Ketika imam membaca doa setelah selesai solat berjemaah dan berwirid, kita akan dapat perhatikan bermacam-macam cara makmum mengangkat tangan ketika berdoa.
Timbul persoalan di dalam hati dan fikiran, bagaimanakah cara angkat tangan yang betul semasa berdoa?
Berikut ini adalah kaedah atau cara menadah tangan dan berdoa dengan betul :
1. Angkat tangan ke paras dada.
2. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan mengenai satu sama lain.
3. Apabila tapak tangan dirapatkan, urat atau garisan tengah di tapak tangan akan bertemu dan menjadi melengkung berbentuk seperti huruf ‘ba’.
4. Titik bagi huruf ‘ba’ tu letakkan di hati. Kedudukan titik itu lebih rendah dari tangan yang kita tadah.
5. Duduklah dalam keadaan yang penuh sopan. Cara duduk yang terbaik ialah duduk iftirash (seperti dalam tahiyyat awal) atau duduk tawarruk (seperti dalam tahiyyat akhir). Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul. Jangan bersandar seperti orang malas!
6. Doa dimulai dengan 'basmallah', kemudian dengan puji-pujian pada Allah dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w (juga salam kepada sekalian Nabi). Begitu juga doa ditutup dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w dan puji-pujian pada Allah s.w.t.
7. Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah dan menyebut Asmaul Husna (nama-nama Allah) yang mulia, bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Contohnya, jika berdoa mohon dipermurahkan rezeki, sebutlah nama Allah, Ar-Rozzaq.
8. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dari hati kita. Gunalah bahasa yang mudah difahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus dari hamba-Nya. Walau dalam bahasa apa kita cakap, Allah memahaminya. Namun, kalau dapat berdoa dengan doa-doa yang terdapat di dalam Al-Quran ataupun yang diajarkan oleh Nabi s.a.w menerusi hadis (dalam bahasa Arab), itulah yang terbaik.
9. Ajarkanlah adab berdoa ini kepada seluruh ahli keluarga semenjak mereka dari usia kecil. Insya Allah ini akan dapat membentuk keperibadian baik dalam jiwa anak-anak.
Allahu a'lam.