Setiap hari umat Islam wajib menunaikan solat fardhu 5 kali sehari. Kewajipan mengerjakan solat fardhu inilah yang membezakan umat Islam dengan penganut agama yang lain. Namun sekadar cukup mengerjakan solat 5 waktu tidak menjadikan kita umat Islam yang cemerlang.
Ini kerana solat yang dikerjakan itu perlu memiliki kualiti sebelum ia dikatakan solat dalam erti kata yang sebenarnya iaitu Khusyuk. Untuk mendapatkan solat yang khusyuk ia memerlukan usaha. Insya Allah, semua orang mampu melakukannya.
Berikut 5 tip yang dapat membantu kita khusyuk dalam solat :
1. Tumpu sepenuh hati semasa bersolat
Apa yang menjadi keutamaan dalam diri kita akan muncul semasa solat. Oleh itu, jika kita mengutamakan keduniaan, hal-hal dunia dengan mudah akan mendapat tempat semasa bersolat. Jadi, adalah amat penting untuk kita mempersoalkan hal ini kepada diri kita sendiri. Adakah Allah menjadi tujuan hidup kita atau adakah dunia yang memenuhi hati kita selama ini?
Sukar untuk mencapai khusyuk sekiranya kita masih lagi keliru dalam hal ini sedangkan tujuan utama hidup ini sudah tentulah kerana Allah. Mari kita ingat semula beberapa potong ayat al-Quran yang menerangkan tentang solat khusyuk dan hakikat kehidupan.
● Firman Allah s.w.t dalam surah Ali 'Imran ayat 185 :
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”● Firman Allah s.w.t dalam surah Al-An’am ayat 32 :
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”● Firman Allah s.w.t dalam surah Al-A’la ayat 16-17 :
“(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”● Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mu’minun ayat 1-2 :
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solatnya.”2. Memahami setiap bacaan dalam solat
Kita akan lebih fokus jika kita faham apa yang kita baca di dalam solat. Walaupun ramai daripada kita tidak bertutur di dalam bahasa Arab, namun makna bacaan-bacaan di dalam solat seperti ayat al-Quran yang dibaca, lafaz takbir, tasbih, zikir dan doa amat mudah ditemui pada masa kini.
Apa yang kita perlu buat hanyalah ada keinginan yang kuat kemudian berusaha untuk mencari dan memahaminya supaya kita tahu apa yang kita ucapkan di hadapan Allah ketika bersolat.
3. Merasai kebesaran Allah di dalam hati
Setelah kita memahami apa yang diucapkan di hadapan Allah, kita akan dapat merasai kebesaran-Nya. Seterusnya keyakinan bahawa Allah memiliki dan berkuasa di atas segala-galanya juga akan bertambah. Perasaan ini secara langsung mendekatkan diri kita kepada Allah.
4. Mengagungkan Allah
Setelah tercapai perasaan merasai kebesaran Allah, perasaan takut akan mengambil tempat. Kita akan berasa takut untuk melanggar perintah Allah, takut dengan balasan azab dan murka-Nya. Ini menjadikan kita bersungguh-sungguh dalam amalan kita.
Perasaan takut itu pula perlulah seimbang dengan pengetahuan kita tentang kasih-sayang dan rahmat Allah yang Maha Luas. Kedua-dua sifat ini membawa kita kepada rasa mengagungkan kepada Allah zat yang Maha Agung.
Untuk segala harapan, kita akan berusaha dan minta kepada Allah agar tercapai impian kita. Khusyuk adalah tanda meningkatnya pergantungan kita kepada Allah semata-mata dan berlepasnya kita daripada berharap kepada makhluk.
5. Rasa malu dan kerdil di hadapan Allah
Setiap hari semua insan melakukan dosa. Ada amalan yang mungkin terkesan dek kerana rosaknya keikhlasan kita. Menyedari kekurangan dan kelemahan diri membuatkan kita mahu bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t.
Orang beriman pasti akan berusaha untuk mencintai Allah melebihi segala-galanya. Semua langkah mencapai khusyuk di dalam solat ini sebenarnya bertujuan supaya kita lebih dekat dengan Allah, kerana dengan cara ini sahajalah akan tercapai nikmat bersolat.
Hidup kita di dunia adalah semata untuk menyembah Allah s.w.t, melakukan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka, berusahalah untuk melakukan yang terbaik sebagai hamba-Nya. Dan ini bermula dengan satu-satunya perintah Allah yang disampaikan kepada rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w tanpa perantaraan wahyu daripada malaikat Jibril a.s iaitu solat.
Baca : 5 Kebaikan Jika Bergelar Ibu Pada Usia 20-an
Selain daripada lima tip di atas, ada satu lagi sifat yang perlu ada untuk mendapat khusyuk dalam solat iaitu sifat Ihsan. Pengertian ihsan ialah bahawa kamu mengerjakan ibadat kepada Allah s.w.t seolah-olah kamu melihat-Nya, sekiranya kamu tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah tetap melihat serta memerhatikan keadaan kamu.
Daripada sifat ihsan akan membuat kita melakukan sesuatu ibadah dan pekerjaan berasaskan ilmu dan kefahaman yang betul mengikut sunnah yang ditunjuki Nabi s.a.w dan ikhlas kerana Allah s.w.t semata-mata. Ihsan mencetuskan sikap dan akhlak yang mulia serta menjadikan kehidupan selesa dan aman. Dengan menghayati sifat ihsan, manusia akan sentiasa menyakini gerak-gerinya diperhatikan dan diketahui oleh Allah.
- Daku Amat