Perang Badar Dan Bantuan Ghaib Allah


Pada tanggal 17 Ramadan telah berlaku peristiwa yang bersejarah dalam sirah Rasulullah s.a.w iaitu perang Badar pada tahun 2 Hijrah di sebuah kawasan yang bernama Badar.

Pertembungan itu adalah antara hak dan bathil iaitu Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya seramai 313 orang dengan bala tentera musyrikin yang diketuai Abu Jahal (musuh Allah) dari Mekah seramai 1,000 orang.

Kemenangan berpihak kepada kaum muslimin kerana mendapat pertolongan Allah s.w.t. Benarlah firman Allah dalam Al-Quran Surah Al-Imran, ayat 123 :


"Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya."
Yakni Allah memberi kemenangan kepada mereka. Allah memberi bantuan kepada mereka, kerana satu nikmat yang dijelaskan dalam kumpulan ayat-ayat ini. Tiada siapa yang dapat menolong mereka sama ada daripada kalangan diri mereka atau kalangan yang lain daripada mereka (melainkan kehendak Allah s.w.t).

Inilah sentuhan pertama ketika mereka diperingatkan dengan kemenangan dalam Perang Badar. Ayat yang berikut menayangkan pemandangan peperangan itu dan menghidupkan gambarannya dalam perasaan mereka seolah-olah mereka berada dalam peperangan itu pada saat ini.

Firman Allah dalam ayat berikutnya dalam Surah Al-Imran, ayat 124 :


"(Kenangilah), ketika kamu mengatakan kepada orang mukmin: "Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit)?"
Inilah kata-kata Rasulullah s.a.w pada hari perang Badar kepada sekumpulan kecil sahabat-sahabat r.hum yang keluar bersama baginda s.a.w. Mereka melihat angkatan perang kaum Musyrikin yang ramai, sedangkan tujuan mereka keluar adalah untuk menghadapi kumpulan unta yang membawa dagangan-dagangan bukan untuk menghadapi kumpulan angkatan perang yang lengkap dengan peralatan senjata.

Baginda s.a.w memberitahu mereka syarat pertolongan itu iaitu sabar dan takwa, kerana keduanya adalah wasilah untuk menarik bantuan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah lagi dalam Surah Al-Imran, ayat 125 :


"Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda."
Keputusan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t seterusnya dalam Surah Al-Imran, ayat 126-127


"Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerananya. Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

"(Allah menolong kamu dalam perang Badar dan memberi bala bantuan itu) untuk membinasakan segolongan orang-orang yang kafir, atau untuk menjadikan mereka hina (dengan kekalahan), lalu mereka kembali dengan tiada memperoleh apa-apa."
Allah Maha Berkuasa, makhluk langsung tiada kuasa.

Demikianlah ayat al-Quran ini memberi perhatian yang berat mengembalikan segala urusan kepada Allah supaya tidak terlekat dalam kefahaman seorang Muslim sesuatu tanggapan yang boleh menodai dasar ini. Ia adalah dasar mengembalikan segala urusan kepada kehendak Allah s.w.t yang mutlak dan kepada iradat-Nya yang langsung.

Di samping itu, ia mengetepikan sebab-sebab dan wasilah-wasilah itu hanya merupakan alat yang digerakkan oleh kehendak Allah atau sebagai alat untuk mewujudkan sesuatu yang dikehendaki oleh-Nya.

Pemandangan medan pertempuran Badar pada zaman ini

Jumlah kaum Musyrikin kira-kira 1,000 orang. Mereka keluar untuk berjuang menyahut seruan Abu Suffian yang meminta pertolongan untuk melindungi kafilah perniagaan yang ada bersamanya. Mereka (keluar) lengkap dengan alat-alat senjata dan dengan penuh semangat untuk mempertahankan harta kekayaan mereka dan perasan fanatik untuk mempertahankan maruah dan kehormatan mereka.

Jumlah kaum Muslimin pula hanya kira-kira 313 orang. Mereka keluar bukanlah untuk memerangi kumpulan Musyrikin yang kuat ini, malah keluar kerana satu tujuan yang mudah, iaitu menyekat kafilah perdagangan Quraisy yang dipimpin Abu Suffian.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: