Penyakit jantung tidak mengenal usia. Ada lelaki berusia semuda 28 tahun sudah alami sakit jantung, manakala perempuan berusia semuda 32 tahun pun ada yang sudah kena.
Berikut merupakan amaran daripada Dr. Mahmood Sabruddin Zulkifli, Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman yang kini berkhidmat di DEMC Specialist Hospital Shah Alam. Banyak pengalaman yang beliau lalui sepanjang tempoh 15 tahun menjadi doktor, dengan purata berjumpa 25 pesakit setiap hari dan 15-20 kes angiogram setiap minggu.
Bagaimana Nak Tahu Seseorang Itu Ada Sakit Jantung?
Simptom-simptom yang biasa untuk sakit jantung seperti berikut :
1. Ketidakselesaan pada leher, rahang, bahu, atas belakang atau abdomen.
2. Nafas berasa pendek.
3. Sakit pada sebelah atau kedua-dua belah tangan.
4. Loya atau muntah.
5. Berpeluh.
6. Ringan kepala atau pening.
7. Keletihan luar biasa.
Kalau anda ada petanda-petanda seperti di atas, ini adalah simptom bagi sakit jantung.
Dua Faktor Risiko Umum Sakit Jantung :
1. Faktor Risiko Tak Boleh Ubah (Irreversible)
(i) Sejarah keluarga – Penyakit ini biasanya disebabkan keturunan, kalau ibubapa anda pernah menghidap sakit jantung, risikonya meningkat.
(ii) Lelaki lebih berisiko - Berbanding perempuan.
(iii) Semakin berumur - Semakin meningkat risiko.
2. Faktor Risiko Boleh Ubah (Reversible)
(i) Diabetes – Boleh dikawal dengan kurangkan gula dan mengambil ubat.
(ii) Kehidupan tidak aktif – Pastikan anda kembali aktif dengan kurangkan duduk, selalu berjalan, melakukan senaman dan bersukan.
(iii) Tekanan darah tinggi/hipertensi – Kurangkan gula.
(iv) Merokok – Berhenti merokok jalan terbaik.
(v) Stres – Kurangkan stres dan belajar pengurusan stress.
7 Tips Elak Sakit Jantung Daripada Pakar Jantung
Sudah tahu 7 simptom sakit jantung. Berikut 7 tips elak sakit jantung pula :
1. Lakukan saringan kesihatan
kalau boleh saringan kesihatan jantung 2-3 tahun sekali. Dan jangan tunggu bila dah sakit, baru nak pergi dapatkan khidmat nasihat pakar.
2. Kenali faktor risiko anda
Boleh rujuk kepada faktor-faktor risiko umum sakit jantung seperti di atas, dan jika anda berisiko tinggi, sila berhati-hati.
3. Kekalkan berat badan ideal
Kegemukan atau obesiti adalah punca kepada kebanyakan penyakit merbahaya seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan bermacam-macam lagi.
4. Amalkan diet yang sihat
Jaga pemakanan anda dan kalau boleh kurangkan makanan berkarbohidrat tinggi seperti nasi. Kalau boleh ikutlah piramid makanan yang disyorkan.
5. Berhenti merokok
Bagi perokok-perokok di luar sana, berhentilah tabiat tidak sihat ini. Bukan sahaja badan anda akan menikmati kesannya, orang di sekeliling anda pun pasti menghargainya.
6. Kekal aktif
Dengan gaya hidup yang sedentari terutama sewaktu waktu bekerja, ramai di antara kita yang duduk sahaja di depan komputer selama berjam-jam lamanya. Cuba bangun setiap 30 minit dan berjalan sedikit sebelum sambung membuat kerja anda.
7. Belajar CPR
Biasa kita tengok di dalam filem atau pun drama siri, apabila seseorang itu sakit jantung dan rebah; akan ada seseorang yang akan melakukan CPR bagi menyelamatkan nyawa pesakit tersebut.
Akhir Kata
Dari segi aspek kesihatan, "mencegah lebih baik daripada merawat" adalah sangat benar. Adalah lebih baik kita mencegah dengan mengamalkan tips-tips seperti di atas.