Sekiranya pada usia 20-an anda sudah memiliki kerja yang baik dan sudah bergelar seorang ibu, bersyukurlah. Anda sebenar tergolong dalam kalangan wanita bertuah. Tidak semua wanita dapat memiliki dua perkara yang diidam-idamkan oleh para wanita ini. Terutama sekali perihal rezeki menjadi ibu.
Meski pun ada yang berkata belum puas menikmati masa muda tetapi sebenarnya ada banyak kelebihan yang dianugerahkan kepada anda atas pengorbanan itu.
Berikut 5 kebaikan jika bergelar ibu pada usia 20-an :
1. Ada tujuan hidup
Ramai saja rakan kita yang pada usia ini menjalani hidup yang membosankan. Tetapi buat mereka yang telah bergelar ibu pada usia ini, ia mungkin tidak akan dirasai. Ini kerana pada usia semuda ini anda sudah ada tanggungjawab dan peranan besar yang sekaligus memastikan punya tujuan hidup yang jelas.
Kita akan sanggup bekerja lebih keras semata-mata untuk memberi kehidupan yang terbaik untuk keluarga kecil yang kita miliki. Ibarat kata, bersusah-susah dahulu barulah bersenang-senang kemudian. Mungkin pada usia muda ini banyak kebebasan yang telah dikorbankan selepas kehadiran si kecil tapi percayalah semua ini terbayar bila mereka sudah besar.
Sesudah membesarkan mereka pada zaman muda maka selepas anak mampu berdikari anda akan lebih menikmati hari-hari dengan lebih relaks dan santai. Pada waktu itu kita akan rasa kelebihan mempunyai keluarga pada usia muda.
2. Sudah punya keluarga kecil
Keluar dengan rakan, window shopping, bebas bercuti memang perkara yang akan dilakukan pada usia 20-an. Tetapi jika sudah ada keluarga kecil, walaupun anda rasa rindu melakukan semua ini namun ia tidak setanding dengan anugerah luar biasa mempunyai si kecil yang akan memenuhi masa anda seharian.
3. Masih bertenaga
Hamil, bersalin dan membesarkan bayi memerlukan usaha dan tenaga yang bukan sedikit. Tetapi jika itu semua dilalui pada usia 20-an kita tidak akan cepat letih kerana masih bertenaga untuk melakukannya. Tanyalah pada rakan yang melahirkan pada usia lewat 30-an mereka akan mengakui perkara ini. Cepat penat ketika hamil apatah lagi menguruskan anak.
4. Lebih bertanggungjawab
Bila kahwin awal dan bergelar ibu di usia muda, anda akan lebih tahu erti tanggungjawab dan akan memikul segala masalah dalam rumah tangga.
5. Lebih banyak masa untuk berseronok
Siapa cakap bergelar ibu muda tidak boleh berseronok? Bila sudah berkahwin boleh saja berseronok dengan suami. Pergi ke mana anda suka berdua bersama suami. Bila sudah ada anak, lagi rasa seronok nak berkongsi momen indah bersama keluarga kecil anda.
Baca : 5 Tanda Anda Jatuh Cinta Pada Orang Yang Salah
Setiap wanita mempunyai pilihan dan jalan hidupnya masing-masing. Bersyukur saja atas semua yang kita ada ketika ini. Itulah point utamanya iaitu bersyukur dan semuanya akan jadi indah kemudiannya.
- Daku Amat