s.w.t bagi orang yang rajin bersedekah adalah sedekah itu dapat menghapuskan dosa orang yang mengerjakannya.

Rasulullah s.a.w, bersabda yang bermaksud :

“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

2. Dapat teduhan di hari kiamat

Nabi s.a.w menceritakan tentang 7 golongan manusia yang akan mendapat teduhan pada hari yang tidak ada teduhan dari kepanasan di padang mahsyar. Salah satu golongan yang mendapat teduhan itu adalah orang yang suka bersedekah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

3. Harta tidak akan berkurang

Janji Allah s.w.t yang sangat hebat bahawa harta orang yang rajin bersedekah tidak akan berkurang meskipun selalu disedekahkan dan selebihnya dibuat keperluan sehari-hari. Malahan harta menjadi lebih berkat dengan bertambah banyak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kebaikkan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)

4. Dapat menghindar siksa kubur

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.” (Hadis Riwayat Ath-Thabrani)

5. Terdapat pintu syurga khas untuk orang bersedekah

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Orang memberikan menyumbangkan dua harta di jalan Allah, maka dia akan dipanggil oleh salah satu dari pintu syurga; "Wahai hamba Allah, ke marilah untuk menuju kenikmatan. Jika dia berasal dari golongan orang-orang yang suka mendirikan solat, dia akan dipanggil dari pintu solat, yang berasal dari kalangan mujahid, maka akan dipanggil dari pintu jihad, jika dia berasal dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Menjauhkan diri dari api Neraka

Mereka yang rajin bersedekah akan dijauhkan daripada diri dari api neraka. Ternyata meskipun hanya sedekah dengan jumlah yang sedikit, namun sedekah tersebut memiliki fadilat untuk menjauhkan diri dari api neraka. Semakin banyak sedekah yang dilakukan, maka akan semakin jauhlah darinya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah ulasan mengenai enam janji Allah s.w.t kepada mukmin yang rajin bersedekah. Sungguh banyak keutamaan yang akan diperoleh mukmin yang suka bersedakah ini. Untuk itu, keluarkan sedikit harta untuk bersedekah, agar Allah memberikan kita janji-janji mulia tersebut. Wallahu 'alam.

12 Tip Jadi Insan Disayangi Allah Dan Rasul-Nya


Siapa yang tidak mahu disayangi oleh pencipta kita dan seluruh makhluk yakni Allah. Dan juga siapa yang tidak mahu disayangi dan diakui sebagai umat Nabi yang dimuliakan dengan nama panggilan Habibullah (yakni kekasih Allah) iaitu Nabi Muhammag s.a.w.

Untuk mendapat kasih sayang Allah dan Rasul-Nya ada beberapa kriteria perlu kita usaha dan miliki. Apa saja kriteria tersebut? Ada banyak, antaranya beberapa tip di bawah ini.

Berikut 12 tip jadi umat disayangi Allah dan Rasul-Nya :

1. Jaga solat awal waktu berjemaah

Kita hidup hari ini, kalau solat tak jaga macam mana nak murah rezeki? Lelaki kena solat di awal waktu berjemaah di masjid. Kalau terlewat pun usahakan juga solat di masjid walaupun masbuq. Latih diri ke masjid, jangan ajar diri solat di rumah. Pastikan isteri (dan anak perempuan) di rumah juga solat di awal waktu.

2. Istiqomah baca al-Quran

Istiqomah baca al-Quran akan dapat syafaat di akhirat. Kalau nak dimurahkan rezeki dan dimudahkan urusan kehidupan maka hari-harilah baca Yasin dan surah al-Waqiah. Jaga solat Dhuha insya Allah murah rezeki.

30 tahun sudah buat usaha Tabligh takkan nak solat Dhuha 2 rakaat saja? Allahu Akhbar! Allah nak bagi banyak pada kita tapi kenapa ambil sikit? Buatlah full 12 rakaat Dhuha, baru betul! Paling kurang pun buatlah 4 rakaat Dhuha.

3. Usaha rezeki yang berkat

Dalam hidup ini bila rezeki tak berkat, duit cepat saja habis. Bayar hutang ini hutang itu, tahu-tahu saja duit sudah habis. Jaga diri daripada makan dari makanan haram malahan makanan syubhah pun tak boleh.

4. Usaha wudhu yang sempurna

Usahakanlah berwudhu dengan sempurna. Sebelum berwudhu displinkan diri kena bersugi terlebih dahulu.

5. Buat Taklim bacaan hadis rumah

Buat Taklim bacaan hadis di rumah. Ambil satu waktu baca hadis bersama keluarga di rumah insya Allah maksiat dan bathil yang ada di rumah akan keluar dari rumah.

Jadi suami dan ayah yang penyayang. Jangan suka mengarah saja tahu. Dekat pejabat kena arah, balik rumah kita pulak jadi pengarah suruh itu ini.

6. Duduk dalam majlis ilmu

Jadi karkun ini kenalah duduk majlis ilmu ustaz di tempat kita. Cuba bahagikan masa. Kiranya adalah hari yang kita dapat beri masa duduk majlis ilmu di tempat kita. Jangan mengata kat ustaz. Sudahlah tak duduk majlis ilmu, ustaz itu pulak kita 'pangkah' kata ustaz ini tak fahamlah dia mengajar.

7. Bawa isteri Taklim Masturat

Usahakan bawa isteri bersama dalam usaha dakwah ini. Bila 2 sayap ada, baru boleh terbang. Terbanglah dalam dakwah ini ke seluruh dunia. Istiqomah hantar isteri pergi Taklim Masturat.

8. Ziarahi jiran tetangga

Masyaikh kata kita dakwah jauh-jauh tapi jiran sebelah rumah, kita pernah jumpa tak? Ziarahlah jiran-jiran, buat hubungan baik dengan jiran-jiran.

9. Akhlak orang Malaysia disukai di mana-mana

Jemaah malaysia orang suka di mana-mana orang suka. Saya tanya kenapa awak kata Malaysia bagus? Rupanya sebab jemaah Malaysia berakhlak mulia masa musim haji, seluruh dunia tengok akhlak orang Malaysia masa itu.

10. Jangan susahkan Amir dan jemaah

Sebelum Keluar dakwah, Tafakud (temuduga) betul-betul. Tinggallah sikit (belanja/keperluan) untuk anak bini. Bawa duit cukup-cukup jangan tipu. Tulis Tafakud cakap RM 8 ribu tapi bawa 2 ribu.

Jangan susahkan Amir Saf (orang yang dilantik sebagai ketua jemaah) dan jemaah. Molek-molek jemaah keluar nak fikir umat akhirnya kena fikir tentang duit dia yang tak cukup itu. Ini salahlah!

11. Nusrah dakwah bersungguh-sungguh

Saya baru balik keluar dakwah di Sweden. Masya Allah di Sweden jemaah dakwah diikram sungguh-sungguh. Musim sejuk, selimut tebal. Bangun tidur saja sarapan terhidang di sebelah. Mereka nak kita buat dakwah bantu buat dakwah di tempat mereka sungguh-sungguh, Masya Allah.

12. Dunia dicipta untuk manusia

Dunia ini dicipta untuk kita manusia, bukan kita dicipta untuk dunia. Jadi, dunialah kena khidmat pada kita. Setahun ada 12 bulan, 8 bulan jadilah Doktor, Engineer atau apa-apa sahaja pekerjaan kita. Baki 4 bulan itu pergilah keluar dakwah. Melancong bagi umatku Jihad di jalan Allah.

Atas maksud itu siapa sedia? Insya Allah, bangun beri nama!

Petikan Bayan Maghrib Malam Markaz Dakwah Sungai Petani Kedah

● Bayan oleh : Haji Abdul Razak JB
● Laporan : ustaz Ahmad FarKhann Daie Al-Madani

Hidayah Itu Merupakan Cahaya Dipancarkan Dalam Hati Hamba Allah Yang Terpilih


Hidayah itu merupakan sebuah cahaya yang dipancarkan kedalam hati hamba Allah yang bertuah lagi terpilih di sisi-Nya. Di mana dengan cahaya tersebut si hamba tadi dapat membezakan antara perkara yang hak dan yang batil, dosa dan pahala, manfaat dan mudarat.

Kata alim ulamak :

Hidayah itu hak milik mutlak Allah s.w.t, yang tidak diserahkan ke tangan para nabi mahupun para wali.

Seorang ayah tak mampu memberikan hidayah kepada anaknya, suami tak berupaya menyampaikan hidayah kepada isterinya, bahkan tuan guru juga tak mampu memberikan hidayah kepada murid-muridnya.

Firman Allah swt dalam Al Quran :


Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpinpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. (Sebahagian Surah Al-Kahfi Ayat 17)
Dan hidayah itu hanya dikurniakan Allah s.w.t kepada insan-insan yang mempunyai dua karakteristik yang mulia iaitu :

1. Golongan yang mempunyai kehendak atau keinginan (Tholab) yang tinggi dan mendalam kepada agama.

2. Golongan yang beradab terhadap agama serta ahli agama.

Saidina Umar bin Khattab r.hu mendapat hidayah kerana beliau ada kehendak (keinginan) kepada kebaikan walaupun di hari keislamannya beliau keluar untuk membunuh Baginda s.a.w. Namun akhirnya berkat sifat Tholab yang ada dihatinya, juga berkat dari doa dari Nabi s.a.w maka Allah s.w.t tukarkan dengan hidayat.

Sementara itu, tukang sihir Firaun pula dipilih oleh Allah s.w.t untuk dicucuri hidayah-Nya kerana mereka beradab dengan Nabi Musa a.s sewaktu beradu sihir menentang mukjizat tongkat Nabi Musa a.s.


(Setelah mereka berkumpul) mereka berkata: "Hai Musa (pilihlah), apakah kamu yang melemparkan (dahulu) atau kamikah orang yang mula-mula melemparkan?" (Surat Ta Ha ayat 65)
Kata ulamak berkat beradab dengan pertanyaan tersebut akhirnya para tukang sihir tersebut diberikan hidayah oleh Allah s.w.t.

Untuk peringkat dunia pula, pintu hidayah hanya akan terbuka luas apabila seluruh umat Islam bangkit menyebarkan agama ke seluruh dunia. Allah s.w.t letakkan pengorbanan sebagai syarat untuk dibukakan pintu hidayah, sebagaimana firman-Nya :


Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik (muhsinin). (Surah Al-'Ankabut ayat 69)
Kesimpulan

Seperti kata Pak Derry Sulaiman, seorang daie; "Dari hati ke hati, dari pintu ke pintu, dari kota ke kota, menyeberangi samudera untuk menyebarkan cinta-Mu, oh Allah!

6 Cara Bersangka Baik Dari Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani


Kita perlu bersangka baik terhadap tindakan orang lain dan bersangka baik dengan apa jua yang berlaku dalam kehidupan kita. Ini kerana pemikiran dan kata hati kita banyak mempengaruhi tindakan dan tubuh badan kita.

Jika kita sentiasa berfikiran positif dan bisikan hati yang bersangka baik, maka ia akan membawa banyak kesan positif pada kehidupan dan tubuh badan kita sendiri.

Berikut 6 tips bersangka baik dari Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani :

1. Jika engkau bertemu seseorang

Maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu : “Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”.

2. Jika bertemu anak kecil

Maka ucapkanlah dalam hatimu : “Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku”.

3. Jika bertemu orang tua

Maka ucapkanlah dalam hatimu : “Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.”

4. Jika bertemu dengan seorang berilmu

Maka ucapkanlah dalam hatimu : “Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.”

5. Jika bertemu dengan seorang bodoh

Maka katakanlah dalam hatimu : “Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu/jahil), sedangkan aku bermaksiat kepada-Nya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku.”

6. Jika bertemu dengan orang kafir

Maka katakanlah (dalam hatimu) : “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk."

Tips Menghindari Maksiat Dari Imam Ibnu Jauzi


Syaitan akan mengerahkan seluruh kemampuannya untuk menggoda kaum Muslimin. Syaitan tidak akan pernah berhenti sampai setiap Muslim tergelincir melakukan kemaksiatan dan bergelumang dalam dosa.

Syaitan dan bala tentaranya memilki misi mencari sebanyak-banyaknya pengikut untuk dijerumuskan ke dalam seksa api neraka yang menyala.

Maka kita harus waspada. Tidak boleh lalai. Kerana satu kelalaian sekecil apa pun akan dimanfaatkan dengan sangat baik hingga syaitan merasuk ke dalam diri lantas melancarkan godaannya.

Imam Ibnul Jauzi rahmatullah 'alaih, pernah memberikan wasiat kepada kaum Muslimin agar mampu menghindari maksiat dan berbagai jenis godaan syaitan. Beliau menyebutkan dalam kitab Shaid al-Khatir :

“Untuk berhadapan dengan masalah ini, aku meminta kalian membayangkan saat-saat menjelang kematian dan pahitnya penyesalan atas keterlanjuran semasa hidup.

Tatkala kita berhasil menghadirkan bayangan kematian di dalam diri, maka sekuat apa pun godaan untuk kita bermaksiat, godaan itu akan sirna seketika. Tiada yang berdaya di hadapan maut. Apa masih mahu bermaksiat saat nyawa ditarik keluar dari ubun-ubun?

Ketika itu, “Manisnya berbagai macam keseronokan telah berubah menjadi bau yang teramat pahit hingga yang tersisa hanya pahitnya kesedihan dan ketakutan akan kematian.”

Inilah sajian khas para perawat hati. Mereka diberi kelebihan oleh Allah Ta’ala untuk mengetahui penyakit hati secara terperinci sehingga mampu memberikan ubatnya secara tepat. Dan inilah yang seharusnya diketahui oleh seluruh kaum Muslimin, lantaran bisikan untuk bermaksiat senantiasa dilancarkan oleh syatan yang terlaknat.

Berfikirlah tentang akibat buruknya. Bayangkan ketika kita terbujur kaku tanpa nyawa. Tiada nafas, tiada ada gerak. Tatkala bayangan kematian berhasil dihadirkan, keinginan untuk berbuat dosa akan sirna ketika itu juga. Cubalah!

6 Pesanan Untuk Para Isteri Solehah


Untuk memastikan kaum wanita hari ini kembali kepada tempat dan kemuliaannya ada 6 pesanan yang telah digariskan oleh masyaikh (ulama) khas untuk para wanita.

Berikut 6 pesanan untuk para isteri solehah :

1. Pesanan Pertama : Solat Fardhu Di Awal Waktu

Wanita perlu usaha untuk solat fardhu di awal waktu di rumah dan menggalakkan mahram (lelaki) solat fardhu awal waktu di masjid atau surau di tempat azan diazankan secara berjemaah.

Usahalah agar segala kerja rumah dapat dibereskan sebelum masuk waktu solat fardhu. Apabila masuk waktu solat, solatlah di awal waktu dan seelok-eloknya di tempat yang dikhaskan untuk bersolat di dalam rumah.

Sekiranya seorang wanita melengah-lengahkan solat fardhu, tiba-tiba dia datang uzur (haid) tanpa sempat menunaikan solat tersebut maka dia akan dianggap sebagai seorang yang telah melengah-lengahkan solat.

Disamping itu seorang wanita atau isteri hendaklah mengalakkan suami serta mahram agar bersolat di masjid di tempat azan diazankan. Ini kerana jika seorang suami solat fardhu berjemaah di masjid atau surau, isteri di rumah juga akan mendapat pahala solat berjemaah 27 kali ganda.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Jika tidak kerana kaum wanita dan kanak-kanak berada di dalam rumah itu nescaya akan aku bakar rumah-rumah di mana penghuni lelakinya tidak solat berjemaah di masjid".
Ganjaran Solat Di Awal Waktu

1. Jika berwuduk dan duduk tunggu azan untuk solat maka di akhirat nanti Allah s.w.t akan bangkitkan kita dengan muka bercahaya seperti matahari.

2. Jika berwuduk ketika azan sedang diazankan maka di akhirat nanti Allah s.w.t akan bangkitkan kita dengan muka bercahaya seperti bulan purnama.

3. Jika berwuduk selepas azan diazankan maka di akhirat Allah s.w.t akan bangkitkan kita dengan muka yang bercahaya seperti bintang.

2. Pesanan Kedua : Istiqamah Membaca Al-Quran Dan Berzikir

Sedaya upaya cuba istiqamah membaca Al-Quran setiap hari jika tidak uzur. Hak Al-Quran hendaklah khatam sekurang-kurangnya 2 kali setahun.

Usahalah agar anak-anak juga dibiasakan dengan membaca Al-Quran setiap hari dan usahalah agar jadikan salah seorang anak-anak kita dikalangan Hafiz atau hafizah Al-Quran.

Usahalah agar istiqamah membaca surah-surah di mana Nabi Muhammad s.a.w tidak lupa membacanya setiap hari iaitu :

1. Surah Yasiin (seperti khatam 10 kali Al Quran).

2. Surah Al-Waqiah (dijauhkan dari kepapaan).

Surah Al-Mulk dan As-Sajadah (dijauhkan dari seksa kubur).

Surah Al-Kahfi (setiap hari Jumaat. Nur akan bersamanya hingga jumaat akan datang).

3. Pesanan Ketiga : Istiqamah Menghidupkan Majlis Taklim Rumah

Hidupkanlah majlis taklim (bacaan kitab fadhail amal dan Muntakhab Ahadis) di rumah sekurang-kurangnya 30 minit serta adakan juga muzakarah 6 sifat sahabat.

Majlis ini hendaklah diadakan secara istiqamah setiap hari pada masa dan tempat yang tetap serta melibatkan semua ahli di dalam rumah.

Kesan dari majlis pembacaan hadis ini akan melembutkan hati kita dan hati anak-anak. Majlis bacaan hadis juga akan menyebabkan rumah-rumah kita bercahaya seperti bintang-bintang.

Syaitan akan keluar dari rumah dan para malaikat akan berada di dalam rumah. Rumah juga akan menjadi sumber hidayat untuk jiran-jiran. ALLAH s.w.t akan turunkan rahmat, keberkatan dan ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam rumahtangga.

4. Pesanan Keempat : Mendidik Anak Dengan Didikan Agama dan Sunnah

Wujudkan suasana madrasah didalam rumahtangga kita dengan suasana iman dan amal maka dengan sendirinya anak-anak akan dapat didikan agama yang lebih sempurna.

Dekatkan anak-anak dengan kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat supaya kisah-kisah ini dapat membentuk akhlak dan peribadi anak-anak.

Awasi pergaulan mereka, akhlak mereka, pakaian mereka dan makan-minum mereka. Ajarkan supaya mereka yakin kepada Allah.

Ajarkan mereka doa-doa harian dan sunnah-sunnah Nabi Muhammad s.a.w dalam setiap perbuatan harian mereka. Ajarkan anak solat apabila telah berumur 7 tahun dan rotani mereka jika tidak bersolat apabila telah berusia 10 tahun. Ajarkan anak-anak membaca Al-Quran.

5. Pesanan Kelima : Hidup Secara Sederhana

Hidup sederhana mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Elakkan pembaziran dengan membeli perkara-perkara bermanfaat sahaja.

Jika kita dapat mengamalkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w dalam kehidupan harian, Insya Allah dengan sendirinya kita akan amalkan hidup secara sederhana. Jadikan kehidupan Nabi dan para sahabat sebagai ikhtibar. Hidup sederhana menyelamatkan kita dari kesusahan dan kerisauan.

6. Pesanan Keenam : Galakkan suami keluar di jalan Allah (khuruj fisabilillah)

Galakkan suami atau mahram agar keluar untuk bantu agama Allah supaya suami atau mahram balik bersama tarbiah dari Allah dengan iman yakin yang bulat pada Allah s.w.t (Allah maha kuasa selain Allah adalah makhluk langsung tiada apa-apa kuasa) kedalam rumahtangga supaya suasana iman dan amal dapat diwujudkan di dalam rumah.

Apabila tiap-tiap rumah dapat keluarkan orang-orang lelaki dalam usaha ini maka akan wujudlah suasana agama, ketenteraman, ketenangan dan kesefahaman dan wujudlah fikir yang sama (fikir agama) dalam rumah.

Kelebihan seorang isteri yang redha suaminya keluar di jalan Allah akan dimasukkan di dalam syurga 500 tahun lebih awal dari suami dan akan menjadi ketua bidadari yang menunggu suami di pintu syurga.

Insya Allah, sama-sama kita dapat amal dan sampaikan pada orang lain.

10 Kelebihan Zikir


Zikir berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud ingat atau sebut. Di dalam Islam, zikir lebih merujuk kepada ingat kepada Allah atau menyebut nama-nama Allah. Zikir kepada Allah adalah bahagian daripada ibadat dan orang Islam yang melakukannya mendapat pahala.

Antara zikir yang paling disukai oleh Allah adalah Subhanallah Wa Bihamdihi Subhanallahil Adzim. Ini berdasarkan suatu hadis yang bermaksud :

“Dua kalimat yang ringan diucapkan lidah, berat dalam timbangan, dan disukai oleh Yang Maha Pengasih (Allah), iaitu kalimat subhanallah wabihamdihi, subhanallahil ‘Azhim (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung).” (Hadis Riwayat Bukhari).

Berikut di bawah ini antara 10 kelebihan zikir adalah :

1. Mereka yang suka berzikir akan berada dibawah naungan Allah di Hari Kiamat.

2. Zikir adalah UBAT yang dapat melembutkan hati.

3. Zikir mendekatkan seseorang kepada akhirat dan menjauhkan mereka dari amalan dunia yang sia-sia.

4. Zikir dapat menghilangkan rasa takut dan menimbulkan ketenangan jiwa.

5. Orang yang suka berzikir akan dilimpahi keredaan Allah.

6. Orang yang suka berzikir akan dimurahkan ruang rezekinya.

7. Zikir dapat mengelakkan diri daripada sifat mazmumah (akhlak tercela) seperti mengumpat dan mengeji.

8. Zikir dapat menghapuskan sifat munafiq.

9. Zikir akan melindungi diri dari bisikan dan gangguan syaitan.

10. Zikir dapat membentuk peribadi yang mulia.

Semoga kita menjadikan zikir sebagai amalan harian kita. Insya Allah dengan berzikir, hati dan jiwa kita akan tenang dan segala urusan akan dipermudahkan Allah s.w.t.

Dosa Menganggu Jiran Dengan Mercun Di Aidil Fitri


Selalunya khatib khutbah solat hari raya ataupun khutbah jumaat akan berpesan supaya umat Islam tidak melanggar perintah Allah semasa menyambut hari raya. Yang sering dipesan ialah menjaga batas-batas pergaulan dan melarang daripada berjabat tangan antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Namun yang sentiasa dilupakan ialah kewajipan menjaga ketenteraman sesama jiran tetangga.

Sebab itulah kita akan temui orang Islam yang bermain mercun sampai tengah-tengah malam walaupun berada di sebelah rumah jiran tanpa sedikitpun terlintas di fikiran mereka adakah jiran mereka terganggu ataupun tidak. Si buta perut itu pun terus bermain dengan perasaan amat puas dan bahagia.

Malah ada yang yang merasakan dia telah menyambut hari raya dengan sebaik-baiknya kerana telah mengorbankan sehingga bertus ringgit untuk membeli mercun yang bunyinya amat menghiris perasaan jirannya apatah lagi yang ada anak-anak kecil yang menangis setiap kali dentumannya bergema.

Orang yang bermain mercun itu tidak lain dan tidak bukan ialah antara manusia-manusia jahil yang tidak pernah pijak surau ataupun masjid, yang tidak pernah dengar dosa dan azab yang dijanjikan orang yang menyakiti jirannya. Inilah kepercayaan awal saya.

Namun akhirnya saya temui bahawa orang-orang agama yang istiqamah pergi ke masjid ada juga yang tidak tahu hukum ini dan termassuk dalam kalangan orang yang menghabiskan beratus ringgit untuk dibakar pada malam raya dengan perasaan gembira.

Di sini dipersembahkan ubat yang terbaik untuk mengubati kejahilan mereka. Para pembaca sekalian sila sebarkan kepada orang lain yang tidak berminat membacanya.

Sebenarnya bermain mercun dan mengganggu jiran adalah dosa besar yang menjanjikan azab yang pedih di akihirat. Ini dapat dilihat daripada nas-nas yang akan dinyatakan di bawah ini :

1. Firman Allah s.w.t dalam surah An Nisa ayat 36, mafhumnya :


"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat dan jiran yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."
2. Sabda Nabi Muhammad s.a.w, yang bermaksud :

"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, janganlah ia menyakiti jirannya; sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tetamunya; sesiapa yang beriman dengann Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang benar atau pun diam sahaja."(Bukhari, Muslim)

3. "Demi Allah ia tidak beriman, demi Allah ia tidak beriman, demi Allah ia tidak beriman. Para sahabat bertanya siapakah dia wahai Rasulullah? Jawab baginda; orang yang jirannya tidak selamat dari keburukannya." (Bukhari, Muslim, Ahmad)

4. "Tidak masuk syurga seseorang yang jirannya merasa takut terhadap keburukannya." (Tabrani)

5. "Tidak akan masuk syurga seseorang hamba sehingga jirannya aman daripada keburukannya." (Ahmad, Ibnu Abiddunya)

6. "Sesiapa yang menyakiti jirannya maka ia telah menyakitiku, dan sesiapa yang menyakitiku sesungguhnya ia telah menyakiti Allah." (Abu Syaikh)

7. Seorang sahabat berkata kepada Rasulullah s.a.w; "Wahai Rasulullah sesungguhnya si fulanah (seorang perempuan) disebut-sebut kerana banyak solat, sedekah dan puasanya, tetapi dia menyakitkan jirannya dengan lidahnya. Sabda baginda; dia akan masuk neraka." (Ahmad, Bazzar, Ibnu Hibban, dan Hakim menganggapnya sahih)

8. Kata Muawiyah bin Haidah; "Wahai Rasulullah, apakah hak jiran ke atas jirannya? Jawab baginda; jika ia sakit hendaklah kamu ziarahinya, jika ia mati hendaklah kamu uruskan jenazahnya, jika ia minta hutang darimu berilah hutang kepadanya, jika ia sangat memerlukan berilah sesuatu kepadanya yang menutup hajatnya." (Tabrani)

Dalam riwayat Abu Syaikh :

"Jika ia dia minta tolong, kamu tolonglah ia, jika ia perlu berilah sesuatu kepadanya. Adakah kamu faham apa yang aku kata kepada kamu? Tidak akan dapat menunaikan hak jiran melainkan sedikit manusia yang Allah memberi rahmat kepadanya."

9. "Belumlah beriman denganku seseorang yang bermalam dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya kelaparan dan ia mengetahuinya." (Tabrani, isnad hasan)

10. "Datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammd s.a.w dan berkata; wahai Rasulullah berikan aku pakaian. Maka Rasulullah berpaling daripadanya. Ia berkata lagi; berikanlah aku pakaian. Maka Nabi bersabda; apakah tidak kamu mempunyai jiran yang mempunyai lebihan dua helai pakaian? Ia menjawab; ya, lebih dari sehelai. Baginda bersabda; Maka kerana itu kamu berdua tidak akan diletakkan bersama dalam syurga." (Tabrani)

11. "Ramailah manusia yang akan memegang jirannya pada hari kiamat, ia berkata wahai Tuhan, tanyalah kepadanya kenapa ia kuncikan pintunya dariku dan tidak memberikan kepadaku lebihan hartanya." (Asbahani)

12. "Sahabat yang terbaik di sisi Allah ialah yang berbuat baik kepada sahabatnya, jiran terbaik di sisi Allah ialah jiran yang berbuat baik kepada jirannya." (Tirmizi, hasan gharib; Hakim, sahih; Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

13. "Jibril sentiasa berpesan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran, sehingga aku menyangka bahawa jiran akan mendapat harta pusaka jirannya." (Bukhari, Muslim)

14. "Seorang sahabat berkata wahai Rasulullah tunjukkanlah kepada saya amalan yang apabila saya lakukannya saya akan masuk syurga. Jawab baginda; jadilah orang yang baik. Ia bertanya; bagaimana saya nak tahu saya seorang yang baik? Jawab baginda; tanyalah jiranmu. Kalau mereka berkata kamu seorang yang baik, itu menunjukkan kamu memang seorang yang baik." (Baihaqi)

15. "Rasulullah bertanya kepada para sahabatnya; apa yang kamu kata mengenai zina? Mereka menjawab; Allah dan rasul-Nya telah mengharamkannya, maka ia haram sampai hari kiamat. Baginda bersabda; sekiranya seorang lelaki berzina dengan sepuluh orang perempuan dosanya tidak akan seberat dosanya berzina dengan isteri jirannya. Kata baginda lagi: apa yang kalian katakan pada mencuri? Kata mereka; Ia telah diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya. Baginda berkata: jika seorang mencuri di sepuluh buah rumah dosanya tidak akan seberat ia mencuri di rumah jirannya." (Ahmad, Tabrani)

16. Zina adalah perbuatan dosa besar. Zina dengan isteri jiran adalah lebih daripada sepuluh kali ganda besar dosanya.

Kata Ibnu Masud; "Wahai rasulullah apakah dosa yang paling besar? Jawab baginda; Kamu jadikan sekutu bagi Allah (syirik). Kemudian dosa yang mana? Jawab baginda; Kamu bunuh anak kamu kerana takut ia makan bersamamu (takut miskin). Kemudian dosa apa? Baginda menjuawab; Kamu berzina dengan isteri jiran kamu." (Bukhari, Muslim)

17. Para sahabat bertanya; "wahai Rasulullah siapakah orang Islam yang terbaik? Jawab baginda; orang yang selamat umat Islam daripada lidah dan tangannya." (Bukhari dan Muslim)

18. Kata Thauban; mana-mana jiran yang menzalimi jirannya, sehingga jiranya terpaksa meninggalkan rumahnya, binasalah ia. (Bukhari dalam Adab Mufrad, Durru Manthur Suyuti, 4/418)

Kesimpulan :

Dari nas-nas di atas kita fahami bahawa jiran hendaklah dihormati dan tidak boleh diganggu ketenteraman mereka dengan bunyi bising mercun dan lain-lain. Kalau kita baca Al Quran pun kena perlahankan jika ada orang yang sedang tidur atau solat, kalau bunyi mercun lebih-lebih lagi wajib dielakkan.

Perkara kedua yang wajib difahami bahawa haram hukumnya menghabiskan wang untuk membeli mercun kerana ianya adalah satu pembaziran yang tidak memberi apa-apa faedah. Sama dengan hukum beli rokok. Ditambah lagi dengan mengganggu jiran maka haramnya semakin berat.

Kata Syaikh Ibnu Hajar membelanjakan harta membeli benda yang haram adalah dosa besar walaupun dosa melakukannya dosa kecil (Zawajir, 1/421). Contohnya kalau bermain mercun jauh di dalam hutan tanpa mengganggu sesiapa adalah dosa kecil kerana ada unsur membuang harta dengan sia-sia, namun hukum mengeluarkan duit untuk membelinya adalah dosa besar.

Namun membeli mercun dengan tujuan untuk menghalau binatang yang merosakkan tanaman di kebun atau ladang tidaklah sia-sia kerana tujuannya adalah jelas.

Bermain meriam juga berdosa jika bunyinya yang kuat itu menganggu jiran atau penduduk kampung, apatah lagi ketika mereka sedang beribadah. Wallahu 'alam.

3 Darjat Manusia Yang Berpuasa Ramadhan


Di dalam kitab Sair as-Salikin oleh al-‘Allamah al-‘Arifbillah asy-Syeikh Abdus Shomad al-Falimbani, pengarang menyebut :

Ini satu fashal pada menyatakan rahsia puasa dan menyatakan segala syarat-syaratnya yang batin. Ketahui olehmu, hai orang yang menjalani jalan akhirat dan jalan kepada Allah Ta’ala, bahawa adalah bagi puasa itu 3 darjat :

1. Darjat Pertama - Puasa orang yang awwam

Yakni puasa kebanyakkan manusia iaitu menegahkan ia daripada makan dan minum dan jima’ (bersetubuh) dan menahan daripada segala yang membatalkan puasanya seperti yang tersebut pada fashal yang lalu.

2. Darjat Kedua - Puasa orang yang khawwas

Yakni puasa orang yang solihin dan orang yang muttaqin iaitu menegahkan segala yang tersebut daripada yang pertama itu (seperti diatas) dan menegahkan pula akan segala anggotanya daripada berbuat maksiat dan daripada berbuat yang sia-sia yang tiada memberi manfaat kepada akhirat.

Dan hasil kesempurnaan puasa mereka itu dengan 7 perkara :

1. Memejamkan kedua matanya dan menegahkan keduanya itu daripada melihat kepada suatu yang mubah yang membimbangkan hatinya dari zikrullah Ta’ala dan daripada ingat kepada Allah.

Sabda Nabi s.a.w :

Ertinya : Melihat dengan syahwat itu iaitu satu panah yang dibubuh racun daripada beberapa panah iblis, maka barangsiapa meninggalkan melihat itu kerana takut akan Allah Ta’ala, nescaya memberi akan dia oleh Allah Ta’ala akan iman yang mendapat akan manis iman itu di dalam hatinya.
Dan lagi sabda Nabi s.a.w :

Ertinya : 5 perkara yang membatalkan (pahala) puasa: (pertama) berdusta; (kedua) mengumpat; (ketiga) mengadu-ngadu akan orang; (keempat) bersumpah dengan dusta; (kelima) melihat akan sesuatu dengan syahwatnya, yakni dengan ingin.
2. memelihara lidah iaitu dengan :

(1) Daripada perkataan yang haram.

(2) Daripada perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

(3) Memeliharakan pula akan lidah daripada berdusta.

(4) Daripada mengumpat akan orang.

(5) Daripada mengadu-ngadu akan orang.

(6) Memelihara daripada segala perkataan yang keji-keji.

(7) Memelihara pula akan dia daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan orang.

(8) Memelihara daripada memaki orang.

(9) Dan hendaklah orang yang puasa itu melazimkan diam dan masyghul (sibuk) ia dengan membanyakkan zikrullah Ta’ala dan membanyakkan membaca al-Quran.

Kata Mujahid :

"Dua perkara membinasakan ia akan puasa, mengumpat-umpat akan orang dan berdusta."

Dan sabda Nabi s.a.w :

Ertinya : Hanyasanya puasa itu perisai. Maka apabila ada seorang kamu puasa, maka jangan mengerjakan suatu yang sia-sia dan jangan berbuat akan perbuatan orang yang jahil. Dan jika ada seorang hendak membunuh akan dia atau memaki akan dia maka hendaklah ia berkata bahawasanya aku puasa, bahwasanya aku puasa. (Hadits Muttafaqun ‘alaih).
Maka jangan dilawan akan orang itu.

3. Sayogia bagi orang yang puasa itu memeliharakan telinganya daripada mendengar perkataan yang haram dan perkataan yang makruh dan memeliharakan telinganya daripada mendengar perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

Dan sabda Nabi s.a.w :

Ertinya : Orang yang mengumpat akan orang dan orang yang mendengar akan dia itu bersekutu keduanya itu pada berdosa (Hadits riwayat ath-Thabrani, dhaif - al-‘Iraqi)
4. Seyogianya bagi orang yang puasa itu memeliharakan tangannya dan kakinya daripada segala yang diharamkan dan segala makruh dan segala yang sia-sia, tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

5. Memeliharakan perut pada ketika waktu berbuka itu daripada memakan makanan yang haram atau memakan yang syubhat. Maka tiada faedah bagi puasa, iaitu meninggalkan daripada makan yang halal kemudian maka berbuka dengan makanan yang haram. Maka adalah misal orang yang puasa itu seperti misal orang yang berbuat mahligai pada hal ia merobohkan negeri kerana makanan yang halal itu memberi mudharat ia dengan memakan banyak akan dia dan tiada memberi mudharat ia dengan makan sedikitnya. Dan puasa itu mensedikitkan makan yang halal, iaitu ubat yang memberi manfaat bagi hati dan membanyakkan akan dia itu membinasakan akan hati dan memakan yang haram itu membinasakan agama.

Sabda Nabi s.a.w :

Ertinya : Beberapa daripada orang yang puasa padahal tiada baginya daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga jua.
Maka kata ulama (dalam menjelaskan maksud hadits diatas) orang itu ialah orang yang berbuka dengan memakan yang haram. Dan kata setengah ulama, iaitu menahan daripada memakan yang halal dan berbuka dengan daging manusia dengan mengumpat-umpat akan orang dan mengumpat itu haram. Dan kata setengah ulama iaitu orang yang tiada memelihara akan segala anggota daripada yang haram yang membawa kepada dosa.

6. Seyogianya bahawa jangan membanyakkan pada ketika berbuka itu dengan memakan yang halal sekira-kira memenuh perutnya, kerana sabda Nabi s.a.w :

Ertinya : Tiada memenuh oleh anak Adam akan suatu tempat yang terlebih jahat daripada memenuh perutnya dengan memakan yang halal.
Ini kerana maksud dengan puasa itu iaitu hendak mengurangkan makan supaya dhoif syahwat nafsunya dan syahwat syaitannya, maka jika dihimpunkan makanan yang pagi-pagi dan makanan yang petang-petang itu dengan sekali maka pada ketika berbuka puasa itu, maka tiada faedah puasanya itu. Jadi tiada manfaat puasanya itu melainkan dengan sedikit daripada memakan yang halal kerana mengurangkan makan itu meringankan tubuh pada berbuat ‘ibadat dan berbuat sembahyang tahajjud pada malam hari dan merajinkan mengerjakan wiridnya dan dhikirnya hingga terang hatinya.

7. Sayogia bahawa adalah hatinya kemudian daripada berbuka itu berulang-ulang antara khauf dan raja’ yakni berulang-ulang antara takut akan Allah Ta’ala dan antara harap akan Allah Ta’ala kerana tiada diketahui adakah diterima akan puasanya itu, maka iaitu daripada orang yang muqarrabin atau ditolakkan akan puasa itu atasnya, maka iaitu daripada orang yang dimurkai Allah Ta’ala.

Dan sayogianya ia menghadirkan yang demikian itu pada ketika kemudian daripada tiap-tiap ibadat yang lain daripada puasa itu. Wallahu 'allam.

3. Darjah ketiga - Puasa orang khawwasul khawwas

Iaitu puasa orang yang muqarrabin yang ‘arifin iaitu menahan hati daripada mencita-citakan dunia dan memikirkan akan dia dan mengosongkan rahsia yang di dalam hati (sirr) daripada barang yang lain daripada Allah Ta’ala. Dan sentiasa hatinya itu syuhud kepada Allah Ta’ala dan batal puasanya itu dengan memikirkan barang yang lain daripada Allah Ta’ala dan yang lain lain daripada negeri akhirat. Demikian lagi batal puasa itu dengan memikir akan pekerjaan dunia, melainkan jika ada dunia itu membawa kepada manfaat akhiratdan jadi bekal baginya di dalam akhirat, maka iaitu tiada dinamakan dunia.

Kerana inilah kata ulama ahlul batin :

Ertinya : Barangsiapa bergerak cita-citanya dengan berbuat di dalam harinya itu kerana membicarakan sesuatu yang akan dimakannya pada ketika berbukanya itu, nescaya disurat atasnya akan dosa.
Dan yang demikian itu kerana kurang percaya dengan anugerah Allah Ta’ala dan kemurahan-Nya pada memberi rezeki akan dia dan kurang yaqin ia dengan rezekinya yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala.

Dan darjat puasa yang ketiga iaitu martabat anbiya’ dan orang-orang siddiqin dan orang-orang muqarrabin yang ‘arifin, kerana cita-cita hati mereka itu semata-mata berhadap kepada Allah Ta’ala dan berpaling hati mereka itu daripada segala yang lain daripada Allah Ta’ala dan telah masuk mereka itu di dalam makna firman Allah :


Ertinya : "Katakanlah: "Allah-lah (yang menurunkannya)", kemudian (sesudah kamu menyampaikan Al-Quran kepada mereka), biarkanlah mereka bermain-main dalam kesesatannya." (sebahagian Surah al-An’am, ayat 91)
Petikan dari kitab Sair as-Salikin ila ‘Ibaadati Rabbil ‘Alamin, tahqiq al-Fadhil Ustaz Abu ‘Ali Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, edisi jawi, halaman 414 – 419.

Usahakanlah paling kurang puasa peringkat kedua. Semoga kita memperolehinya dengan rahmat dari-Nya.

Pilihan Solat Terawih Terbaik Di Bulan Ramadhan


Pesanan Maulana Abd Hamid, Imam Markaz Dakwah Sri Petaling khusus untuk amalan solat Terawih di bulan Ramadhan.

1. Setiap amal ada keistimewaannya tersendiri

Contohnya berdakwah, tazkirah, solat sunat dan lain-lain amal. Tidak patut mengorbankan terus satu-satu amalan kerana hendak melakukan amalan yang lain. Begitu juga dengan amalan solat Terawih.

2. Pada solat Terawih ada dua sunnah berasingan

Pada solat Terawih itu sendiri terdapat dua sunnah yang berasingan, iaitu :

1 - Solat Terawih itu sendiri.
2 - Mendengar bacaan al-Quran sehingga khatam di dalam solat Terawih.

3. Para sahabat r.hum berterawih 20 rakaat

Walaupun pada mulanya ada di antara mereka yang berterawih 8 atau 10 atau 12 rakaat tetapi solat Terawih mereka begitu panjang.

Mereka membaca kira-kira 100 ayat al-Quran dalam satu rakaat sehingga ada di antara para sahabat lain yang turut berterawih berada dalam keadaan memegang tongkat supaya menahan diri mereka daripada terjatuh.

4. 8 rakaat tidak dapat dengar al-Quran hingga khatam

Kebiasaanya orang yang berterawih 8 rakaat sudah tentu tidak akan dapat mendengar al-Quran sehingga khatam di dalam solat Terawih pada sebulan Ramadhan.

Semoga Allah s.w.t beri kita kefahaman agama yang sebenar.

Jadual solat Terawih di Masjid Sri Petaling

Ummat Islam boleh membuat pilihan untuk mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran di dalam solat Terawih, dengan memilih jadual solat Terawih di Masjid Sri Petaling, berikut ini :

1. Umum

Bacaan al-Quran semasa solat Terawih - 1.5 Juz.
Anggaran masa solat - 2-3 jam.
Lokasi - di dewan utama masjid.
Masa - setiap malam Ramadan.
Jumlah khatam - 1 kali pada minggu akhir Ramadhan.

2. Medium

Bacaan al-Quran semasa solat Terawih - 3 Juz.
Anggaran masa solat - 3-4 jam.
Lokasi - di bilik kariah kanan masjid.
Masa - setiap malam Ramadan.
Jumlah khatam - 2 kali sehingga akhir Ramadhan.

3. Hard

Solat Terawih - 5 Juz.
Anggaran masa solat - 4-5 jam.
Lokasi - di bangunan Madrasah.
Masa - bermula Ramadhan ke 5.
Jumlah khatam - 3 kali sehingga akhir Ramadhan.

4. Hardcore

Solat Terawih - 10 Juz.
Anggaran masa solat - 5-6 jam.
Lokasi - di bilik Mesyuarat KL kiri masjid.
Masa - bermula 10 akhir Ramadhan.
Jumlah khatam - 2 kali di 10 akhir Ramadhan.

Semoga Ramadan tahun ini lebih baik lagi dari tahun-tahun sebelumnya.

Selamat menyambut Ramadhan al-mubarak.
You might like these as well: