6 Tip Untuk Kawal Perbelanjaan Semasa Di Bulan Ramadhan


Pejam celik pejam celik, kita sudah memasuki hari kelapan berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Namun, antara masalah yang sering dihadapi masyarakat kita pada bulan mulia ini ialah pembaziran. Di bawah ini disediakan beberapa tip untuk anda sekeluarga supaya dapat mengelakkan daripada amalan syaitan ini.

Berikut 6 tip untuk kawal perbelanjaan semasa di bulan Ramadhan :

1. Berbelanja ikut perancangan


Pertama sekali, rancang perbelanjaan barangan keperluan lebih kurang 2 minggu sebelum Ramadhan bermula. Buat senarai harian secara terperinci dan beli item secara pukal. Elakkan membeli barangan yang tiada dalam senarai. Ini bagi memastikan anda tidak lari bajet sewaktu mengunjungi kedai runcit atau pasaraya.

2. Elak membazir ketika beli juadah berbuka


Pastikan anda buat anggaran jumlah ahli keluarga atau tetamu yang akan ada berbuka puasa bersama. Jangan berlebih-lebihan sehingga menyebabkan makanan tidak diluak dan akhirnya dibuang ke dalam tong sampah. Beli juadah yang anda benar-benar boleh habiskan sewaktu berbuka. Pastikan juga peti ais dan rak makanan anda sentiasa tersusun rapi bagi mengelakkan pembaziran barangan makanan yang sudah dibeli.

3. Elak buat iftar di luar kemampuan


Jangan membazir dengan menganjurkan majlis berbuka puasa untuk tujuan bermegah atau menunjuk-nunjuk. Ingat, bukanlah tujuan sebuah majlis iftar itu diadakan untuk berbangga dengan kemewahan dan harta kekayaan yang anda ada. Memadailah untuk mengajak teman rapat, jiran atau saudara-mara terdekat sahaja.

4. Elak membeli-belah di siang hari


Elakkan dari membeli barang masakan atau makanan di pasaraya sewaktu anda sedang berpuasa. Ini kerana anda akan cenderung untuk membeli barangan yang melebihi dari yang sepatutnya. Sebaiknya, kunjungi pasaraya selepas solat Maghrib. Latih diri untuk tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk iklan promosi.

5. Beli makanan dalam pek kecil


Membeli dalam kuantiti yang terlalu banyak boleh mengakibatkan pembaziran. Beli makanan dalam pek kecil berbanding besar. Diingatkan juga untuk anda semak terlebih dahulu tarikh luput kesemua produk yang ingin dibeli. Ingat, beli makanan yang berkhasiat sahaja. Sebagai contoh, elakkan dari membeli minuman ringan sewaktu berbuka dan sahur kerana ianya boleh mengakibatkan masalah buah pinggang yang kronik. Minumlah air putih kerana ianya bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga malah dapat dihadam dengan baik.

6. Buat perbandingan harga


Untuk berjimat, sebaiknya anda buat perbandingan harga terlebih dahulu di internet atau dapatkan katalog pasaraya-pasaraya terkemuka yang ada. Kebiasaannya akan ada produk alternatif yang boleh didapati dengan harga yang lebih murah di pasaraya tertentu. Tahan diri dari membeli barang yang tidak mahu dibeli meskipun ianya datang dengan diskaun atau tawaran hebat seperti 'beli 1 percuma 1'. Percayalah, ianya hanya taktik pemasaran yang bertujuan untuk menarik perhatian anda.

      Baca : 6 Tip Berhenti Merokok Di Bulan Ramadhan

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Cuba hayati maksud sebenar bulan Ramadhan ini, dengan itu anda pasti akan bersederhana dari segi perbelanjaan dan aspek-aspek lain. Ingat, apa yang mendorong kita untuk membazir adalah nafsu semata-mata. Apakata sempena berada dalam bulan Ramadhan ini, kita cuba memenuhi ia dengan tuntutan agama dan mengurangkan perkara duniawi yang melalaikan.

- Daku Amat

Tags : bulan ramadhan tip berjimat di bulan ramadan ramadan kareem pembaziran bijak berbelanja cara elak pembaziran berbuka puasa semasa bulan ramadan
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: