7 Petua Mudah Melembutkan Hati Anak-Anak


Mungkin sebagai ibu bapa, kita sering mengharapkan anak kita sempurna di mata orang lain. Seperti anak yang pandai dapat hadiah akhir tahun atau tidak menangis sewaktu kali pertama masuk tadika.

Tetapi pernah dengarkan bahawa anak yang lasak atau sedikit nakal sewaktu kecil ini sebenarnya anak yang bijak dan sangat kreatif? Terpulang kepada kita untuk mencorakkan anak-anak ini, mencungkil potensi yang ada ke arah kebaikan. Mencari sempurna anak-anak di mata kita sendiri dan bukan orang lain lagi.

Mendidik anak-anak memang bukan mudah. Semakin mereka membesar maka semakin sukar juga tanggungjawab kita. Menyuruh bersolat, belajar, mengaji dan sebagainya kadangkala menduga kesabaran.

Berikut 7 petua daripada doa dan tips untuk mudah melembutkan hati anak-anak :

1. Doa Melembutkan Besi Nabi Daud

Nabi Daud terkenal dengan beberapa kelebihan antaranya boleh melembutkan besi dan membentuknya kepada apa jua bentuk yang dikehendaki. Amalkan doa ini selalu mudah-mudahan hati kita dan anak-anak akan dilembutkan Allah ke arah kebaikan.

“Ya Allah, lembutkanlah hati anakku (sebut nama anak) seperti mana Engkau melembutkan besi di tangan Nabi Daud”.

2. Ayat Yang Membuatkan Sayyidina Umar Memeluk Islam

Umar Al-Khattab pada awalnya sangat terkenal dengan sifat bengis dan memerangi Islam. Namun sebaik sahaja beliau baca ayat-ayat ini, beliau menangis dan terus memeluk Islam. Beliau mengakui bahawa ayat-ayat ini begitu indah dan bukan ciptaan manusia.

Sayyidina Umar kemudiannya telah menjadi panglima perang Islam yang digeruni serta pemimpin negara yang berjalan di waktu malam untuk melihat derita rakyat. Apakah ayat yang telah melembutkan hati seorang yang digelar 'singa' di zamannya ini?

Di bawah ini adalah ayatnya :


Thaahaa. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (Iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah. Yang bersemayam di atas 'Arsy. (Ta Ha Ayat 1-5)
3. Sayang Seperti Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w sangat mengasihi kanak-kanak. Ada kisah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak bangun-bangun dari sujud kerana dipeluk oleh cucu Baginda. Begitu penyayang Baginda s.a.w terhadap kanak-kanak sehingga kanak-kanak sering diberi keutamaan di dalam majlis Nabi s.a.w.

Bahawa seorang sahabat bernama Aqra’ pernah melihat Rasulullah s.a.w sedang mencium Hasan. Dia berkata; “Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak namun aku tidak pernah mencium satu pun dari mereka”. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda;

“Sesungguhnya barang sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sewaktu bersama anak-anak, tutup telefon bimbit kita. Dengarkan cerita, bergurau bersama dan peluk cium mereka sementara hayat kita masih ada tinggalkanlah kenangan manis untuk mereka.

4. Membaca Ya Latif

Kesemua nama-nama Allah (Asmaul Husna) mempunyai kelebihan yang tersendiri. Menyebut Ya Latif (Yang Maha Lembut) sewaktu membuat kerja-kerja rumah seperti memasak atau mencuci pakaian anak-anak dapat memberi aura yang baik kepada mereka.

Diikuti dengan surah berikut :


"Allah Maha lembut terhadap hamba-hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada yang di kehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Surah Asy-Syura Ayat 19)
5. Satu Hadis satu Hari

Menurut Ustaz Ebit Liew, membaca hadis bersama-sama anak setiap hari dapat melembutkan hati mereka dengan mudah. Untuk permulaan dapatkan sebuah buku himpunan hadis atau kisah-kisah nabi yang dicetak khas untuk kanak-kanak mudah memahaminya.

Jadikan satu kebiasaan untuk membaca satu hadis atau cerita nabi ini setiap hari selepas solat dan mengaji bersama-sama. Buat satu sudut di rumah sebagai surau mini kita.

6. Maafkan Saya Mak!

Walaupun kita telah dewasa tetapi ada dua orang manusia yang tetap menganggap kita sebagai anak kecil mereka iaitu ibu ayah kita. Kanak-kanak menyerap seperti span bagaimana kita melayani ibu bapa kita sendiri hari ini. Tanyakan khabar, melawat dan temani mereka di kampung. Sebenarnya bukan wang ringgit yang mereka harapkan dari kita.

Rendahkan ego dan minta maaf jika ada mengguris hati mereka. Manalah tahu jika doa kita tidak dijawab kerana kita ada melukakan hati orang yang paling mengasihi kita ini. Bagaimana kita melayani ibu bapa kita hari ini mungkin akan menjadi cara anak kita melayan kita suatu hari kelak.

7. Terus Bersabar

Jika diuji dengan karenah anak-anak, ingatlah bahawa kita dipilih untuk melalui ujian ini. Lihat ke dalam diri apakah yang perlu kita perbaiki dan sentiasa bersangka baik kepada Allah swt. Anak-anak adalah ladang pahala kepada ibu bapanya.

Amalkan ayat al-Quran di bawah ini dengan diwiridkan selalu sebagai doa semoga hati kita tetap dengan kesabaran sewaktu dipilih melalui ujian.


“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.” (Surah Ali 'Imran Ayat 200)
Ingatan-ingatan kecil berupa doa sangat besar maknanya bagi anak-anak jika diamalkan setiap hari. Petua dan doa-doa sebegini boleh diamalkan pada setiap masa. Lebih baik jika dapat dicetak dan diletakkan di tempat yang kerap kita lihat seperti meja kerja atau di ruang solat.

Sentiasa doakan anak-anak kita pada setiap masa terutamanya sewaktu terjaga di hujung malam (waktu sahur), sewaktu sujud yang terakhir, sewaktu bermusafir dan ketika hujan turun lebat.

Pada ketika anak jauh dari pandangan mata, hanya Allah s.w.t selaku pemilik jiwa anak-anak ini sahaja mampu menjaga mereka. Semoga hati kita juga dilembutkan oleh Allah s.w.t ke arah kebaikan sewaktu mengamalkan petua dan doa melembutkan hati anak-anak ini.

Semoga definisi sempurna anak-anak di mata kita adalah apabila mereka tetap hatinya ke jalan Ilahi. Kadang-kadang usaha kita untuk membetulkan orang lain mungkin bermula dengan kita membetulkan diri kita sendiri terlebih dahulu.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: