7 Kesilapan Yang Sering Dilakukan Semasa Hari Raya Aidilfitri


Satu Syawal adalah detik yang dinanti oleh seluruh umat Islam sebagai tanda kemenangan setelah sebulan menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang menguji ketahanan fizikal dan mental. Hari Raya Aidilfitri diraikan dengan juadah raya, perhiasan dan rumah terbuka sini-sana. Cukup meriah berkumpul sesama keluarga dan sahabat taulan.

Dalam menyambut hari raya, mungkin kita perlu renungkan beberapa permasalahan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita. Inilah kesilapan yang sering dilakukan semasa Hari Raya Aidilfitri.

Berikut 7 kesilapan yang sering dilakukan semasa Hari Raya Aidilfitri :

1. Sentuhan bukan mahram


Budaya masyarakat melayu tidak lari dari amalan bersalaman sama ada sesama keluarga mahupun tetamu. Namun sebagai muslim, kita seharusnya peka dengan batas sentuhan dengan orang lain. Wanita tidak boleh bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram dan begitulah sebaliknya. Ada yang memberi alasan kononya kawan rapat, sepupu, pakcik dan sebagainya. Semua ini tidak boleh dilihat dari segi aspek emosi semata-mata, melainkan dengan mengutamakan pandangan agama terlebih dahulu.

Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi. Diharap hari raya ini, para wanita di luar sana seharusnya lebih sensitif dengan isu ini. Di sinilah kita memulakan didikan kepada masyarakat mengenai cara hidup Islam yang sebenar.

2. Aurat dan ipar duai


Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3. Wangian wanita


Kaum wanita memakai wangi-wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4. Pakaian wanita


Mengapa wanita sedangkan lelaki juga tidak kurangnya? Umum diketahui wanita sering menjadi perhatian dan itu menyebabkan agama memandang serius mengenai aspek pemakaian wanita khususnya dalam musim perayaan. Kebiasaan dalam masyarakat kita, apabila tiba hari raya, maka di situlah segala penampilan menonjol dipamerkan. Apatah lagi apabila wanita berpakaian tidak sekadar dengan perhiasan yang menarik perhatian malah mengikut bentuk badan, pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

Perkara ini sudah jelas mendedahkan aurat. Ini sangat ditegah dalam agama namun ini jugalah yang sering dilakukan oleh masyarakat kita. Kononnya atas alasan perayaan sekali dalam setahun maka segala garis panduan agama diketepikan. Sentuhan.

5. Adab ziarah kubur


Meskipun tiada nas yang menunjukkan larangan menziarahi kubur pada hari raya dan tiada hadis yang melarangnya, maka ulama telah berpandangan harus untuk menziarahinya namun mestilah dengan adab yang betul dan tidak melampau.

Adalah tidak elok sekiranya menziarahi kubur itu sehingga berkumpul beramai-ramai mengakibatkan kubur orang lain dipijak atau menyandar binaan kubur orang lain semata-mata membaca Yasiin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Sekiranya perkara ini berlaku, ia dilarang manurut mazhab Syafie sebagaimana dihuraikan oleh Imam Khatib As-Syarbini.

6. Meninggalkan solat fardhu


Ini sangat serius. Ibadah selama sebulan hanya menjadi sia-sia sekiranya ia tidak memberi sebarang keinsafan semasa hari raya. Bergembira sepanjang aidilfitri tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan solat fardhu. Ia adalah satu kelalaian yang serius dan berdosa.

7. Dosa bertempoh


Apa yang dimaksudkan ialah maksiat yang tertangguh semasa bulan Ramadhan dilakukan semula selepas bulan tersebut. Ini termasuklah menyambung balik permusuhan, atau kembali melakukan maksiat, berkata yang mendatangkan dosa, mengumpat, berbohong, chatting yang mengundang syahwat dan banyak lagi. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

      Baca : 4 Cara Terbaik Untuk Kita Mengakhiri Bulan Ramadhan

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Mungkin inilah contoh kesilapan yang sering dilakukan semasa hari raya yang sangat ketara. Namun ada banyak lagi yang harus diperhatikan untuk dijadikan pengajaran agar kita tidak terjebak dalam perbuatan dosa. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.

- Daku Amat

Tags : bulan syawal hari raya aidilfitri kesilapan di hari raya menyambut 1 syawal bulan kemenangan semasa hari raya
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: