Usai kerja, si ibu bergegas pulang ke rumah. Tak sabar berjumpa dengan buah hati kesayangan ibu. Tetapi dalam masa yang sama perlu bergegas mengejar masa membereskan keperluan rumah tangga terutama sekiranya jika sudah ada anak yang bersekolah.
Sepanjang perjalanan memang tak sabar hendak peluk cium si kecil tetapi bila sudah lewat sampai ke rumah, si ibu hanya sempat memeluk dan mencium seketika sahaja. Kadang kala ada ibu yang menyambung kesibukan dengan 'tugas' melayan kawan-kawan di media sosial.
Rupanya tindakan tersebut boleh menimbulkan 'kemarahan' kepada si kecil. Kalau boleh bercakap, bayi anda ingin memberitahu yang dia hanya mahukan ibunya sahaja. Ini sebab mengapa para ibu perlu beri perhatian lebih kepada si manja apabila sampai di rumah.
Berikut 5 sebab ibu perlu beri perhatian lebih pada si manja :
1. Si manja rindu ibunya
Anak anda mungkin tidak boleh lagi meluahkan perasaannya. Namun, cuba bayangkan riak wajah si comel bila ternampak ibunya. Tetapi bila ibu tidak mendukung atau memeluknya, sudah tentu anak akan sedih. Kalaulah dia boleh bercakap, tentu dia akan berkata "Mama, saya nak mama je!".
2. Elak anak mengamuk dan meragam
Kadang kala anda sendiri tak faham kenapa si kecil mengamuk dan buat hal tanpa sebab. Sebenarnya dia marah kerana ibunya tidak memberi perhatian kepadanya sebaik sampai di rumah. Sudahlah seharian dia terpisah dengan ibu, bila pulang ibu pula sibuk buat kerja lain.
3. Terlepas momen dengan anak
Anak anda membesar hanya sekali. Tiada ulangan setiap momen tumbesaran anak. Setiap saat sebenarnya amat bernilai. Jadi janganlah lepaskan peluang untuk lebih banyak meluangkan masa dengan anak anda apatah lagi anda sudah seharian bekerja di pejabat. Masa di rumah gunakanlah sebaiknya. Lupakan seketika handphone anda dan beri seluruh perhatian kepadanya.
4. Dahaga susu ibu
Bagi si kecil yang masih menyusu susu ibu, ketibaan ibunya di rumah memang dinantikan kerana mereka terlalu rindu hendak menyusu sambil menghabiskan masa memeluk dan menatap wajah ibu. Memang anda sibuk, tetapi luangkan sedikit masa untuk menyusukan anak sebelum anda mula membuat tugas lain di rumah.
5. Pentingnya bonding time
Mungkin ketika anda sudah habis menyelesaikan tugas di rumah, si comel sudahpun tertidur. Kasihan dia seharian rindukan ibunya. Sebenarnya bonding time anda dengan anak amat penting untuk membantu merangsang perkembangan positifnya. Nampak remeh tetapi ia memberi impak besar terhadap anak. Jangan abaikan ya para ibu!
Walaupun sibuk dan banyak kerja, jangan abaikan perasaan anak anda yang masih kecil. Sentuhan, pelukan dan ciuman daripada ibu mampu memberikan impak besar kepada anak sampai bila-bila.