6 Tip Agar Anak Sanggup Berpuasa Tanpa Perlu Disuruh Atau Dijanjikan Hadiah


Semoga artikel ini dapat beri manfaat pada yang membaca. Kalau bukan untuk Ramadhan kali ini, semoga bermanfaat untuk Ramadhan yang akan datang jika diizinkan Allah. Perkongsian sebuah pengalaman seorang ibu bagaimana anaknya berjaya berpuasa sendiri tanpa perlu disuruh. Allah izinkan tahun ini masuk tahun ke-3 anaknya berpuasa. Tiada kekuatan melainkan dari Allah semata-mata.

Ibu bapa perlu berusaha dalam buat 'persiapan' rapi mendidik anak menjalani ibadat puasa sedari awal usia mereka. Jika kena pada caranya, anak sanggup berpuasa tanpa perlu disuruh atau dijanjikan hadiah. Persiapan perlu bermula.

Berikut 6 tip agar anak sanggup berpuasa tanpa disuruh atau dijanjikan hadiah :

1. Sebelum Ramadhan


Serius? sebelum Ramadhan dah kena ajar? Ya! Sungguh terkesan dengan kata-kata Syeikh Hussain Yaqoob :

"Matahati yang merindui Ramadhan akan dapat menciumi bau bulan Ramadhan, seperti (Nabi) Yaakob telah terbau baju anaknya (Nabi) Yusuf."
Ini yang kita perlu tanamkan dalam diri anak-anak. Sentiasa merindui kedatangan bulan Ramadhan. Hinggakan anak beritahu yang dia nak bina sebuah mesin masa (macam dalam kartun Doraemon) untuk dia kembalikan masa supaya setiap hari ialah bulan Ramadhan dalam hidupnya. Tetapi bagaiman kita nak terapkan kerinduan pada bulan Ramadhan dalam hati anak?

Semua perlu bermula dari kita sebagai ibu bapa. Dari awal tahun kita sudah ajar anak supaya baca doa di bawah ini selalu :


Anak selalu ulang-ulang baca doa ini. Anak tidak akan mampu merindui Ramadhan kecuali jika kita tunjukkan caranya. Kita sebagai ibu bapa perlu jadi PERINDU Ramadhan terlebih dahulu. Ibu-ibu bila ganti puasa. bolehlah beritahu pada anak yang kita sedang berusaha yang terbaik untuk bersedia dengan kedatangan Ramadhan.

Anak-anak perlu nampak ibu bapa 'express' perasaan tak sabar menanti kedatangan bulan mulia Ramadhan. Dari situ anak akan belajar menyambut Ramadhan. Sering ajak anak berdoa sama-sama supaya dipanjangkan umur untuk berjumpa Ramadhan. Anak menyaksikan ibu bapanya berdebar menanti datangnya Ramadhan dan insya Allah mereka akan membesar menjadi PERINDU Ramadhan.

2. Seminggu sebelum Ramadhan


Debaran semakin memuncak seminggu sebelum Ramadhan. Walaupun mendekati bulan yang ditunggu-tunggu tetapi tiada jaminan umur melainkan Allah izinkan. Semakin gigih anak berdoa agar dipertemukan Ramadhan. Ajak anak-anak untuk membantu kemas rumah, biar mereka dapat rasakan ada 'tetamu' istimewa yang akan tiba tak lama lagi. Bisikkan 'rumah perlu bersih' supaya kita senang nak solat dan baca al-Quran bila tiba Ramadhan nanti.

3. Menjelang senja 1 Ramadhan


Tiba masa yang ditunggu menjelang senja 1 Ramadhan, pandang mata anak, dakap mereka, beritahu pada anak bahawa Allah pilih kita kali ini untuk terima hadiah istimewa iaitu RAMADHAN. Berapa ramai orang di dalalam kubur yang minta dihidupkan semula demi beribadat pada bulan Ramadhan! Bisik lagi pada anak; "Ramadhan kali ni kita mesti buat betul-betul. Buat yang terbaik..."

4. Cara memotivasi anak


Motivasi anak untuk berpuasa bukan melalui kaedah reward sahaja. Anda pasti terkejut yang anak kecil juga mampu termotivasi dengan 'janji' Allah. Jangan 'under estimate' kemampuan anak untuk faham hadis dan ayat al-Quran berkaitan puasa. Pengalaman dalam mendidik anak berpuasa mendapati selalunya ransangan datang dari hadis dan ayat al-Quran. Ada banyak hadis sahih yang boleh diceritakan kepada anak.

Ceritakan secara santai, macam storytelling session. Simplify dan beri contoh yang anak mudah faham melalui hadis. Antara koleksi hadis yang anak mudah faham :

1. Pintu Ar Rayyan untuk hamba yang ikhlas berpuasa.

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan pintu ‘Ar-Rayyan’ yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Ditanya (oleh pintu tersebut): “Di manakah orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itu pun ditutup dan tak ada lagi yang masuk melaluinya.” (Hadis Riwayat Muslim, dari Sahl Ibn Sa’ad).
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan.

“Apabila tiba Ramadhan, akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dirantai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Langit akan dibuka sepanjang bulan Ramadhan.

“Apabila tiba malam pertama Ramadhan, akan dibuka semua pintu langit. Ia tidak akan ditutup walau pun satu pintu sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan.” (Riwayat Baihaqi)
Ajak anak keluar rumah dan tengok langit. Minta anak berdoa apa sahaja yang dia hajati pada Allah sepanjang Ramadhan kerana pintu langit terbuka, maka doa sampai pada Allah tanpa hijab. Nak pergi Lego Land ke, nak beli kasut roda ke, terus minta pada Allah.

5. Jangan paksa anak berpuasa


Jika anak belum bersedia berpuasa jangan paksa kerana nanti akan berlaku macam-macam perkara dibelakang kita. Curi minum air masa mandi, curi-curi makan masa mak tak nampak. Anak yang tidak nampak "keindahan puasa" mustahil untuk puasa dengan jujur. Be flexible, please! Anak nak puasa setengah hari, benarkan mereka. Itu tanda mereka jujur dengan kita kerana masih minta kebenaran untuk berbuka puasa, itu lebih baik dari curi-curi makan dan masih berpura-pura berpuasa.

6. Sistem ganjaran/reward


Mungkin kaedah ini berkesan untuk sesetengah anak. Jika berkesan, teruskan. Ada yang minta mainan jika puasa penuh tetapi sentiasa bisikkan pada anak berulang kali, puasa ini untuk Allah bukan untuk mainan atau apa-apa reward yang mereka minta. Kita nak melahirkan anak yang ikhlas berpuasa kerana Allah. Fahamkan mereka yang NIAT puasa ini semata-mata kerana Allah, bukan ganjaran material sahaja.

7. Sabar itu penting


Ibu ayah perlu sabar, kadang-kadang biarpun anak sudah masuk tahun ke-3 berpuasa, telinga masih lagi dengar anak merengek lapar dan haus. Itu normal kerana anak masih kecil. Bagaimana kita handle perkara ini yang lebih utama. Berbalik semula pada point atas, gunakan hadis dan ayat al-Quran sebagai cara untuk redakan rengekan anak.

Namun ikut kemampuan kita. Berpuasa ini ialah proses 'delayed gratification' (melatih anak sabar untuk dapatkan sesuatu ganjaran yang lebih besar).Ada anak cepat "sejuk" lepas dengar hadis ganjaran Allah. Ada anak sejuk lepas dijanjikan reward. Mohonlah kekuatan dari Allah sepanjang mendidik anak menjalani ibadah puasa.

      Baca : 8 Keistimewaan Bulan Ramadhan Berbanding Bulan Lain

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Semoga Allah bimbing setiap ibu bapa yang membaca artikel ini dalam perjalanan melahirkan anak yang soleh dan solehah.

- Daku Amat

Tags : bulan ramadhan penghulu segala bulan ramadan kareem tip ajar anak berpuasa bulan sabar kelebihan bulan ramadan jangan paksa anak berpuasa
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: