5 Tip Berhijrah Menjadi Muslim Lebih Baik


Setiap orang yang merancang hidupnya pasti ada memasang azam yang ingin dicapai sama ada dari segi kewangan, kesihatan, kerjaya, keluarga, peribadi dan lain-lain.

Antara azam yang mesti setiap seorang Islam 'tanam' jauh di lubuk hati mereka adalah untuk memperbaiki diri menjadi muslim yang lebih baik daripada sebelumnya.

Berikut 5 tip untuk berubah menjadi muslim yang lebih baik :

1. Ilmu

Setiap perkara yang ingin dilakukan dan setiap cita-cita yang ingin dicapai mestilah dilaksanakan dengan ilmu. Kita harus faham mengapa kita harus berubah, ke arah mana kita harus berubah, setakat mana tahap yang perlu dicapai dan yang paling penting bagaimana untuk melaksanakan perubahan tersebut.

Sebagai seorang Islam, perkara paling penting yang harus difahami adalah tujuan kita diciptakan di dunia ini dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran dan dijelaskan oleh hadis-hadis Nabi s.a.w.

Hakikat yang agak menyedihkan adalah kebanyakan dari kita gagal memahami apatah lagi melaksanakan tuntutan-tuntutan sebagai seorang Islam.

2. Ikhlas

Setiap perkara yang dilakukan haruslah ikhlas semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Perkara ini memang senang diungkapkan, tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan. Ini kerana sebagai manusia yang lemah, kita sentiasa dipengaruhi oleh faktor-faktor keduniaan dan keuntungan yang boleh diperolehi di dunia sehingga boleh memesongkan niat kita semata-mata kerana Allah s.w.t.

Oleh itu untuk ikhlas, kita harus menjalani proses latihan yang panjang untuk membuang segala kebergantungan kita kepada dunia dan menjadikan keredhaan Allah semata-mata sebagai matlamat.

3. Keazaman tinggi dan tindakan

Sesudah mempunyai ilmu, matlamat yang jelas, niat yang ikhlas, kita harus melaksanakan segala tindakan yang sudah dirancang dengan disiplin yang tinggi.

Senarai tindakan harus sentiasa disemak dan dipastikan pelaksanaannya dan sesi review dilakukan secara konsisten untuk melihat keberkesanan pelaksanaan tersebut dan bagaimana untuk menambahbaik lagi.

4. Persekitaran dan group sokongan kondusif

Melakukan perubahan dan penambahbaikkan bukanlah untuk beberapa ketika sahaja. Namun itulah yang sering terjadi kerana perubahan yang berterusan adalah satu proses yang sukar dan panjang dan adalah mustahil dilakukan tanpa support system dan persekitaran yang membantu.

Akan datang waktu-waktu di mana sebagai manusia biasa kita akan berasa lemah, namun disaat inilah keluarga, rakan-rakan dapat membantu memberikan semangat untuk terus kekal bersemangat dan istiqomah.

5. Doa dan tawakkal

Sebagai seorang Islam, kita harus yakin bahawa hidayah adalah milik Allah dan kita wajib memohon untuk mendapat hidayah dengan berdoa. Kita juga harus yakin bahawa segala tindakan baik atau buruk adalah atas kehendak dan izin Allah s.w.t jua.

Dan kita sebagai hamba-Nya haruslah bersyukur atas nikmat kebaikan yang dikurniakan Allah s.w.t dan memohon doa serta berusaha bersungguh-sungguh untuk dihindarkan dari amalan yang buruk.

Kesimpulan

kita sebagai seorang Islam harus berusaha untuk berubah dan mendapat hidayah dan tidak hanya mengharap hidayah dengan angan-angan kosong tanpa usaha yang rapi dan tersusun. Allah s.w.t telah mengilhamkan kepada manusia dua jalan iaitu jalan kejahatan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwanya. Manakala rugilah orang yang mengotori jiwanya.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: