Tahun 2002 merupakan kali pertama melangkah keluar dari Malaysia bersendirian, pada ketika itu berumur 16 tahun. Perasaan risau dan gusar bertukar menjadi yakin dan bersemangat sebaik menaiki kapal terbang menuju ke Amman Jordan.
Semenjak dari situ terus mengorak langkah mengembara dunia. Sepanjang pengembaraan berbagai pengalaman pahit manis telah dilalui. Mungkin dengan sedikit perkongsian tip ini dapat membantu anda untuk mengembara melihat dunia.
Berikut 15 perkara patut menjadi amalan sewaktu travel :
1. Sabar dalam segala hal
Walau apa pun yang berlaku sepanjang pengembaraan, sabar adalah kunci paling utama. Jangan cepat marah atau merungut bila berlaku sesuatu masalah yang tidak dijangkakan.
Ingat semula tujuan kita mengembara ialah ingin merasai pengalaman melihat dunia luar sambil melihat kebesaran ilahi. Insya Allah pengembaraan akan menjadi lebih bermakna walau berbagai rintangan terpaksa ditempuh.
2. Simpan tunai dalam poket rahsia
Elakkan simpan tunai dalam satu tempat. Jika anda bawa 600 dolar, simpan di tiga tempat berbeza. Jika berlaku sesuatu masalah yang tidak dijangka seperti kena samun dan dompet tercicir, anda masih ada tunai kecemasan.
Salah satu tempat kegemaran saya simpan tunai ialah dalam stokin. Adakalanya saya simpan dalam seluar dalam (bergantung pada situasi dan tempat yang kita pergi).
3. Bangun awal pagi
Orang berjaya selalunya akan bangun awal pagi mencari rezeki. Begitu juga dengan mengembara. Waktu pagi adalah masa yang paling seronok untuk berjalan. Penjenayah dan scammer juga biasanya masih tidur pada waktu pagi. Jadi perjalanan pastinya lebih aman pada waktu pagi.
4. Jangan kedekut senyuman
Ingat kita berada di negara asing yang kita sendiri tidak tahu keadaan persekitarannya. Senyuman manis kita akan membuat masyarakat tempatan lebih senang untuk berinteraksi dengan kita. Perjalanan kita juga akan menjadi lebih indah.
5. Duduk di jalanan
Salah satu cara terbaik untuk merasai kehidupan masyarakat setempat. Ambil masa 3 hingga 4 jam, bawa air dan makanan ringan, cari satu sudut di kawasan orang lalu lalang. Duduk dan perhatikan keadaan sekeliling. Saya yakin anda akan mendapat sesuatu pengalaman unik yang mungkin akan menghasilkan 3 buah buku jika ditulis.
6. Sediakan dokumen backup
Tak kiralah ke mana anda keluar mengembara, backup dokumen sangat penting. Jangan ambil mudah. Buat beberapa salinan paspot, kad pengenalan dan lesen memandu. Jika terjadi kehilangan paspot, salinan dokumen sangat membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut.
7. Tangkap gambar sejuta kali
Biarlah orang kata kita jakun sekalipun. Sudah memang kita jakun baru sampai, tangkap gambar puas-puas. Nak melompat ke tidak kisah. Bukan senang hendak sampai kan?
Jangan malu nak tangkap gambar banyak-banyak walaupun kamera yang anda guna hanya jenis Samsung Galaxy tahun 2010. Setiap keping gambar tersimpan seribu kenangan dan nilai sentimental tertentu.
8. Bermesra dengan orang tempatan
Jangan malu dan takut untuk bertegur sapa. Gunakan peluang yang singkat untuk mengenali hati budi orang tempatan biarpun mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.
Bahasa ayam itik dan isyarat sudah cukup istimewa untuk dijadikan kenangan bila pulang ke tanah air nanti. Siapa sangka dalam ramai-ramai yang kita tegur itu salah seorang akan menjadi sahabat kita. Atau mungkin juga akan bertemu jodoh antara dua benua.
9. Backup gambar
Ini juga sangat penting. Beribu ringgit habis beli tiket, berpanas terik tangkap gambar, akhir sekali kamera hilang. Memang sangat tragis bila berlaku begini. Setiap kali pulang ke hotel penginapan, rajin-rajinlah buat backup gambar dalam hard disk dan juga online seperti google drive.
Saya sendiri pernah kehilangan semua gambar semasa mengembara ke Eropah beberapa tahun lepas. Yang lebih tragis saya tiada backup gambar. Redha dan pasrah sahajalah.
10. Jangan gusar dengan propaganda media
Kadang kala apa yang dilihat dalam television tidak sama seperti situasi sebenar di negara tersebut. Sebagai contoh, Pakistan dan Afghanistan dikatakan 2 buah negara yang tidak pernah aman dengan bom sana-sini. Tetapi masih ramai pengembara yang pergi ke sana untuk melihat keindahan dan keunikan lembah gunung-ganang negara tersebut.
Buat sedikit kajian tentang negara yang ingin kita pergi, mohon petunjuk dari ilahi, insya Allah anda akan menjadi lebih yakin untuk melangkah masuk ke negara tersebut.
11. Sesat jalan kenangan yang paling indah
Salah satu cara unik untuk meneroka sesebuah tempat ialah pergi berjalan ke kawasan yang kita sendiri tidak tahu apa yang ada di sana. Tetapi sebelum itu pastikan anda sudah mencatat nama dan alamat hotel. Jika tersesat mudah untuk kita pulang ke hotel.
Menjadi kebiasaan saya bila sampai ke satu tempat, saya akan naik apa-apa pengangkutan awam dan berhenti di mana-mana perhentian secara rawak. Usah khuatir akan sesat jalan, dari situ anda akan lebih cepat tahu selok-belok tempat tersebut. Sangat seronok!
12. Jangan tamak!
Mengembara ke satu destinasi dalam masa 7 hari lebih indah dan lebih kepuasan dari mengembara ke 7 buah negara dalam masa 7 hari. Jangan amalkan kembara ala touch n go, sangat rugi. Hayati satu persatu destinasi yang kita pergi.
13. Tulis nota
Memori kita tidak selamanya akan kekal dalam ingatan. Catat apa-apa maklumat penting, tempat yang anda pergi seperti nama orang yang anda jumpa, nama jalan yang anda sesat dan sebagainya. Jadikannya seperti sebuah diari kembara.
14. Jaga kesihatan sebaiknya
Amalkan pemakanan dan cara hidup yang sihat, sentiasa bersenam. Kesihatan yang baik nadi utama pengembaraan. Setiap pagi paling kurang lakukan senaman santai selama 10 minit, pasti pengembaraan anda akan lebih seronok dengan tubuh badan yang sihat.
15. Jaga Solat!
Ini paling penting! Sebagai orang Islam, tiada yang lebih mustahak daripada solat. Tidak kira ke mana anda mengembara, solat wajib diutamakan. Jika tidak sempat sampai ke bilik hotel, bawah tangga juga boleh solat. Bila kita jaga solat, Allah akan menjaga kita.
Pepatah orang-orang tua ada mengatakan, jauh berjalan luas pemandangan. Memang tepat sekali! Travel bersama amalan yang patut kita tahu tentulah lebih baik dan selamat.