5 Kesilapan Ibu Bapa Semasa Mendidik Anak Mula Mengaji Al-Quran

Alangkah baiknya jika mengaji al-Quran dilakukan oleh semua orang yang ada di dalam setiap rumah tangga. Kenapa? jika semua orang yang ada di dalam satu rumah sering dan terbiasa mengaji al-Quran maka dapat dipastikan anak-anak akan suka mengaji dengan sendirinya atau anak akan lebih mudah diajak untuk mengaji kerana akan meniru dan mencontohi apa yang telah dilakukan oleh semua anggota keluarganya. Dan yang paling penting adalah kedua orang tua juga ikut mengaji kerana ibu bapa merupakan pusat pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

Belajar ilmu umum seperti membaca A, B, C lebih mudah dilakukan daripada belajar mengaji huruf hijaiyah kerana setiap pengucapan untuk menyebut huruf hijaiyah memerlukan olahan vokal yang berbeza. Oleh kerana itu, dalam mengajarkan mengaji al-Quran kepada anak harus dilakukan sejak usia dini atau anak masih kecil, bahkan ketika masih di dalam kandungan.


Oleh itu, kunci utama agar anak suka mengaji atau membaca Al-Quran adalah dengan memperkenalkan ayat-ayat al-Quran sejak awal, baik melalui pembelajaran secara manual dengan cara mengajarkan kepada anak langsung atau dengan cara melalui audio. Dan jika anak atau bayi selalu diperdengarkan secara rutin dan setiap hari ayat-ayat suci al-Quran maka hasilnya adalah anak atau bayi akan suka mengaji.

Selalunya tanpa ibu bapa sedar perangai kita yang membuat anak jauh dari mencintai al-Quran. Banyak kesilapan yang kita lakukan tanpa sedar dan kadang-kadang kita fikir ia adalah yang terbaik bila mendidik anak mengenal al-Quran.

Berikut 5 kesilapan ibu bapa semasa mendidik anak mula mengaji al-Quran:

1. Intonasi dan riak muka

Perasan tak? Tiba-tiba bila masuk sesi nak ajar iqra atau hafazan, suara mak tukar jadi singa, muka pun mula berkerut-kerut. Silap sikit anak terpendek baca harakat kena marah, silap lagi makhraj huruf kena tengking pula. Kononnya nak tegur dari kecil biar masa besar nanti tak 'melekat' bacaan yang salah.

Niat kita itu sudah betul, cuma cara kita yang salah. Rasa-rasanya, anak kita suka ke baca al-Quran lagi lepas itu? Menegur boleh tetapi gunakan suara yang tenang saja. Jangan masukkan emosi. Tegur secara berulang dengan sabar lebih baik dan lebih berkesan. Tunjukkan cara bacaan yang betul, biar anak nampak mulut kita untuk sebutan huruf yang tepat.

Tenang-tenang saja ye wahai ibu ayah bila ajar anak mula kenal al-Quran. Kalau rasa susah nak bertenang, dicadangkan hantarkan saja anak belajar pada cikgu yang boleh bersabar dalam mendidik anak kita membaca al-Quran. Itu lebih baik sebab kita belum layak mengajar anak kerana diri sendiri sudah kalah pada emosi.

2. Ganjaran

Pengalaman mendapati dengan memberi ganjaran atau reward material seperti mainan dan gula-gula ada efek ketagihan pada anak. Anak memang jadi sangat rajin baca al-Quran bila kita janjikan dengan hadiah. Tetapi lama-kelamaan anak akan berhenti baca bila ibu tak janji beri hadiah. Namun, pemberian hadiah yang kerap juga tidak akan berjaya membentuk anak yang cinta akan al-Quran.

3. Be flexible

Anak baru balik sekolah dari pagi ke petang, balik baru nak rehat, nak makan, nak main tetapi sebaik sampai rumah kita sudah hulurkan al-Quran, suruh baca surah Al-kahfi sepanjang 11 mukasurat, konon-konon nak bagi lekat amalan sampai besar pada setiap Jumaat. Ini kesilapan yang besar.

Anak penat, lapar, mengantuk atau tidak sihat jangan dipaksa baca al-Quran. Cukup kita saja yang baca dan biar anak dengar. Menerusi cara ini, anak tetap belajar sesuatu dari al-Quran walaupun dengan hanya melihat dan mendengar ibu bapanya melazimi mengaji al-Quran.

4. Bukan setakat suruh

Kerja ibu bapa bukan setakat suruh tetapi kerja hakiki kita ialah buat dulu. Di sini selalu ada missing puzzle sebab ibu bapa selalu nak anak lebih baik dari diri mereka maka kita ajar anak baca al-Quran dan hafaz dari kecil. Banyak sangat masa dihabiskan untuk ajar anak hingga terkadang kita terlupa kita juga perlu baca al-Quran. Tunjukkan pada anak cara kita mencintai al-Quran. Insya Allah, amat mudah mereka mengikutnya nanti.

5. Doa

Ini yang paling utama. Sepatutnya berada ditangga teratas bila mula nak buat sesuatu, doa sangat penting. Supaya kita sedar bila anak sudah pandai baca al-Quran dan dapat hafaz banyak surah nanti, semua bukan datang dari usaha kita semata-mata tetapi datang dari 'keizinan' Allah.

Doa supaya kita sedar kita ini hamba yang hanya mampu berusaha, hasilnya Allah s.w.t jua yang tentukan. Dengan perbanyakkan doa kita juga tidak berasa kecewa jika usaha gagal atau belum membuahkan hasil kerana kita sudah meletakkan harapan hanya pada Allah bukan pada usaha kita.

      Baca : 16 Strategi Mesti Dilakukan Supaya Anak Jadi Hafiz al-Quran

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Inilah hasil dari kutipan pengalaman sepanjang mengajar anak membaca, menghafaz dan memahami al-Quran. Semoga berguna sebagai panduan buat ibu bapa yang lain.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: