Memaparkan catatan dengan label Anak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anak. Papar semua catatan

6 Tip Agar Anak Sanggup Berpuasa Tanpa Perlu Disuruh Atau Dijanjikan Hadiah


Semoga artikel ini dapat beri manfaat pada yang membaca. Kalau bukan untuk Ramadhan kali ini, semoga bermanfaat untuk Ramadhan yang akan datang jika diizinkan Allah. Perkongsian sebuah pengalaman seorang ibu bagaimana anaknya berjaya berpuasa sendiri tanpa perlu disuruh. Allah izinkan tahun ini masuk tahun ke-3 anaknya berpuasa. Tiada kekuatan melainkan dari Allah semata-mata.

Ibu bapa perlu berusaha dalam buat 'persiapan' rapi mendidik anak menjalani ibadat puasa sedari awal usia mereka. Jika kena pada caranya, anak sanggup berpuasa tanpa perlu disuruh atau dijanjikan hadiah. Persiapan perlu bermula.

Berikut 6 tip agar anak sanggup berpuasa tanpa disuruh atau dijanjikan hadiah :

1. Sebelum Ramadhan


Serius? sebelum Ramadhan dah kena ajar? Ya! Sungguh terkesan dengan kata-kata Syeikh Hussain Yaqoob :

"Matahati yang merindui Ramadhan akan dapat menciumi bau bulan Ramadhan, seperti (Nabi) Yaakob telah terbau baju anaknya (Nabi) Yusuf."
Ini yang kita perlu tanamkan dalam diri anak-anak. Sentiasa merindui kedatangan bulan Ramadhan. Hinggakan anak beritahu yang dia nak bina sebuah mesin masa (macam dalam kartun Doraemon) untuk dia kembalikan masa supaya setiap hari ialah bulan Ramadhan dalam hidupnya. Tetapi bagaiman kita nak terapkan kerinduan pada bulan Ramadhan dalam hati anak?

Semua perlu bermula dari kita sebagai ibu bapa. Dari awal tahun kita sudah ajar anak supaya baca doa di bawah ini selalu :


Anak selalu ulang-ulang baca doa ini. Anak tidak akan mampu merindui Ramadhan kecuali jika kita tunjukkan caranya. Kita sebagai ibu bapa perlu jadi PERINDU Ramadhan terlebih dahulu. Ibu-ibu bila ganti puasa. bolehlah beritahu pada anak yang kita sedang berusaha yang terbaik untuk bersedia dengan kedatangan Ramadhan.

Anak-anak perlu nampak ibu bapa 'express' perasaan tak sabar menanti kedatangan bulan mulia Ramadhan. Dari situ anak akan belajar menyambut Ramadhan. Sering ajak anak berdoa sama-sama supaya dipanjangkan umur untuk berjumpa Ramadhan. Anak menyaksikan ibu bapanya berdebar menanti datangnya Ramadhan dan insya Allah mereka akan membesar menjadi PERINDU Ramadhan.

2. Seminggu sebelum Ramadhan


Debaran semakin memuncak seminggu sebelum Ramadhan. Walaupun mendekati bulan yang ditunggu-tunggu tetapi tiada jaminan umur melainkan Allah izinkan. Semakin gigih anak berdoa agar dipertemukan Ramadhan. Ajak anak-anak untuk membantu kemas rumah, biar mereka dapat rasakan ada 'tetamu' istimewa yang akan tiba tak lama lagi. Bisikkan 'rumah perlu bersih' supaya kita senang nak solat dan baca al-Quran bila tiba Ramadhan nanti.

3. Menjelang senja 1 Ramadhan


Tiba masa yang ditunggu menjelang senja 1 Ramadhan, pandang mata anak, dakap mereka, beritahu pada anak bahawa Allah pilih kita kali ini untuk terima hadiah istimewa iaitu RAMADHAN. Berapa ramai orang di dalalam kubur yang minta dihidupkan semula demi beribadat pada bulan Ramadhan! Bisik lagi pada anak; "Ramadhan kali ni kita mesti buat betul-betul. Buat yang terbaik..."

4. Cara memotivasi anak


Motivasi anak untuk berpuasa bukan melalui kaedah reward sahaja. Anda pasti terkejut yang anak kecil juga mampu termotivasi dengan 'janji' Allah. Jangan 'under estimate' kemampuan anak untuk faham hadis dan ayat al-Quran berkaitan puasa. Pengalaman dalam mendidik anak berpuasa mendapati selalunya ransangan datang dari hadis dan ayat al-Quran. Ada banyak hadis sahih yang boleh diceritakan kepada anak.

Ceritakan secara santai, macam storytelling session. Simplify dan beri contoh yang anak mudah faham melalui hadis. Antara koleksi hadis yang anak mudah faham :

1. Pintu Ar Rayyan untuk hamba yang ikhlas berpuasa.

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan pintu ‘Ar-Rayyan’ yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Ditanya (oleh pintu tersebut): “Di manakah orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itu pun ditutup dan tak ada lagi yang masuk melaluinya.” (Hadis Riwayat Muslim, dari Sahl Ibn Sa’ad).
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan.

“Apabila tiba Ramadhan, akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dirantai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Langit akan dibuka sepanjang bulan Ramadhan.

“Apabila tiba malam pertama Ramadhan, akan dibuka semua pintu langit. Ia tidak akan ditutup walau pun satu pintu sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan.” (Riwayat Baihaqi)
Ajak anak keluar rumah dan tengok langit. Minta anak berdoa apa sahaja yang dia hajati pada Allah sepanjang Ramadhan kerana pintu langit terbuka, maka doa sampai pada Allah tanpa hijab. Nak pergi Lego Land ke, nak beli kasut roda ke, terus minta pada Allah.

5. Jangan paksa anak berpuasa


Jika anak belum bersedia berpuasa jangan paksa kerana nanti akan berlaku macam-macam perkara dibelakang kita. Curi minum air masa mandi, curi-curi makan masa mak tak nampak. Anak yang tidak nampak "keindahan puasa" mustahil untuk puasa dengan jujur. Be flexible, please! Anak nak puasa setengah hari, benarkan mereka. Itu tanda mereka jujur dengan kita kerana masih minta kebenaran untuk berbuka puasa, itu lebih baik dari curi-curi makan dan masih berpura-pura berpuasa.

6. Sistem ganjaran/reward


Mungkin kaedah ini berkesan untuk sesetengah anak. Jika berkesan, teruskan. Ada yang minta mainan jika puasa penuh tetapi sentiasa bisikkan pada anak berulang kali, puasa ini untuk Allah bukan untuk mainan atau apa-apa reward yang mereka minta. Kita nak melahirkan anak yang ikhlas berpuasa kerana Allah. Fahamkan mereka yang NIAT puasa ini semata-mata kerana Allah, bukan ganjaran material sahaja.

7. Sabar itu penting


Ibu ayah perlu sabar, kadang-kadang biarpun anak sudah masuk tahun ke-3 berpuasa, telinga masih lagi dengar anak merengek lapar dan haus. Itu normal kerana anak masih kecil. Bagaimana kita handle perkara ini yang lebih utama. Berbalik semula pada point atas, gunakan hadis dan ayat al-Quran sebagai cara untuk redakan rengekan anak.

Namun ikut kemampuan kita. Berpuasa ini ialah proses 'delayed gratification' (melatih anak sabar untuk dapatkan sesuatu ganjaran yang lebih besar).Ada anak cepat "sejuk" lepas dengar hadis ganjaran Allah. Ada anak sejuk lepas dijanjikan reward. Mohonlah kekuatan dari Allah sepanjang mendidik anak menjalani ibadah puasa.

      Baca : 8 Keistimewaan Bulan Ramadhan Berbanding Bulan Lain

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Semoga Allah bimbing setiap ibu bapa yang membaca artikel ini dalam perjalanan melahirkan anak yang soleh dan solehah.

- Daku Amat

Tags : bulan ramadhan penghulu segala bulan ramadan kareem tip ajar anak berpuasa bulan sabar kelebihan bulan ramadan jangan paksa anak berpuasa

6 Ucapan Ini Jika Dilontarkan Ketika Marah Akan Buat Anak Benci Anda


Bila anak-anak semakin membesar pastinya anda akan berhadapan dengan pelbagai ragam dan kerenah. Itu belum lagi bergaduh, berebut barang dan macam-macam. ibu bapa pula seharian penat bekerja akan cepat marah dengan kerenah anak-anak yang tak pernah berkesudahan.

Belajarlah untuk bersabar dan kawal kemarahan. Namun sekiranya anda terpaksa juga menunjukkan ketegasan anda kepada anak-anak pastikan anda tidak sekali-kali terlanjur mengucapkan kata-kata di bawah ini.

Berikut 6 ucapan ini jika dilontarkan ketika marah akan buat anak benci anda :

1. “Tak guna betul”


Walaupun mungkin bagi anda kata-kata ini biasa anda lemparkan ketika marah dengan orang yang cari pasal dengan anda tetapi tidak pada anak. Apabila seorang anak mendengar kata-kata ini maka akan tertanam dalam hatinya dan mula belajar untuk tidak menghormati anda. Lebih teruk lagi mereka akan meniru dan mengucapkan hal yang sama kepada orang lain.

2. “Ini semua salah kamu!”


Anak-anak sangat memerlukan bimbingan serta panduan daripada ibu bapanya. Andai mereka buat silap anda patut tunjukkan yang betul bukannya terus menyalahkannya. Anda tidak boleh menghancurkan rasa percaya dirinya dengan mengatakan, "Ini semua salah kamu atau semua ini berlaku sebab kamu."

3. “Lembap dan bodoh!”


Jangan kata anak, kalau kita sendiri di katakan begitu pasti rasa sedihkan. Anak-anak yang dimarahi dengan kata-kata begini akan jadi anak yang tidak memiliki percaya diri yang baik. Dia akan sentiasa rasanya dirinya tidak pandai malah buat apa pun gagal. Lama kelamaan anda yang akan hancurkan masa depan anak anda sendiri.

4. “Jahat macam setan!”


Memang diakui emosi orang dewasa bila terlalu marah maka akan keluarlah kata-kata yang agak melampau. Namun jahat bagaimanapun anak anda janganlah samakan dia dengan syaitan. Kawal emosi terutama bila berhadapan dengan anak-anak. Mereka tidak akan memahami apa yang anda hadapi malah tidak akan faham juga kalau anda katakan anda hanya bercakap tetapi tidak maksudkannya.

5. “Kamu ini kurang ajar betul!”


Kata-kata ini sangat tidak sesuai untuk anak yang masih kecil. Kalau mereka melawan pun bukan kerana mereka mahu bersikap kurang ajar tetapi mereka sekadar memprotes dan tidak memahami pun apa yang dilakukan itu benar atau salah.

6. “Tidak boleh harap!”


Marah bagaimanapun pada si kecil namun jangan sesekali ucapkan kata-kata ini. Sekali anda katakan ia bagaikan satu luka yang sukar untuk disembuhkan. Ia seolah-olah anda merendahkannya dan tidak menghargai dia dalam hidup anda. Makin berulang-ulang kali anda mengatakan ucapan ini maka makin jauhlah si kecil dengan anda.

      Baca : 11 Tip Sebelum Anda Menziarahi Orang Sakit

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Ketika berada dalam keadaan marah, adakalanya ibu bapa melontarkan ucapan dan kata yang sepatutnya tidak diucapkan depan anak. Tidak ingat, ucapan apa saja itu? Berhati-hatilah dengan kata-kata yang tidak boleh diucapkan oleh ibu bapa pada anak-anaknya jika anda betul-betul sayangkan mereka dan mahu melihat anak-anak membesar menjadi anak yang berguna. Ingatlah bahawa orang yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.

- Daku Amat

Tags : marah anak ibu bapa anak-anak keluarga kata-kata ketika marah kerenah anak anak-anak membesar sayang anak-anak orang tua

5 Kesilapan Ibu Bapa Semasa Mendidik Anak Mula Mengaji Al-Quran

Alangkah baiknya jika mengaji al-Quran dilakukan oleh semua orang yang ada di dalam setiap rumah tangga. Kenapa? jika semua orang yang ada di dalam satu rumah sering dan terbiasa mengaji al-Quran maka dapat dipastikan anak-anak akan suka mengaji dengan sendirinya atau anak akan lebih mudah diajak untuk mengaji kerana akan meniru dan mencontohi apa yang telah dilakukan oleh semua anggota keluarganya. Dan yang paling penting adalah kedua orang tua juga ikut mengaji kerana ibu bapa merupakan pusat pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

Belajar ilmu umum seperti membaca A, B, C lebih mudah dilakukan daripada belajar mengaji huruf hijaiyah kerana setiap pengucapan untuk menyebut huruf hijaiyah memerlukan olahan vokal yang berbeza. Oleh kerana itu, dalam mengajarkan mengaji al-Quran kepada anak harus dilakukan sejak usia dini atau anak masih kecil, bahkan ketika masih di dalam kandungan.


Oleh itu, kunci utama agar anak suka mengaji atau membaca Al-Quran adalah dengan memperkenalkan ayat-ayat al-Quran sejak awal, baik melalui pembelajaran secara manual dengan cara mengajarkan kepada anak langsung atau dengan cara melalui audio. Dan jika anak atau bayi selalu diperdengarkan secara rutin dan setiap hari ayat-ayat suci al-Quran maka hasilnya adalah anak atau bayi akan suka mengaji.

Selalunya tanpa ibu bapa sedar perangai kita yang membuat anak jauh dari mencintai al-Quran. Banyak kesilapan yang kita lakukan tanpa sedar dan kadang-kadang kita fikir ia adalah yang terbaik bila mendidik anak mengenal al-Quran.

Berikut 5 kesilapan ibu bapa semasa mendidik anak mula mengaji al-Quran:

1. Intonasi dan riak muka

Perasan tak? Tiba-tiba bila masuk sesi nak ajar iqra atau hafazan, suara mak tukar jadi singa, muka pun mula berkerut-kerut. Silap sikit anak terpendek baca harakat kena marah, silap lagi makhraj huruf kena tengking pula. Kononnya nak tegur dari kecil biar masa besar nanti tak 'melekat' bacaan yang salah.

Niat kita itu sudah betul, cuma cara kita yang salah. Rasa-rasanya, anak kita suka ke baca al-Quran lagi lepas itu? Menegur boleh tetapi gunakan suara yang tenang saja. Jangan masukkan emosi. Tegur secara berulang dengan sabar lebih baik dan lebih berkesan. Tunjukkan cara bacaan yang betul, biar anak nampak mulut kita untuk sebutan huruf yang tepat.

Tenang-tenang saja ye wahai ibu ayah bila ajar anak mula kenal al-Quran. Kalau rasa susah nak bertenang, dicadangkan hantarkan saja anak belajar pada cikgu yang boleh bersabar dalam mendidik anak kita membaca al-Quran. Itu lebih baik sebab kita belum layak mengajar anak kerana diri sendiri sudah kalah pada emosi.

2. Ganjaran

Pengalaman mendapati dengan memberi ganjaran atau reward material seperti mainan dan gula-gula ada efek ketagihan pada anak. Anak memang jadi sangat rajin baca al-Quran bila kita janjikan dengan hadiah. Tetapi lama-kelamaan anak akan berhenti baca bila ibu tak janji beri hadiah. Namun, pemberian hadiah yang kerap juga tidak akan berjaya membentuk anak yang cinta akan al-Quran.

3. Be flexible

Anak baru balik sekolah dari pagi ke petang, balik baru nak rehat, nak makan, nak main tetapi sebaik sampai rumah kita sudah hulurkan al-Quran, suruh baca surah Al-kahfi sepanjang 11 mukasurat, konon-konon nak bagi lekat amalan sampai besar pada setiap Jumaat. Ini kesilapan yang besar.

Anak penat, lapar, mengantuk atau tidak sihat jangan dipaksa baca al-Quran. Cukup kita saja yang baca dan biar anak dengar. Menerusi cara ini, anak tetap belajar sesuatu dari al-Quran walaupun dengan hanya melihat dan mendengar ibu bapanya melazimi mengaji al-Quran.

4. Bukan setakat suruh

Kerja ibu bapa bukan setakat suruh tetapi kerja hakiki kita ialah buat dulu. Di sini selalu ada missing puzzle sebab ibu bapa selalu nak anak lebih baik dari diri mereka maka kita ajar anak baca al-Quran dan hafaz dari kecil. Banyak sangat masa dihabiskan untuk ajar anak hingga terkadang kita terlupa kita juga perlu baca al-Quran. Tunjukkan pada anak cara kita mencintai al-Quran. Insya Allah, amat mudah mereka mengikutnya nanti.

5. Doa

Ini yang paling utama. Sepatutnya berada ditangga teratas bila mula nak buat sesuatu, doa sangat penting. Supaya kita sedar bila anak sudah pandai baca al-Quran dan dapat hafaz banyak surah nanti, semua bukan datang dari usaha kita semata-mata tetapi datang dari 'keizinan' Allah.

Doa supaya kita sedar kita ini hamba yang hanya mampu berusaha, hasilnya Allah s.w.t jua yang tentukan. Dengan perbanyakkan doa kita juga tidak berasa kecewa jika usaha gagal atau belum membuahkan hasil kerana kita sudah meletakkan harapan hanya pada Allah bukan pada usaha kita.

      Baca : 16 Strategi Mesti Dilakukan Supaya Anak Jadi Hafiz al-Quran

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Inilah hasil dari kutipan pengalaman sepanjang mengajar anak membaca, menghafaz dan memahami al-Quran. Semoga berguna sebagai panduan buat ibu bapa yang lain.

- Daku Amat

8 Perkara Utama Yang Mesti Diajar Kepada Anak Lelaki


Mendidik dan membesarkan anak lelaki dan anak perempuan perlu ada perbezaan. Ada perkara-perkara tertentu yang mesti diajar kepada anak lelaki berbanding anak perempuan. Zaman sekarang kalau tersilap didik atau dibiarkan sahaja, nanti ada anak lelaki yang lebih gemar menjadi seperti perempuan apabila dewasa kelak.

Alasannya, dulu masa kecil, ayah tak ajar buat kerja-kerja lelaki tetapi sebaliknya mak pula yang lebih suka dedahkan dengan kerja-kerja orang perempuan.

Berikut 8 perkara utama yang mesti diajar kepada anak lelaki :

1. Dekatkan mereka dengan masjid

Ayah mesti rajin bawa anak lelaki bersolat jemaah di masjid. Kalau tak dapat setiap hari, mungkin waktu hujung minggu bawa anak untuk menunaikan solat fardhu 5 waktu di masjid atau pun sekurang-kurangnya waktu solat Maghrib hingga ke Isyak. Biar mereka tahu yang orang lelaki digalakkan solat berjemaah di masjid mengikut sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

2. Latih sifat kepimpinan dalam diri mereka

Kalau anak pertama anda lelaki, pastikan sudah membiasakan mereka sebagai ketua kepada adik-beradik yang lain. Dan kalau anak lelaki bukan anak pertama, mereka tetap perlu diberi beberapa tanggungjawab mudah sebagai ketua seperti mengunci pintu rumah, memastikan keselamatan adik-adik semasa ibu sedang memasak di dapur dan lain-lain tugas yang sesuai mengikut peringkat usia mereka.

3. Lebihkan aktiviti lasak, outdoor dan berpanas

Jangan halang anak lelaki untuk buat aktiviti lasak (asalkan tak bahaya), bermain di luar rumah dan berpanas. Tak payah takut anak anda akan 'hitam' dan sebagainya sebab anak lelaki yang ibu-ibu halang buat aktiviti budak lelaki akan jadi anak yang terlalu manja dan penakut mencuba sesuatu perkara baru.

4. Latih mereka menjadi imam solat berjemaah

Kalau ada ramai adik-beradik, biasakan anak lelaki untuk menjadi imam solat berjemaah. Biar mereka tahu antara tanggungjawab sebagai seorang lelaki muslim ialah menjadi imam dalam solat!

5. Ajar mereka rajin menolong ibu membuat kerja rumah

Walaupun mereka anak lelaki, jangan sesekali anda membiarkan mereka tidak tahu buat kerja rumah. Biasakan mereka rajin menolong ibu membuat kerja-kerja rumah yang sesuai untuk peringkat usia masing-masing seperti membasuh pinggan, menyapu sampah, membuang sampah, membasuh tandas, mengemas bilik dan banyak lagi.

Dalam masa yang sama ibu mesti sentiasa mengingatkan anak lelaki yang kerja rumah bukanlah tugas wanita sahaja dan lelaki yang buat kerja rumah bukanlah lelaki yang lemah gemalai!

6. Ajar ilmu yang mesti diketahui oleh lelaki

Mungkin zaman serba moden ini tidak ramai lelaki tahu buat kerja-kerja membaiki peralatan rumah. Tetapi ia bukan penyebab untuk anda tidak mengajar anak lelaki hal ini. Jangan bagi alasan. Sekarang semuanya boleh tengok dan dipelajari di google atau youtube. Budak lelaki mesti tahu kemahiran seperti membaiki paip yang rosak, berkebun, memotong rumput, bertukang kayu, membaiki alatan elektrik dan sebagainya.

7. Elakkan mereka suka bermain permainan anak-anak perempuan

Kadangkala ada ibu bapa yang sengaja membiarkan anak lelaki mereka bermain mainan budak perempuan. Kononnya masih kecil, tak tahu apa tetapi hakikatnya ia seolah-olah satu dorongan untuk anak tersebut minat ke arah barangan perempuan seperti anak patung, pinggan mangkuk dan sebagainya. Akibatnya anak membesar dalam kecelaruan kejiwaan lahir sebagai anak lelaki tetapi jiwa lebih kearah kewanitaan.

8. Galakkan mereka buat kerja sukarelawan

Kalau kawasan kejiranan anda ada buat aktiviti seperti gotong royong, galakkan anak untuk turut serta. Ini sesuai untuk anak yang sudah mula ke sekolah tadika. Biarkan dia tahu bergaul dengan masyarakat dan jiran tetangga.

      Baca : 6 Rahsia Bayi Buat Anda Berasa Damai Dan Tenang Melihatnya

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Mendidik anak lelaki perlu ada sedikit nilai-nilai yang melambangkan 'kekerasan' mereka sebagai lelaki sejati tetapi dalam masa yang sama jangan abaikan pendedahan terhadap tanggungjawab membantu kerja-kerja rumah. Barulah mereka boleh menjadi anak yang soleh serta bakal suami yang mithali!

- Daku Amat

6 Rahsia Bayi Buat Anda Berasa Damai Dan Tenang Melihatnya


Sukar diungkapkan dengan kata-kata momen pertama melihat dan menyentuh bayi yang baru dilahirkan. Jari jemarinya yang halus dan kulitnya yang mulus, memang akan mendamaikan. Bagaikan tidak percaya. Namun itulah anugerah permata yang tidak ternilai harganya buat seorang ibu dan ayah. Tahukah anda ada rahsia tentang bayi yang membuatkan anda berasa damai dan tenang kala melihatnya? Jom ketahui rahsianya!

Berikut 6 rahsia bayi buat anda berasa tenang melihatnya. Pasti hilang stress! :

1. Menggeliat

Sungguh indah melihat bayi kecil ini menggeliat lembut. Hati pula terasa tenang apabila melihat gerakan kecil anak tersayang. Ada sesetengah bayi menggeliat sehingga badannya membentuk seperti huruf ‘S’ (dalam posisi mengiring). Kata orang tua-tua, bayi yang suka menggeliat cepat membesar. Namun tidak pasti sejauh makan kebenarannya. Ketika bayi menggeliat, pantau agar kulit mukanya tidak dicakar kukunya.

2. Menghisap jari

Damainya hati ibu kala melihat bayi menghisap jari. Comelnya permata hati mama setiap kali menghisap jarinya. Bagaimanapun ibu perlu pastikan jari si kecil anda itu sentiasa bersih agar tidak terkena sebarang jangkitan ketika menghisap jarinya. Apabila tiba masanya, latihlah si kecil anda itu untuk meninggalkan tabiat itu.

3. Menyusu susu ibu

Sejak hamil, ibu nekad untuk susukan bayi selama yang mungkin. Dan pastinya bayi anda sangat bertuah kerana mendapat "titisan emas" daripada seorang ibu yang sentiasa menyayangi dan melindunginya. Sentuhan kulit ke kulit apabila anda melakukan penyusuan susu ibu akan memberikan kenikmatan yang tidak ternilai buat bayi anda.

4. Dipeluk dan dicium

Tahukah anda bayi sangat suka dipeluk, dicium dan disayang? Dan dia sangat gembira jika anda berdua melakukannya. Pelukan yang kerap juga akan membantu merangsang perkembangan emosi dan fizikalnya. Malah anda juga akan merasa magis sentuhan kasih sayang antara anda dan si anak. Jadi, pesanan penting untuk ibu dan ayah, luangkanlah masa sebanyak mungkin bersama si kecil anda itu. Pastinya segala masalah akan berlalu dengan begitu sahaja. Anda pastinya tersenyum sepanjang hari bersama bayi tersayang.

5. Bayi menguap

Bayi juga kerap menyuap. Comelnya! Situasi ini begitu menakjubkan apabila melihat mulut mungil bayi terbuka luas. Namun, jangan lupa untuk menutup dengan tangan anda. Daripada Abu Said Al-Khudri rodiallahu 'anhu, katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka." (Riwayat Imam Muslim). Justeru, anda harus segera menutup mulutnya jika bayi menguap.

6. Senyum dan ketawa

Melihat dan mendengar gelak tawa si anak antara yang paling dirindu ibu bapa. Walaupun bayi anda masih "merah", mereka juga pandai tersenyum apabila diagah dengan pelbagai intonasi suara dengan memek muka anda yang menghiburkan. Jadi, ibu dan ayah usahlah terlalu serius apabila berdepan dengan si kecil anda yang memang suka ketawa. Ada kala kita pula yang ketawa melihat dia ketawa.

      Baca : 22 Gejala Kanser Untuk Anda Ketahui Tanda Awal Kanser Dengan Segera

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Bayi merasa tenang pada sentuhan dan suara ibu. Bayi yang baru lahir akan sering menangis. Suara ibu sebenarnya sudah dikenali bayi sejak dalam kandungan dan suara anda adalah sebahagian besar dari pengalaman itu. Setelah mereka lahir, mendengar suara anda, digendong dan merasakan panas tubuh anda akan menenangkannya. Ketika anak tenang dengan kehadiran anda, itulah langkah pertama terbentuknya ikatan dengan ibu ayah dan tanda yang jelas bahawa ia berkembang secara emosional.

- Daku Amat

7 Penderaan Senyap Yang Ramai Ibu Bapa Lakukan Pada Anak Mereka

Anak adalah ibarat kain putih dan ibu bapalah yang menentukan corak di atasnya. Tahukah anda bahawa tanpa kita sedari ramai ibu bapa sebenarnya selalu "dera" anak mereka secara senyap. Ya, memang kita tidak pukul anak dengan kayu golf, kita tidak rotan anak dengan paip getah, kita tidak sebat anak dengan tali pinggang, kita tidak ikat anak di pokok rambutan, kita tidak tampar anak sampai berbekas, kita tidak maki anak depan orang sebab kita tahu itu adalah penderaan. Itu kejam dan berdosa serta itu semua tidak membantu menjadikan anak kita baik malah membantut perkembangan anak.

Tetapi yang kita tidak tahu adalah banyak penderaan yang kita sebenarnya lakukan terhadap anak-anak tanpa disedari. Kita ingat kita tidak dera, kita ingat apa yang kita buat selama ini tak apa tapi rupa-rupanya, "kita sedang dera anak dalam-dalam!" Kenapa dalam-dalam? Sebab "penderaan senyap" ini mampu membunuh emotional intelligence dan self-esteem anak-anak.

Emosi dan self-esteem adalah dua elemen yang sangat penting dan ambil masa yang sangat lama untuk dibentuk tetapi sangat mudah "dibunuh". Ada beberapa sikap ibu bapa yang sebenarnya berbentuk penderaan walaupun ibu bapa tersebut tidak pernah meninggikan suara atau naik tangan. This is what we call, "Penderaan Senyap".

Zahirkan rasa sayang - mereka yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi

Penderaan senyap ini dikatakan memberi kesan amat buruk terhadap perkembangan mental dan emosi anak-anak. Sama seperti penderaan fizikal atau penderaan yang nyata.

Berikut 7 jenis penderaan senyap yang dilakukan oleh ramai ibu bapa tanpa disedari :

1. Ignorance and expressionless reaction

Dalam Bahasa Malaysia, mengabaikan dan tidak memberi ekspresi atau reaksi. Contohnya, apabila anak tengah bercerita atau menunjukkan sesuatu, kita buat tak tahu saja. Langsung tak beri sebarang reaksi. Ini banyak berlaku bila kita layan anak sambil-sambil buat benda lain.

Nak main dengan anak, tapi tangan tengah layan Facebook. Nak buat homework dengan anak, tapi mata tengok Fattah Amin di TV. Maka jadilah anak itu seperti bercakap dengan dinding sebab expressionless kita sama macam dinding.

Contoh lain, bila anak menyuarakan pendapat atau keinginan, kita terus deny atau mengabaikan pendapat tersebut.

"Mama, Haikal rasa nak pakai baju warna hijau la hari ni." Tetapi kita jawab, "Tak payah la," dan terus bagi baju warna lain. Kalau kita di tempat anak itu, apa kita rasa?

Menurut kajian, anak yang selalu mendapat layanan seperti ini tiada keyakinan diri dan selalu membuat keputusan yang salah dalam hidupnya. Ini kerana Keputusan mereka tidak pernah didengari dan selalu kena akur dengan keputusan orang lain.

2. Stonewalling

Lebih kurang seperti yang di atas tadi, anak bercakap dengan dinding. Terutama bila ibu bapa sengaja melambat-lambatkan menjawab soalan anak atau malas nak layan soalan anak. Kalau jawab pun macam tak kena dengan soalan yang diberi.

Contoh bila anak tanya, "Mama suka warna apa?" Kita jawab, "Entah! Apa-apa je laa." Kalau jumpa ibu bapa seperti ini, bancuh simen dan tuang di muka mereka, biar jadi dinding betul. Please parents, when you say, quality time with children that means 101% of your attention goes to them, bukan sambil-sambil kerana "sambil" itu sebenarnya mendera anak-anak.

3. Merendah-rendahkan anak depan orang lain

Contohnya bila ada orang puji anak kita, "Ya Allah baiknya Haikal ni. Suka betul tengok dia." Tetapi kita jawab, "Baik? Puihhh! Makan bersepah, suka kencing malam, main tak reti kemas, kuat nangis, malas mandi, bla, bla,"

Konon-konon kita tak nak riak dengan orang yang memuji tadi. Tetapi tanpa sedar, kita terkutuk dan membuka aib anak sendiri depan orang lain. Anak pun terluka bila dengar dan terus berdendam nak balas balik bila mak dia dah tua nanti.

So never make fun of your child in front of other people. Bila orang puji anak kita, ucaplah Alhamdulillah. Pandang muka anak dan cakap, "Thank you for being a good son. I'm proud of you." Lantaklah orang nak cakap riak ke apa, we are showing a good example to our children. A good sense of appreciation and being thankful to have them.

4. Gaslighthing

Gaslighting bermaksud meragui atau menidakkan sesuatu yang diberitahu oleh anak. Contoh, kalau anak cerita di sekolah tadi ada orang baling pemadam sampai kena mata dia. Tetapi kita jawab, "Ala tak apa. Biasa la tu, abaikan je." atau bila anak cerita yang dia nampak sesuatu yang menakutkan. Kita cuma cakap, "Aaah mengarutlah. Haikal mengelamun je tu."

Sikap ibu bapa yang suka gaslighting seperti ini akan buat anak-anak keliru dengan diri dan hilang kepercayaan pada diri. Anak-anak akan rasa setiap apa yang dibuat atau difikirkan adalah salah dan tak penting. Sepatutnya bila anak nak cerita atau beritahu sesuatu, mata dan telinga sepenuhnya kepada mereka. And never deny what they feel. Peluk dan beritahu anak, "Don't worry. I am here with you. Everything will be fine."

5. Hypercritical

Ibu bapa yang cerewet, terlalu banyak komplen, terlalu banyak yang tidak kena di matanya. Anak comot sikit, marah. Anak terlanggar sikit, marah. Anak buat lawak sikit, marah. Anak nak rehat kejap, marah. Anak pakai baju lain seluar lain, marah. Anak silap baca sikit, marah. Anak pelat cakap sikit, marah. Semua benda, kalau tak perfect, marah.

Ibu bapa yang hypercritical atau banyak komplen seperti ini sebenarnya bukan sebab nak anak perfect sangat tapi diri dia sendiri tiada sifat syukur dan tidak boleh terima kekurangan diri sendiri yang terlalu banyak. Jadi, cermin diri sebelum expect perfection daripada anak-anak. Happy life is not about perfection. It's about embracing the imperfections and cherish the small good things.

      Baca : 13 Cara Hilangkan Sakit Kepala Tanpa Makan Ubat Klinik

6. Jarang ucap sayang dan zahir sokongan

Ada ibu bapa yang begini. Jarang sangat ucap rasa sayang pada anak-anak sebab ego. Dan bila anak capai sesuatu, jarang ucap tahniah. Lagi teruk bila just respond, "Ala biasa je tu. Abah dulu lagi hebat."

Dan bila anak tengah nervous nak masuk competition ke apa, kita tidak menzahirkan sokongan kepada anak, tidak datang masa competition berlangsung dan tidak bagi kata-kata semangat pada anak sebab kita rasa itu semua tidak penting.

If you are this kind of parent, jangan terkejut bila anak sudah berjaya capai macam-macam nanti, mereka tak ucap terima kasih pun pada ibu bapa mereka sebab sikap kita sendiri yang minta untuk tidak dihargai.

7. Mendiamkan kesilapan dan menjadikan ia kebiasaan

Contohnya bila kita dapat aduan dari pihak sekolah yang anak kita ponteng sekolah atau anak kita buli rakan lain. Kita buat tak tahu dan anggap aduan tersebut seperti angin lalu di ufuk timur yang lama-kelamaan akan hilang sendiri. Kita lepas tangan, kita tidak berdepan dengan anak, tidak heart-to-heart cakap dengan anak dan tidak membantu anak untuk menjadi orang yang lebih baik.

Perangai ibu bapa yang begini kalau dibiarkan berlarutan akan menyebabkan anak semakin menjadi-jadi kerana bagi anak semua kesalahan yang dilakukan itu 'tak apa' dan bukan dosa di mata ibu bapa mereka. Kalau ada cikgu-cikgu yang berhadapan dengan ibu bapa yang lepas tangan begini, better hantar anak-anak ini ke rumah anak yatim saja. Buat apa nak ada ibu bapa kalau mereka asyik lepas tangan?

      Baca : 6 Rahsia Saintifik Dalam Pergerakan Solat Membuatkan Saintis Terkejut

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Itulah antara penderaan-penderaan senyap yang tidak disengajakan, tetapi banyak berlaku. Tidak payah tengok rumah orang lain, di rumah sendiri pun ada berlaku. Jangan pandang remeh tentang isu ini sebab kesannya terhadap perkembangan anak adalah sama seperti penderaan-penderaan nyata atau yang berbentuk fizikal. Cuma penderaan senyap ini berlaku secara dalaman dan perlahan-lahan kesan buruknya datang.

Dan yang paling menyedihkan, it's considered 'normal' in our culture. Masyarakat kita biasanya pandang remeh tentang isu-isu yang melibatkan emosi anak-anak seperti ini. So how to fix this? By changing ourselves. By fixing our relationship with our own children. By having more interaction and communication with them.

Dan berdoalah supaya anak-anak kita nanti dijaga dan ditemukan dengan orang-orang yang baik dan hati-hati yang memuliakan mereka sepanjang hidup mereka. Let's stop this "quiet" abuse and may all of us be the parents who always help their kids to grow happily and successfully.

- Daku Amat

5 Tip Mudah Atasi Masalah Bayi Sedu


Bayi baru lahir kerap mengalami sedu. Orang tua-tua cakap itu tandanya bayi nak membesar. Tetapi sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan. Walaupun tidak berbahaya tetapi sedu yang dialami tentu sahaja membuatkan si comel tidak selesa. Sedu pada bayi biasanya berlaku ketika bayi menangis semasa menyusu.

Kalau ikut petua orang lama, katanya letakkan sedikit lebihan benang pada baju yang dipakai bayi kemudian dibasahkan dengan air liur ibu atau ayah dan letak pada dahinya. Tetapi kini selepas ada tisu basah, sedikit cebisan tisu dilekatkan pada dahi bayi. Ada juga cara lain yang boleh menghilangkan sedu bayi.

Berikut 5 tip mudah atasi masalah bayi sedu :

1. Ubah kedudukan bayi

Ubah kedudukan bayi semasa dia sedang menyusu sampai sedu tersebut hilang.

2. Tenangkan bayi

Kadang kala sikap bayi sendiri yang terlalu kelam kabut ketika menyusu menyebabkan udara masuk ke dalam diafragmanya. Cuba tenangkan bayi suapay dia menyusu tanpa perlu tergesa-gesa. Caranya gosok punggung bayi dengan lembut dan perlahan untuk membuatkan tenang dan sedu akan beransur hilang.

3. Hentikan proses menyusu

Sekiranya anda sudah mencuba dua cara di atas tetapi bayi masih tidak berhenti sedu maka hentikan seketika proses penyusuan. Sandarkan bayi tegak menghadap anda dengan kepalanya pada bahu anda, lalu tepuk lembut punggungnya. Ia dapat membantu udara dari diafragma ke atas dan menghentikan sedu.

4. Peluk bayi

Ketika bayi mengalami sedu, cuba peluknya dengan penuh kasih sayang sambil mengusap-usap belakang badannya. Kadang kala cara ini juga dapat menghentikan sedunya.

5. Pilih botol susu yang betul

Sekiranya bayi anda menyusu menggunakan botol susu, perhatikan keadaan botolya. Adakah botolnya mempunyai lubang pada putingnya. Sebaiknya pilih botol susu yang dicipta mengalirkan udara keluar serta putingnya mempunyai lubang yang lebih kecil.

      Baca : 5 Sikap Yang Hanya Ada Pada Pekerja Cemerlang

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Semoga dengan mencuba beberapa tip mengatasi bayi sedu di atas dapat mengatasi masalah bayi yang kerap tersedu. Yang penting ibu dan ayah jangan cepat panik kerana ia adalah masalah normal di kalangan bayi terutama yang baru lahir.

- Daku Amat

5 Sebab Ibu Bapa Perlu Biar Anak Kecil Menyuap Makanan Mereka Sendiri


Sudah menjadi satu kebiasaan bagi ibu bapa untuk menyuapkan makanan kepada anak-anak yang masih kecil. Tetapi tahukah anda bahawa bayi seawal umur 6 bulan sebenarnya sudah boleh menyuapkan makanan mereka sendiri?

Terdapat beberapa sebab mengapa anda perlu mula membiarkan si kecil anda menyuapkan makanan mereka sendiri.

Berikut 5 sebab ibu bapa perlu biar anak kecil menyuap makanan mereka sendiri :

1. Meningkatkan kemahiran menggunakan deria

Waktu makan adalah antara waktu yang paling banyak mereka terdedah dengan deria-deria baru seperti rasa, bau dan tekstur yang baru. Membiarkan mereka memegang makanan mereka sendiri adalah cara yang baik untuk mereka mengembangkan kemahiran menggunakan deria mereka.

2. Meningkatkan kemahiran koordinasi

Pergerakan mencedok dan menyuapkan makanan memberikan peluang yang baik bagi anak-anak anda meningkatkan kemahiran koordinasi tangan mereka. Tetapi mungkin ia akan mengambil sedikit masa sebelum mereka berupaya untuk tidak menumpahkan makanan sewaktu makan.

3. Memupuk nilai berdikari

Membiarkan bayi anda menyuap makanan mereka sendiri dapat memupuk nilai berdikari pada diri bayi anda. Tetapi pastikan juga anda mengawasinya agar tidak terlalu gelojoh dan mereka benar-benar memakan makanan tersebut.

4. Penggunaan dan kesedaran anggota badan yang baik

Ketika anak-anak anda melatih diri mereka untuk menyuapkan makanan mereka sendiri, mereka akan mempelajari di mana letaknya mulut mereka, berapa banyak daya yang diperlukan untuk menggerakkan tangan mereka, bagaimana untuk menggunakan tangan mereka untuk memegang cawan dan lain-lain lagi anggota badan yang digerakkan.

5. Pembangunan saraf motor

Di dalam mereka menyuapkan makanan mereka sendiri juga anak-anak anda berupaya meningkatkan kemahiran menggunakan saraf motor mereka. Mereka akan belajar sendiri bagaimana untuk membuka mulut mereka, bagaimana untuk mengambil makanan daripada sudu, atau bagaimana untuk mengambil makanan yang tertinggal di bibir mereka. Semua ini memerlukan dan meningkatkan kemahiran penggunaan saraf motor anak-anak anda.

      Baca : 4 Amalan Kukuhkan Pengurusan Kewangan Perniagaan Anda

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Diakui proses anak kecil seawal umur 6 bulan ke atas mempelajari cara menyuapkan makanan mereka sendiri tentunya akan menyebabkan tempat makanan mereka berselerak. Namun, fikirkan kelebihan jangka masa panjangnya apabila anak anda mempunyai sifat berdikari serta perkembangan minda yang baik.

- Daku Amat

6 Keajaiban Otak Bayi Yang Ditemui Pakar Saraf


Bayi nampak macam tidak tahu apa-apa. Dia kecil, lemah dan perlu bergantung kepada ibu dan ayah. Bayi juga asyik tidur, menangis, minum susu, kencing, buang air besar atau kadang kala tersenyum.

Tetapi di sebalik sifat bayi yang kecil, sebenarnya mereka mempunyai kemampuan otak luar biasa yang sepatutnya sebagai ibu bapa kita wajib mengetahuinya. Begitulah hebatnya ciptaan Allah s.w.t yang menciptakan manusia.

Berikut 6 kelebihan otak bayi yang ditemui oleh para pengkaji :

1. Pandai mengerakkan badan seperti menari

Kajikan yang dilakukan terhadap sekumpulan bayi dan kanak-kanak berusia 5 bulan hingga 2 tahun oleh Dr Marcel Zantner, pakar psikologi di Fakulti Psikologi Universiti York, Britain. Bayi menunjukkan respon aktif terhadap bunyi muzik iaitu dengan cara mereka akan menggerakkan badan mengikut irama muzik yang didengari.

Sementara pakar psikologi anak dari Finland, Dr.Tuomas Eerola memperolehi penemuan menarik iaitu bayi-bayi yang mempunyai kemampuan yang baik untuk menggerakkan badan mengikut bunyi muzik, ternyata lebih mudah tersenyum dan ketawa.

2. Bayi faham perbualan orang dewasa

Siapa cakap bayi tak faham percakapan orang dewasa? Hasil kajian Eric Halgren, PhD, pakar radiologi dari Universiti California di San Diego, Amerika Syarikat menunjukkan, otak bayi berusia setahun sudah boleh memproses kata-kata hasil perbualan orang dewasa yang didengarinya. Bayi boleh faham makna kata-kata tersebut seperti kita memahaminya. Jadi, sebelum bayi boleh bercakap, dia sudah mempunyai kemampuan mencerna makna ayat-ayat.

3. Bayi menangis dengan loghat bahasa ibu

Hasil penelitian yang dilakukan oleh para pengkaji di Universiti Wurzburg, Jerman terhadap tangisan 60 orang bayi dari pasangan ibu bapa berbahasa Perancis dan Jerman mendapati terdapat perbezaan signifikan antara suara tangisan bayi-bayi tersebut. Bayi-bayi Perancis menangis dengan aksen yang tinggi, seperti aksen bahasa Perancis sendiri dan bayi-bayi Jerman menangis dengan aksen rendah, seperti bahasa mereka.

Pakar saraf kanak-kanak, Dr. Debbie Mills menjelaskan, kemampuan menghasilkan suara tangisan yang menyerupai bahasa ibu, memerlukan bayi "belajar". Kemampuan tersebut adalah hasil proses belajar otak untuk mengingat suara percakapan ibu sejak di dalam rahim. Keupayaan bayi baru lahir menangis dengan aksen ibu, adalah cara mereka meniru 'bahasa' ibu. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian ibu, sehingga terjalin 'bonding' yang kuat antara bayi dan ibu.

      Baca : 11 Akibat Berbuat Maksiat

4. Faham emosi ibu bapa

Bila anda sedang bertengkar dengan pasangan, jangan lakukan berdekatan dengan bayi walaupun mereka sedang tidur. Menurut kajian Dr.Declan Murphy, pakar saraf kanak-kanak dari London, walaupun sedang tidur lena bayi boleh mendengar ibu dan ayahnya bertengkar. Bahkan bayi boleh mengesan sebarang perasaan emosi negatif dalam diri anda seperti marah atau sedih.

5. Bayi kenal bunyi muzik

Walaupun kecil namun bayi sudah mempunyai naluri yang kuat untuk mengikuti irama atau rentak muzik yang didengarinya. Kemampuan luar biasa ini ditemui oleh Dr.Istvan Winkler, pakar saraf kanak-kanak dari Budapest, Hungary. Beliau dan Dr.Henkjan Honing dari Universiti Amsterdam mengamati dan menganalisa gelombang elektromagnetik yang dihasilkan otak bayi ketika diperdengarkan bunyi muzik menggunakan drum dengan pelbagai ritma. Sesekali, beberapa tanda nota muzik sengaja dilambatkan untuk melihat respon otak bayi terhadap perubahan tersebut.

6. Bayi semula jadi bijak mengira

Hasil kajian oleh Veronique Izard, PhD, pakar saraf anak dari Paris cukup mengejutkan. Bayi berusia 3 bulan ternyata sudah menyedari jumlah anak patung bentuk binatang yang tergantung di atas tempat tidurnya.

Kemampuan otak bayi untuk mengira jumlah objek yang dilihat itu diperolehi selepas melakukan eksperimen ke atas 36 orang bayi berusia 3-4 bulan. Bayi-bayi dipakaikan "topi" yang diperbuat daripada kabel sensor untuk mengesan gelombang otak. Mereka ditunjukkan pelbagai gambar haiwan pada monitor TV yang besar seperti itik, kuda dan gajah. Binatang-binatang yang ditunjukkan berbeza-beza jumlahnya dan ditampilkan secara rawak.

Dari hasil pemantauan pada gelombang otak bayi, didapati ada perubahan bentuk gelombang otak setiap kali bayi melihat gambar jenis haiwan yang berbeza, tapi dengan jumlah yang sama. Ini membuktikan otak bayi mampu memberikan respon terhadap perbezaan jumlah objek yang dilihat.

      Baca : 4 Cara Terbaik Menegur Anak Bila Buat Silap

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Selepas membaca hasil kajian yang dilakukan oleh para pakar tersebut, ternyata setiap bayi dilahirkan dengan otak yang luar biasa kemampuan untuk belajar. Terserah kepada ibu bapa untuk terus memberikan rangsangan yang baik bagi membantu otak bayi terus berkembang dan cerdas membangun.

- Daku Amat

4 Cara Terbaik Menegur Anak Bila Buat Silap

Emosi anak-anak yang sedang membesar perlu sentiasa dijaga. Jangan bandingkan anak-anak zaman gajet sekarang dengan zaman kita yang membesar dengan ibu bapa yang selalu marah-marah, rotan dan tengking suatu masa dahulu, tapi masih boleh berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.

Anak-anak yang lahir zaman kini tidak sama macam generasi dahulu. Anak-anak dahulu hidup aktif dan lasak dengan permainan di sekeliling mereka seperti hutan, pokok, sungai, tanah dan sebagainya. Itu menjadikan anak-anak generasi dulu sangat kental fizikal dan mental. Kena marah dan rotan dengan ibu bapa pun masih berjiwa besar


Tetapi anak-anak sekarang zaman lahir sahaja sudah kenal apa itu 'hand phone', 'selfie', PSP dan macam-macam gajet lagi. Jadi mereka membesar sebagai anak yang manja dan tidak lasak. Oleh itu cara didikan juga perlu sedikit berbeza tapi bukan bermakna tak boleh marah, tegur atau rotan sama sekali. Cuma perlu pada nada suara yang terkawal dan denda yang masuk akal bersesuaian dengan kesalahan mereka.

Oleh itu kalau nak tegur kalau mereka buat silap pun perlu ada caranya.

Berikut 4 cara terbaik menegur anak bila buat silap :

1. Tekan pada kelakuan anak bukan peribadinya

Semua anak dilahirkan pandai dan baik. Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan peribadi mereka. Bila mereka buat silap jangan marahkan peribadi anak sebaliknya beritahu yang anda marahkan kelakuannya yang salah bukan dirinya. Jangan sampai anak fikir ibu atau ayah marah sebab bencikan dia.

2. Meninggikan suara hanya perlu

Penggunaan 'pitching' suara yang tinggi hanya boleh digunakan dalam situasi cemas yang boleh membahayakan anak. Kalau setakat marah-marah biasa tidak perlu menjerit macam 'singa'. Takut hanya mengganggu sel-sel otak anak yang sedang berkembang jadi terbantut. Akibatnya anak membesar sebagai seorang individu yang pasif, murung, pendiam dan penakut malah jadi seorang pendendam.

3. Elakkan gertak bohong

Kalau bagi amaran baik anda laksanakan betul-betul. Jangan nanti si kecil jadi tak hairan pun dengan amaran ibu atau ayah sebab tahu anda tidak akan melaksanakan amaran tersebut kalau mereka buat salah.

Jika anda menengurnya sekali, anda boleh mengulangnya sekali lagi. Tetapi kalau teguran itu masih tak dihiraukan, pertimbangkan hukuman secara bijak. Contohnya dengan "mengambil' barangan yang disayangi anak.

4. Menegur atau memarahi dengan berhemah

Bila menegur atau memarahi anak buat silap mestilah tidak mengikut perasaan hingga habis kita ungkit dan cakap yang bukan-bukan. Maklumlah bila hati sudah marah, kita lupa yang dimarah itu cuma anak kecil yang tidak faham apa-apa lagi.

Biarlah marah itu hanya pada kesalahan yang mereka lakukan pada waktu itu. Elakkan juga cepat 'naik tangan' pada anak. Nanti anda juga yang akan menyesal. Kalau perlu juga memukul mereka, lakukan pada anggota yang dibolehkan untuk mendidik.

      Baca : 6 Ayat Positif Dan Elak Sebut 'Jangan' Atau 'No' Bila Larang Anak Buat Sesuatu

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Semoga kita semua mampu menjadi ibu bapa yang mendidik anak dengan bijak dan bukan sekadar mengikut emosi marah yang tidak pernah habis.

- Daku Amat

6 Ayat Positif Dan Elak Sebut 'Jangan' Atau 'No' Bila Larang Anak Buat Sesuatu

Bila ada anak kecil, perkataan wajib yang kita selalu sebut adalah 'Jangan' atau 'No'. Bukan apa apabila anak hendak buat benda yang bahaya mestilah ibu bapa automatik akan larang dengan perkataan 'Jangan' atau 'No'.

Namun, ramai pakar psikologi anak beritahu bahawa ibu bapa tidak boleh kerap guna perkataan tersebut kepada anak yang tengah membesar kerana ia hanya akan membuatkan mereka makin melakukan perkara yang dilarang tersebut atau terus menjadi anak yang pasif dan tidak berani melakukan apa-apa tindakan dalam hidup.


Entri kali ini, mengajak para ibu bapa untuk memikirkan sejenak tentang kebenaran larangan tersebut. Adalah diingatkan kepada ibu bapa supaya menggantikan kata larangan yang lebih bersifat positif pada si kecil.

Semenjak dua menjak ini sering ditanya soalan;

"How to say No without saying No to the kids?"

Dan seminggu dua ini juga banyak melihat situasi di mana ada ibu kerap berkata "No, No, No" pada anaknya, sambil jari telunjuk bergerak ke kiri ke kanan. Kesiannya si anak.

Tidak dinafikan, dulu masa anak soleh kecil lagi kerap guna perkataan NO. Sehinggalah baca satu artikel Inggeris, tentang kesan sebutan perkataan 'No' pada anak.

Berikut 4 kesan negatif apabila ibu bapa asyik kata 'Jangan' atau 'No' :

1. Anak hanya dengar ayat selepas jangan

Anak hanya dengar ayat selepas perkataan 'Jangan' atau 'No' itu. Contoh, "jangan lari" anak dengar lari. "Jangan sentuh", anak dengar sentuh. "Jangan pukul", anak dengar pukul. Sebab itu lagi kita kata 'Jangan' atau 'No', lagi anak buat. Betulkan?

2. Membantut perasaan seronok anak

Perkataan 'Jangan' atau 'No' ini hanya membantutkan perasaan seronok si anak yang ingin mencuba sesuatu. Fasa anak-anak kecil adalah fasa mereka teroka semua perkara di sekeliling mereka. Memang naluri anak kecil untuk mengetahui tentang sesuatu atau benda dipersekitarannya.

3. Ibu bapa sendiri tambah stress

Kita bertambah stress! Setuju atau tidak, kita memang akan rasa stress lepas sebut 'No' atau 'Jangan'. Yang ini, dari pengalaman ibu bapa sendiri, memang boleh rasa level stress naik sikit demi sikit bila kita kerap sebut 'No' atau 'Jangan'.

4. Mula mahu memarahi anak

Bila kita sebagai ibu bapa stress, kita mula marah anak. Dan apabila kita marah, maka kita rugi 60 saat untuk rasa bahagia. Malah, kita ragut 60 saat rasa gembira si anak. Itu kalau kita marah dalam tempoh 60 saat. Kalau lebih dari itu, maka kita sudah rugi banyak masa untuk rasa bahagia.

Jadi, apa yang ibu bapa patut buat adalah berikan arahan yang kita hendak anak buat untuk kita. Bukan arahan yang kita hendak anak buat untuk diri dia. Ibu bapa hanya perlu ubah cara percakapan atau tukar ayat ketika mahu melarang si kecil.

Berikut 6 ayat positif yang ibu bapa boleh tukar :

1. Don't go there -> Stay close with Mama

Jangan pergi sana > Kemari dekat Mama.

2. Stop hitting -> keep your hands at your back

Jangan pukul > Sayang kawan (tunjuk contoh sekali).

3. Don't screaming -> talk nicely

Jangan menjerit > Cakap elok-elok.

4. Don't run -> walk slowly

Jangan lari > Tolong jalan perlahan-lahan.

5. Don't climb -> stay on the ground

Jangan panjat > Turun sekarang.

6. Stop jumping -> sit down

Jangan melompat > Duduk diam-diam.

      Baca : 16 Strategi Mesti Dilakukan Supaya Anak Jadi Hafiz Al-Quran

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Selebihnya, para ibu bapa kena lebih kreatif cipta ayat arahan positif. Beri arahan yang mudah, ringkas dan padat. Otak ibu atau bapa kena lebih cepat dari mulut yang mahu berkata-kata. Fikirkan ayat sesuai dengan situasi anak, supaya ibu bapa tidak sebut 'Jangan' atau 'NO'.

Nak latih tukar ayat ini bukan sehari dua, seminggu dua, sebulan dua. Berbulan-bulan lamanya baru biasa. Jadi, bersabarlah wahai para ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

- Daku Amat

7 Petua Mudah Melembutkan Hati Anak-Anak


Mungkin sebagai ibu bapa, kita sering mengharapkan anak kita sempurna di mata orang lain. Seperti anak yang pandai dapat hadiah akhir tahun atau tidak menangis sewaktu kali pertama masuk tadika.

Tetapi pernah dengarkan bahawa anak yang lasak atau sedikit nakal sewaktu kecil ini sebenarnya anak yang bijak dan sangat kreatif? Terpulang kepada kita untuk mencorakkan anak-anak ini, mencungkil potensi yang ada ke arah kebaikan. Mencari sempurna anak-anak di mata kita sendiri dan bukan orang lain lagi.

Mendidik anak-anak memang bukan mudah. Semakin mereka membesar maka semakin sukar juga tanggungjawab kita. Menyuruh bersolat, belajar, mengaji dan sebagainya kadangkala menduga kesabaran.

Berikut 7 petua daripada doa dan tips untuk mudah melembutkan hati anak-anak :

1. Doa Melembutkan Besi Nabi Daud

Nabi Daud terkenal dengan beberapa kelebihan antaranya boleh melembutkan besi dan membentuknya kepada apa jua bentuk yang dikehendaki. Amalkan doa ini selalu mudah-mudahan hati kita dan anak-anak akan dilembutkan Allah ke arah kebaikan.

“Ya Allah, lembutkanlah hati anakku (sebut nama anak) seperti mana Engkau melembutkan besi di tangan Nabi Daud”.

2. Ayat Yang Membuatkan Sayyidina Umar Memeluk Islam

Umar Al-Khattab pada awalnya sangat terkenal dengan sifat bengis dan memerangi Islam. Namun sebaik sahaja beliau baca ayat-ayat ini, beliau menangis dan terus memeluk Islam. Beliau mengakui bahawa ayat-ayat ini begitu indah dan bukan ciptaan manusia.

Sayyidina Umar kemudiannya telah menjadi panglima perang Islam yang digeruni serta pemimpin negara yang berjalan di waktu malam untuk melihat derita rakyat. Apakah ayat yang telah melembutkan hati seorang yang digelar 'singa' di zamannya ini?

Di bawah ini adalah ayatnya :


Thaahaa. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (Iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah. Yang bersemayam di atas 'Arsy. (Ta Ha Ayat 1-5)
3. Sayang Seperti Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w sangat mengasihi kanak-kanak. Ada kisah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak bangun-bangun dari sujud kerana dipeluk oleh cucu Baginda. Begitu penyayang Baginda s.a.w terhadap kanak-kanak sehingga kanak-kanak sering diberi keutamaan di dalam majlis Nabi s.a.w.

Bahawa seorang sahabat bernama Aqra’ pernah melihat Rasulullah s.a.w sedang mencium Hasan. Dia berkata; “Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak namun aku tidak pernah mencium satu pun dari mereka”. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda;

“Sesungguhnya barang sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sewaktu bersama anak-anak, tutup telefon bimbit kita. Dengarkan cerita, bergurau bersama dan peluk cium mereka sementara hayat kita masih ada tinggalkanlah kenangan manis untuk mereka.

4. Membaca Ya Latif

Kesemua nama-nama Allah (Asmaul Husna) mempunyai kelebihan yang tersendiri. Menyebut Ya Latif (Yang Maha Lembut) sewaktu membuat kerja-kerja rumah seperti memasak atau mencuci pakaian anak-anak dapat memberi aura yang baik kepada mereka.

Diikuti dengan surah berikut :


"Allah Maha lembut terhadap hamba-hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada yang di kehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Surah Asy-Syura Ayat 19)
5. Satu Hadis satu Hari

Menurut Ustaz Ebit Liew, membaca hadis bersama-sama anak setiap hari dapat melembutkan hati mereka dengan mudah. Untuk permulaan dapatkan sebuah buku himpunan hadis atau kisah-kisah nabi yang dicetak khas untuk kanak-kanak mudah memahaminya.

Jadikan satu kebiasaan untuk membaca satu hadis atau cerita nabi ini setiap hari selepas solat dan mengaji bersama-sama. Buat satu sudut di rumah sebagai surau mini kita.

6. Maafkan Saya Mak!

Walaupun kita telah dewasa tetapi ada dua orang manusia yang tetap menganggap kita sebagai anak kecil mereka iaitu ibu ayah kita. Kanak-kanak menyerap seperti span bagaimana kita melayani ibu bapa kita sendiri hari ini. Tanyakan khabar, melawat dan temani mereka di kampung. Sebenarnya bukan wang ringgit yang mereka harapkan dari kita.

Rendahkan ego dan minta maaf jika ada mengguris hati mereka. Manalah tahu jika doa kita tidak dijawab kerana kita ada melukakan hati orang yang paling mengasihi kita ini. Bagaimana kita melayani ibu bapa kita hari ini mungkin akan menjadi cara anak kita melayan kita suatu hari kelak.

7. Terus Bersabar

Jika diuji dengan karenah anak-anak, ingatlah bahawa kita dipilih untuk melalui ujian ini. Lihat ke dalam diri apakah yang perlu kita perbaiki dan sentiasa bersangka baik kepada Allah swt. Anak-anak adalah ladang pahala kepada ibu bapanya.

Amalkan ayat al-Quran di bawah ini dengan diwiridkan selalu sebagai doa semoga hati kita tetap dengan kesabaran sewaktu dipilih melalui ujian.


“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.” (Surah Ali 'Imran Ayat 200)
Ingatan-ingatan kecil berupa doa sangat besar maknanya bagi anak-anak jika diamalkan setiap hari. Petua dan doa-doa sebegini boleh diamalkan pada setiap masa. Lebih baik jika dapat dicetak dan diletakkan di tempat yang kerap kita lihat seperti meja kerja atau di ruang solat.

Sentiasa doakan anak-anak kita pada setiap masa terutamanya sewaktu terjaga di hujung malam (waktu sahur), sewaktu sujud yang terakhir, sewaktu bermusafir dan ketika hujan turun lebat.

Pada ketika anak jauh dari pandangan mata, hanya Allah s.w.t selaku pemilik jiwa anak-anak ini sahaja mampu menjaga mereka. Semoga hati kita juga dilembutkan oleh Allah s.w.t ke arah kebaikan sewaktu mengamalkan petua dan doa melembutkan hati anak-anak ini.

Semoga definisi sempurna anak-anak di mata kita adalah apabila mereka tetap hatinya ke jalan Ilahi. Kadang-kadang usaha kita untuk membetulkan orang lain mungkin bermula dengan kita membetulkan diri kita sendiri terlebih dahulu.

5 Sebab Ibu Perlu Beri Perhatian Pada Anak Kecil


Usai kerja, si ibu bergegas pulang ke rumah. Tak sabar berjumpa dengan buah hati kesayangan ibu. Tetapi dalam masa yang sama perlu bergegas mengejar masa membereskan keperluan rumah tangga terutama sekiranya jika sudah ada anak yang bersekolah.

Sepanjang perjalanan memang tak sabar hendak peluk cium si kecil tetapi bila sudah lewat sampai ke rumah, si ibu hanya sempat memeluk dan mencium seketika sahaja. Kadang kala ada ibu yang menyambung kesibukan dengan 'tugas' melayan kawan-kawan di media sosial.

Rupanya tindakan tersebut boleh menimbulkan 'kemarahan' kepada si kecil. Kalau boleh bercakap, bayi anda ingin memberitahu yang dia hanya mahukan ibunya sahaja. Ini sebab mengapa para ibu perlu beri perhatian lebih kepada si manja apabila sampai di rumah.

Berikut 5 sebab ibu perlu beri perhatian lebih pada si manja :

1. Si manja rindu ibunya

Anak anda mungkin tidak boleh lagi meluahkan perasaannya. Namun, cuba bayangkan riak wajah si comel bila ternampak ibunya. Tetapi bila ibu tidak mendukung atau memeluknya, sudah tentu anak akan sedih. Kalaulah dia boleh bercakap, tentu dia akan berkata "Mama, saya nak mama je!".

2. Elak anak mengamuk dan meragam

Kadang kala anda sendiri tak faham kenapa si kecil mengamuk dan buat hal tanpa sebab. Sebenarnya dia marah kerana ibunya tidak memberi perhatian kepadanya sebaik sampai di rumah. Sudahlah seharian dia terpisah dengan ibu, bila pulang ibu pula sibuk buat kerja lain.

3. Terlepas momen dengan anak

Anak anda membesar hanya sekali. Tiada ulangan setiap momen tumbesaran anak. Setiap saat sebenarnya amat bernilai. Jadi janganlah lepaskan peluang untuk lebih banyak meluangkan masa dengan anak anda apatah lagi anda sudah seharian bekerja di pejabat. Masa di rumah gunakanlah sebaiknya. Lupakan seketika handphone anda dan beri seluruh perhatian kepadanya.

4. Dahaga susu ibu

Bagi si kecil yang masih menyusu susu ibu, ketibaan ibunya di rumah memang dinantikan kerana mereka terlalu rindu hendak menyusu sambil menghabiskan masa memeluk dan menatap wajah ibu. Memang anda sibuk, tetapi luangkan sedikit masa untuk menyusukan anak sebelum anda mula membuat tugas lain di rumah.

5. Pentingnya bonding time

Mungkin ketika anda sudah habis menyelesaikan tugas di rumah, si comel sudahpun tertidur. Kasihan dia seharian rindukan ibunya. Sebenarnya bonding time anda dengan anak amat penting untuk membantu merangsang perkembangan positifnya. Nampak remeh tetapi ia memberi impak besar terhadap anak. Jangan abaikan ya para ibu!

Walaupun sibuk dan banyak kerja, jangan abaikan perasaan anak anda yang masih kecil. Sentuhan, pelukan dan ciuman daripada ibu mampu memberikan impak besar kepada anak sampai bila-bila.

7 Tip Tangani Masalah Anak Ketagihan Menonton Kartun


Anak-anak suka tengok kartun? Kebanyakan ibu bapa mengalami masalah ini. Bila anak mula ‘ketagih’ menonton TV, semua kerja tidak jadi. Sehinggakan sampai satu tahap, anak-anak sudah pandai menjawab, “Kejap! kejap!” sambil matanya terus merenung skrin TV.

Ada anak yang matanya ‘dekat’ sangat dengan TV. Sangat merbahaya kerana boleh menyebabkan rabun. Ini bukan soal Astro yang ada banyak rancangan menarik semata-mata, ia lebih kepada ‘approach’ dan mekanisme ibu-bapa mengawal anak-anak. Jika dihalang tengok TV, pandai pula cari iPad atau tablet milik ibu-bapa.

Berikut 7 tip tangani masalah ketagihan anak menonton kartun :

1. Sediakan jadual menonton TV

Buat peraturan dalam rumah. Terapkan rasa tanggungjawab. Takkan di rumah pun perlu ‘strict’ begini? Macam pejabat pula mahu ada ‘timetable’. Percayalah, jika ada jadual, anak kita akan lebih rasa dirinya diawasi sentiasa. Lebih-lebih lagi jika jadual itu ditampal, terpampang di dinding.

Namun, biarlah fleksibel dalam keadaan tertentu. Benarkan anak menonton rancangan kegemarannya dalam masa yang ditetapkan. Anak akan rasa tanggungjawab. Apabila terlebih masa, kita boleh kata, “Haa..dan pukul berapa dah ni? Mama cakap sampai pukul berapa?”.

Bila kata-kata begitu keluar dari mulut ibu-bapa, mereka terpaksa akur dengan arahan. Bukankah jadual itu yang dipersetujuinya dahulu? Kalau main gajet, tetapkan masa berapa lama mereka boleh tengok YouTube. Hadkan masa dengan cubaan 1 jam dahulu.

2. Kenalpasti rancangan kegemaran anak

Hubungan kekeluargaan lebih erat jika tonton TV bersama-sama. Jika di rumah ada langganan Astro, mesti ada ulangan. Sampai ada orang kata, “Ala, Astro ni asyik ulang-ulang je cerita.”. Namun ada kebaikannya begitu. Anak kita boleh menonton rancangan itu. Jika Astro ada fungsi rakaman, rakam cerita tersebut. Bila anak dapat tonton rancangan kegemarannya, kurang sedikit sikap ‘rebellious’ atau suka menentang dan marah-marah. Anak akan rasa puas hati.

Seperkara lagi, jika anak ‘buat muka’ tidak dapat tengok TV, usah benarkan anak buka komputer atau PlayStation. Tiada maknanya berbuat begitu. Jika ada YouTube, lebih mudah. Berikan anak tonton Upin & Ipin yang bukan sahaja menarik, malah memberi ilmu pada anak kita.

3. Tutup TV sorokkan gajet

Biar anak menangis tidak dapat tengok TV. Mudah bukan? Pada hari persekolahan, ketika mereka sedang membuat kerja rumah, tutup sahaja TV. Bunyi bising atau 'noise’ dari TV akan mengganggu tumpuan mereka. Jika adik mereka yang kecil berkeras mahu tonton juga rancangan kartun kegemaran, pujuk agar perlahankan sedikit ‘volume’. Takut abang dan kakaknya ‘join’ sekaki pula.

Letak gajet tinggi-tinggi sampai anak tidak boleh ambil. Biar sahaja dia nampak, tetapi tidak boleh capai. Macam zaman dulu-dulu, ibu-bapa kita gantung basikal kerana tidak mahu kita ligat main basikal tanpa mengira penat!

4. Banyakkan aktiviti bersama anak

Bayangkan kalau anak jumpa air? Bila kali terakhir anda main ‘chess’ dengan anak? Main Lego? Main Play Doh? Atau paling mudah, main ‘kuda-kuda’ dengan anak? Nampak, ramai ibu-bapa zaman sekarang mengabaikan anak tanpa sedar.

Mereka mahukan perhatian kerana sudah seharian berada di rumah penjaga atau ‘nursery’. Mereka tidak faham erti kata “Mak penat! Ayah penat! Pergi main sana”. Bila tiada orang melayan mereka, sebab itu mereka beralih ke kaca televisyen. Pada hujung minggu, buat aktiviti luar atau dalam rumah bersama mereka.

5. Keluar dari rumah

Apabila berada dalam rumah, aktiviti menjadi terhad. Dulu-dulu, kita main panjat pokok, pengantin-pengantin, baling selipar, baling tin, konda-kondi dan macam-macam lagi. Sekarang, tidak selamat berbuat begitu. Luar rumah pun bukannya ada pokok yang boleh dipanjat. Bila tiada aktiviti, anak jadi bosan. Bila bosan, kepada TV dan gajet jua mereka pergi.

Beralih kepada aktiviti luar rumah seperti main basikal dan bola bersama-sama. Jika kawasan berdekatan ada kelas-kelas sukan, masukkan mereka dalam kelas seperti Silat, Tae-kwon-do, Aikido, badminton dan lain-lain.

6. Belikan buku dan galakkan anak membaca

Anak-anak suka pada benda visual, iaitu gambar. Pupuk minat membaca pada anak sedari awal lagi. Elakkan membeli buku yang tebal, penuh dengan tulisan sahaja dan tidak menarik. Buku-buku ensiklopedia bergambar pasti akan menarik minat mereka.

Kalau anak suka dinosaur, belikan buku yang tentang dinosaur. Kalau anak suka tentang geografi, belikan buku yang menunjukkan tempat menarik di seluruh dunia yang menunjukkan keindahan alam ciptaan Allah.

7. Tunjukkan tauladan yang baik

Kalau mahu anak jauhkan diri dari TV, ibu-bapa juga perlu menahan sabar dan keinginan menonton TV juga. Apa perasaan anak kalau ibu-bapa bagaikan perumpamaan ‘Seperti ketam mengajar anaknya berjalan’? Tentu dalam diam anak berkata berkata, “Eleh, mama tak bagi kita tengok TV tapi mama tengok tu boleh?”. Apa nak jawab kalau anak menyuarakan perasaan tidak puas hati dan protes sebegitu?

Sebaiknya, ajak anak tengok bersama. Beralah sedikit dengan mereka. Tonton rancangan kegemaran mereka sekali. Jika anak suka tengok Boboiboy, Ejen Ali atau Upin dan Ipin, apa salahnya kita tonton bersama? Selamat mencuba!

7 Manfaat Bila Anak Suka Conteng Dinding Rumah


“Hei budak ni, aku dah belikan kertas, buku, ‘whiteboard’ semua. Tapi, dinding juga yang jadi mangsa. Kenapalah suka sangat anak conteng dinding rumah. Pening kepala nak membersihkan.”

Tarik nafas dalam-dalam. Sebelum anda memarahi anak-anak, ada beberapa perkara luarbiasa yang anda perlu tahu tentang kecenderungan anak menconteng dinding.

Mungkin bukan semua ibu bapa boleh menerima kenyataan ini. Namun, hakikatnya menconteng dinding dapat memberi banyak manfaat kepada anak-anak kecil. Ramai tak tahu kelebihan anak suka menconteng dinding ini, sebenarnya anak yang cerdas dan bijak. Ini buktinya.

Berikut 7 fakta kelebihan anak suka menconteng dinding yang kita perlu tahu :

1. Melatih Kekuatan Otot

Anda perasan tak, apabila anak suka menulis di dinding, mereka akan berdiri, membongkok, melutut, duduk atau bercangkung? Semua posisi ini bukan saja menjadikan anak lebih cergas, tetapi ia dapat melatih kekuatan otot abdomen dan belakang berbanding apabila mereka hanya menulis pada kertas.

Kekuatan pada pergelangan tangan juga akan berkembang selari dengan kawalan motor untuk menjadikan anak lebih mahir menulis dan memegang.

2. Koordinasi Tangan Dan Mata

Dengan permukaan yang lebih luas, mereka cenderung untuk melukis pada skala yang lebih besar. Maka, keseluruhan anggota lengan, bahu, tangan dan mata akan bekerja dengan lebih keras.

Aktiviti ini akan melatih anak-anak mengkoordinasikan pergerakan tangan dan mata dengan lebih baik. Menurut Dr Rozieta Shaary atau dikenali sebagai Ibu Rose, ini adalah salah satu tahap perkembangan skil motornya. Tahap ini juga biasanya sementara dan patut dipertahan oleh kedua ibu bapa.

Apabila anak menconteng dinding, biasanya mereka akan menggunakan kedua belah tangannya termasuklah anggota tubuh yang lain. Ahli terapis kanak-kanak, Page Hays menyifatkan bahawa aktiviti ini sebenarnya dapat menggalakkan integrasi bilateral dan kebolehan untuk mencapai pada permukaan yang lebih luas atau body midline skill.

Hasilnya, pergerakan anak-anak akan menjadi lincah. Mereka dapat menendang bola tanpa menukar kaki, boleh menulis dengan lebih baik, lebih mudah membaca, serta mampu melakukan aktiviti mengurus diri dengan lancar seperti memakai kasut, membutang baju, menggunakan gunting dan sebagainya.

3. Meningkatkan Kreativiti

Menconteng dinding adalah salah satu tindakan luahan kreativiti diri anak seluas-luasnya. Berbanding pada kertas yang kecil, mereka akan berasa lebih bebas apabila melukis pada permukaan kanvas yang besar dan senang dilihat.

Mungkin ada yang main cikgu-cikgu, ada yang hasilkan lukisan imaginasi, membuat bentuk, ada yang nak menulis huruf atau nombor. Walau apapun yang mereka contengkan, mempamerkan hasil seni ini tentunya membuat mereka berasa lebih terdorong dan bersemangat untuk meneroka potensi diri.

4. Mengekspresi Diri

Setiap anak kecil mempunyai cara tersendiri untuk menyatakan sesuatu yang terbuku dalam hati mereka. Misalnya ada yang suka berbual, menyanyi, bercakap dengan anak patung atau mungkin ada yang suka melukis dan menconteng dinding.

Bagi setiap insan, amat penting mengekspresikan diri kerana ia adalah salah satu bentuk komunikasi untuk meluahkan perasaan. Selain itu, tindakan ini turut memberi rasa ‘selamat’ kepada si anak. Sekiranya dimarahi dan ditahan daripada melakukannya, anak ini akan rasa tidak 'didengari' dan kurang yakin terhadap diri sendiri.

5. Praktis Postur Yang Baik

Ada anak-anak yang tidak suka duduk di tempat yang dikhaskan seperti kerusi dan meja atau lantai apabila melukis dan menulis. Ini kerana, mereka berasa tidak selesa akibat postur yang tidak sesuai.

Sebaliknya, posisi menegak (upright position) pada dinding membantu anak-anak mengekalkan posisi kepala dan leher pada tahap yang sesuai secara automatik.

Menurut Bright Hub Education, perkembangan kemahiran visual atau visual skill development juga dapat ditingkatkan kerana mereka mudah melihat apa yang telah dilukis. Maka, mereka lebih peka meneliti dan mengimbas perincian pada sesebuah objek.

6. Motivasi Untuk Belajar Menulis

Bukan senang nak melihat anak menulis apabila kita menyuruh mereka berbuat demikian. Setiap kali memandang buku tulis, muka mereka pun mulalah monyok. Konsentrasi mereka pun sebentar saja. Tetapi, apabila diberi peluang menulis pada dinding, mereka akan lebih bersemangat. Mengapa?

Sebab kebanyakan anak kecil suka bermain dan mengaitkan aktiviti menulis dengan ‘belajar’ adalah sesuatu yang membosankan. Jadi, inilah peluang kita untuk memupuk minat menulis melalui aktiviti yang seronok!

7. Lebih Daya Tumpuan Dan Konsentrasi

Dengan permukaan yang luas, menegak dan betul-betul di hadapan mereka ini, konsentrasi akan lebih mudah tertumpu ke satah tersebut. Jadi, tidak hairanlah teknik ini telah sekian lama digunakan untuk menggalakkan perkembangan anak-anak yang bermasalah dalam pembelajaran seperti ADHD atau autisme.

Kesimpulan

Sediakan medium yang sesuai. Ternyata, banyak kelebihan yang boleh didapati daripada aktiviti menulis pada kanvas menegak (vertical surface) atau ‘menconteng dinding’ ini. Sebagai ibu bapa, anda boleh mencari medium yang sesuai seperti pen yang mudah dipadam, kertas atau kanvas yang sesuai ditampal pada dinding atau easel tempat menggantung kanvas.

Ini akan menggalakkan anak anda ‘explore’ lebih lagi dan mencipta potensi diri. Jadi, jangan marah ya kalau nampak mereka conteng dinding di rumah!
You might like these as well: