Doa Dan Adab Masuk Rumah Baru


Dapat memiliki rumah sendiri merupakan antara nikmat kurniaan yang Allah s.w.t berikan kepada seseorang. Oleh kerana itu orang yang mendapat rumah baru hendaknya menjadikan rumahnya itu sebagai ladang kebaikan dan ibadah serta tempat berzikir (mengingati) pada-Nya. Bukan sebagai tempat maksiat.

Abu Malik al-Asy’ari Radhiallahu‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

“Apabila seorang lelaki hendak masuk ke rumahnya maka hendaklah dia Berkata: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik Tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah Tuhan kami, kami berserah.” Kemudian hendaklah seseorang itu memberi salam ke atas keluarganya.” (HR Abu Daud)
Lafaz doanya seperti berikut :


Bismillahi walajna wa bismillahi khorajna wa 'alallahi rabbana tawakkalna

Jika rumah yang hendak dimasuki itu tidak ada orang yang berada di dalamnya, maka berilah salam ke atas diri sendiri dengan mengucapkan :

“Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang solih.”
Antara hikmah membaca atau menyebut nama Allah ketika hendak masuk rumah, adalah supaya menghindarkan syaitan turut masuk dan bermalam di dalam rumah.

Berikut adalah beberapa perkara yang sepatutnya diamalkan menurut ajaran Islam serta sunnah Rasulullah s.a.w ketika melangkah memasuki rumah baru.

1. Azan.

Melaungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru. Ia juga baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sebagai Al-’Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.

2. Membaca surah Al-Baqarah.

Sabda Nabi s.a.w.; “Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur. Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah, rumah itu tidak akan dimasuki Syaitan” (HR Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a).

3. Banyakkan solat dan membaca Al-Quran.

Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah s.a.w juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud : “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

4. Baca Surah Yasin, Al-Fatihah dan Al-Ikhlas.

Amalkan membaca surah Yasin setiap malam terutamanya tujuh malam pertama anda menduduki rumah atau bangunan. Baca juga surah Al-Fatihah sebanyak satu kali, surah Al-Ikhlas 3 kali, selawat ke atas nabi sebanyak 7 kali dan ayat Kursi sekali tetapi di ayat terakhir dibaca sebanyak 7 kali.

5. Pagar rumah menggunakan ayat-ayat al-Quran

Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut tertentu di rumah atau bangunan yang diduduki dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan syirik yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Walaubagaimanapun ada cara yang dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam. Caranya adalah dengan dengan membaca :

1. Baca Surah Yasin.
2. Baca surah Al-Fatihah.
3. Baca Ayat Kursi.
4. Baca Surah 3 Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas).

kemudian tiup ke dalam air perlahan-lahan sehingga habis nafas. Setelah itu, renjis keliling rumah dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru di dalam rumah dengan dimulai dengan penjuru yang terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya mengikut arah berlawanan jarum jam. Membaca ayat Kursi semasa merenjiskan air tersebut. Air jampi yang telah dibacakan ayat-ayat al-Quran mengandungi gelombang yang laju dan sangat tidak disukai oleh syaitan dan jin kafir.

6. Baca basmallah ketika menutup pintu dan tingkap.

Dari Jabir bin Abdillah, Nabi s.a.w memberikan banyak saran agar kita tidak diganggu syaitan. Rasulullah s.a.w bersabda : “Tutuplah pintu dan sebutlah nama Allah, kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).” (HR Muslim dan Bukhari).

7. Ketika masuk rumah baru membaca Masya Allah laa Quwwata illa billaah.

Ertinya : "Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah".

Ibnu Qayyim menjelaskan dalam Al Wabilus Shayyib, bahawa seseorang yang hendak masuk rumah atau kebun hendaknya membaca kalimat diatas sebagai bentuk rasa syukur atas nikmat Allah s.w.t. Hal ini didasarkan pada firman Allah :


“Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu "maasya Allah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan." (Al-Kahfi : 39)
Islam tidaklah menekankan amalan yang hanya khusus ketika masuk rumah, tetapi amalan-amalan yang berterusan yang perlu dihidupkan di dalam rumah. Di antara amalan-amalannya ialah :

1. Masuk rumah dengan membaca Bismillah dan doa yang makthur dari Nabi s.a.w. Begitu juga ketika keluar dari rumah.

2. Menjaga ahli rumah agar sentiasa berada dalam ketaatan dan menjauhi maksiat dan kemungkaran. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran :


“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat 6)
Berkata Imam Qatadah rahmatullah'alaih, tatkala menafsir ayat di atas :

"yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiati-Nya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”.
Manakala menurut Imam Muqatil rahmatullah'alaih pula :

“Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka.” (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)
3. Setiap ahli rumah menunaikan kewajipan masing-masing mengikut tuntutan agama. kewajipan sebagai suami dan bapa, kewajipan sebagai isteri dan ibu dan kewajipan sebagai anak. Sabda Nabi s.a.w :

“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang orang-orang di bawah jagaannya. Pemimpin negara adalah penjaga bagi rakyatnya dan dia akan ditanya berkenaan orang di bawah jagaannya (yakni rakyatnya). Seorang lelaki adalah penjaga bagi ahli keluarganya dan dia akan ditanya tentang ahli keluarga di bawah jagaannya. Seorang wanita adalah penjaga bagi rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang berada di bawah jagaannya..” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar r.a)
4. Menghidupkan amalan agama di dalam rumah, seperti :

a. Membaca al-Quran di dalam rumah.

Sabda Nabi s.a.w : “Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a)

b. Mengerjakan solat-solat sunat di dalam rumah.

Sabda Nabi s.a.w : “Kerjakanlah solat wahai manusia di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a). Dalam hadis yang lain baginda bersabda : “Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur.” (HR Imam Muslim dari Jabir r.a)

c. Mengajak ahli keluarga bersama-sama beribadah.

Sabda Nabi s.a.w : “Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud dari Abi Said r.a).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda : “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya. Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya..” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah r.a).

d. Hidupkan budaya memberi salam.

Anas r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya : “Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu.” (HR Imam at-Tirmizi dari Anas r.a).

Rasulullah s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda : “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka : “Ya”. Lalu baginda bersabda : “Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu.” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a).

e. Mempraktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.

Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu bapa (bagi anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya.

Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi kesan besar kepada jiwa anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka. Umar bin Abi Salamah r.a menceritakan :

“Semasa saya masih kanak-kanak di bawah jagaan Rasulullah s.a.w, suatu ketika saya makan dalam keadaan tangan saya bergerak sana sini mengambil makanan yang ada di dalam talam (sedang orang makan bersama). Lalu Rasulullah s.a.w menasihatkan saya : “Wahai anakku! Mulakan makan dengan menyebut nama Allah (baca Bismillah), kemudian makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari makanan yang berada di depanmu.” (HR Imam Bukhari dan Muslim).
5. Jika ingin memohon perlindungan untuk rumah, lakukanlah sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w, antaranya ialah dengan membaca al-Quran dan doa-doa perlindungan yang makthur dari baginda. Sabda Nabi s.a.w : “Sesiapa singgah/berhenti di satu tempat, lalu ia membaca :

"Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan segala makhluk ciptaannya", nescaya tidak ada sesuatu pun dapat memudaratkannya hingga ia berpindah.” (HR Imam Muslim dari Khaulah binti Hakim r.ha)
Demikianlah sebahagian dari adab-adab di dalam rumah yang dianjurkan oleh Islam yang sabit dari hadis-hadis yang sohih dari Nabi s.a.w. Dengan melakukan amalan-amalan tersebut, Insya Allah rumah kita akan sentiasa dilindungi dari Iblis dan Syaitan dan ahli keluarga kita akan senantiasa diberkati Allah s.w.t.

Allahu a’lam.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: