6 Pesanan Untuk Para Isteri Solehah


Untuk memastikan kaum wanita hari ini kembali kepada tempat dan kemuliaannya ada 6 pesanan yang telah digariskan oleh masyaikh (ulama) khas untuk para wanita.

Berikut 6 pesanan untuk para isteri solehah :

1. Pesanan Pertama : Solat Fardhu Di Awal Waktu

Wanita perlu usaha untuk solat fardhu di awal waktu di rumah dan menggalakkan mahram (lelaki) solat fardhu awal waktu di masjid atau surau di tempat azan diazankan secara berjemaah.

Usahalah agar segala kerja rumah dapat dibereskan sebelum masuk waktu solat fardhu. Apabila masuk waktu solat, solatlah di awal waktu dan seelok-eloknya di tempat yang dikhaskan untuk bersolat di dalam rumah.

Sekiranya seorang wanita melengah-lengahkan solat fardhu, tiba-tiba dia datang uzur (haid) tanpa sempat menunaikan solat tersebut maka dia akan dianggap sebagai seorang yang telah melengah-lengahkan solat.

Disamping itu seorang wanita atau isteri hendaklah mengalakkan suami serta mahram agar bersolat di masjid di tempat azan diazankan. Ini kerana jika seorang suami solat fardhu berjemaah di masjid atau surau, isteri di rumah juga akan mendapat pahala solat berjemaah 27 kali ganda.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Jika tidak kerana kaum wanita dan kanak-kanak berada di dalam rumah itu nescaya akan aku bakar rumah-rumah di mana penghuni lelakinya tidak solat berjemaah di masjid".
Ganjaran Solat Di Awal Waktu

1. Jika berwuduk dan duduk tunggu azan untuk solat maka di akhirat nanti Allah s.w.t akan bangkitkan kita dengan muka bercahaya seperti matahari.

2. Jika berwuduk ketika azan sedang diazankan maka di akhirat nanti Allah s.w.t akan bangkitkan kita dengan muka bercahaya seperti bulan purnama.

3. Jika berwuduk selepas azan diazankan maka di akhirat Allah s.w.t akan bangkitkan kita dengan muka yang bercahaya seperti bintang.

2. Pesanan Kedua : Istiqamah Membaca Al-Quran Dan Berzikir

Sedaya upaya cuba istiqamah membaca Al-Quran setiap hari jika tidak uzur. Hak Al-Quran hendaklah khatam sekurang-kurangnya 2 kali setahun.

Usahalah agar anak-anak juga dibiasakan dengan membaca Al-Quran setiap hari dan usahalah agar jadikan salah seorang anak-anak kita dikalangan Hafiz atau hafizah Al-Quran.

Usahalah agar istiqamah membaca surah-surah di mana Nabi Muhammad s.a.w tidak lupa membacanya setiap hari iaitu :

1. Surah Yasiin (seperti khatam 10 kali Al Quran).

2. Surah Al-Waqiah (dijauhkan dari kepapaan).

Surah Al-Mulk dan As-Sajadah (dijauhkan dari seksa kubur).

Surah Al-Kahfi (setiap hari Jumaat. Nur akan bersamanya hingga jumaat akan datang).

3. Pesanan Ketiga : Istiqamah Menghidupkan Majlis Taklim Rumah

Hidupkanlah majlis taklim (bacaan kitab fadhail amal dan Muntakhab Ahadis) di rumah sekurang-kurangnya 30 minit serta adakan juga muzakarah 6 sifat sahabat.

Majlis ini hendaklah diadakan secara istiqamah setiap hari pada masa dan tempat yang tetap serta melibatkan semua ahli di dalam rumah.

Kesan dari majlis pembacaan hadis ini akan melembutkan hati kita dan hati anak-anak. Majlis bacaan hadis juga akan menyebabkan rumah-rumah kita bercahaya seperti bintang-bintang.

Syaitan akan keluar dari rumah dan para malaikat akan berada di dalam rumah. Rumah juga akan menjadi sumber hidayat untuk jiran-jiran. ALLAH s.w.t akan turunkan rahmat, keberkatan dan ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam rumahtangga.

4. Pesanan Keempat : Mendidik Anak Dengan Didikan Agama dan Sunnah

Wujudkan suasana madrasah didalam rumahtangga kita dengan suasana iman dan amal maka dengan sendirinya anak-anak akan dapat didikan agama yang lebih sempurna.

Dekatkan anak-anak dengan kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat supaya kisah-kisah ini dapat membentuk akhlak dan peribadi anak-anak.

Awasi pergaulan mereka, akhlak mereka, pakaian mereka dan makan-minum mereka. Ajarkan supaya mereka yakin kepada Allah.

Ajarkan mereka doa-doa harian dan sunnah-sunnah Nabi Muhammad s.a.w dalam setiap perbuatan harian mereka. Ajarkan anak solat apabila telah berumur 7 tahun dan rotani mereka jika tidak bersolat apabila telah berusia 10 tahun. Ajarkan anak-anak membaca Al-Quran.

5. Pesanan Kelima : Hidup Secara Sederhana

Hidup sederhana mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Elakkan pembaziran dengan membeli perkara-perkara bermanfaat sahaja.

Jika kita dapat mengamalkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w dalam kehidupan harian, Insya Allah dengan sendirinya kita akan amalkan hidup secara sederhana. Jadikan kehidupan Nabi dan para sahabat sebagai ikhtibar. Hidup sederhana menyelamatkan kita dari kesusahan dan kerisauan.

6. Pesanan Keenam : Galakkan suami keluar di jalan Allah (khuruj fisabilillah)

Galakkan suami atau mahram agar keluar untuk bantu agama Allah supaya suami atau mahram balik bersama tarbiah dari Allah dengan iman yakin yang bulat pada Allah s.w.t (Allah maha kuasa selain Allah adalah makhluk langsung tiada apa-apa kuasa) kedalam rumahtangga supaya suasana iman dan amal dapat diwujudkan di dalam rumah.

Apabila tiap-tiap rumah dapat keluarkan orang-orang lelaki dalam usaha ini maka akan wujudlah suasana agama, ketenteraman, ketenangan dan kesefahaman dan wujudlah fikir yang sama (fikir agama) dalam rumah.

Kelebihan seorang isteri yang redha suaminya keluar di jalan Allah akan dimasukkan di dalam syurga 500 tahun lebih awal dari suami dan akan menjadi ketua bidadari yang menunggu suami di pintu syurga.

Insya Allah, sama-sama kita dapat amal dan sampaikan pada orang lain.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: