Mendaki gunung merupakan salah satu hobi yang kian hari kian digemari. Kegiatan pendakian gunung, sebagaimana kegiatan di alam bebas lainnya, selalu penuh cabaran yang menguji ketahanan individu, bahkan terkadang ekstrim.
Oleh itu, sebelum melakukan pendakian, setiap pendaki harus melakukan persiapan yang matang. Jangan sampai kegiatan yang bertujuan untuk mendapatkan pengalaman dan kepuasan diri, akhirnya membawa akibat yang merugikan buat diri pendaki dan juga alam.
Berikut 10 tips persediaan mendaki gunung terutama newbies :
1. Cuaca
Sila tengok ramalan cuaca terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Jika semalam hujan lebat dan plan untuk hiking hari ini seawal pagi, perlu di ingat trail besar kemungkinan becak, berlumpur dan sedikit merbahaya.
2. Kasut
Guna kasut hiking yang sesuai untuk kaki. Selalunya ini yang paling diabaikan oleh pendaki ketika mendaki gunung atau bukit. Alasan seperti tidak ada bajet atau kasut murah pun tak apa, tidak boleh dipandang ringan. Tahukah kalian, kaki anda merupakan anggota badan yang paling penting untuk meneruskan pendakian?
3. Pakaian
Sekiranya mendaki di tempat yang beraltitude tinggi, pakaian seperti cotton sahaja tidak sesuai sebab tidak menyerap peluh. Pakaian dari jenama Adidas, Nike, Under Armour yang menggunakan material Compression sangat bagus sebab dapat menyerap peluh dan membolehkan pendakian bertambah selesa.
4. Stamina
Sebelum memulakan pendakian, adalah dinasihatkan supaya membuat sedikit senaman ringan sekurang kurangnya 10-15 minit. Ini adalah untuk mengelakkan otot menjadi kejang sejurus selepas memulakan pendakian.
5. Makanan dan Minuman
Adalah digalakkan mengambil makanan ringan seperti cereal sebelum memulakan pendakian. Jangan makan makanan seperti nasi lemak yang boleh mengakibatkan anda pancit dan tiada tenaga untuk mendaki.
Sediakan makanan ringan seperti coklat atau energy bar dan air 100 plus untuk dijadikan jajan sepanjang pendakian. Air 100 plus bagus untuk menggantikan garam dalam badan yang keluar semasa berpeluh dan boleh mengelakkan dari kejang bergelumang.
6. Masa
Perlu diingat, kita pergi mendaki bukan untuk mencatat rekod dunia tetapi untuk merasai pengalaman melalui satu tempat baharu.
7. Sesi bergambar
Saat yang paling dinantikan oleh para pendaki khususnya apabila berjaya mendaki sampai ke puncak. Tapi jangan diabaikan aspek keselamatan hanya kerana nak mencipta shoot paling grand.
8. Percakapan dan adab
Bila memulakan perjalanan, bacalah basmallah (Bismillahirahmanirahim) dan berdoalah supaya dipermudahkan perjalanan. Jangan takbur dan riak dalam hutan. Jika terhidu sesuatu, mulut jangan celupar.
Tunggu sehingga selesai pendakian, barulah boleh bercerita pasal benda-benda ghaib, aneh atau pelik yang berlaku sebelum itu.
Sebagai umat Islam jaga aurat dan batas antara lelaki dan perempuan. Jangan buat maksiat di atas puncak. Jangan membuang atau meninggalkan sampah merata-rata. Tidak merosak alam dan menjaga lingkungan alam sekitar sebaik-baiknya.
9. Semangat setiakawan
Selalunya ramai yang pergi dalam satu kumpulan. Adalah penting setiap anggota mengambil berat keadaan teman-teman lain sepanjang pergi dan balik dari pendakian, dan bukannya hanya mementingkan diri sendiri untuk kepuasan peribadi.
10. Mental
Digalakkan pendaki untuk sentiasa berfikiran positif sepanjang perjalanan. Jangan terlalu mementingkan bila masa nak sampai puncak dan balik dengan segera tetapi mengabaikan aspek mental sama ada mampu atau tidak melakukannya.