Memaparkan catatan dengan label Doa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Doa. Papar semua catatan

Doa Agar Segera Dipertemukan Jodoh Terbaik


Allah menjadi perempuan sebagai pasangan bagi lelaki. Keduanya akan menikah dan melahirkan anak. Perempuan dan anak juga dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai penyejuk hati bagi lelaki, suami mahupun bapa.

Betapa bahagianya sebuah keluarga yang di dalamnya terdapat suami yang soleh dan amanah, isteri yang solehah, serta anak-anak yang taat dan berbakti.

Kebersamaan yang membahagiakan ini adalah hak semua insan. Siapa pun ia, dari mana pun bangsa atau sukunya. Teruslah berusaha dan berdoa, insya Allah, Allah s.w.t akan memakbulkannya.

Dengan doa di bawah ini, semoga siapa pun yang belum berjodoh segera didekatkan oleh Allah s.w.t dengan jodoh terbaiknya.

Dibaca oleh perempuan :


Allaahumma zawwijnii rajulan shaalihan taqarru bihii ‘ainii wa taqarru bii ‘ainuhuu yaa dzal jalaali wal-ikraam.

“Ya Allah, nikahkanlah aku dengan lelaki yang shalih yang menyejukkan hatiku (tenang dipandang) dan aku pun membahagiakan hatinya, wahai Dzat yang Mahaluhur dan mulia.”

Allaahumma innii uriidu an atazawwaja faqaddir lii minar-rijaali man hum a’affu wa ahfazhuhum lii fii nafsii wa maalii wa ausa’uhum rizqan wa a’zhamuhum barakatan wa qaddir lii waladan thayyiban taj’alu lahuu khalaqan shaalihan fii hayaatii wa mamaatii.

“Ya Allah, sungguh aku ingin menikah, maka tetapkanlah untukku lelaki yang sangat peduli untuk menjaga diriku dan hartaku, yang sangat luas rezekinya, yang besar keberkahannya. Dan tetapkanlah untukku anak yang baik yang Engkau jadikan sebagai pewaris yang baik dalam hidupku dan matiku.”
Dibaca oleh lelaki :


Allaahumma zawwijnii niswatan shaalihatan taqarru bihaa ‘ainii wa taqarru bii ‘ainuhaa yaa dzal jalaali wal-ikraam.

“Ya Allah, nikahkanlah aku dengan perempuan shalihah yang menyejukkan hatiku (tenang dipandang) dan aku pun membahagiakan hatinya, wahai Dzat yang Mahaluhur dan mulia.”

Allaahumma innii uriidu an atazawwaja faqaddir lii minan-nisaa’i man hunna a’affuhunna farjan wa ahfazhuhunna lii fii nafsihaa wa maalii wa ausa’uhunna rizqan wa a’zhamuhunna barakatan wa qaddir lii waladan thayyiban taj’alu lahuu khalaqan shaalihan fii hayaatii wa mamaatii.

“Ya Allah, sungguh aku ingin menikah, maka tetapkanlah untukku perempuan yang sangat menjaga kehormatannya, yang sangat menjaga dirinya untukku dan hartaku, yang sangat luas rezekinya, besar keberkahannya. Dan tetapkanlah untukku anak yang baik, yang Engkau jadikan sebagai pewaris yang baik dalam hidupku dan matiku.”
Kemudian, baik lelaki mahupun perempuan selanjutnya bolehlah membaca doa nabi Zakaria a.s berikut ini :


Rabbi laa tadzarnii fardan, wa anta khairul waaritsiin.

“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya : "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.” (Al-Quran : Al-Anbiyai`ayat 89)
Wallahu 'alam. Selamat beramal.

Doa Dan 13 Tips Baik Pulih Diri Secara Menyeluruh


Entri kesinambungan daripada entri sebelum ini yang bertajuk - 11 Tips Mendidik Anak Nakal Menjadi Soleh.

Mulai hari ini baik pulih diri secara menyeluruh dengan 13 tips berikut :

1. Jaga solat 5 waktu

Dan lakukan solat-solat sunat qabliah dan ba'diah untuk menampung segala kekurangan dalam solat-solat fardhu kita.

2. Solat taubat dan istighfar 70 kali sehari

Lakukan juga solat hajat, istikharah dan tutup dengan solat Witir setiap malam. Nabi s.a.w suruh kita untuk solat witir setiap malam sebagai penutup kepada semua amalan kita setiap hari untuk dipersembahkan kepada Allah s.w.t.

3. Maafkan semua orang setiap malam

Lakukanlah sebelum masuk tidur (lelapkan mata) agar hati jadi bersih, badan sihat, wajah jadi anggun, doa dimakbulkan, semua orang sayang dan anak dengar cakap kita.

4. Baca ayat 40 surah Ibrahim

Untuk merangsang ahli keluarga supaya solat dan elok perangai, bacalah Surah Ibrahim (ayat 40). Ini memang doa khas untuk mohon agar diri dan keluarga jaga solat.

5. Baca Doa Pembuka 12 Pintu, Doa Membuang Sifat Negatif, Bismillah 5 dan Ayat Kursi

Pengalaman menunjukkan sesiapa yang mengamalkan doa-doa tersebut, maka orang bujang akan bertemu jodoh, suami isteri akan bertambah sayang, orang bergaduh akan jadi damai, selesai masalah, langsai hutang, anak-anak jadi hebat dan soleh, hilang perangai buruk seperti enggan solat dan sebagainya.




6. Pagar diri dengan Al-Fatihah dan Surah 3 Qul

Baca Surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas, kemudian hembus ke tapak tangan dan sapu seluruh badan. Ini akan menghindar daripada gangguan manusia, binatang, jin dan sihir.

7. Lembutkan hati anak dengan ayat berikut

Atau orang lain dengan; Surah Al-Fatihah, Surah Ta Ha (ayat 1-5), Surah Al-Hasyr (ayat 21-24) dan Ayat Kursi kemudian hembus ke badan, makanan, gambar atau pakaian yang sudah dipakai sebelum dicuci atau sekadar menghembus ke arah orang itu dari jauh.

8. Layan lebih baik dari kebiasaan

Layan anak lebih baik daripada biasa agar dia rasa bersalah jika ingkar perintah ibubapa.

9. Baca bismillah dan beri salam ketika masuk rumah

Setiap kali hendak masuk rumah, pesan kepada semua ahli keluarga kita untuk baca Bismillah 3 kali, senyum, beri salam dan masuk dengan melangkah kaki kanan dahulu.

Ini akan menghindarkan syaitan bernama Dasim daripada masuk ke kepala kita dan ganggu manusia supaya berkonflik, suami isteri supaya bergaduh hingga bercerai-berai, anak-anak melawan ibu bapa, anak-anak bergaduh sesama sendiri, anak-anak jadi ekstra nakal dan sebagainya.

10. Baca tiga Asma Allah berikut

Setiap kali nak nasihati anak, nak suruh anak solat atau belajar, bacalah 3 Asma Allah s.w.t ini - Ya 'Aziz, Ya Jabbar, Ya Mutakabbir dan hembus ke arah anak jika masih jauh atau berdehem depannya jika sudah berhadapan. Ini akan melembutkan hatinya agar dapat mendengar cakap atau hujah ibu bapa.

11. Baca doa berikut ketika kesedihan

Jika terlalu sedih atau tertekan, bacalah 3 doa berikut :

1 - Inna lillahi wainna ilahi rojiuun.
2 - Ya Allah, aku redha dengan segala ujian-Mu, berilah aku pahala atas redha ini.
3 - Ya Allah, aku ada masalah anak sukar nak dengar cakap ibubapa. Ya Allah, Kau bantulah selesaikan masalahku. Kau jadikan dia anak yang soleh, sabar, pintar, baik akhlak, mendengar cakap ibubapa, rajin belajar dan sebagainya. Insya Allah hati akan tenang dan doa akan dimakbulkan.

12. Hembus kepala anak dengan ayat ini

Baca Al-Fatihah, Ayat Kursi dan Surah Al-Insyirah dan hembus atas kepala anak kita setiap hari hingga aqil baligh. Ini akan membantu dia jadi anak yang soleh, pintar, berakhlak mulia dan taat kepada ibubapa.

13. Cuba nasihati anak semasa dia tidur

Cukup dengan berbisik di telinganya atau sekadar bercakap dalam hati. Nasihatkan agar jadi anak yang baik, sopan santun, dengar cakap ibu bapa, dan sebagainya. Ikut kajian dan pengalaman peribadi, jika kita istiqamah menasihati anak kita semasa mereka tidur, anak-anak insya Allah akan berubah menjadi anak yang baik.

Cuba amalkan selama 40 hari, kerana tabiat baru terbentuk dalam masa 40 hari. Insya Allah segala masalah anak yang keluarga anda hadapi akan selesai langkah demi langkah. Selamat beramal dan moga berjaya.

Doa Pengasih Paling Mujarab


Doa pengasih ini baik diamalkan supaya mendapat kekasih yang dihajati. Jika mengamalkan ayat-ayat suci Allah s.w.t akan mendapat berkat serta kasih sayang yang tulen. Kasih sayang berpanjangan.

Banyak ilmu-ilmu pengasih di antara ilmu pengasih yang terbaik ialah Doa Pengasih Nabi Yusuf. Untuk pengetahuan Doa Pengasih ini amat kuat sekali jika diamalkan selalu. Selain ianya boleh membuat individu-individu yang berdepan dengan orang yang selalu mengamal doa ini akan rasa kasihan dan amat sayang kepada orang tersebut.


"(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku". (Al-Quran : Surah Yusuf ayat 4)

"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui." (Al-Quran : Surah Ya Siin ayat 36)
Amalkan dua doa di atas yang sebaik-baiknya kepada mereka yang berhajat mendapat kekasih hati supaya dijadikan teman hidup.

Cara-caranya :

Setiap kali bertemu atau bersua dengan kekasih, isteri atau suami anda, bacalah kedua ayat di atas. Untuk mendapatkan kesan yang baik, hendaklah diamalkan selalu membaca dihadapannya. Tidak perlu membaca dengan kuat, memadailah dengan hanya membaca di dalam hati. Dihembus perlahan kearah mukanya.

Selain itu, agar dikasihi masyarakat, bacalah kedua-dua ayat di atas setiap kali lepas solat sebanyak 3 kali.

Doa Pengasih Dicintai Orang Beriman


Dalam hadis riwayat Imam Muslim, Abu Hurairah r.hu telah memohon Nabi s.a.w agar berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ibunya agar memeluk Islam. Berkat doa Nabi yang juga menunjukkan mukjizat Baginda s.a.w, ibu kepada Abu Hurairah telah memeluk islam akhirnya. Beliau kemudiannya meminta Nabi s.a.w berdoa kepada Allah agar dia dan ibunya dicintai oleh sekelian orang-orang beriman. Nabi telah mendoakan untuk mereka dengan doa (di bawah ini) dengan sedikit penambahan “wa ummahu” (dan ibu Abu Hurairah), selepas kalimah "abdaka hadza”. Hasil doa Nabi s.a.w, setiap orang beriman yang lahir akan merasa cinta apabila mendengar tentang Abu Hurairah r.hu.


Amalan supaya wajah selalu berseri dan dicintai semua orang :

1. Sering berwuduk untuk mengerjakan solat wajib dan sunat.

2. Berhijab menutup aurat dengan sempurna bagi wanita.

3. Selalu menjaga perkataan, perbuatan dan pandangan.

4. Murah dengan senyuman.

5. Berdoa seperti doa di atas.

Doa Dipelihara Dari Segala Kebimbangan Dunia Dan Akhirat


Saidina Abu Darda r.hu berkata;

"Barangsiapa membaca sebanyak 7 kali pada waktu pagi dan petang (doa seperti di bawah), sama ada dengan keyakinan yang penuh terhadap kelebihannya atau tanpa keyakinan terhadap kelebihannya, nescaya Allah akan memeliharanya dari segala kebimbangan dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Abu Daud. Muntakhab Hadith m/s 359)


Ada sebuah kisah benar!

11 Amalan Yang Membuat Anda Didoakan Malaikat


Sudah jadi kebiasaan orang ketika ini, untuk meminta didoakan ketika ada suatu hajat atau keinginan. Didoakan oleh ibu bapa, kawan, saudara, anak-anak yatim yang kita temui dan sebagainya. Kerana ramai yang sedar bahawa kita tidak pernah tahu dari mulut siapa doa akan dikabulkan oleh Allah taala.

Jadi, bagaimana sekiranya kita bukan hanya berpeluang didoakan oleh sesama manusia, tetapi kita juga berpeluang buat didoakan oleh malaikat? Berikut ini 11 amalan yang boleh membuatkan kita termasuk dalam golongan manusia yang didoakan oleh makhluk yang maksum iaitu Malaikat!

1. Tidur Dalam Keadaan Berwuduk

Dari Ibnu Umar r.huma, dia berkata; Rasulullah s.a.w bersabda; “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga Malaikat berdoa, "Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam Sahihnya)

Juga diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.huma bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Sucikanlah tubuh–tubuh ini, semoga Allah mensucikan kalian, kerana tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci, kecuali seorang malaikat ikut bermalam dalam pakaiannya, dia tidak membalikkan badannya sesaat di waktu malam kecuali malaikat itu berdoa, "Ya Allah ampunilah hamba-Mu yang tidur dalam keadaan suci.” (Hadis Riwayat Thabrani)

2. Menjengok Orang Yang Sakit

Rasulullah s.a.w bersabda; "Tiada seorang muslim pun yang menjenguk saudaranya yang sakit, melainkan Allah mengutus baginya 70.000 malaikat agar mendoakannya bila pun di siang hari hingga petang harinya, dan bila pun di petang hari hingga pagi harinya." (Hadis Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya)

3. Duduk Menunggu Waktunya Solat

Rasulullah s.a.w bersabda; "Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya, "Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia." (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah)

4. Solat Jamaah Di Saf Terdepan

Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (orang-orang) yang berada pada saf-saf terdepan." (Imam Abu Dawud dari Barra' bin 'Azib)

5. Menyambung Saf

Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf." (Para Imam, iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah)

6. Duduk Setelah Solat Jamaah

Rasulullah s.a.w Bersabda; "Para malaikat akan selalu berselawat (berdoa) kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wuduknya, (para malaikat) berkata, "Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia." (Hadis Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah)

7. Solat Subuh Dan Asar Berjamaah

Rasulullah s.a.w bersabda; "Para malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu para malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, "Bagaimana kalian meninggalkan hambaku?", mereka menjawab, "Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah)

Nota : Jika terdapat hadis berbentuk pertanyaan Allah kepada Malaikat, bukan bermakna Allah tidak tahu (Maha Suci Allah dari segala kekurangan) tetapi lebih kepada untuk memuliakan amalan orang tersebut. Wallahu a'lam.

8. Mendoakan Orang Tanpa Pengetahuannya

Rasulullah s.a.w Bersabda; "Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa sepengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata, "amin! dan engkaupun mendapatkan apa yang ia dapatkan." (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Ummud Darda')

9. Infaq Harian

Rasulullah s.a.w bersabda; "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali 2 malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, "Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak." Dan lainnya berkata, "Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang kikir." (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a)

10. Makan Sahur Puasa

Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (berdoa) kepada orang-orang yang sedang makan sahur. Insya Allah termasuk disaat sahur untuk puasa sunnah." (Hadis Riwayat Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani dari Abdullah bin Umar r.huma)

11. Mengajarkan Kebaikan

Rasulullah s.a.w bersabda; "Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah di antara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain." (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al-Bahily)

Semoga kita termasuk hamba-hamba Allah yang senantiasa didoakan malaikat. Mudah-mudahan renungan ini bermanfaat sekaligus mengingatkan kita semua.

Doa Ketika Dilanda Kezaliman Dan Ujian


Habib Umar bin Hafiz menasihatkan agar doa (bait syair) berikut diulang bacaannya sebanyak tiga kali apabila berdoa di saat ditimpa kezaliman dan ujian kehidupan.


Maksudnya :

Wahai Sandaranku, Wahai Matlamatku, Wahai Penyelamat dari keterlanjuranku sendiri.

Aku hadapkan pandanganku kepadaMu, Wahai Bantuanku, Wahai Yang Agung.

Permudahkanlah bagi diriku sebab bagi menundukkan segala kesulitan.

Dan bukakanlah segala pintu kejayaan melalui bantuan daripadaMu, Wahai Yang Maha Pemurah.

Dan gagalkanlah perancangan jahat mereka yang merancang dan mereka yang melampaui batas serta menderhakai-Mu.

Dan yang menaruh sifat hasad dan degil. Segala ini (kami pohon) berkat hakikat pada طسم. (huruf-huruf pembukaan bagi surah As-Syu’ara dan Al Qasas)

Habib Umar bin Hafiz ulama dari Tarim, Yaman yang sangat dihormati

Doa Di Waktu Pagi Dan Waktu Petang


Membaca doa atau zikir-zikir pagi dan petang adalah tugas harian seorang muslim yang paling mulia, sehingga Rasulullah shalallahu alaihi wa sallam sendiri telah menentukan doa atau zikir-zikir khusus dalam banyak hadis pada dua waktu tersebut.

Waktu doa dan zikir pagi adalah setelah solat subuh sampai terbit matahari. sedangkan waktu doa dan zikir petang adalah setelah solat asar sampai Maghrib. Ada yang mengatakan waktunya sampai terus berlanjut setelah Maghrib sampai sepertiga atau separuh malam. Bila belum sampai membaca, boleh dibaca setelah waktu-waktu tersebut, selama masih waktu pagi dan petang.

Doa Ketika Waktu Pagi Tiba


ALLOOHUMMA BIKA ASHBAHNAA WA BIKA AMSAINAA
WA BIKA NAHYAA WA BIKA NAMUUTU WA ILAIKAN NUSYUUR

"Ya Allah, kerana Engkau kami mengalami waktu pagi dan waktu petang dan kerana Engkau kami hidup dan mati dan kepada-Mu juga kami akan dibangkitkan (dikumpulkan)."
Doa Ketika Waktu Petang Tiba


ALLOOHUMMA BIKA AMSAINAA WA BIKA ASHBAHNAA
WA BIKA NAHYAA WA BIKA NAMUUTU WA ILAIKAL MASHIIR

"Ya Allah, kerana Engkau kami mengalami akan waktu petang dan pagi, kerana Engkau kami hidup dan mati dan kepada-Mu juga kami akan kembali."
Doa di atas menunjukkan betapa orang yang membacanya adalah orang yang sangat pasrah kepada Allah. Dia mengakui bahawa dirinya mampu hidup di hari itu, semata-mata kerana nikmat dari Allah jua. Dia juga mengakui bahawa dia bakal kembali kepada Allah s.w.t.

Semoga Allah selalu mencurahkan taufiq-Nya kepada kita untuk dapat beramal.

Ucapan Salam Ketika Menziarahi Kubur Dan Adabnya


Terdapat beberapa adab yang sunat dilakukan semasa menziarahi kubur untuk memperolehi faedah daripadanya sama ada sebelum atau semasa berziarah.

Amalan ini bukan sahaja menghasilkan ganjaran kepada orang yang berziarah itu sendiri, bahkan juga akan mendatangkan manfaat kepada si mati. Marilah kita perhatikan antara amalan-amalan tersebut secara ringkas.

Antara amalan yang sunat dilakukan sebelum pergi menziarahi kubur ialah :

1. Berwuduk dan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.
2. Kemudian, barulah kita bertolak menuju ke tanah perkuburan dengan membulatkan hati, berniat ikhlas selari dengan tujuan-tujuan ziarah.

Apabila tiba di tanah perkuburan, antara perkara yang sunat dilakukan ialah :

1. Memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur.
2. Cara yang afdhal salam ini dilakukan ialah dalam keadaan berdiri di tepi kubur.
3. Dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi.
4. Sekurang-kurang lafaz salam ketika menziarahi kubur ialah السلام عليكم.

Ataupun salam yang telah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Aisyah radhiyallahu ‘anha, ketika beliau bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang doa yang dibaca pada saat ziarah kubur, seperti di bawah ini :


ASSALAMU ’ALAIKUM AHLAD-DIYAAR MINAL MUKMINIINA WAL MUSLIMIIN. YARHAMULLAHUL MUSTAQDIMIINA MINNAA WAL MUSTAKHIRIIN.
WA INNA INSYAA ALLAHU BIKUM LA-LAAHIQUUN
AS ALULLAHA LANAA WALAKUMUL ‘AAFIYAH.

"Semoga keselamatan tercurah kepada kalian, wahai penghuni kubur, dari (golongan) orang-orang beriman dan orang-orang Islam, semoga Allah merahmati orang-orang yang mendahului kami dan orang-orang yang datang belakangan. Kami insya Allah akan menyusul kalian, saya meminta keselamatan untuk kami dan kalian." (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban)
Ataupun ucapan salam berikut ini. Abu Hurairah r.a berkata;

Abu Razin berkata : Ya Rasullullah diperjalananku ini melalui kubur orang mati, maka apakah ada kata-kata yang harus saya katakan jika melalui mereka?

Jawab Nabi s.a.w, katakan :


ASSALAAMU’ALAIKUM YA AHLAL QUBUR,
MINAL MUSLIMIINA WALMUKMINIINA
ANTUM LANAA SALAFUN WANAHNU LAKUM
TUBA'UUN WA INNA INSYAA ALLAHU BIKUM LAA HIQUUN.

"Selamat sejahtera kamu hai ahli kubur dari kaum muslimin dan mukminin, kamu mendahului kami dan kami berikutmu, dan kami insya Allah akan mengikuti kamu."
Boleh juga dengan bacaan yang lebih ringkas.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengunjungi kuburan. Kemudian beliau berdoa;


ASSALAMU ’ALAIKUM DAARA QAUMIIN MUKMINIIN,
WA INNA INSYAA ALLAHU BIKUM LAA HIQUUN

"Keselamatan untuk kalian, wahai penghuni rumah kaum mukminin. Kami insya Allah akan menyusul kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)
Lain-lain adab semasa menziarahi kubur

1. Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan duduk, terutamanya membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak sebelas kali atau membaca Surah Yasin. kemudian menghadiahkan pahala bacaan itu kepada mereka. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni yang bermaksud :

“Siapa yang masuk ke kawasan perkuburan lalu membaca Surah al-Ikhlas sebelas kali, kemudian menghadiahkan, pahala bacaan itu untuk orang-orang yang mati, maka dia akan diberi pahala sebanyak bilangan (pahala) orang-orang yang mati.”

Sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar Radhiallahu ‘anhu, Abu Daud dan dianggap shahih oleh Ibnu Hibban, bermaksud :

“Bacalah ke atas keluarga kamu yang telah mati akan Surah Yasin.”

2. Setelah selesai membaca al-Quran, untuk menghadiahkan pahala bacaan kepada si mati sebaiknya dibaca :


ALLAHUMMA AUSHIL TSAWAABA MAA QORO'TUHU ILAA FULAANIN

"Ya Allah, sampaikanlah pahala apa yang telah ku baca ini kepada si fulan.”
3. Setelah itu, disunatkan kita berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan untuk berdoa. Dalam kita memilih mana-mana doa yang akan dibacakan, apa yang lebih penting ialah kesungguhan kita dalam memahami maknanya, kerana ianya dapat menolong ke arah melahirkan matlamat ziarah itu sendiri.

4. kita juga disunatkan memberi salam ketika melintasi mana-mana kubur orang-orang Islam, walaupun tanpa niat untuk ziarah, dan juga berdoa untuk keselamatan mereka.

5. Selepas berdoa, antara amalan yang boleh kita lakukan ialah merenjiskan atau memercikkan air ke kubur dan meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur.

Wallahu a'lam.

Semoga Allah selalu mencurahkan taufiq-Nya kepada kita untuk dapat beramal.

3 Amalan Bantu Mudah Menghafal Al-Quran


Doa adalah perkara utama yang wajib dilakukan bagi seorang penghafaz Al-Quran. Ini kerana kita sedang berbicara dengan kalam Allah yang mulia dan haq.

Perbandingan ketinggian kalam Allah dengan lain-lain samalah seperti ketinggian Allah berbanding dengan segala makhluk ciptaan-Nya.

Berikut 3 amalan doa serta ayat-ayat yang boleh membantu :

1. Setiap hari membaca doa yang diajarkan Rasulullah s.a.w sebanyak 3 kali iaitu :


Maksudnya :

” Ya Allah, aku meminta kepada-Mu jiwa yang yang merasa tenang kepada-Mu, yang yakin akan bertemu dengan-Mu, yang redha dengan ketetapan-Mu, dan yang merasa cukup dengan pemberian-Mu. (Hadis Riwayat at-Thabrani)
2. Kata Sayyid Hasan bin Shalih al-Bahr, untuk memudahkan memahami ilmu, mengamalkannya dan tidak lupa, maka hendaklah mengulang-ulang doa di bawah ini :


Maksudnya :

“Ya Allah, sungguh aku meminta kepada-Mu pemahaman para Nabi, ingatan para Rasul dan ilham para malaikat yang mempunyai kedudukan istimewa. Ya Allah, cukupkan aku dengan ilmu. Hiasi diriku dengan hilm (kesantunan dan kelembutan). Muliakan aku dengan takwa. Baguskan diriku dengan afiat (kesihatan). Duhai, yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi.”
3. Imam as-Suyuthi dalam al-Itqan, menyebutkan bahawa Mughirah bin Subai‘, salah satu sahabat Ibnu Mas‘ud radhiyallahu anhu pernah berkata;

"Barangsiapa yang membaca 10 ayat dari surat al-Baqarah pada malam hari, maka ia tidak akan lupa dengan hafalan al-Quran, iaitu: 4 ayat permulaannya, Ayat Kursi, 2 ayat sesudah Ayat Kursi dan 3 ayat terakhir".
Imam as-Suyuthi menyebutkan atsar ini berdasarkan riwayat Imam ad-Darimi dalam Sunannya.

Ayat-ayat yang dimaksudkan di atas adalah seperti berikut :

1. Baca 4 ayat permulaan Surah Al-Baqarah ayat 1-4.
2. Baca Ayat Kursi iaitu Surah Al-Baqarah ayat 255.
3. Baca 2 ayat sesudah ayat Kursi iaitu Surah Al-Baqarah ayat 256-257.
4. Baca 3 ayat terakhir Surah Al-Baqarah ayat 284, 285, 286.

Semoga cara dan doa di atas membantu memudahkan anda menghafal Al-Quran.

Ayat Pembuka Apa-apa Yang Tertutup


Jika anda berdepan dengan masalah hal-hal yang dirasakan tertutup untuk anda atau orang-orang disekitar anda, misalnya masalah seperti :

1. Hati yang tertutup untuk melakukan amal ibadah dan amal jariah.
2. Hati yang tertutup untuk menerima nasihat.
3. Pintu rezeki yang dirasakan seperti tertutup.
4. Minda atau akal yang dirasakan seperti tertutup.
5. Hati yang tertutup untuk berkahwin.
6. Dan apa-apa perkara yang dirasakan tertutup.

Maka sebagai jalan ikhtiar bolehlah diamalkan dengan membaca ayat dari surah Al-Fath ayat 1- 5 di bawah ini (cukup dengan membaca teks Arabnya sahaja).

Amalkanlah sebagai wirid atau doa dengan hati yang ikhlas kepada Allah. Yakinlah, jika tidak Allah kurniakan di dunia, pasti balasan di akhirat itu jauh lebih baik kepada kita.

Surah Al-Fath ayat 1 - 5 :


1. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu (wahai Muhammad) kemenangan yang nyata,

2. supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus,

3. dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).

4. Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

5. supaya Dia memasukkan orang-orang mukmin lelaki dan perempuan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka. Dan yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar di sisi Allah.

Doa Ketika Terjaga Di Tengah Malam


Pada malam hari ketika tengah tidur, kita mungkin pernah tiba-tiba terjaga dari tidur di tengah malam. Sebenarnya pada ketika itu ada zikir dan doa khusus yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w untuk kita baca.

Malah Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa ketika seseorang itu terjaga dari tidur pada malam hari jika ia berdoa maka akan dikabulkan doanya dan jika bangun kemudian solat maka solatnya akan diterima oleh Allah taala. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berikut ini.


Ertinya : Dari Ubadah ibn as-Somit r.hu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda bersabda; Barangsiapa terbangun di malam hari kemudian membaca :


Laa ilaa ha illallaah wahdahu laa syarikalah,
Lahulmulku walahul hamdu wahuwa 'ala qulli syai'in qodir.
Subhanallahi, Walhamdulillaahi, Walaa ilaa ha illallaahu, Wallaahu akbar.
Wala haula wala quwwata illa billaah. Kemudian berdoa : "Allaahummagh firli"

"Tidak ada Ilah selain Allah Yang Maha Esa, tak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya semua kerajaan dan bagi-Nya semua pujian. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah, segala puji hanya milik Allah, tak ada Ilah selain Allah, Allah Maha Besar, tak ada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan Allah. Kemudian berdoa, ALLAHUMMAGHFIRLI; "Ya Allah, ampunilah aku" atau lalu berdoa maka doanya akan diterima. Jika ia berwudhu lalu solat, maka solatnya akan diterima."

Ibnu Bathol dalam kitab syarah al-Bukhari mengatakan bahawa hendaknya setiap muslim yang mengetahui hadis ini untuk menjadikannya sebagai kesempatan beramal dan memurnikan niatnya dalam beramal hanya untuk Allah semata.

Semoga Allah s.w.t selalu mencurahkan taufiq-Nya kepada kita untuk beramal.

Doa Ketika Ditimpa Kesedihan


Ketika ditimpa kesedihan dan kegundahan, jangan mengeluh tetapi mintalah agar diri diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapinya. Dihilangkan kesedihan yang melanda dan selalu mengharap agar Allah beri ganjaran pahala atas kesabaranmu.

Tanpa malam, bulan purnama takkan indah. Tanpa lapar, nikmat makanan takkan terasa. Tanpa dahaga sejuknya air takkan memberi banyak makna. Begitu juga kemenangan atau kemudahan takkan banyak memberi erti tanpa didahului rintangan, kesusahan dan kesedihan. Setelah mendung terbitlah cerah.

Berikut doa ketika dilanda kesedihan dan kegundahan. Semoga diamalkan.

Dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma :


“Adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berdoa ketika tertimpa kesusahan dengan mengucapkan :


“Tidak ada ilah yang berhak diibadahi selain Allah Yang Maha Agung lagi Maha Santun. Tidak ada ilah yang berhak diibadahi selain Allah, Rabb langit dan bumi, Rabb ‘Arsy yang agung.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Doa Ringkas Selepas Solat Fardhu


Doa itu senjata orang mukmin. Maka berdoalah dengan seikhlas hatimu kerana ia merupakan permohonan seorang hamba secara terus kepada Allah s.w.t, Rabb yang memelihara sekalian alam. Rabb yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Semua yang berlaku di langit dan bumi adalah atas izin dan kehendak-Nya jua.

Yakinlah bahawa setiap rintihan doamu yang dipohon akan didengari Allah taala. Orang yang enggan menadah tangannya untuk berdoa kepada Allah s.w.t dianggap seorang yang sombong. Dan orang sombong terjauh dari mendapat kasih sayang Allah.

Antara waktu terafdhal untuk membaca doa adalah selepas solat fardhu yakni setelah selesai berwirid dan berzikir.

Di bawah ini dikongsikan video berkenaan doa ringkas selepas solat fardhu yang mudah untuk kita semua hafal. Semoga bermanfaat.

doa mudah selepas solat

Posted by Ustaz Hasnan on Thursday, April 30, 2015

Doa Dan Adab Masuk Rumah Baru


Dapat memiliki rumah sendiri merupakan antara nikmat kurniaan yang Allah s.w.t berikan kepada seseorang. Oleh kerana itu orang yang mendapat rumah baru hendaknya menjadikan rumahnya itu sebagai ladang kebaikan dan ibadah serta tempat berzikir (mengingati) pada-Nya. Bukan sebagai tempat maksiat.

Abu Malik al-Asy’ari Radhiallahu‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

“Apabila seorang lelaki hendak masuk ke rumahnya maka hendaklah dia Berkata: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik Tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah Tuhan kami, kami berserah.” Kemudian hendaklah seseorang itu memberi salam ke atas keluarganya.” (HR Abu Daud)
Lafaz doanya seperti berikut :


Bismillahi walajna wa bismillahi khorajna wa 'alallahi rabbana tawakkalna

Jika rumah yang hendak dimasuki itu tidak ada orang yang berada di dalamnya, maka berilah salam ke atas diri sendiri dengan mengucapkan :

“Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang solih.”
Antara hikmah membaca atau menyebut nama Allah ketika hendak masuk rumah, adalah supaya menghindarkan syaitan turut masuk dan bermalam di dalam rumah.

Berikut adalah beberapa perkara yang sepatutnya diamalkan menurut ajaran Islam serta sunnah Rasulullah s.a.w ketika melangkah memasuki rumah baru.

1. Azan.

Melaungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru. Ia juga baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sebagai Al-’Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.

2. Membaca surah Al-Baqarah.

Sabda Nabi s.a.w.; “Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur. Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah, rumah itu tidak akan dimasuki Syaitan” (HR Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a).

3. Banyakkan solat dan membaca Al-Quran.

Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah s.a.w juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud : “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

4. Baca Surah Yasin, Al-Fatihah dan Al-Ikhlas.

Amalkan membaca surah Yasin setiap malam terutamanya tujuh malam pertama anda menduduki rumah atau bangunan. Baca juga surah Al-Fatihah sebanyak satu kali, surah Al-Ikhlas 3 kali, selawat ke atas nabi sebanyak 7 kali dan ayat Kursi sekali tetapi di ayat terakhir dibaca sebanyak 7 kali.

5. Pagar rumah menggunakan ayat-ayat al-Quran

Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut tertentu di rumah atau bangunan yang diduduki dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan syirik yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Walaubagaimanapun ada cara yang dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam. Caranya adalah dengan dengan membaca :

1. Baca Surah Yasin.
2. Baca surah Al-Fatihah.
3. Baca Ayat Kursi.
4. Baca Surah 3 Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas).

kemudian tiup ke dalam air perlahan-lahan sehingga habis nafas. Setelah itu, renjis keliling rumah dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru di dalam rumah dengan dimulai dengan penjuru yang terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya mengikut arah berlawanan jarum jam. Membaca ayat Kursi semasa merenjiskan air tersebut. Air jampi yang telah dibacakan ayat-ayat al-Quran mengandungi gelombang yang laju dan sangat tidak disukai oleh syaitan dan jin kafir.

6. Baca basmallah ketika menutup pintu dan tingkap.

Dari Jabir bin Abdillah, Nabi s.a.w memberikan banyak saran agar kita tidak diganggu syaitan. Rasulullah s.a.w bersabda : “Tutuplah pintu dan sebutlah nama Allah, kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).” (HR Muslim dan Bukhari).

7. Ketika masuk rumah baru membaca Masya Allah laa Quwwata illa billaah.

Ertinya : "Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah".

Ibnu Qayyim menjelaskan dalam Al Wabilus Shayyib, bahawa seseorang yang hendak masuk rumah atau kebun hendaknya membaca kalimat diatas sebagai bentuk rasa syukur atas nikmat Allah s.w.t. Hal ini didasarkan pada firman Allah :


“Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu "maasya Allah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan." (Al-Kahfi : 39)
Islam tidaklah menekankan amalan yang hanya khusus ketika masuk rumah, tetapi amalan-amalan yang berterusan yang perlu dihidupkan di dalam rumah. Di antara amalan-amalannya ialah :

1. Masuk rumah dengan membaca Bismillah dan doa yang makthur dari Nabi s.a.w. Begitu juga ketika keluar dari rumah.

2. Menjaga ahli rumah agar sentiasa berada dalam ketaatan dan menjauhi maksiat dan kemungkaran. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran :


“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat 6)
Berkata Imam Qatadah rahmatullah'alaih, tatkala menafsir ayat di atas :

"yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiati-Nya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”.
Manakala menurut Imam Muqatil rahmatullah'alaih pula :

“Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka.” (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)
3. Setiap ahli rumah menunaikan kewajipan masing-masing mengikut tuntutan agama. kewajipan sebagai suami dan bapa, kewajipan sebagai isteri dan ibu dan kewajipan sebagai anak. Sabda Nabi s.a.w :

“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang orang-orang di bawah jagaannya. Pemimpin negara adalah penjaga bagi rakyatnya dan dia akan ditanya berkenaan orang di bawah jagaannya (yakni rakyatnya). Seorang lelaki adalah penjaga bagi ahli keluarganya dan dia akan ditanya tentang ahli keluarga di bawah jagaannya. Seorang wanita adalah penjaga bagi rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang berada di bawah jagaannya..” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar r.a)
4. Menghidupkan amalan agama di dalam rumah, seperti :

a. Membaca al-Quran di dalam rumah.

Sabda Nabi s.a.w : “Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a)

b. Mengerjakan solat-solat sunat di dalam rumah.

Sabda Nabi s.a.w : “Kerjakanlah solat wahai manusia di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a). Dalam hadis yang lain baginda bersabda : “Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur.” (HR Imam Muslim dari Jabir r.a)

c. Mengajak ahli keluarga bersama-sama beribadah.

Sabda Nabi s.a.w : “Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud dari Abi Said r.a).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda : “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya. Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya..” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah r.a).

d. Hidupkan budaya memberi salam.

Anas r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya : “Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu.” (HR Imam at-Tirmizi dari Anas r.a).

Rasulullah s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda : “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka : “Ya”. Lalu baginda bersabda : “Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu.” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a).

e. Mempraktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.

Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu bapa (bagi anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya.

Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi kesan besar kepada jiwa anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka. Umar bin Abi Salamah r.a menceritakan :

“Semasa saya masih kanak-kanak di bawah jagaan Rasulullah s.a.w, suatu ketika saya makan dalam keadaan tangan saya bergerak sana sini mengambil makanan yang ada di dalam talam (sedang orang makan bersama). Lalu Rasulullah s.a.w menasihatkan saya : “Wahai anakku! Mulakan makan dengan menyebut nama Allah (baca Bismillah), kemudian makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari makanan yang berada di depanmu.” (HR Imam Bukhari dan Muslim).
5. Jika ingin memohon perlindungan untuk rumah, lakukanlah sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w, antaranya ialah dengan membaca al-Quran dan doa-doa perlindungan yang makthur dari baginda. Sabda Nabi s.a.w : “Sesiapa singgah/berhenti di satu tempat, lalu ia membaca :

"Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan segala makhluk ciptaannya", nescaya tidak ada sesuatu pun dapat memudaratkannya hingga ia berpindah.” (HR Imam Muslim dari Khaulah binti Hakim r.ha)
Demikianlah sebahagian dari adab-adab di dalam rumah yang dianjurkan oleh Islam yang sabit dari hadis-hadis yang sohih dari Nabi s.a.w. Dengan melakukan amalan-amalan tersebut, Insya Allah rumah kita akan sentiasa dilindungi dari Iblis dan Syaitan dan ahli keluarga kita akan senantiasa diberkati Allah s.w.t.

Allahu a’lam.
You might like these as well: