Hidayah itu merupakan sebuah cahaya yang dipancarkan kedalam hati hamba Allah yang bertuah lagi terpilih di sisi-Nya. Di mana dengan cahaya tersebut si hamba tadi dapat membezakan antara perkara yang hak dan yang batil, dosa dan pahala, manfaat dan mudarat.
Kata alim ulamak :
Hidayah itu hak milik mutlak Allah s.w.t, yang tidak diserahkan ke tangan para nabi mahupun para wali.
Seorang ayah tak mampu memberikan hidayah kepada anaknya, suami tak berupaya menyampaikan hidayah kepada isterinya, bahkan tuan guru juga tak mampu memberikan hidayah kepada murid-muridnya.
Firman Allah swt dalam Al Quran :
Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpinpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. (Sebahagian Surah Al-Kahfi Ayat 17)Dan hidayah itu hanya dikurniakan Allah s.w.t kepada insan-insan yang mempunyai dua karakteristik yang mulia iaitu :
1. Golongan yang mempunyai kehendak atau keinginan (Tholab) yang tinggi dan mendalam kepada agama.
2. Golongan yang beradab terhadap agama serta ahli agama.
Saidina Umar bin Khattab r.hu mendapat hidayah kerana beliau ada kehendak (keinginan) kepada kebaikan walaupun di hari keislamannya beliau keluar untuk membunuh Baginda s.a.w. Namun akhirnya berkat sifat Tholab yang ada dihatinya, juga berkat dari doa dari Nabi s.a.w maka Allah s.w.t tukarkan dengan hidayat.
Sementara itu, tukang sihir Firaun pula dipilih oleh Allah s.w.t untuk dicucuri hidayah-Nya kerana mereka beradab dengan Nabi Musa a.s sewaktu beradu sihir menentang mukjizat tongkat Nabi Musa a.s.
(Setelah mereka berkumpul) mereka berkata: "Hai Musa (pilihlah), apakah kamu yang melemparkan (dahulu) atau kamikah orang yang mula-mula melemparkan?" (Surat Ta Ha ayat 65)Kata ulamak berkat beradab dengan pertanyaan tersebut akhirnya para tukang sihir tersebut diberikan hidayah oleh Allah s.w.t.
Untuk peringkat dunia pula, pintu hidayah hanya akan terbuka luas apabila seluruh umat Islam bangkit menyebarkan agama ke seluruh dunia. Allah s.w.t letakkan pengorbanan sebagai syarat untuk dibukakan pintu hidayah, sebagaimana firman-Nya :
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik (muhsinin). (Surah Al-'Ankabut ayat 69)Kesimpulan
Seperti kata Pak Derry Sulaiman, seorang daie; "Dari hati ke hati, dari pintu ke pintu, dari kota ke kota, menyeberangi samudera untuk menyebarkan cinta-Mu, oh Allah!