Dosa Menganggu Jiran Dengan Mercun Di Aidil Fitri


Selalunya khatib khutbah solat hari raya ataupun khutbah jumaat akan berpesan supaya umat Islam tidak melanggar perintah Allah semasa menyambut hari raya. Yang sering dipesan ialah menjaga batas-batas pergaulan dan melarang daripada berjabat tangan antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Namun yang sentiasa dilupakan ialah kewajipan menjaga ketenteraman sesama jiran tetangga.

Sebab itulah kita akan temui orang Islam yang bermain mercun sampai tengah-tengah malam walaupun berada di sebelah rumah jiran tanpa sedikitpun terlintas di fikiran mereka adakah jiran mereka terganggu ataupun tidak. Si buta perut itu pun terus bermain dengan perasaan amat puas dan bahagia.

Malah ada yang yang merasakan dia telah menyambut hari raya dengan sebaik-baiknya kerana telah mengorbankan sehingga bertus ringgit untuk membeli mercun yang bunyinya amat menghiris perasaan jirannya apatah lagi yang ada anak-anak kecil yang menangis setiap kali dentumannya bergema.

Orang yang bermain mercun itu tidak lain dan tidak bukan ialah antara manusia-manusia jahil yang tidak pernah pijak surau ataupun masjid, yang tidak pernah dengar dosa dan azab yang dijanjikan orang yang menyakiti jirannya. Inilah kepercayaan awal saya.

Namun akhirnya saya temui bahawa orang-orang agama yang istiqamah pergi ke masjid ada juga yang tidak tahu hukum ini dan termassuk dalam kalangan orang yang menghabiskan beratus ringgit untuk dibakar pada malam raya dengan perasaan gembira.

Di sini dipersembahkan ubat yang terbaik untuk mengubati kejahilan mereka. Para pembaca sekalian sila sebarkan kepada orang lain yang tidak berminat membacanya.

Sebenarnya bermain mercun dan mengganggu jiran adalah dosa besar yang menjanjikan azab yang pedih di akihirat. Ini dapat dilihat daripada nas-nas yang akan dinyatakan di bawah ini :

1. Firman Allah s.w.t dalam surah An Nisa ayat 36, mafhumnya :


"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat dan jiran yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."
2. Sabda Nabi Muhammad s.a.w, yang bermaksud :

"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, janganlah ia menyakiti jirannya; sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tetamunya; sesiapa yang beriman dengann Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang benar atau pun diam sahaja."(Bukhari, Muslim)

3. "Demi Allah ia tidak beriman, demi Allah ia tidak beriman, demi Allah ia tidak beriman. Para sahabat bertanya siapakah dia wahai Rasulullah? Jawab baginda; orang yang jirannya tidak selamat dari keburukannya." (Bukhari, Muslim, Ahmad)

4. "Tidak masuk syurga seseorang yang jirannya merasa takut terhadap keburukannya." (Tabrani)

5. "Tidak akan masuk syurga seseorang hamba sehingga jirannya aman daripada keburukannya." (Ahmad, Ibnu Abiddunya)

6. "Sesiapa yang menyakiti jirannya maka ia telah menyakitiku, dan sesiapa yang menyakitiku sesungguhnya ia telah menyakiti Allah." (Abu Syaikh)

7. Seorang sahabat berkata kepada Rasulullah s.a.w; "Wahai Rasulullah sesungguhnya si fulanah (seorang perempuan) disebut-sebut kerana banyak solat, sedekah dan puasanya, tetapi dia menyakitkan jirannya dengan lidahnya. Sabda baginda; dia akan masuk neraka." (Ahmad, Bazzar, Ibnu Hibban, dan Hakim menganggapnya sahih)

8. Kata Muawiyah bin Haidah; "Wahai Rasulullah, apakah hak jiran ke atas jirannya? Jawab baginda; jika ia sakit hendaklah kamu ziarahinya, jika ia mati hendaklah kamu uruskan jenazahnya, jika ia minta hutang darimu berilah hutang kepadanya, jika ia sangat memerlukan berilah sesuatu kepadanya yang menutup hajatnya." (Tabrani)

Dalam riwayat Abu Syaikh :

"Jika ia dia minta tolong, kamu tolonglah ia, jika ia perlu berilah sesuatu kepadanya. Adakah kamu faham apa yang aku kata kepada kamu? Tidak akan dapat menunaikan hak jiran melainkan sedikit manusia yang Allah memberi rahmat kepadanya."

9. "Belumlah beriman denganku seseorang yang bermalam dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya kelaparan dan ia mengetahuinya." (Tabrani, isnad hasan)

10. "Datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammd s.a.w dan berkata; wahai Rasulullah berikan aku pakaian. Maka Rasulullah berpaling daripadanya. Ia berkata lagi; berikanlah aku pakaian. Maka Nabi bersabda; apakah tidak kamu mempunyai jiran yang mempunyai lebihan dua helai pakaian? Ia menjawab; ya, lebih dari sehelai. Baginda bersabda; Maka kerana itu kamu berdua tidak akan diletakkan bersama dalam syurga." (Tabrani)

11. "Ramailah manusia yang akan memegang jirannya pada hari kiamat, ia berkata wahai Tuhan, tanyalah kepadanya kenapa ia kuncikan pintunya dariku dan tidak memberikan kepadaku lebihan hartanya." (Asbahani)

12. "Sahabat yang terbaik di sisi Allah ialah yang berbuat baik kepada sahabatnya, jiran terbaik di sisi Allah ialah jiran yang berbuat baik kepada jirannya." (Tirmizi, hasan gharib; Hakim, sahih; Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

13. "Jibril sentiasa berpesan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran, sehingga aku menyangka bahawa jiran akan mendapat harta pusaka jirannya." (Bukhari, Muslim)

14. "Seorang sahabat berkata wahai Rasulullah tunjukkanlah kepada saya amalan yang apabila saya lakukannya saya akan masuk syurga. Jawab baginda; jadilah orang yang baik. Ia bertanya; bagaimana saya nak tahu saya seorang yang baik? Jawab baginda; tanyalah jiranmu. Kalau mereka berkata kamu seorang yang baik, itu menunjukkan kamu memang seorang yang baik." (Baihaqi)

15. "Rasulullah bertanya kepada para sahabatnya; apa yang kamu kata mengenai zina? Mereka menjawab; Allah dan rasul-Nya telah mengharamkannya, maka ia haram sampai hari kiamat. Baginda bersabda; sekiranya seorang lelaki berzina dengan sepuluh orang perempuan dosanya tidak akan seberat dosanya berzina dengan isteri jirannya. Kata baginda lagi: apa yang kalian katakan pada mencuri? Kata mereka; Ia telah diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya. Baginda berkata: jika seorang mencuri di sepuluh buah rumah dosanya tidak akan seberat ia mencuri di rumah jirannya." (Ahmad, Tabrani)

16. Zina adalah perbuatan dosa besar. Zina dengan isteri jiran adalah lebih daripada sepuluh kali ganda besar dosanya.

Kata Ibnu Masud; "Wahai rasulullah apakah dosa yang paling besar? Jawab baginda; Kamu jadikan sekutu bagi Allah (syirik). Kemudian dosa yang mana? Jawab baginda; Kamu bunuh anak kamu kerana takut ia makan bersamamu (takut miskin). Kemudian dosa apa? Baginda menjuawab; Kamu berzina dengan isteri jiran kamu." (Bukhari, Muslim)

17. Para sahabat bertanya; "wahai Rasulullah siapakah orang Islam yang terbaik? Jawab baginda; orang yang selamat umat Islam daripada lidah dan tangannya." (Bukhari dan Muslim)

18. Kata Thauban; mana-mana jiran yang menzalimi jirannya, sehingga jiranya terpaksa meninggalkan rumahnya, binasalah ia. (Bukhari dalam Adab Mufrad, Durru Manthur Suyuti, 4/418)

Kesimpulan :

Dari nas-nas di atas kita fahami bahawa jiran hendaklah dihormati dan tidak boleh diganggu ketenteraman mereka dengan bunyi bising mercun dan lain-lain. Kalau kita baca Al Quran pun kena perlahankan jika ada orang yang sedang tidur atau solat, kalau bunyi mercun lebih-lebih lagi wajib dielakkan.

Perkara kedua yang wajib difahami bahawa haram hukumnya menghabiskan wang untuk membeli mercun kerana ianya adalah satu pembaziran yang tidak memberi apa-apa faedah. Sama dengan hukum beli rokok. Ditambah lagi dengan mengganggu jiran maka haramnya semakin berat.

Kata Syaikh Ibnu Hajar membelanjakan harta membeli benda yang haram adalah dosa besar walaupun dosa melakukannya dosa kecil (Zawajir, 1/421). Contohnya kalau bermain mercun jauh di dalam hutan tanpa mengganggu sesiapa adalah dosa kecil kerana ada unsur membuang harta dengan sia-sia, namun hukum mengeluarkan duit untuk membelinya adalah dosa besar.

Namun membeli mercun dengan tujuan untuk menghalau binatang yang merosakkan tanaman di kebun atau ladang tidaklah sia-sia kerana tujuannya adalah jelas.

Bermain meriam juga berdosa jika bunyinya yang kuat itu menganggu jiran atau penduduk kampung, apatah lagi ketika mereka sedang beribadah. Wallahu 'alam.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: