Memaparkan catatan dengan label Muhasabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muhasabah. Papar semua catatan

Pegangan Hidup Yang Baik - Usah Bergaduh


Dewasa ini amatlah banyak yang kita temui orang yang mengalami masalah stress atau depressi. Banyaknya orang yang tidak mencapai target yang diinginkan sehingga membuat mereka jatuh. Hingga hilangnya keyakinan pada diri sendiri dan pegangan hidupnya yang menyebabkan batin mereka semakin menderita.

Problem semacam ini sekarang banyak kita jumpai di dalam masyarakat, keluarga mahupun di dalam diri peribadi seseorang. Bagi mereka, yang mengalami goncangan batin ini, harus mencari solusi agar problem itu tidak semakin parah.

Berikut ini 22 pegangan hidup yang baik untuk kita amalkan :

1. Apabila kita bergaduh dengan pelanggan, walaupun kita menang, pelanggan tetap akan lari.

2. Apabila kita bergaduh dengan rakan sekerja, walaupun kita menang, tiada lagi semangat bekerja dalam satu kumpulan.

3. Apabila kita bergaduh dengan boss, walaupun kita menang, tiada lagi masa hadapan di tempat itu.

4. Apabila kita bergaduh dengan keluarga, walaupun kita menang, hubungan kekeluargaan akan renggang.

5. Apabila kita bergaduh dengan guru, walaupun kita menang, keberkatan menuntut ilmu dan kemesraan itu akan hilang.

6. Apabila kita bergaduh dengan kawan, walaupun kita menang, yang pasti kita akan kekurangan kawan.

7. Apabila kita bergaduh dengan pasangan, walaupun kita menang, perasaan sayang pasti akan terguris.

8. Apabila kita bergaduh dengan sesiapapun, walaupun kita menang namun hakikatnya kita tetap kalah. Yang menang adalah cuma ego diri sendiri. Paling sukar adalah mengalahkan ego diri sendiri.

9. Apabila kita menerima teguran, kesilapan dan kesalahan usahlah terus melenting dan marah tetapi bersyukurlah kerana masih ada orang yang mahu menegur kesilapan kita.

10. Apabila mendengar isteri membebel di rumah, bererti kita masih punya keluarga. Dia ambil berat tentang kita.

11. Apabila mendengar suami atau masih berdengkur di sebelah, bererti kita masih punya suami dan isteri.

12. Apabila mendengar ayah dan bonda menegur dengan tegas, bererti kita masih punya ibu bapa. Itu kurnian Tuhan yang hebat.

13. Apabila merasa letih dan jemu menasihati anak yang nakal, bererti kita masih punya anak untuk mendoakan kita dapat saham akhirat nanti.

14. Apabila merasa letih setiap petang selepas penat bekerja, bererti kita mampu bekerja keras.

15. Apabila membersihkan pinggan dan cawan kotor setelah menerima tamu di rumah, itu bererti kita punya teman yang sudi datang bertandang.

16. Apabila pakaian terasa agak sempit, itu bererti kita makan cukup.

17. Apabila mencuci, melipat dan menggosok timbunan baju, itu bererti kita memiliki pakaian.

18. Apabila membersihkan halaman rumah, mop lantai, itu bererti kita memiliki tempat tinggal.

19. Apabila ada banyak tugasan, itu bererti kita dipercayai dapat melakukannya dengan baik dan sentiasa menyudahkan kerja.

20. Apabila mendengar bunyi mercun, ekzos dan hon dan anak jiran bising, itu bererti kita masih boleh mendengar.

21. Apabila melihat anak-anak bermain riang, itu bererti kita masih boleh melihat dengan terang.

22. Apabila masih bernafas, itu bererti kita masih diberi peluang oleh ALLAH pencipta yang agung untuk bertaubat dan beribadah kepada-Nya.

      Baca : 13 Pesawat Tempur Tercanggih Dan Terhebat Dunia Pada 2017

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Selalulah sebut Alhamdulillah bersyukur kerana kita diberi kehidupan yang baik pada masa ini dan akan datang.

- Daku Amat

Tags : pedoman pegangan hidup usah bergaduh muhasabah diri

Manfaat Taklim Rumah, Percakapan Iman Dan Muzakarah 6 Sifat Sahabat Nabi Bersama Anak Isteri


Bagi anda yang sedang buat taklim rumah harian selepas subuh (yakni bacaan hadis harian bersama keluarga), usahakanlah juga buat percakapan iman, percakapn akhirat dan muzakarah 6 sifat sahabat radiallahu'anhum bersama keluarga walaupun sekejap. Agar kita dapat cakap depan isteri dan anak-anak kita tentang kebesaran Allah. Dan mereka juga bertukar-tukar cakap depan kita tentang kebesaran Allah. Supaya mereka biasa dengan percakapan iman. Biasa dengan percakapan akhirat. Itulah percakapan yang benar kerana itulah matlamat sebenar kita.

Dengan asbab kita mulakan hari kita dengan percakapan iman dan percakapan akhirat, maka insyaAllah pagi-pagi hari kita sekeluarga keluar rumah dengan matlamat akhirat. Keluarga kita akan brtambah bahagia kerana bahagia datang dari Allah. Dan Allah akan luaskan rezeki kita dan kurniakan kita juga rezeki yang luar biasa. Ini bagi mereka yang matlamatnya Akhirat. Kesannya juga insyaAllah sepanjang satu hari itu kita cakap percakapan iman sahaja. Cakap percakapan akhirat sahaja. Kita akan cakap yang manfaat sahaja. Jumpa kawan pun akan cakap yang meningkatkan iman sahaja. Bila nampak orang saja, Allah akan datangkan kita fikir bagaimana nak bawa dia bersama keluar jalan Allah.

Tetapi bila percakapan iman dan akhirat tidak dibuat di rumah setiap pagi, maka khuatir nanti kita, isteri dan anak-anak keluar rumah pagi ini dengan bawa matlamat dunia sebagai matlamat utama. Orang yang hidupnya matlamat dunia dan jadikan dunia sebagai kerisauan utama dalam dirinya maka dalam maksud hadis disebut; "Allah akan sempitkan hidupnya dan kemiskinan terbayang-bayang di matanya iaitu dia selalu fikir dia akan hidup susah, fikir hutang itu tak selesai, fikir hutang ini tak selesai, fikir masalah ada sana-sini, depan belakang, seakan-akan dia yang selesaikan semuanya.

Sebenarnya Allah yang sempitkan hidupnya dan bayangkan kesusahan itu sebab banyak sangat dia fikir dunia. Akibat dari jadikan dunia sebagai kerisauan utama. Akibat tak buat percakapan iman di rumah pagi-pagi bersama keluarga kesannya juga ialah sepanjang hari itu kita akan cakap dunia sahaja. Keluarga kita akan keluar rumah dengan bawa matlamat dunia sebagai utama. Akhirnya jumpa kawan saja kita akan cakap dunia. Kemudian akan masuk pula percakapan yang merapu. Kita akan cakap yang lagha. Sedangkan ini bukan percakapan mukmin. Ini kesan dari tak mulakan hari dengan percakapan iman.

Jadi kita semua azam pagi ini. Abang-abang yang baru balik dari masjid solat subuh berjemaah, kumpul isteri dan anak-anak, buat taklim rumah. Selepas itu buat percakapan iman dan muzakarah 6 sifat sahabat. Kemudian buat mesyuarat harian ringkas, karguzari (beri laporan) apa yang dibuat semalam. Tanya isteri dan anak-anak juga karguzari apa yang mereka buat semalam secara ringkas. Kemudian bentangkan apa yang nak dibuat hari ini. Gula ke sayur ke habis masukkan sekali dalam mesyuarat. Binncang nak masak apa, nk beli apa pun cerita dalam mesyuarat, agar perbelanjaan dapat dikawal.

Tanya isteri dan anak-anak tentang azam mereka hari ini nak baca al-Quran berapa muka. Semalam solat awal waktu tak? Puasa Ramadhan yang haid, sudah mula ganti ke? Sama-sama ingat-mengingati. Kalau kita buat gash dakwah semalam jumpa siapa maka cerita dalam mesyuarat. Siapa yang kita sedang taskel dan apa saja takaza, jemaah-jemaah yang sedang bergerak dekat di tempatan kita maka cerita depan isteri dan anak-anak. Agar mereka juga tahu dan sama-sama risau dan sama-sama doakan dalam tahjud mereka. Dalam doa mereka selepas solat fardhu. InsyaAllah, kita azam amal.

Kitab taklim - Fadilat Amal karangan Syaikhul Hadis Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi dan Muntakhab Ahadis susunan Syaikh Muhammad Yusuf Kandhalawi

Taklim rumah yakni menghidupkan Bacaan Hadis di dalam rumah. Iaitu ambil satu waktu kumpul semua anak-anak walaupun bayi yang masih kecil dan isteri kita dan mulakan bacaan Hadis dan kisah-kisah Nabi s.a.w bersama Para Sahabat Baginda. Kesan daripada Taklim rumah yang istiqomah insyaAllah, ALLAH akan keluarkan Maksiat yang ada di dalam rumah kita hingga semunya keluar rumah. Menghapuskan segala majlis lalai yang ada di dalam rumah kita.

Kadangkala kita tidak sedar maksiat berlaku di dalam rumah kita tanpa pengetahuan kita. Anak-anak tidur di bilik mereka perlu diawasi. Mungkin kita melihat anak-anak kita sudah baik, Alhamdulillah dari segi pakaian luaran mereka. Contohnya, kalau anak-anak perempuan dengan niqab, purdah dan tudung labuh apabila mereka keluar rumah. Tetapi kita tidak tahu bila kita tidur, mereka di bilik-bilik mereka tidur lewat malam sampai jam 3-4 pagi bermesej dengan lelaki yang bukan mahram.

Apa yang lebih malang lagi bermesej dengan suami orang. Melayan perasaan yang sedang dipandu nafsu syahwat. Tanpa sedar dia sedang melangkah mendekati pintu zina yang ALLAH telah Larang dengan mafhum Firman-Nya; "Jangan hampiri Zina..." sedangkan itu maksiat yang mereka merasakan tidak salah dan mereka rasa tidak berdosa dengan menganggapnya itu perkara biasa dan akhirnya mereka tidak akan taubat sebab mereka tidak rasa itu dosa. Syaitan tipu dalam merosakkan anak-anak di dalam rumah kita sendiri walaupun kita telah berusaha menjaga anak perempuan kita dari pengaruh luar.

Begitu juga anak-anak lelaki kita. Kita tidak tahu di dalam hp mereka apa yang mereka simpan. Waktu malam mereka juga tidur di bilik mereka dan kita pun tak tahu apa yang mereka buat. Jadi dengan kita menghidupkan Taklim Rumah bacaan hadis dengan mencari satu waktu yang sesuai untuk kumpul semua anak-anak dan isteri kita dapat duduk bersama mendengar hadis secara istiqomah setiap hari.

      Baca : 7 Produk Popular Yang Pada Asalnya Dicipta Untuk Tujuan Lain

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


InsyaAllah kita sangat-sangat berharap dengan adanya Taklim Rumah, Percakapan Iman dan Muzakarah 6 Sifat Sahabat Nabi bersama anak isteri akan menjadi asbab ALLAH akan hancurkan batil dan maksiat yang ada di dalam rumah kita juga dalam diri ahli keluarga kita. Semoga keluarga kita hidup bahagia dengan kasih sayang kerana Allah s.w.t seperti keluarga Para Sahabat Nabi s.a.w. Amin.

- Daku Amat

Tags : taklim bacaan hadis keluarga sakinah muzakarah percakapan iman dan amal

11 Tip Sebelum Anda Menziarahi Orang Sakit


Amalan menziarahi orang yang sedang sakit adalah sangat dituntut, namun sebagai pelawat yang datang melawat kita kenalah tahu adab-adab semasa melawat. Tujuan kita melawat mestilah nak tengok pesakit itu cepat sembuh dan bukannya bertambah sakit.

Adab-adab ini tidak semestinya kena ajar di rumah atau di sekolah, tetapi kita boleh berfikir sendiri menggunakan akal yang bijaksana. Gunakan logical thinking, patut atau tak patut segala kelakuan dan sikap anda semasa melawat orang sakit itu.

Berikut 11 tip sebelum anda menziarahi orang sakit :

1. Hubungi dahulu pesakit atau ahli keluarga, maklumkan anda mahu datang ziarah


Ini sama macam adab nak pergi mengunjungi rumah orang. Maklumkanlah terlebih dahulu sebelum menziarahi kerana anda tidak tahu bagaimana jadual dia di hospital ataupun adakah dia perlukan sedikit masa untuk berehat tanpa kehadiran pelawat. Jangan main terjah saja.

Jika pesakit terlantar di rumah pun sama. Harap maklumkan dulu kerana pasangan atau ahli keluarga yang menjaga pesakit itu juga punya life tersendiri. Fahamilah bahawa si penjaga itu juga perlu rehat atau keluar sebentar untuk menguruskan hal peribadi.

2. Jangan datang pada waktu-waktu pesakit berehat


Elakkan menziarahi pada waktu makan dan waktu berehat seperti tengah hari dan malam selepas Isyak. Memanglah anda datang seorang diri atau berdua saja, tetapi bukan anda saja yang datang melawat. Cuba bayangkan kalau ada 10-15 kali orang datang melawat tanpa henti, bilakah masa si pesakit dan penjaga dapat berehat?

3. Padamkan telefon atau tetapkan ke silent mode


Ini sering terjadi di wad dengan penghuni yang ramai. Pesakit katil no. 1 tak ada pelawat, dia baru nak melelapkan mata tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi nada dering lagu Aiman Tino versi disko dangdut oleh pelawat di katil no. 2.

Sama juga ketika anda menziarahi seorang ibu yang baru lepas melahirkan. Padamlah telefon itu, anak dia nak tidur pun susah, asyik terkejut dengar bunyi handphone anda yang tidak henti-henti notification masuk.

4. Jangan datang membawa rombongan satu bas


Kalau boleh elakkanlah datang beramai-ramai memenuhi segenap ruang sampai pesakit rasa sesak nafas. Apatah lagi kalau pesakit berada di wad kelas ketiga hospital kerajaan yang sedikit sempit ruangnya. Kalau anda datang konvoi 5 biji kereta, lepas itu masuk ramai-ramai sembang duduk keliling katil, pesakit lain di situ tak rasa terganggu ke?

Kalau sudah memang datang ramai sangat, masuklah secara bergilir-gilir. Anda bukan hanya perlu hormati pesakit yang anda nak lawat, malah anda perlu juga hormati para doktor, nurse dan semua pesakit lain di situ.

Sekiranya anda ramai-ramai datang melawat pesakit di rumah, mohon bantu untuk menyediakan juadah dan mencuci pinggan mangkuk setelah tuan rumah menghidangkan air dan kuih untuk anda. Cuba kira kalau sehari ada 7-8 buah keluarga yang datang menziarah. Si penjaga itu memang masak, buat air dan cuci pinggan sajalah tidak henti-henti. Nak menjaga pesakit lagi. Anda pula datang sedap saja duduk makan, minum, gelak-gelak kepas itu balik.

5. Elakkan duduk lama-lama untuk berbual kosong


Kalau setakat datang nak borak-borak kosong gossip artis, lebih elok anda balik sajalah melainkan orang yang anda ziarahi itu duduk di wad single patient dan mempunyai sakit yang tidak begitu kronik.

Kalau pesakit itu duduk di bilik multiple occupancy, mohon hormati pesakit-pesakit lain dalam bilik yang sama. Wad hospital bukanlah tempat yang sesuai untuk sesi catch up bersama keluarga atau rakan-rakan. Pesakit pula memerlukan rehat yang secukupnya. Jadi, lepas sudah tanya khabar, sembang sikit-sikit, mintalah diri untuk beransur pulang. Harap jangan buat meriah sangat ya!

6. Buat kajian sebelum datang dan bawalah buah tangan yang sesuai


Kenal pasti dahulu apa yang pesakit boleh makan dan bawalah makanan yang bersesuaian. Kalau pesakit baru selesai menjalani pembedahan tonsil, janganlah bawa satu bucket ayam KFC hot & spicy pula.

Buah dalam bakul pula memang nampak cantik dihiasi dengan bunga berwarna-warni. Tetapi pernahkah anda terfikir siapa pula yang nak jadi tukang kupas di situ? Adakah anda beli buah tangan itu untuk pesakit, penjaga ataupun pelawat? Ada juga jenis pelawat yang sanggup makan sendiri buah tangan yang dibawa.

7. Elakkan membawa anak kecil


Sebagai ibu bapa, anda lebih mengenali anak anda sama ada mereka jenis yang suka menjerit-jerit, bergaduh ataupun gemar berlari ke sana-sini. Kalau ada anak-anak yang begini, kalau boleh elakkan bawa bersama. Kesian pada pesakit.

8. Jangan duduk di katil sebelah yang tidak bertuan


Ini adalah perkara common sense. Orang yang tidak sensitif saja senang-senang nak duduk di katil sebelah yang tidak berpenghuni. Anda ingat jururawat hospital di situ tak ada kerja lain?

Dan agaknyalah, apa perasaan anda seandainya anda merupakan seorang pesakit yang baru nak admit. Anda masuk-masuk saja wad terus nampak katil penuh bekas Twisties perisa kari, ada kesan air tumpah atau cadar katil berkedut-kedut? Anda rasa nak marah ke tak? Anda nak marah siapa? Jadi, sebagai pelawat, tolonglah jangan jadi selfish dengan menambah beban kerja jururawat.

9. Jangan bercerita pengalaman buruk atau berkaitkan dengan kematian


Semasa berborak, elakkan bercerita pengalaman pesakit lain yang anda kenali tetapi telah meninggal dunia ataupun menjadi semakin uzur. Ini boleh mematahkan semangat pesakit dan membuatkan mereka merasa sedih. Ceritalah perkara yang positif dan boleh membantu pesakit secara mental agar mereka terus tabah.

10. Jangan guna tandas pesakit


Ini pun sama common sense. Andai kata anda melawat wad yang ramai penghuni tetapi tandas cuma ada satu atau dua sahaja, silalah keluar sebentar dan cari tandas lain yang dikhaskan untuk orang awam.

Kita tidak tahu pesakit di situ tiba-tiba nak muntah ke, nak tercirit ke ataupun tak tahan nak buang air kecil. Kalau pelawat ramai-ramai datang memenuhi tandas, pesakit-pesakit ini nak lari cari tandas di mana? Maka, mohon bertimbang rasalah.

11. Berdoa untuknya dan berilah kata-kata semangat


Tip ini sudah sememangnya adab sebagai orang Islam. Sentiasa doakan kesihatan pesakit, ucapkan kata-kata yang baik dan beri motivasi agar pesakit cepat sembuh.

Hendaklah kita mendoakan dengan doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w di bawah ini agar dia cepat sembuh dan bersabar dalam menghadapi kesakitan;


1. “Ya Allah! Tuhan bagi manusia, hilangkanlah segala penyakit, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tiada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu jua, sesuatu kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit lagi.” (HR. Bukhari dan Muslim)

2. "Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau”. (tujuh Kali). (HR. At-Tirmizi dan Abu Daud)

3. “Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insya Allah”. (HR Bukhari)
      Baca : 4 Tanda Baca Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Mula Menulis

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga. Amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran besar.

- Daku Amat

Tags : sakit hospital adab ziarah orang sakit sembuh masuk hospital buah tangan nurse melawat orang sakit pesakit doa untuk orang sakit sembuh dari penyakit motivasi

4 Saranan Bagi Mereka Yang Dilantik Menjadi Imam


Saranan kepada imam-imam di seluruh negara, sama ada imam secara rasmi atau yang ditolak ke depan kerana imam ratib tidak hadir di masjid jami' atau surau terpencil.

Berikut 4 saranan bagi mereka yang dilantik menjadi imam :

1. Tidak berwirid terlalu kuat

Semasa berwirid selepas solat fardhu agar tidak berwirid terlalu kuat sehingga mengganggu tumpuan orang-orang yang masbuq.

2. Ringkaskan wirid ijtima'i yang selepasnya ada kuliah

Ringkaskan wirid ijtima'i terutamanya selepas solat Maghrib yang selepasnya ada kuliah. Ini akan memberikan ustaz jemputan lebih masa untuk menyampaikan ilmu. Pernah seorang penceramah jemputan, terpaksa memulakan kuliah pada jam 8.20 malam kerana imam terlalu asyik dalam wirid dan doanya.

3. Baca surah ringkas jika jadi imam di surau kecil

Sekiranya anda menjadi imam di surau yang kecil seperti di pasaraya atau di stesen bas atau di surau stadium sedangkan jemaah yang beratur untuk solat ramai, maka bacalah surah yang ringkas. Dan setelah selesai solat terus beri tempat kepada jemaah baru. Kalau mahu berwirid, maka tunaikanlah semasa memakai kasut dan berjalan keluar. Raikanlah keperluan orang lain.

4. Berkhutbah Jumaat ringkas dan padat

Sekiranya anda memberi khutbah Jumaat, fikirkanlah juga jemaah yang melimpah di luar masjid. Sekiranya cuaca terlalu panas atau hujan, berkhutbahlah seringkas mungkin agar tidak menyukarkan jemaah yang terjebak. Berilah perkongsian khutbah dengan isi yang ringkas dan padat.

Imam Bukhari rahmatullah 'alaih meriwayatkan:


Dari Abu Mas'ud al-Ansari r.a beliau berkata: Seorang lelaki telah berkata; "Ya Rasulullah saya hampir tidak mahu menunaikan solat (berjemaah) disebabkan si fulan memanjangkan solatnya ke atas kami.

(Abu Mas'ud radiallahu 'anhu berkata) Maka saya tidak pernah melihat Baginda s.a.w begitu marah ketika memberi nasihat lebih dari hari itu. Baginda s.a.w bersabda: "Wahai orang ramai! (Adakah) kalian ingin menyebarkan kebencian? Barangsiapa yang mengimamkan orang ramai, hendaklah dia meringankan (solatnya). Kerana di antara makmumnya ada yang sakit, lemah dan orang yang ada keperluan (hal)."
Dalam kitab-kitab sunan pula:


Dari Anas radiallahu 'anhu, dari Nabi s.a.w bahawa Baginda s.a.w bersabda: "Sesungguhnya aku masuk (mula) menunaikan solat dan ingin memanjangkannya. Maka aku terdengar tangisan kanak-kanak. Lantas aku meringkaskan solatku kerana aku memahami kegelisahan ibu kanak-kanak itu disebabkan tangisannya."
      Baca : 6 Sebab Wanita Keras Kepala Menjadi Idaman Lelaki

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Akhir kata, adalah menjadi sunnah Nabi s.a.w, bertimbang-rasa dan meraikan keadaan orang ramai walaupun dalam bab ibadah. Kalau terlalu menyusahkan, bukankah ia bertentangan dengan sunnah yang mulia? Wallahu a'lam.

- Daku Amat

7 Tanda-Tanda Allah Sayang


Indahnya kesabaran dengan bersyukur akan dugaan. Indahnya kebahagiaan dengan bersyukur akan nikmat kurniaan Allah. Indahnya kasih sayang dengan bersyukur akan keikhlasan. Indahnya kekuatan dengan bersyukur akan peningkatan iman. Indahnya kehidupan dengan bersyukur menjadi hamba Allah s.w.t. Apabila Allah mencintai seseorang maka Allah s.w.t akan membuatnya faham mengenai agama.

Berikut 7 antara tanda-tanda Allah sayang :

1. Diberikan kesedihan

Dengan kesedihan itu kita akan sering menyebut nama-Nya.

2. Diberikan kesakitan

Dengan kesakitan itu kita akan sentiasa memohon kesembuhan dari-Nya.

3. Diberikan kehilangan

Dengan kehilangan itu kita meminta yang terbaik dari-Nya.

4. Diberikan kesusahan

Dengan kesusahan itu kita akan menjadi redha ketentuan-Nya.

5. Diberikan penderitaan

Kerana hanya jiwa yang menderita akan selalu dekat pada-Nya.

6. Diberikan kemiskinan

Kerana Allah mahu kita meminta kepada-Nya.

7. Diberikan kehinaan

Kerana Allah mahu kita mohon kemuliaan dari-Nya.

      Baca : 4 Cara Terbaik Menegur Anak Bila Buat Silap

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Oleh itu, jangan terlalu banyak ketawa. Ini kerana ketawa yang berlebihan akan membuat hati jadi mati. Apabila hati mati maka akan jauhlah rahmat Allah dari kita.

- Daku Amat

5 Tip Sangka Baik Dengan Allah Dan Belajar Minta Pada Allah

Perkongsian daripada seorang hamba Allah.

Malam ini saya nak cerita suatu perkara istimewa yang boleh diteladani oleh kawan-kawan semua. Tentang sangka baik dengan Allah dan belajar meminta pada Allah.

Saya tidak pernah jumpa lagi orang yang sangka baik dia tinggi pada Allah, seperti si “S” ini. Apa-apa masalah, yang keluar di mulut dia, “tak apa Allah ada", "Tak apa Allah bagi nanti" atau "Tak apa Allah ganti.”


Dulu masa tiada duit tidak pernah pun dia merungut, duit tak ada! duit tak ada! duit tak ada! Sebaliknya, dia mesti cakap, “Tak apa minta pada Allah. Allah bagi cukup nanti.”

Hasilnya? Saya dapat lihat dia ada hubungan yang 'istimewa' dengan Allah. Sepanjang saya kenal dia, apa yang dia nak semua dia dapat. Tetapi dalam meminta masih tahu batas dan tidak minta melebih-lebih. Bab anak dia mengaku dia mengalah. Dia pesan, Allah tahu bila nak bagi. Saya nak kongsi tip yang saya selalu nampak dia buat.

Berikut 5 tip sangka baik dengan Allah dan belajar minta pada Allah :

1. Dia akan sebut hari-hari

Contoh pertama dulu dia mahu syarikat kami ada gudang dan office sendiri. Dia akan sebut hari-hari, “Tak lama lagi kita nak ada gudang dan ofis ni.” Bila di rumah tiba-tiba dia akan masuk bilik dan cakap, “haa, saya dah minta pada Allah tadi supaya bagi kita gudang dan ofis”.

Cara dia minta dia selalu doa dan solat 2 rakaat. Doa dia bukan atas tikar sejadah saja. Tetiba tengah makan ke, guna phone, tengah pakai baju atau tengah drive, dia akan cakap “ya Allah, bagilah kami gudang dan ofis yang selesa tahun ini”. Dia akan selalu sebut dan akhirnya doa makbul walaupun dengan kondisi waktu itu sangat mustahil bagi kami.

2. Memang sifat hamba adalah meminta

Dan banyak lagi episod-episod ajaib yang saya lihat sendiri cuma biarlah saya simpan untuk pengajaran dan pelajaran pada saya yang Allah itu dekat. Sentiasa selalu bersangka baik dengan Allah dan rajin minta. Kita ini semua hamba Allah yang miskin tidak ada apa-apa. Memang sifat hamba adalah meminta.

3. Doa terhijab sebab rasa Allah tidak makbul doa

Saya mengaku saya lemah. Saya sangka baik dengan Allah tetapi kadang-kadang rasa diri tidak layak dan selalu rasa Allah tidak akan makbulkan doa saya. Mungkin di situlah terhijabnya doa saya.

Dulu zaman para sahabat bila mereka minta sesuatu dari Allah dan mereka tidak dapat, mereka akan jadi pelik dan akan periksa di mana silapnya. Tetapi zaman sekarang, bila dapat sesuatu kita jadi pelik pula. Itulah saya. Bila dapat nikmat apa-apa, rasa pelik sebab macam tak layak.

4. Sangka baik dengan Allah tanpa sebarang syak

Pengajarannya di sini, apa yang kita selalu sebut dan sangka adalah doa. Ini tidak boleh disangkal lagi. Jika setiap hari sentiasa merungut duit tak ada, duit tak cukup, hidup susah, maka itulah yang Allah akan beri. Sangka baik dengan Allah tanpa ada sebarang tapi-tapi lagi.

5. Mintalah apa saja dengan Allah walaupun hal remeh

Dan akhir sekali belajar minta direct dengan Allah dahulu kemudian barulah usahakan dengan asbab. Mintalah apa pun dengan Allah hatta nak makan KfC esok hari sekalipun. Insya Allah ini semua latihan untuk tambah sifat yakin kita pada Allah.

      Baca : 8 Realiti Kena Terima Bila Jadi Isteri Doktor

Kesimpulan

Saya pun lemah lagi. Saya harap dapat hidup bersama dengan dia lebih lama lagi untuk belajar macam-macam lagi tentang yakin pada Allah.

Dari dialah saya belajar dan dapat rasa yang Allah itu dekat, mudah nak reach dan Maha Mendengar. Allah itu As-Shomad iaitu yang mengkabulkan semua hajat, permintaan dan doa makhluk-makhluk-Nya termasuklah kita manusia.

- Daku Amat

5 Tip Ini Membantu Khusyuk Dalam Solat


Setiap hari umat Islam wajib menunaikan solat fardhu 5 kali sehari. Kewajipan mengerjakan solat fardhu inilah yang membezakan umat Islam dengan penganut agama yang lain. Namun sekadar cukup mengerjakan solat 5 waktu tidak menjadikan kita umat Islam yang cemerlang.

Ini kerana solat yang dikerjakan itu perlu memiliki kualiti sebelum ia dikatakan solat dalam erti kata yang sebenarnya iaitu Khusyuk. Untuk mendapatkan solat yang khusyuk ia memerlukan usaha. Insya Allah, semua orang mampu melakukannya.

Berikut 5 tip yang dapat membantu kita khusyuk dalam solat :


1. Tumpu sepenuh hati semasa bersolat

Apa yang menjadi keutamaan dalam diri kita akan muncul semasa solat. Oleh itu, jika kita mengutamakan keduniaan, hal-hal dunia dengan mudah akan mendapat tempat semasa bersolat. Jadi, adalah amat penting untuk kita mempersoalkan hal ini kepada diri kita sendiri. Adakah Allah menjadi tujuan hidup kita atau adakah dunia yang memenuhi hati kita selama ini?

Sukar untuk mencapai khusyuk sekiranya kita masih lagi keliru dalam hal ini sedangkan tujuan utama hidup ini sudah tentulah kerana Allah. Mari kita ingat semula beberapa potong ayat al-Quran yang menerangkan tentang solat khusyuk dan hakikat kehidupan.

● Firman Allah s.w.t dalam surah Ali 'Imran ayat 185 :


“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”
● Firman Allah s.w.t dalam surah Al-An’am ayat 32 :


“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”
● Firman Allah s.w.t dalam surah Al-A’la ayat 16-17 :


“(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”
● Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mu’minun ayat 1-2 :


“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
2. Memahami setiap bacaan dalam solat

Kita akan lebih fokus jika kita faham apa yang kita baca di dalam solat. Walaupun ramai daripada kita tidak bertutur di dalam bahasa Arab, namun makna bacaan-bacaan di dalam solat seperti ayat al-Quran yang dibaca, lafaz takbir, tasbih, zikir dan doa amat mudah ditemui pada masa kini.

Apa yang kita perlu buat hanyalah ada keinginan yang kuat kemudian berusaha untuk mencari dan memahaminya supaya kita tahu apa yang kita ucapkan di hadapan Allah ketika bersolat.

3. Merasai kebesaran Allah di dalam hati

Setelah kita memahami apa yang diucapkan di hadapan Allah, kita akan dapat merasai kebesaran-Nya. Seterusnya keyakinan bahawa Allah memiliki dan berkuasa di atas segala-galanya juga akan bertambah. Perasaan ini secara langsung mendekatkan diri kita kepada Allah.

4. Mengagungkan Allah

Setelah tercapai perasaan merasai kebesaran Allah, perasaan takut akan mengambil tempat. Kita akan berasa takut untuk melanggar perintah Allah, takut dengan balasan azab dan murka-Nya. Ini menjadikan kita bersungguh-sungguh dalam amalan kita.

Perasaan takut itu pula perlulah seimbang dengan pengetahuan kita tentang kasih-sayang dan rahmat Allah yang Maha Luas. Kedua-dua sifat ini membawa kita kepada rasa mengagungkan kepada Allah zat yang Maha Agung.

Untuk segala harapan, kita akan berusaha dan minta kepada Allah agar tercapai impian kita. Khusyuk adalah tanda meningkatnya pergantungan kita kepada Allah semata-mata dan berlepasnya kita daripada berharap kepada makhluk.

5. Rasa malu dan kerdil di hadapan Allah

Setiap hari semua insan melakukan dosa. Ada amalan yang mungkin terkesan dek kerana rosaknya keikhlasan kita. Menyedari kekurangan dan kelemahan diri membuatkan kita mahu bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

Orang beriman pasti akan berusaha untuk mencintai Allah melebihi segala-galanya. Semua langkah mencapai khusyuk di dalam solat ini sebenarnya bertujuan supaya kita lebih dekat dengan Allah, kerana dengan cara ini sahajalah akan tercapai nikmat bersolat.

Hidup kita di dunia adalah semata untuk menyembah Allah s.w.t, melakukan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka, berusahalah untuk melakukan yang terbaik sebagai hamba-Nya. Dan ini bermula dengan satu-satunya perintah Allah yang disampaikan kepada rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w tanpa perantaraan wahyu daripada malaikat Jibril a.s iaitu solat.

      Baca : 5 Kebaikan Jika Bergelar Ibu Pada Usia 20-an

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Selain daripada lima tip di atas, ada satu lagi sifat yang perlu ada untuk mendapat khusyuk dalam solat iaitu sifat Ihsan. Pengertian ihsan ialah bahawa kamu mengerjakan ibadat kepada Allah s.w.t seolah-olah kamu melihat-Nya, sekiranya kamu tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah tetap melihat serta memerhatikan keadaan kamu.

Daripada sifat ihsan akan membuat kita melakukan sesuatu ibadah dan pekerjaan berasaskan ilmu dan kefahaman yang betul mengikut sunnah yang ditunjuki Nabi s.a.w dan ikhlas kerana Allah s.w.t semata-mata. Ihsan mencetuskan sikap dan akhlak yang mulia serta menjadikan kehidupan selesa dan aman. Dengan menghayati sifat ihsan, manusia akan sentiasa menyakini gerak-gerinya diperhatikan dan diketahui oleh Allah.

- Daku Amat

11 Cara Berkesan Untuk Jadi Orang Baik


Menjadi orang yang baik adalah keinginan setiap orang. Mereka yang baik adalah peribadi yang boleh membawa kebaikan bagi sekitarnya, bagi keluarga, saudara, teman, sahabat dan semua yang ada di sekitarnya. Kita hidup dalam keharmonisan dengan alam dan berbagai macam jenis orang dengan karakter masing-masing.

Berikut 11 cara berkesan untuk jadi orang baik :

1. Tebarkan salam

Maniskan senyuman. Senyuman akan menerobos menghampirii roh dan lubuk jiwa orang orang di sekeliling kita.

2. Bercakap dengan orang yang ada dalam hubungan hati dengan kita

Semudah kata "apa khabar" yang mudah atau selamat pagi. Apabila digabungkan dengan senyuman yang menyenangkan, akan mewujudkan hubungan hati.

3. Bantu seseorang yang tidak boleh membantu kita

Bayar minuman orang kampung di kedai kopi, penarik beca yang bersarapan pagi, tukang sapu yang sedang menyapu atau penjaga tandas yang sibuk membersihkan sisa-sisa.

4. Puji orang yang kita tidak kenali

Satu komen kecil secara kebetulan boleh membuat hari seseorang itu menjadi indah.

5. Mengalah dalam perdebatan

Berikan kemenangan itu pada orang lain. Kita tidak perlu sentiasa betul. Walaupun ada kalanya kita tahu, kita memang betul.

6. Maafkan semua orang

Mudah sebut, namun sukar untuk dibuat. Buat juga. Panjangkan rahmat Allah dengan sentiasa mendoakan kepada orang-orang yang menganiaya kita. Doa orang-orang teraniya itu makbul.

7. Pengorbanan

Ini kata kunci besar. Sesuatu yang kecil pada hemat kita besar maknanya pada orang lain. Berkongsi makan tengah hari nasi bungkus dengan orang yang kehilangan tempat tinggal. Beli barang-barang runcit setiap bulan kepada 7 keluarga yang benar-benar memerlukannya.

8. Sentuh orang orang bawah

Satu sentuhan fizikal kecil boleh menghubungkan kita kepadanya dan membolehkan dia tahu masih ada seseorang yang peduli. Mata tambahan apabila kita boleh berhubung dengan orang yang kehilangan tempat tinggal atau dalam kesusahan.

9. Berikan masa kita

Jadi Grand Tutor anak-anak atau pun cucu-cucu. Andai kita masih muda, baca kepada orang yang tua. Andai kita ada asas ilmu agama, berikan tazkirah. Beri masa berharga kita kepada mereka yang dapat membina masa depan.

10. Carilah cara-cara kecil untuk buat orang lain sentiasa tersenyum

Usah lukakan hati orang lain. Masa sudah terlalu singkat untuk bersengketa.

11. Solat diawal waktu

Solat dan solat. Pohon hidayah, keampunan dan kasih sayang dari Allah s.w.t.

Kesimpulan

Setia tindakan itu memerlukan keputusan aktif. Kita mesti meletakkan hak orang lain sebelum hak diri sendiri. Tunai hak tanpa kita menuntut hak. Hidup dengan memberi dan berkongsi. Ini adalah 11 idea mudah dan sebahagian daripada kehidupan sehari-hari kita.

Kita akan telah mendapat kasih sayang apabila kita tebarkan kasih sayang. Kita akan menjadi baik apabila kita bermula dengan jadi baik. Hidup kita akan menjadi lebih baik apabila kita mula memperbaiki diri.

6 Anekdot Dan Nota Untuk Muhasabah Diri


Anekdot Muhasabah 1

Pada suatu ketika pernah Imam Hasan Basri Rahmatullah 'alaih ditanya; "Apa rahsia zuhudmu di dunia ini?"

Beliau menjawab;

"Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itu hatiku selalu tenang."

"Aku tahu amalku tidak akan dikerjakan orang lain, kerana itulah aku sibuk beramal soleh."

"Aku tahu Allah Taa'la selalu memerhatiku, kerana itu aku malu jika Allah melihatku dalam maksiat."

"Aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan Allah."

Anekdot Muhasabah 2

Pernah ditanya kepada Sayyidil Habib Taufiq Seggaf Rahmatullah 'alaih tentang cara untuk meninggalkan maksiat. Maka dijawab oleh Sayyidil Habib;

"Hidup berteman orang soleh itu lebih baik daripada hidup bersendirian. Dan hidup bersendirian itu lebih baik daripada hidup berteman orang jahat."

Sayyidil Habib menasihati kita semua supaya sentiasa berteman atau bersahabat dengan orang soleh dan ahli ibadah, kerana hal itu akan menguatkan hati kita untuk semangat beribadah.

Demikian juga Sayyidil Habib menasihati kita semua supaya menjauhi teman-teman yang 'buruk' (yakni yang jahat dan ahli maksiat), kerana hal itu akan dapat mengelakkan diri kita daripada berbuat maksiat.

Nota Muhasabah 3

Hidup ini kena ada tujuan. Kalau tanpa tujuan, apa gunanya hidup?

Nota Muhasabah 4

Dakwah itu ialah; dakwah, taklim wa taklum, zikir ibadat dan khidmat. Kalau kita tak khidmat nanti kita jadi sombong.

Siapa buat khidmat maka dia akan dapat sifat tawaduk. Dan hidupkan malam dengan 4 amalan malam iaitu; Tahajud, zikir, doa panjang-panjang dan baca al-Quran yakni dengan melihat mushaf sebelum masuknya solat fardhu subuh.

Nota Muhasabah 5

Waktu makin singkat, umur makin meningkat, ajal makin dekat, kanan dan kiri ada malaikat yang tidak pernah lupa mencatat amal setiap saat.

Nota Muhasabah 6

Hidup itu antara B - Birth (LAHIR) dan D - Death (MATI), di antaranya adalah C - Choice (PILIHAN) hidup yang kita jalani. Keberhasilannya ditentukan oleh setiap pilihan kita.

Jika kamu mahu berjalan cepat, jalanlah bersendirian tetapi jika kamu mahu berjalan jauh, jalanlah bersama-sama.

Jangan Hina Janggut Kerana Ia Sunnah Nabi s.a.w Yang Akan Bersama Kita Dalam Kubur


Lihyah atau janggut ialah sunnah Nabi s.a.w dan juga para Nabi sebelum Baginda. Dalam al-Quran ada ayat yang merakam perbuatan Nabi Musa a.s menarik janggut saudaranya Nabi Harun a.s. Dari rakaman ayat itu kita dapat tahu bahawa Nabi-Nabi itu berjanggut dan keadaan janggut Nabi itu adalah yang dapat ditarik panjangnya.

Kisah Pertama

Suatu kali jemaah dakwah keluar ke satu masjid di kawasan utara semenanjung. Bersama jemaah tersebut ialah Pak Mufti Hamed atau cikgu Hamed Penanti (pakar debat).

malam itu ada seorang ustaz memberi tazkirah di masjid tersebut. Ustaz itu janggutnya tiada dan ada kesan-kesan cukur. Bila dia ceramah, dia nampak jemaah ada di situ. Dia kurang suka dengan jemaah, maka di akhir-akhir tazkirahnya dia selitkan cerita kononnya lawak tapi menghina orang-orang yang berjanggut. Dia seolah-olah (mungkin tanpa sedar atau kejahilan telah) memperlekehkan sunnah Nabi s.a.w.

Setelah tamat tazkirah, pendengar diberi peluang untuk bertanyakan soalan. Pak Mufti Hamed bangun bertanya; "Ustaz, ada sekali di satu kawasan di India berlaku pergaduhan antara muslim dan hindu. mereka saling berbunuhan, akhirnya ramai sangat yang mati. Pemerintah hantar tentera untuk selesaikan masalah ini.

Setelah bubar, pemerintah menghadapi masalah bagaimana nak tanam? kerana orang Islam yang meninggal akan ditanam tetapi orang hindu tak ditanam tapi dengan cara dibakar mayat mereka.

Pemerintah pening macam mana nak tanam kerana susah nak bezakan sebab dua-dua pihak orang India tapi berbeza agama. Akhirnya pemerintah buat keputusan, mana yang ada janggut kita kira dia sebagai muslim dan kita tanam manakala yang tak ada janggut, kita kira dia hindu dan kita bakar.

Pak Mufti Hamed tanya, soalan saya ialah kalau ustaz adalah masa dalam pergaduhan itu, agak-agak dengan keadaan ustaz yang tak ada janggut, rasa-rasa ustaz, ustaz kena tanam atau kena bakar?

Saya tak mahu malukan ustaz di depan orang tetapi ustaz telah hina sunnah Nabi s.a.w, kekasih kami di depan orang..."

Kisah Kedua

Dua tahun yang lalu, seorang ustaz berpeluang bertemu dengan Syeikhul Hadith Maulana Talha bin Maulana Zakariya Kandahlawi di Madinah. Beliau ulama hadis yang digelar 'Musnad Bergerak' dan beliau sangat-sangat keras dalam bab janggut. Begitu juga ayahnya Maulana Zakariya, begitu sedih melihat Islam orang cukur janggut sehingga telah menulis kitab khas mengenai janggut.

Ketika ustaz tersebut menziarahi Maulana, ada seorang India datang hendak salam dengan Maulana tapi orang itu cukur janggut. Maulana kata; "kenapa kamu datang Madinah? Dengan kamu cukur janggut, kamu telah cukur hati Nabi s.a.w. Kamu buat haji tapi cukur janggut kamu buat haji dalam keadaan berdosa. Tahun depan datang lagi buat haji dengan berjanggut."

Ada seorang Pakistan pula jumpa Maulana tapi juga tak ada janggut, Maulana bagi dia kitab berkaitan janggut karangan ayahnya dan orang itu tak boleh datang dekat kerana cukur janggut.

Kesimpulan

Janggut adalah sunnah Nabi s.a.w yang akan kekal dan bersama kita di dalam kubur. Jadi, kita seharusnya gembira memelihara janggut kerana ia sunnah Habibullah (Kekasih Allah) iaitu Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Kepada mereka yang belum ada janggut boleh beli minyak Malaya Beard oil. Usahalah untuk ada janggut.

Akhir kata, jom kita simpan janggut dan nipiskan misai.

Bandingkan Kepintaran Dirimu Dengan Ayam Jantan


Kepintaran adalah merujuk kepada kepandaian seseorang membuat sesuatu, kecerdikan seseorang dalam memikirkan sesuatu dan kemahiran seseorang dalam mengendalikan sesuatu.

Hari ini kita melihat manusia dari sudut tiga kepintaran iaitu kepintaran mental, kepintaran emosi dan kepintaran spiritual. Maka timbulah istilah Intelligence Quotient (IQ) iaitu ukuran tentang kepintaran mental, Emosional Quotient (EQ) iaitu ukuran tentang kepintaran emosi dan Spiritual Quotient (SQ) iaitu ukuran tentang kepintaran spiritual (kerohanian).

IMAM al-Ghazali rahmatullah 'alaih pernah ditanya anak muridnya perihal bagaimana cara mengukur kepintaran seseorang?

Dijawab beliau;

"Tak perlu bandingkan dirimu dengan orang lain. Cukup bandingkan kepintaran dirimu dengan ayam jantan yang berkokok di pagi hari. Dan lihatlah siapa yang terlebih dahulu bangun untuk mengingati Rabbnya, maka itulah yang lebih pintar."

Dan beliau ditanya, bagaimana cara awal untuk mencintai Allah?

Beliau pun memberi jawapan;

"Belajarlah mencintai Allah dengan mencintai rumah-Nya (yakni masjid). Dan cintailah masjid melebihi cinta kamu pada rumah kamu sendiri."

Apa Persiapanmu Untuk Kubur Dan Akhiratmu


Inilah di antara tulisan terbaik Syekh Ali Thanthawi, ulamak dari Mesir Rahimahullah :

Pada saat engkau mati, janganlah kau bersedih. Jangan pedulikan jasadmu yang sudah mulai layu, kerana kaum muslimin akan menguruskan jasadmu. Mereka akan melucutkan pakaianmu, memandikanmu dan mengkafanmu lalu membawamu ke tempatmu yang baru iaitu KUBURAN!

Akan ramai orang yang menghantarkan jenazahmu bahkan mereka akan meninggalkan pekerjaannya untuk ikut menguburkanmu. Dan mungkin banyak yang sudah tidak lagi memikirkan nasihatmu pada suatu hari...

Barang-barangmu akan dikemas, kitab, kasut dan pakaianmu. Jika keluargamu setuju barang-barang itu akan disedekahkan agar bermanfaat untukmu.

Yakinlah! Dunia dan alam semesta tidak akan bersedih dengan pemergianmu. Ekonomi akan tetap berlangsung! Posisi pekerjaanmu akan diisi orang lain. Hartamu menjadi harta halal bagi ahli warismu. Sedangkan kamu yang akan dihisab dan DIPERHITUNGKAN untuk yang kecil dan yang besar dari hartamu!

Kesedihan atasmu ada tiga :

1 - Orang yang mengenalmu sekilas akan mengatakan, kasihan.

2 - Kawan-kawanmu akan bersedih beberapa jam atau beberapa hari lalu mereka kembali seperti sediakala dan tertawa-tawa!

3 - Di rumah ada kesedihan yang mendalam! Keluargamu akan bersedih seminggu dua minggu, sebulan dua bulan dan mungkin hingga setahun? Selanjutnya mereka meletakkanmu dalam arkib kenangan.

Demikianlah, "Kisahmu telah berakhir di tengah-tengah manusia". Dan kisahmu yang sesungguhnya (sebenar-benarnya) baru dimulai iaitu AKHIRAT!

Telah musnah kemuliaan, harta, kesihatan dan anak-pinak. Telah engkau tinggalkan rumah, istana dan isteri tercinta. Kini hidup yang sesungguhnya (sebenar-benarnya) telah dimulai.

Pertanyaannya adalah; Apa persiapanmu untuk kuburmu dan Akhiratmu?

Hakikat ini memerlukan renungan.

Usahakan dengan bersungguh-sungguh, menjalankan kewajiban-kewajiban, hal-hal yang disunnahkan, sedekah rahsia, merahsiakan amal soleh, solat malam. Semoga engkau selamat.

Andai engkau mengingatkan manusia dengan tulisan ini Insya Allah pengaruhnya akan engkau temui dalam timbangan kebaikanmu pada hari Kiamat.

"Berilah peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat bagi orang orang mukmin"

Jangan Pernah Jemu Mengetuk Pintu-Nya


Fudhail bin 'Iyadh berkata; "Aku belajar tentang sabar daripada seorang kanak-kanak kecil..."

Pada suatu hari, dalam perjalananku ke masjid aku melintasi sebuah rumah. Aku terdengar seorang kanak-kanak sedang menjerit dipukul ibunya.

Sebentar kemudian kanak-kanak itu membuka pintu dan lari keluar dari rumah. Dan ibunya lantas menutup pintu dan menguncinya.

Selepas itu, aku bertemu dengan kanak-kanak itu. Selepas dia berhenti menangis, dia mula menoleh ke kanan dan ke kiri mencari perlindungan, namun dia tidak menemui sesiapa dan tidak menemui sebarang tempat untuk dia berlindung.

Lalu dia kembali ke rumah ibunya. Didapati pintu rumah masih berkunci. Lalu dia merebahkan badan, meletakkan pipinya di hadapan pintu dan tertidur di situ.

Manakala ibunya membuka pintu dan mendapati anaknya dalam keadaan itu, dia tidak dapat menahan diri lalu rebah di atas badan anaknya dan menciumnya bertalu-talu seraya berkata; "Duhai anakku, ke mana engkau pergi tinggalkan ibu? Siapa yang dapat menjagamu selain aku? Tidakkah aku telah berkata kepadamu, jangan lawan cakap ibu?"

Si ibu memeluk erat anaknya dan membawanya masuk ke dalam rumah.

Melihat peristiwa itu, Fudhail menangis sehingga basah janggutnya. Dia berkata; "Maha Suci Allah! Sekiranya seseorang hamba sabar menunggu di pintu Allah, pastilah Allah akan buka pintu-Nya untuk hamba itu...!"

Abu Darda' r.hu berkata; "bersungguh-sungguhlah berdoa. Sesungguhnya siapa yang banyak mengetuk pintu, tidak lama pintu itu akan dibuka untuknya."

Maka sesiapa yang belum mengecapi kemanisan puasa, qiam, sedekah dan tilawah al-Quran sehingga sekarang, jangan berputus asa. Jangan tinggalkan pintu Allah kerana sebentar lagi ia akan dibuka. Sabarlah seketika cuma. Mudah-mudahan Allah akan buka pintu-pintu rahmat-Nya untukmu dan akan berjuraian anugerah-Nya.

Awasi 9 Pencuri Di Bulan Ramadhan


Dalam bulan Ramadhan Syaitan yang jadi musuh nyata (mubin) sudah kena rantai/belenggu tapi rupa-rupanya ada musuh lain yang selalunya kita terlepas pandang.

Perkara berikut ini bukan tak penting langsung tetapi kalau banyak atau asyik sangat, ia 'mencuri' masa kita, ia perlu ditangani segera. Kerana sebabnya, kita serba tak sempat untuk meraih 1001 peluang ibadat di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.

Sedangkan ganjaran pahala berlipat kali ganda di dalam bulan ini, di mana satu amalan sunat dapat pahala seperti satu amalan fardhu dan satu amalan fardhu dapat ganjaran pahala seperti 70 amalan fardhu di bulan-bulan lain.

Berikut ini 9 pencuri yang kita selalu terlepas pandang di bulan Ramadhan :

1. TV

Ini merupakan pencuri yang merbahaya, yang boleh merosakkan puasa seseorang dan mengurangi pahalanya, seperti filem, drama dan iklan murahan yang mendedahkan aurat.

2. Bazaar Ramadhan

Ini juga merupakan pencuri istimewa dalam menghabiskan wang dan waktu tanpa batas. Oleh kerana itu, tentukan perbelanjaan kita mengikut keperluan ketika pergi ke pasar atau bazaar Ramadhan.

3. Berjaga malam untuk perkara lagha

Pencuri yang mengambil waktu yang paling berharga. Pencuri yang mengambil waktu untuk solat tahajud dari seseorang hamba di sepertiga malam terakhir dan mencuri kesempatan untuk istighfar serta taubat di waktu sahur.

4. Dapur

Pencuri yang banyak mengambil waktu yang panjang untuk membuat berbagai jenis masakan, berupa makanan dan minuman. Hampir-hampir semuanya tidaklah masuk ke mulut, kecuali sedikit sahaja. Selebihnya banyak terbuang membazir.

5. Handphone

Sebahagian orang hanya sekadar menjawab panggilan masuk namun ia boleh diserang dengan dosa berupa mengumpat, mengadu domba, dusta, memuji diri sendiri atau orang lain, menceritakan rahsia dan keaiban orang lain, berdebat tanpa ilmu, ikut campur urusan orang dan sebagainya dari kesalahan-kesalahan mulut yang banyak. Ia juga merupakan majlis yang kosong dari zikir.

6. Muzik

Antara haq telinga adalah mendengar ayat-ayat suci al-Quran. Dalam bulan Ramadhan masa terbaik untuk banyak membaca dan sekaligus mendengar al-Quran. Tetapi kalau telinga asyik dengar muzik automatik waktu yang sepatutnya diperuntukkan untuk dengar al-Quran akan terbatas. Apatah lagi muzik sangat mudah buat hati jadi lagha.

7. Bakhil

Sedekah akan melindungi kita dari neraka dan sebaik-baik sedekah adalah di bulan Ramadhan. Maka bersedekahlah secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi.

8. Majlis yang kosong dari mengingati Allah

Pencuri ini adalah yang mempersiapkan bagi kita penyesalan di akhirat nanti. Nabi s.a.w bersabda, tidaklah suatu kaum bermajlis, tidak mengingati Allah dan tidak juga berselawat kepada Nabi mereka kecuali mereka meninggalkan penyesalan. Jika Allah mahu maka Allah akan menyiksa mereka, jika berkehendak, Allah mengampuninya.

9. Media sosial

Adapun pencuri terbesar adalah Facebook, WhatApps dan lain-lain aplikasi media sosial dengannya apabila tidak digunakan dengan benar dalam kebaikan dalam menyambut tamu yang berharga ini iaitu bulan Ramadhan.

Kesimpulan

Marilah kita mewasiatkan kepada diri kita untuk bersiap sedia menyambut bulan yang mulia ini. Jika kita mendapatinya pada tahun ini, maka belum tentu kita akan dapatkannya pada tahun-tahun yang akan datang.

Muhasabahlah sebelum Ramadhan tiba kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

MARHABAN YA RAMADHAN

Kata-Kata Ulama Berkenaan Dosa


Thabit bin Qurrah berkata :

“Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap.

Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan).

Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.”

Abdullah bin Mubarak berkata :

“Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa.”

Astaghfirullah waatubu ilaih. Moga Allah jauhkan kita dari dosa-dosa.

Sabar Adalah Pada 'Tamparan' Pertama


Lihat kembali apa yang kita ada. Apakah semuanya sudah kita jangka dan minta sebelumnya?

Kebanyakannya tidak!

Kerap berlaku kita mendapat apa yang kita tidak suka, namun akhirnya hati kita terbuka menerimanya malah menyukainya.

Begitulah bicara taqdir!

Allah s.w.t sentiasa mengetahui apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri.

Sabar itu pada TAMPARAN pertama. Pada ketika itulah mesti segera dibisikan;

"Aku milik Allah, kepada-Nya aku akan dikembalikan..."

Pada saat diuji, sering Rasulullah s.a.w berkata;

"Aku hamba Allah, Allah tidak akan mengecewakan ku!"

Ya, Allah tidak akan mengecewakan kita, DIA menyayangi hamba-Nya.

Sebab Orang Menjerit-Jerit Ketika Marah Dan Bercakap Perlahan Ketika Berkasih Sayang


Seorang Syeikh berjalan dengan para muridnya. Mereka melihat ada sebuah keluarga yang sedang bertengkar dan saling menjerit-jerit.

Syeikh tersebut berpaling kepada muridnya dan bertanya;

"Mengapa orang saling menjerit-jerit jika mereka sedang marah?"

Salah seorang murid menjawab;

"Kerana kehilangan sabar sebab itulah mereka menjerit-jerit!"

"Tetapi, mengapa harus menjerit-jerit kepada orang yang berada di sebelahnya? Bukankah pesan yang ia sampaikan boleh diucapkan dengan perlahan saja?" Tanya Syeikh menguji murid-muridnya.

Muridnya pun saling memberikan jawapan, namun tidak satupun jawapan yang mereka sepakati.

Akhirnya Syeikh berkata;

"Bila dua orang sedang marah, ketahuilah hati mereka saling berjauhan. Untuk dapat menempuh jarak yang jauh itu, mereka mesti menjerit-jerit agar perkataannya dapat didengar. Semakin marah, maka akan semakin kuat jeritannya. Kerana jarak kedua hati semakin jauh."

"Begitu juga sebaliknya, bagaimana di saat kedua insan saling jatuh cinta?" Tanya Syeikh.

"Mereka tidak saling menjerit antara yang satu dengan yang lain. Mereka berbicara lembut kerana hati mereka berdekatan. Jarak antara kedua hati sangat dekat."

"Bila mereka semakin lagi saling mencintai, apa yang terjadi?" Tanya Syeikh lagi.

Mereka tidak lagi bicara. Mereka Hanya berbisik dan saling mendekat dalam kasih-sayang. Pada Akhirnya, mereka bahkan tidak perlu lagi berbisik. Mereka cukup hanya dengan saling memandang. Itu saja. Sedekat itulah dua insan yang saling mengasihi."

Syeikh memandang muridnya dan mengingatkan dengan lembut;

"Jika terjadi pertengkaran di antara kalian, jangan biarkan hati kalian berjauhan. Jangan ucapkan perkataan yang membuat hati kian menjauh. Kerana jika kita biarkan, satu hari jaraknya tidak akan lagi boleh ditempuh!"

Sifat Malas Dan Suka Bertangguh Musuh Dalam Diri


Antara musuh yang ada dalam diri kita ini ialah sifat malas. Dan sifat malas ada 'sahabat baik' namanya sifat suka bertangguh.

Kerana sifat malas dan suka bertangguh inilah kadang-kadang kita solat fardhu zohor dekat-dekat nak masuk waktu Asar. Solat Dhuha dari jam 8 pagi terasa nak buat tapi sebab ada malas dan suka bertangguh sedar-sedar sudah zohor.

Baca al-Quran nak khatam setahun sekali pun susah sebab ada malas dan suka bertangguh.

Kerja-kerja di rumah dan office pun tak selesai sebab ada sifat malas dan suka bertangguh ini. Akhirnya kita yang serabut kerja tak selesai.

Teringin nak berubah tapi sebab ada malas dan bertangguh maka sampai ke hari ini kita masih di tahap yang lama. Perangai dan amal kita tidak juga berubah.

Apa tunggu lagi?

Buanglah dua sifat 'memudaratkan' ini. Selagi ada malas dan suka bertangguh, selagi itulah kita tak akan berjaya mengubah hidup kita.

Jangan malas dan bertangguh, lebih-lebih lagi untuk perkara akhirat sebab khuatir disebabkan suka bertangguh, nanti sedar-sedar sudah balik ke akhirat!

Ketika itu tidak ada peluang lagi untuk kembali ke dunia.

Maksiat Kala Sepi


Ada seseorang yang ketika di hadapan orang ramai terlihat alim dan soleh. Namun di kala bersendirian, di saat sepi, ia menjadi orang yang menerjang (melanggar) larangan Allah.

Inilah yang dapat dilihat dari para penggiat dunia maya. Ketika di keramaian atau dari komentar ia di dunia maya, ia berlaku sebagai seorang alim dan soleh. Namun bukan bermakna ketika dalam kesepian, ia seperti itu juga.

Ketika bersendirian melayari internet, ia sering bermaksiat. Pandangan mata dan pendengarannya tidak lagi ia jaga kerana takwa kepada Allah.

Keadaan semacam itu telah disebut oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam jauh-jauh hari. Dalam sebuah hadis disebutkan;


Dari Tsauban, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, ia berkata;

“Sungguh aku mengetahui suatu kaum dari umatku datang pada hari kiamat dengan banyak kebaikan semisal Gunung Tihamah. Namun Allah menjadikan kebaikan tersebut menjadi debu yang bertebaran.” Tsauban berkata, “Wahai Rasulullah, cuba sebutkan sifat-sifat mereka pada kami supaya kami tidak menjadi seperti mereka sedangkan kami tidak mengetahuinya.”
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda; “Adapun mereka adalah saudara kalian. Kulit mereka sama dengan kulit kalian. Mereka menghidupkan malam (dengan ibadah) seperti kalian. Akan tetapi mereka adalah kaum yang jika bersepian mereka merobek tirai untuk bermaksiat pada Allah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan. Ibnu Majah membawakan hadis di atas dalam Bab “Mengingat Dosa”).
Hadis di atas semakna dengan ayat al-Quran berikut :


“mereka bersembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi dari Allah, padahal Allah beserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak redhai. Dan adalah Allah Maha Meliputi (ilmu-Nya) terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nisa’ : ayat 108)
Walaupun dalam ayat di atas tidak disebutkan tentang hancurnya amalan.

Ada beberapa makna dari hadis Tsauban yang disebutkan di atas :

Pertama :

Hadis tersebut menunjukkan keadaan orang munafik, walaupun kemunafikan yang ia perbuat adalah kemunafikan dari sisi amal, bukan iktiqad (keyakinan). Sedangkan hadis Abu Hurairah r.a berikut dimaksudkan pada kaum muslimin.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;


“Setiap umatku dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan dalam bermaksiat. Iaitu seseorang yang telah berbuat dosa di malam hari lantas di pagi harinya ia berkata bahawa ia telah berbuat dosa ini dan itu padahal Allah telah menutupi dosanya. Pada malam harinya, Allah telah menutupi aibnya, namun di pagi harinya ia membuka sendiri aib yang telah Allah tutupi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar Al-Haitami mengatakan dalam Az-Zawajir ‘an Iqtiraf Al-Kabair, mengenai dosa besar seperti berikut :

“Termasuk dosa besar adalah dosa yang dilakukan oleh orang yang menampakkan kesolehan, lantas ia menerjang larangan Allah. Walau dosa yang diterjang adalah dosa kecil dan dilakukan di kesepian. Ada hadis dari Ibnu Majah dengan sanad berisi perawi tsiqah (berkredibiliti) dari Tsauban radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda; “Sungguh aku mengetahui suatu kaum dari umatku datang pada hari kiamat dengan banyak kebaikan…” Kerana kebiasaan orang soleh adalah menampakkan lahiriyah. Kalau maksiat dilakukan oleh orang soleh walaupun sembunyi-sembunyi, tentu mudaratnya besar dan akan mengelabui kaum muslimin. Maksiat yang orang soleh terjang tersebut adalah tanda hilangnya ketakwaan dan rasa takutnya pada Allah.”

Kedua :

Yang dimaksud dalam hadis Tsauban dengan bersendirian dalam maksiat pada Allah tidak bererti maksiat tersebut dilakukan di rumah seorang diri, tanpa ada yang melihatnya sahaja. Bahkan boleh jadi maksiat tersebut dilakukan dengan jamaahnya atau orang yang 'sekepala' dengannya.

Ketiga :

Makna hadis Tsauban adalah bagi orang yang menghalalkan dosa atau menganggap remeh dosa tersebut.

Syaikh Muhammad Al-Mukhtar Asy-Syinqithi berkata, ada orang yang melakukan maksiat sembunyi-sembunyi namun penuh penyesalan. Orang tersebut bukanlah orang yang merobek tabir untuk menerjang yang haram. Ini kerana asalnya orang semacam itu mengagungkan syariat Allah. Namun ia terkalahkan dengan syahwatnya. Adapun yang bermaksiat lainnya, ia melakukan maksiat dalam keadaan berani (menganggap remeh dosa). Itulah yang membuat amalannya terhapus.

Semoga kita dapat menjauhi dosa dan maksiat di kala sepi dan di kala terang-terangan. Jadikan, nasihat ini untuk setiap diri kita secara peribadi.

Hidup Lebih Berharga


Waktu sedang "di puncak" kita merasa banyak teman di sekeliling kita.

Waktu sedang "berkuasa" kita percaya diri boleh melakukan apa saja.

Waktu sedang "tak berdaya" barulah kita sedar siapa sebenarnya sahabat sejati yang kita ada.

Waktu sedang "jatuh" kita baru sedar selama ini, siapakah teman yang memperalat dan memanfaatkan kita.

Waktu sedang "sakit" kita baru tahu bahawa sihat itu sangat penting, jauh melebihi harta.

Waktu kita "miskin" baru kita insaf pentingnya amalan sedekah walau pun seringgit dan saling membantu saudara kita.

Masuk "usia tua" baru kita tahu rupanya masih banyak amalan dituntut Allah yang belum dikerjakan dan masih banyak ilmu yang kurang dan baru kenal jalan ke masjid.

Saat "di ambang ajal" kita baru tahu ternyata begitu banyak waktu yang terbuang sia-sia.

Hidup tidaklah lama,

Sudah saatnya kita bersama-sama membuat hidup lebih berharga dengan :

1. Saling menghargai,
2. Saling membantu,
3. Saling memberi,
4. Saling mendukung.

Jadilah teman setia tanpa syarat. Jangan saling memotong dan menggunting sesama teman. Tunjukkanlah bahawa anda masih mempunyai "hati nurani" yang tulus.

Jauhkan niat jahat untuk mencelakai atau memfitnah.

Jauhkan niat memaksa seseorang melakukan suatu hal untuk kepentingan peribadi kita.

Apa yang ditabur itulah yang akan dituai!

Allah s.w.t tidak pernah menjanjikan bahawa langit itu selalu biru, bunga selalu mekar dan mentari selalu bersinar.

Tetapi ketahuilah bahawa Allah s.w.t selalu memberi pelangi di setiap badai, senyum di setiap air mata, Rahmat dan berkat di setiap cubaan dan jawapan di setiap doa.

Jangan pernah menyerah. Teruslah istiqamah beribadah kerana hidup ini terlalu indah.

Hidup bukanlah suatu tujuan, melainkan sebuah persinggahan sementara.

Sahabatku, indahnya hidup bukan kerana banyak orang mengenal kita, namun berapa banyak orang yang merasa bahagia kerana mengenal kita.
You might like these as well: