Terdapat beberapa adab yang sunat dilakukan semasa menziarahi kubur untuk memperolehi faedah daripadanya sama ada sebelum atau semasa berziarah.
Amalan ini bukan sahaja menghasilkan ganjaran kepada orang yang berziarah itu sendiri, bahkan juga akan mendatangkan manfaat kepada si mati. Marilah kita perhatikan antara amalan-amalan tersebut secara ringkas.
Antara amalan yang sunat dilakukan sebelum pergi menziarahi kubur ialah :
1. Berwuduk dan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.
2. Kemudian, barulah kita bertolak menuju ke tanah perkuburan dengan membulatkan hati, berniat ikhlas selari dengan tujuan-tujuan ziarah.
Apabila tiba di tanah perkuburan, antara perkara yang sunat dilakukan ialah :
1. Memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur.
2. Cara yang afdhal salam ini dilakukan ialah dalam keadaan berdiri di tepi kubur.
3. Dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi.
4. Sekurang-kurang lafaz salam ketika menziarahi kubur ialah السلام عليكم.
Ataupun salam yang telah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Aisyah radhiyallahu ‘anha, ketika beliau bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang doa yang dibaca pada saat ziarah kubur, seperti di bawah ini :
ASSALAMU ’ALAIKUM AHLAD-DIYAAR MINAL MUKMINIINA WAL MUSLIMIIN. YARHAMULLAHUL MUSTAQDIMIINA MINNAA WAL MUSTAKHIRIIN.
WA INNA INSYAA ALLAHU BIKUM LA-LAAHIQUUN
AS ALULLAHA LANAA WALAKUMUL ‘AAFIYAH.
WA INNA INSYAA ALLAHU BIKUM LA-LAAHIQUUN
AS ALULLAHA LANAA WALAKUMUL ‘AAFIYAH.
"Semoga keselamatan tercurah kepada kalian, wahai penghuni kubur, dari (golongan) orang-orang beriman dan orang-orang Islam, semoga Allah merahmati orang-orang yang mendahului kami dan orang-orang yang datang belakangan. Kami insya Allah akan menyusul kalian, saya meminta keselamatan untuk kami dan kalian." (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban)Ataupun ucapan salam berikut ini. Abu Hurairah r.a berkata;
Abu Razin berkata : Ya Rasullullah diperjalananku ini melalui kubur orang mati, maka apakah ada kata-kata yang harus saya katakan jika melalui mereka?
Jawab Nabi s.a.w, katakan :
ASSALAAMU’ALAIKUM YA AHLAL QUBUR,
MINAL MUSLIMIINA WALMUKMINIINA
ANTUM LANAA SALAFUN WANAHNU LAKUM
TUBA'UUN WA INNA INSYAA ALLAHU BIKUM LAA HIQUUN.
MINAL MUSLIMIINA WALMUKMINIINA
ANTUM LANAA SALAFUN WANAHNU LAKUM
TUBA'UUN WA INNA INSYAA ALLAHU BIKUM LAA HIQUUN.
"Selamat sejahtera kamu hai ahli kubur dari kaum muslimin dan mukminin, kamu mendahului kami dan kami berikutmu, dan kami insya Allah akan mengikuti kamu."Boleh juga dengan bacaan yang lebih ringkas.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengunjungi kuburan. Kemudian beliau berdoa;
ASSALAMU ’ALAIKUM DAARA QAUMIIN MUKMINIIN,
WA INNA INSYAA ALLAHU BIKUM LAA HIQUUN
WA INNA INSYAA ALLAHU BIKUM LAA HIQUUN
"Keselamatan untuk kalian, wahai penghuni rumah kaum mukminin. Kami insya Allah akan menyusul kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)Lain-lain adab semasa menziarahi kubur
1. Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan duduk, terutamanya membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak sebelas kali atau membaca Surah Yasin. kemudian menghadiahkan pahala bacaan itu kepada mereka. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni yang bermaksud :
“Siapa yang masuk ke kawasan perkuburan lalu membaca Surah al-Ikhlas sebelas kali, kemudian menghadiahkan, pahala bacaan itu untuk orang-orang yang mati, maka dia akan diberi pahala sebanyak bilangan (pahala) orang-orang yang mati.”
Sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar Radhiallahu ‘anhu, Abu Daud dan dianggap shahih oleh Ibnu Hibban, bermaksud :
“Bacalah ke atas keluarga kamu yang telah mati akan Surah Yasin.”
2. Setelah selesai membaca al-Quran, untuk menghadiahkan pahala bacaan kepada si mati sebaiknya dibaca :
ALLAHUMMA AUSHIL TSAWAABA MAA QORO'TUHU ILAA FULAANIN
"Ya Allah, sampaikanlah pahala apa yang telah ku baca ini kepada si fulan.”3. Setelah itu, disunatkan kita berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan untuk berdoa. Dalam kita memilih mana-mana doa yang akan dibacakan, apa yang lebih penting ialah kesungguhan kita dalam memahami maknanya, kerana ianya dapat menolong ke arah melahirkan matlamat ziarah itu sendiri.
4. kita juga disunatkan memberi salam ketika melintasi mana-mana kubur orang-orang Islam, walaupun tanpa niat untuk ziarah, dan juga berdoa untuk keselamatan mereka.
5. Selepas berdoa, antara amalan yang boleh kita lakukan ialah merenjiskan atau memercikkan air ke kubur dan meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur.
Wallahu a'lam.
Semoga Allah selalu mencurahkan taufiq-Nya kepada kita untuk dapat beramal.