Sedekah adalah amalan yang mulia. Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita. Kerana setiap perbuatan baik akan dibalas dengan perkara yang baik juga. Allah s.w.t akan melapangkan dada, membuatkan kita gembira, melegakan perasaan dan mensejahterkan seluruh hidup kita.
Bersedekahlah kita walau sedikit dengan seikhlasnya. Kerana, dalam setiap rezeki dan harta yang kita miliki itu terdapat juga hak orang lain. Jadi, adalah lebih baik jika ia dikongsi dan dinikmati bersama. Beriman dengan-Nya dan bersedekah seikhlasnya. Sedekah seikhlasnya mampu meringankan beban seseorang dan menjauhkan diri kita daripada panas api neraka.
Semua perkara atau wang yang kita sedekahkan kepada golongan yang memerlukan mesti terdiri daripada hasil yang halal. Kerana, pemberian yang halal akan menggugurkan dosa dan mendatangkan pahala. Selain itu juga akan dijauhkan dari bala. Seseorang yang bersedekah dengan harta yang halal juga akan dijauhkan daripada api neraka dan akan dimasukkan ke dalam syurga.
Sekiranya seseorang bersedekah dengan harta yang haram, dia tidak akan memperolehi sebarang kebaikan kecuali azab kerana memberi sesuatu yang haram kepada orang lain. Terdapat sebuah hadis mengatakan bahawa di dalam neraka Jahanam terdapat sebuah rumah yang bernama ‘Baitul Huzni’ yang disediakan Allah bagi orang yang bersedekah daripada harta yang haram.
Selain dapat membantu sesama manusia, Allah s.w.t juga akan membalasnya dengan pahala bagi mereka yang ikhlas melakukannya.
Berikut 6 janji Allah Kepada orang yang suka bersedekah :
1. Menghapuskan dosa-dosa
Janji Allah s.w.t bagi orang yang rajin bersedekah adalah sedekah itu dapat menghapuskan dosa orang yang mengerjakannya.
Rasulullah s.a.w, bersabda yang bermaksud :
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
2. Dapat teduhan di hari kiamat
Nabi s.a.w menceritakan tentang 7 golongan manusia yang akan mendapat teduhan pada hari yang tidak ada teduhan dari kepanasan di padang mahsyar. Salah satu golongan yang mendapat teduhan itu adalah orang yang suka bersedekah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
3. Harta tidak akan berkurang
Janji Allah s.w.t yang sangat hebat bahawa harta orang yang rajin bersedekah tidak akan berkurang meskipun selalu disedekahkan dan selebihnya dibuat keperluan sehari-hari. Malahan harta menjadi lebih berkat dengan bertambah banyak.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kebaikkan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)
4. Dapat menghindar siksa kubur
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.” (Hadis Riwayat Ath-Thabrani)
5. Terdapat pintu syurga khas untuk orang bersedekah
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Orang memberikan menyumbangkan dua harta di jalan Allah, maka dia akan dipanggil oleh salah satu dari pintu syurga; "Wahai hamba Allah, ke marilah untuk menuju kenikmatan. Jika dia berasal dari golongan orang-orang yang suka mendirikan solat, dia akan dipanggil dari pintu solat, yang berasal dari kalangan mujahid, maka akan dipanggil dari pintu jihad, jika dia berasal dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Menjauhkan diri dari api Neraka
Mereka yang rajin bersedekah akan dijauhkan daripada diri dari api neraka. Ternyata meskipun hanya sedekah dengan jumlah yang sedikit, namun sedekah tersebut memiliki fadilat untuk menjauhkan diri dari api neraka. Semakin banyak sedekah yang dilakukan, maka akan semakin jauhlah darinya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikianlah ulasan mengenai enam janji Allah s.w.t kepada mukmin yang rajin bersedekah. Sungguh banyak keutamaan yang akan diperoleh mukmin yang suka bersedakah ini. Untuk itu, keluarkan sedikit harta untuk bersedekah, agar Allah memberikan kita janji-janji mulia tersebut. Wallahu 'alam.