6 Kelebihan Solat Dhuha Yang Anda Perlu Tahu


Solat Dhuha mempunyai kedudukan mulia oleh itu disunnahkan untuk kita mengerjakan. Abu Hurairah r.hu pernah berkata, Rasulullah s.a.w berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan; puasa tiga hari tiap bulan, dua rakaat Dhuha dan Witir sebelum tidur.

Solat sunat Dhuha dilakukan pada waktu matahari sedang naik. Sekira cuacanya berhalangan adalah lebih mudah dengan merujuk kepada takwim waktu solat. Masanya adalah 28-30 minit selepas Syuruk, iaitu sekiranya waktu Syuruk 7.32 pagi dan ditambah 28-30 minit, maka masuknya waktu Dhuha bermula jam 8.00 pagi.

Walaupun begitu waktu paling afdal melakukan solat Dhuha adalah anggaran matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi.

Paling banyak yang dikerjakan sebaiknya ialah lapan rakaat dan paling banyak yang disabdakan oleh Baginda s.a.w ialah 12 rakaat. Paling sedikit yang boleh dikerjakan adalah dua rakaat.

Berikut 6 kelebihan solat Dhuha yang anda perlu tahu :

1. Dosa terampun

Orang yang solat Dhuha akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah s.w.t.

Sayyidina Abu Hurairah r.hu berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesiapa yang mengambil berat menjaga dua rakaat solah sunat Dhuha maka dosa-dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan." (Ibnu Majah)
2. Tergolong orang bertaubat

Barangsiapa yang menunaikan solat Dhuha ia tergolong sebagai orang yang bertaubat kepada Allah s.w.t.

“Tidaklah seseorang selalu mengerjakan solat Dhuha kecuali ia telah tergolong sebagai orang yang bertaubat.” (HR Hakim)
3. Tercatat sebagai orang taat

Orang yang menunaikan solat Dhuha akan dicatat sebagai ahli ibadah dan taat kepada Allah s.wt..

Sayyidina Abu Darda r.hu berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesiapa yang bersolah sunat Dhuha dua rakaat tidak akan ditulis dalam kalangan orang-orang yang lalai daripada beribadat. Sesiapa yang mengerjakan empat rakaat akan ditulis dalam kalangan ahli ibadat dan sesiapa yang mengerjakan enam rakaat maka dia akan dibantu dalam segala urusannya pada hari itu. Sesiapa yang mengerjakan lapan rakaat maka akan ditulis dalam kalangan 'Qanitin' (yakni orang-orang yang taat). Sesiapa yang mengerjakan dua belas rakaat maka Allah s.w.t akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga.

Allah s.w.t sentiasa memberi kurniaan dan sedekah kepada hamba-hamba-Nya setiap siang dan malam dan tiada kurniaan Allah s.w.t yang lebih afdal ke atas salah seorang hamba-hamba-Nya lebih daripada taufiq untuk berzikir kepada-Nya." (Tabarani : Majma' uz-Zawa'id)
4. Masuk syurga dari pintu yang khas

Orang yang istiqamah melaksanakan solat Dhuha, kelak ia akan masuk syurga melalui pintu khusus, iaitu pintu Dhuha yang disediakan oleh Allah s.w.t.

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu bernama pintu Dhuha. Apabila Kiamat telah tiba maka akan ada suara yang berseru, "Di manakah orang-orang yang semasa hidup di dunia selalu mengerjakan solat Dhuha? Ini adalah pintu buat kalian. Masuklah dengan rahmat Allah s.w.t.” (At-Tabarani)
5. Rezeki beres

Allah s.w.wt mencukupkan rezekinya.

Sayyidina Abu Darda r.hu meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda; "Wahai anak Adam, janganlah kamu sekali-kali lemah daripada menunaikan empat rakaat solat sunat (Isyrak) pada permulaan hari nescaya Aku akan memenuhkan keperluanmu sepanjang hari." (Musnad Ahmad : Majma' uz-Zawa'id)
Keterangan :
Kelebihan ini ialah untuk solat Isyrak dan ada juga kemungkinan bahawa yang dimaksudkan ialah solat Dhuha.

6. Sudah bersedekah setiap sendi tulang

Orang yang mengerjakan solat Dhuha ia telah mengeluarkan sedekah.

Sayyidina Abu Zar r.hu berkata bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda; "Menjadi tanggungjawab setiap orang daripada kamu memberi satu sedekah bagi pihak setiap sendi (yakni pada jasadnya sebagai mensyukuri terhadap kesejahteraan anggotanya itu).

Maka setiap ucapan kalimah 'Subhanallah' ialah sedekah, setiap ucapan kalimah 'Alhamdulillah' ialah sedekah, setiap ucapan kalimah 'Laa ilahaillallah' ialah sedekah, setiap ucapan kalimah 'Allahu Akbar' ialah sedekah, menyuruh orang membuat kebaikan juga ialah sedekah dan melarang daripada kemungkaran ialah sedekah dan dua rakaat solah Dhuha sudah memadai untuk menunaikan kesyukuran bagi pihak semua sendi." (Muslim)
Kesimpulan

Selain keutamaan yang disebutkan di atas, masih ada keutamaan lainnya yang sayang untuk dilepaskan begitu saja, iaitu dengan mengerjakan solat Dhuha ada pahala besar berupa pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan umrah yang diterima Allah.

Wallahu 'alam.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: