Sudah menjadi satu kebiasaan bagi ibu bapa untuk menyuapkan makanan kepada anak-anak yang masih kecil. Tetapi tahukah anda bahawa bayi seawal umur 6 bulan sebenarnya sudah boleh menyuapkan makanan mereka sendiri?
Terdapat beberapa sebab mengapa anda perlu mula membiarkan si kecil anda menyuapkan makanan mereka sendiri.
Berikut 5 sebab ibu bapa perlu biar anak kecil menyuap makanan mereka sendiri :
1. Meningkatkan kemahiran menggunakan deria
Waktu makan adalah antara waktu yang paling banyak mereka terdedah dengan deria-deria baru seperti rasa, bau dan tekstur yang baru. Membiarkan mereka memegang makanan mereka sendiri adalah cara yang baik untuk mereka mengembangkan kemahiran menggunakan deria mereka.
2. Meningkatkan kemahiran koordinasi
Pergerakan mencedok dan menyuapkan makanan memberikan peluang yang baik bagi anak-anak anda meningkatkan kemahiran koordinasi tangan mereka. Tetapi mungkin ia akan mengambil sedikit masa sebelum mereka berupaya untuk tidak menumpahkan makanan sewaktu makan.
3. Memupuk nilai berdikari
Membiarkan bayi anda menyuap makanan mereka sendiri dapat memupuk nilai berdikari pada diri bayi anda. Tetapi pastikan juga anda mengawasinya agar tidak terlalu gelojoh dan mereka benar-benar memakan makanan tersebut.
4. Penggunaan dan kesedaran anggota badan yang baik
Ketika anak-anak anda melatih diri mereka untuk menyuapkan makanan mereka sendiri, mereka akan mempelajari di mana letaknya mulut mereka, berapa banyak daya yang diperlukan untuk menggerakkan tangan mereka, bagaimana untuk menggunakan tangan mereka untuk memegang cawan dan lain-lain lagi anggota badan yang digerakkan.
5. Pembangunan saraf motor
Di dalam mereka menyuapkan makanan mereka sendiri juga anak-anak anda berupaya meningkatkan kemahiran menggunakan saraf motor mereka. Mereka akan belajar sendiri bagaimana untuk membuka mulut mereka, bagaimana untuk mengambil makanan daripada sudu, atau bagaimana untuk mengambil makanan yang tertinggal di bibir mereka. Semua ini memerlukan dan meningkatkan kemahiran penggunaan saraf motor anak-anak anda.
Baca : 4 Amalan Kukuhkan Pengurusan Kewangan Perniagaan Anda
Diakui proses anak kecil seawal umur 6 bulan ke atas mempelajari cara menyuapkan makanan mereka sendiri tentunya akan menyebabkan tempat makanan mereka berselerak. Namun, fikirkan kelebihan jangka masa panjangnya apabila anak anda mempunyai sifat berdikari serta perkembangan minda yang baik.
- Daku Amat