E-Cutter Mudahkan Kerja Mengait Buah Sawit


Lazimnya sebelum ini, peladang sawit menggunakan peralatan galah atau pencantas manual untuk mengait pelepah dan tandan buah sawit. Di mana ia memerlukan kudrat yang banyak untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.

Namun, kini dengan inovasi terbaru, kerja-kerja tersebut menjadi lebih mudah dan cepat, sekali gus meningkatkan hasil tuaian. Apabila sejenis alat pencantas pelepah kelapa sawit yang dikenali sebagai E-Cutter, dicipta.

Alat terbaru itu diilhamkan Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Norhisam Misron, dan turut dibangunkan hasil penyelidikan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Dr. Norhisam berkata, beliau bersama Pegawai Penyelidik MPOB, Abdul Razak Jelani mula menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membangunkan E-Cutter pada 2010 dengan dana RM480,000, yang disalurkan menerusi geran MPOB, UPM dan Kementerian Pengajian Tinggi.

E-Cutter menggunakan gabungan konsep kuasa elektrik dan mekanikal bagi menggerakkan alat pemotong berupa sabit yang dipasang pada hujung galah. Ia dibangunkan menerusi satu sistem menggabungkan generator elektrik dan motor.

Konsep itu merupakan penambahbaikan yang dilakukan terhadap alat cantas yang direka MPOB sebelum ini.

Menariknya, pencantas elektrik E-Cutter itu mampu mengait buah sawit dan mencantas pelepahnya, pada pokok yang mempunyai ketinggian sehingga 9 meter.

Selain itu, kerana reka bentuknya yang kecil dan ringan memudahkan E-Cutter dibawa ke mana-mana. Komponen E-Cutter juga boleh dileraikan dan mudah dipasang semula.

Alat pencantas elektrik itu menggunakan ‘double starter generator’ yang mempunyai ketumpatan kuasa tinggi untuk digunakan sebagai generator. E-Cutter menggunakan enjin yang dihubungkan dengan generator untuk menggerakkan pencantas elektrik ini.

Tangki petrol pada E-Cutter ini mempunyai kapasiti 0.8 liter dan peladang hanya perlu mengisi petrol dua kali untuk kegunaan selama lapan jam di ladang.

Pemilihan kuasa elektrik disebabkan ia tidak memerlukan kos yang tinggi, selain tahan lebih lama. Berbanding jika menggunakan konsep bateri atau pengecasan kerana kosnya mahal, di samping masa penggunaannya yang rendah. Industri kelapa sawit bergerak lapan jam sehari, jadi konsep bateri tidak sesuai diaplikasikan.

E-Cutter berfungsi apabila dinamo yang menghasilkan tenaga elektrik disalurkan kepada sebuah motor elektrik, yang akan menggerakkan kepala pemotong di hujung galah.

Sabit yang dipasang pada hujung galah akan bergetar dan menghasilkan daya pemotong bagi melakukan proses pemotongan tandan serta pelepah sawit.

Sebuah enjin petrol dua lejang digunakan bagi memacu dinamo untuk menghasilkan elektrik. Pengguna hanya perlu menekan picu yang disediakan bagi mengawal pergerakan E-Cutter ketika mengait kelapa sawit atau tandan buahnya.

Bakal dikomersialkan

E-Cutter yang siap sepenuhnya Oktober tahun 2015, bakal dikomersialkan tidak lama lagi. Sebuah persetujuan sudah dijalin dengan JWR Technology (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera dari Pulau Pinang untuk pemasangan dan pemasaran E-Cutter.

E-Cutter dijangka dipasarkan menjelang akhir tahun 2016 atau pertengahan tahun 2017.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: