Kita perlu bersangka baik terhadap tindakan orang lain dan bersangka baik dengan apa jua yang berlaku dalam kehidupan kita. Ini kerana pemikiran dan kata hati kita banyak mempengaruhi tindakan dan tubuh badan kita.
Jika kita sentiasa berfikiran positif dan bisikan hati yang bersangka baik, maka ia akan membawa banyak kesan positif pada kehidupan dan tubuh badan kita sendiri.
Berikut 6 tips bersangka baik dari Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani :
1. Jika engkau bertemu seseorang
Maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu : “Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”.
2. Jika bertemu anak kecil
Maka ucapkanlah dalam hatimu : “Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku”.
3. Jika bertemu orang tua
Maka ucapkanlah dalam hatimu : “Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.”
4. Jika bertemu dengan seorang berilmu
Maka ucapkanlah dalam hatimu : “Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.”
5. Jika bertemu dengan seorang bodoh
Maka katakanlah dalam hatimu : “Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu/jahil), sedangkan aku bermaksiat kepada-Nya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku.”
6. Jika bertemu dengan orang kafir
Maka katakanlah (dalam hatimu) : “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk."