Termenung Memikir Nasib Diri Di Akhirat


Tempoh hari masa dalam kelas, saya perasan kawan rapat saya termenung. Dia warga Nigeria. Kami duduk sebelah menyebelah dalam kelas.

"Ada masalah ka?" Saya mencuit bahu.

"Aku tengah berfikir."

"Tentang?"

"Tentang akhirat..." Saya terdiam. Mukanya serius. Tidak seperti gurauan kami macam selalu sebelum ini.

Perbualan terasa serius.

"Apa maksud kau fikir tentang akhirat?"

"Akhirat... Tentang neraka. Syurga. Hisab. Sirath. Dan yang aku bimbang adalah perkara yang paling awal selepas kita mati. Azab kubur!"

"Ya akhi. Banyakkan berdoa seperti yang nabi ajar sebelum beri salam. Berlindung daripada azab jahannam dan azab kubur. Juga kita diajar baca al-mulk sebelum tidur untuk elak azab kubur."

"Aku tahu itu. Tapi... Aku tak tahu perkara mana yang aku buat dalam hidup ini yang menyebabkan aku akan terkena azab. Memang aku solat, aku doa tapi boleh jadi ada dosa yang aku buat tapi aku tak sedar. Dan itu yang menyebabkan aku diazab."

"Betul. Tapi kita juga yakin Allah terima doa kita. Bahkan peluang meraih keampunan terbentang dimana-mana."

"Memang Allah itu maha pengampun, namun tak semudah itu kita berlepas tangan mengambil mudah soal dosa."

Kata-katanya membuat saya akur.

Semuanya akan dihisab oleh Allah. Walaupun sekecil-kecil perkara.

Dalam diam, kerisauan teman saya membuat saya ikut berfikir. Ikut risau.

Allahu Allah. Ternyata rasa risau ini yang mendiami sanubari para sahabat baginda rasul. Sehingga amalan mereka yang dahsyat itu tidak membuat mereka terkecoh. Mereka tidak merasa selamat daripada azab Allah. Walhal, siang hari mereka berpuasa. Malam mereka berqiamullail menunduk diri pada Allah. Bahkan sebahagian mereka sudah dijamin syurga.

Dimana kita dengan mereka sehingga kita boleh meletakkan 'risau pada akhirat' itu jauh daripada hidup kita?

Akhir perbualan itu kami sama-sama membuat kesimpulan terhadap diri masing-masing yang serba kekurangan.

"Buatlah kebaikan walaupun sekecil perkara. Kita tidak tahu kebaikan mana yang akan melayakkan kita mendapat tempat di syurga. Berusahalah meninggalkan mungkar walaupun sekecil perkara, kita tidak tahu dosa mana yang akan mencampakkan kita ke neraka Allah. Wal'yazubillah."

Nota :
Kisah di atas dipetik dari laman sosial seorang pelajar Malaysia di Madinah.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: