Orang dulu-dulu telah lama mengamalkan penggunaan herba dalam kehidupan seharian. Mereka menggunakan sireh bagi menyejukkan badan, daun buluh untuk menghilangkan gatal-gatal serta mengamalkan makan ulam-ulaman bagi mengekalkan awet muda.
Tetapi tahukah anda bahawa tumbuhan herba semakin susut bilangannya kini, melainkan ditanam di halaman rumah. Jadi, apakata pembaca teruskan amalan penanaman tumbuhan herba supaya tradisi turun menurun yang menyihatkan ini berkekalan. Disamping itu dapat mengelakkan penggunaan ubat-ubatan masa kini yang mengandungi bahan-bahan kimia.
Antara tumbuhan herba biasa yang boleh dijadikan penawar adalah seperti berikut :
1. Bunga Raya (Hibiscus rosa-sinensis)
Kulit dahan bunga raya putih baik untuk pengaliran kitaran haid dan merawat bronchitis. Manakala daunnya dijadikan tuam atau direbus untuk merawat sakit kepala, demam dan batuk.
2. Bunga Tahi Ayam (Lantana camara)
Daunnya ditumbuk lumat hingga menjadi pes digunakan untuk merawat luka, ulser dan bengkak. Air rebusan akarnya pula baik untuk merawat sakit gigi, radang dan gonorea.
3. Jambu Batu (Psidium guajava)
Daun jambu batu baik untuk merawat batuk dan juga cirit-birit manakala jusnya berkhasiat untuk menyembuhkan demam denggi berdarah.
4. Limau Kasturi (Citrus microcarpa)
Perahan jus daripada buah limau kasturi dicampurkan dengan madu lebah mampu mengurankan lelah jika diambil seminggu sekali. Aroma buahnya juga mampu meredakan sakit kepala dan menghilangkan masalah bau badan.
5. Daun Kari (Murayya keonigi)
Untuk mengilatkan rambut, keringkan daun kari kemudian tumbuk sehingga menjadi serbuk. Amalkan meminum bancuhan serbuk daun kari ini selama sebulan dan rambut akan menjadi bertambah bersinar.
Manakala jus daunnya jika dicampur dengan jus limau nipis dan gula dapat mengurangkan mabuk hamil, menyingkirkan lemak, mengatasi masalah gigi dan tulang kanak-kanak serta mencegah penyakit kencing manis.
6. Daun Kaduk (Piper sarmentosum)
Daun kaduk direbus untuk mengurangkan demam malaria, radang otot dan sendi, batuk, selsema dan disapu pada badan bagi menghilangkan sakit-sakit badan.
Selain direbus, daunnya juga boleh ditumbuk lumat dan diletakkan di kepala bagi merawat sakit kepala. Selain digunakan secara luaran, daun kaduk juga boleh dimakan bersama halia bagi mengurangkan sakit gigi.