Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan muslim dengan Allah s.w.t, Rabbnya yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu.
Di antara sifat seorang Mukmin sejati ialah sentiasa memohon, meminta dan berharap hanya kepada Allah s.w.t dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh.
Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia akan merasakan Allah sentiasa dekat dengannya, mengawal dan memerhatikan segala tindakannya tanpa henti. Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa doanya itu akan diperkenankan oleh Allah s.w.t.
Keyakinan ini berasaskan kepada firman Allah s.w.t :
"Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina." (Surah Al-Mukmin ayat 60)Namun begitu, kita perlu berwaspada agar doa yang kita panjatkan kepada Allah tidak terhalang daripada dimakbulkan. Ini adalah kerana, terdapat daripada kalangan orang Islam yang bukan sahaja doanya tidak dimakbulkan, bahkan langsung tidak dipedulikan oleh Allah s.w.t.
5 sebab doa tidak makbul ialah kerana :
1. Menggunakan harta haram
Seseorang yang memperoleh pendapatan yang haram. Lalu menggunakannya untuk makan dan minum, membeli pakaian, rumah, kenderaan dan sebagainya. Ia akan menyebabkan doa yang dipanjatkan kepada Allah s.w.t terhijab dan tidak diterima.
Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi s.a.w :
Menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit; Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku...sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (Riwayat Muslim)Dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w telah menggambarkan bagaimana doa seseorang itu boleh ditolak disebabkan harta yang haram. Walaupun dia telah menepati ciri-ciri doa yang makbul seperti bermusafir, tawaduk dan bersungguh-sungguh. Namun doanya tetap juga ditolak kerana tidak mempedulikan persoalan hartanya, sama ada daripada sumber yang halal atau haram.
Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam menentukan sumber pendapatan yang kita perolehi, sama ada haram secara zat (haram lizatihi) atau haram kerana sebab-sebab yang lain (haram lighairihi).
Haram lizatihi boleh terjadi apabila kita terlibat dalam kegiatan haram yang telah terkandung dalam al-Quran dan hadis secara langsung seperti; perniagaan minuman keras, riba, perjudian dan maksiat. Manakala haram lighairihi pula yang melibatkan keharaman secara tidak langsung seperti gharar (samar-samar) dan sebagainya.
2. Gelojoh dan terburu-buru
Antara golongan yang ditolak doanya ialah mereka yang gelojoh dan terburu-buru mahu segera dikabulkan ketika berdoa.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama ia tidak buru-buru, (di mana) ia berkata: Aku sudah berdoa namun belum dikabulkan doaku. (Riwayat Al-Bukhari)Yang dimaksudkan dengan demikian ialah mereka yang apabila berdoa, dia seolah-olah mendesak dan memaksa Allah s.w.t supaya memakbulkan doanya secepat mungkin. Justeru, dalam kita berdoa, kena banyakkan bersabar dan bersangka baik kepada Allah.
Mungkin doa kita sudah dimakbulkan, tetapi menunggu masa untuk dijadikan sebagai realiti. Semuanya mengikut keputusan dan perancangan Allah dan ia adalah yang terbaik.
Lihatlah bagaimana Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s berdoa tentang kekejaman Firaun. Doa mereka berdua dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Namun, kerajaan Firaun tidak tumbang dalam masa sehari dua, bahkan memakan masa puluhan tahun selepas itu.
Demikian juga Nabi Yaakub a.s yang tidak putus-putus berdoa kepada Allah s.w.t supaya dikembalikan anak Baginda iaitu Nabi Yusuf a.s. Doanya dimakbulkan, namun selepas puluhan tahun barulah Baginda bertemu semula dengan Nabi Yusuf a.s.
3. Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa
Sebagaimana kita meminta daripada manusia, kita juga perlu bersungguh-sungguh ketika berdoa dan memohon daripada Allah s.w.t. Tidak boleh berdoa secara sambil lewa atau acuh tak acuh seperti melepaskan batuk di tangga.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Apabila seseorang daripada kamu berdoa dan memohon kepada Allah s.w.t, janganlah dia mengucapkan: “Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki, sayangilah aku jika Engkau kehendaki dan berilah rezeki jika engkau kehendaki”. Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang memaksa-Nya. (Riwayat Al-Bukhari)4. Lalai dan tidak khusyuk
Kita perlu fokus ketika memohon sesuatu daripada Allah dan betul-betul memberikan perhatian dengan penuh pengharapan. Setiap lafaz perkataan yang diungkapkan daripada mulut perlu keluar daripada hati yang tulus ikhlas. Ini menuntut supaya kita memahami isi kandungan doa yang dikemukakan.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Berdoalah kepada Allah s.w.t dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak khusyuk.” (Hadis diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Hakim).5. Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar
Allah s.w.t telah menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai satu syarat untuk umat Muhammad s.a.w menjadi umat yang terbaik berbanding umat terdahulu.
Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran :
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah Ali-Imran ayat 110)Apabila kita meninggalkan kewajipan ini, maka akan berleluasalah maksiat dan penderhakaan di atas muka bumi. Apabila kita hanya melihat sahaja maksiat yang berlaku tanpa mengambil tindakan untuk membanterasnya, maka pada ketika itulah Allah s.w.t akan menurunkan bala dan tidak akan memakbulkan doa kita.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya, tetapi tidak dikabulkan.” (Hadis diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ahmad)Wallahu a'lam.