Kisah Soal Jawab Pemuda Soleh Dengan Atheis


Seorang Dahri atau Mulhid (atheis) telah menemui Sheikh Hammad. Sebelum itu, dia telah mencabar para ulama berdebat dengan mengatakan :

“Kalian mengatakan Allah itu wujud tanpa ada tempat, sedangkan setiap yang wujud mesti mempunyai tempat.”

Ramai ulama telah kalah berdebat, kemudian si atheis ini bertanya kepada orang ramai :

“Masih adakah ulama di kalangan kamu yang mampu berdepat denganku?”

Mereka menjawab: “Ada, beliau bernama Sheikh Hammad”.

Si atheis pun mohon Khalifah agar perintahkan Sheikh Hammad untuk berhujah dengannya. Khalifah memperkenankan permintaan Si atheis dan memerintahkan Sheikh Hammad dengan diberi tangguh hingga keesokan harinya.

Pada pagi esok, seorang pemuda soleh yang masih kecil telah mendapati gurunya itu berada dalam keadaan dukacita. Beliau pun bertanyakan sebabnya. Gurunya menjawab :

“Aku telah dipanggil oleh Khalifah untuk berdebat dengan si Dahri (atheis) dalam perhimpunan para ulama. Semalam aku juga telah bermimpi sesuatu yang buruk”.

Pemuda soleh : “Apa yang Tuan Guru mimpikan?”

Sheikh Hammad : “Aku bermimpi melihat sebuah dusun yang sangat luas yang terhias. Terdapat sepohon pokok kayu yang berbuah. Kemudian, muncul seekor babi dari suatu penjuru kampung dan memakan buah-buah pohon tersebut sehingga habis dedaun dan buah-buah tersebut. Hanya tinggal batang kayu sahaja. Kemudian, muncul pula seekor harimau daripada umbi pohon tersebut lalu terus menerkam babi itu dan membunuhnya.”

Pemuda soleh : “Allah Taala telah mengajarkan saya ilmu ta’bir mimpi. Saya mendapati mimpi ini baik bagi kita dan buruk bagi musuh kita. Jika Tuan Guru izinkan, bolehlah saya ta’birkannya.”

Sheikh Hammad : “Ta’birkanlah wahai Nu’man” (nama sebenar si pemuda soleh).

Pemuda soleh : “Dusun luas yang terhias itu adalah agama Islam. Pohon kayu yang berbuah itu ialah para ulama. Batang kayu yang tertinggal itu ialah Tuan Guru sendiri. Babi yang muncul itu ialah si Dahri, manakala harimau itu yang membunuh babi tersebut ialah saya sendiri. Berangkatlah, saya akan turut menemani Tuan Guru. Dengan berkat hemat Tuan Guru dan berkat hadrat Tuan Guru, saya akan patahkan hujahnya.”

Sheikh Hammad bergembira dengan kata-kata Imam Abu Hanifah itu, lalu bertolak bersama ke Masjid Jamik. Kemudian, Khalifah tiba di samping orang ramai telah berhimpun di sana. Si atheis datang dan terus naik ke mimbar serta bertanya :

“Siapakah di kalangan kamu yang akan menjawab soalan-soalanku?”

Pemuda itu menjawab : “Nyatakan saja soalan kamu, orang yang tahu akan menjawabnya.”

Si atheis : “Siapakah engkau ini, wahai budak? Engkau bercakap denganku sedangkan orang-orang yang ada kemegahan, orang tua, berserban besar, berpakaian labuh dan berlengan baju yang luas tidak mampu berdebat denganku. Inikan pula kamu yang masih kecil, masih mentah dan hina.”

Pemuda itu menjawab : “Allah Taala tidak memberikan ketinggian dan kebesaran kepada orang yang berserban besar, berpakaian penuh kemegahan dan berlengan baju yang luas, tetapi Allah memberi kepada para ulama seperti firman-Nya, (bermaksud) :

"...dan (Allah memberikan kepada) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat." (Surah Al-Mujadilah ayat 11)

Si atheis : “Engkaukah yang akan menjawab soalan-soalanku?”

Pemuda itu menjawab : “Aku akan menjawab dengan taufiq Allah.”

Si atheis pun mula bertanya: “Adakah Allah itu wujud?”

Pemuda itu menjawab : “Ya!”

Soalan Pertama

Si atheis : “Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”

Pemuda tersebut tersenyum lalu menjawab : “Allah Taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak.”

Soalan Kedua

Si atheis : “Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”

Pemuda itu seraya menjawab : “Allah Taala itu wujud sebelum adanya zaman, sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya, mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya.”

Soalan Ketiga

Si atheis : “Cuba kamu berikan kepada kami sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?”

Pemuda itu menjawab: “Kamu pandai mengira?”

Kelompok Atheis itu menjawab : “Tentu sekali kami pandai mengira.”

Pemuda itu meneruskan ucapannya : “Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor empat (4)?”
Si atheis : “Nombor 3″
Pemuda : “Nombor sebelum 3?”
Si atheis : “Nombor 2″
Pemuda : “Nombor sebelum 2?”
Si atheis : “Nombor 1″
Pemuda : “Nombor sebelum 1?”
ASi atheis : “Tiada”

Pemuda itu tersenyum lalu memberikan penerangan : “Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sebelumnya tiada mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada nombor itu sendiri?”

Terpinga-pinga Si atheis tersebut dengan jawapan yang padat dan bernas daripada pemuda itu. Ternyata dia silap perkiraan bila mana berhadapan dengan anak muda ini. Pada mulanya dia merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun telahannya ternyata menyeleweng. Dia perlu lebih berhati-hati.

Soalan Keempat

Si atheis : “Tahniah anak muda di atas jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepadaku, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”

Pemuda itu menjawab : “Jika aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”

Si atheis menjawab : “Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah.”

Pemuda itu berkata : “Jika cahaya yang diciptakanNya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, inikan pula Sang Pemilik Cahaya langit dan bumi ini sendiri?”

Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada pemuda itu bersorak kegembiraan. Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.

Soalan Kelima

Si atheis : “Bolehkah kamu terangkan kepadaku, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?”

Pemuda itu sekali lagi tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar persoalan Si atheis. Orang ramai tertunggu-tunggu penuh debaran apakah jawapan yang akan diberikan oleh pemuda itu.

Pemuda itu menjawab : “Kamu tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”

Si atheis menjawab : “Tentu sekali.”

Pemuda itu meneruskan : “Bila mana orang sakit tadi mati, bolehkah kamu bercakap dengannya?”

Si atheis menjawab : “Bagaimana mungkin aku bercakap dengan seseorang yang telah mati?”

Pemuda itu meneruskan : “Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap dengannya, namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”

Si atheis tertawa lalu memberikan jawapan : “Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan bergerak. Ini kerana rohnya telah terpisah daripada jasadnya.”

Pemuda itu tersenyum mendengar jawapan mereka lalu berkata : “Baik, kamu mengatakan bahawa rohnya telah terpisah daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang,bagaimanakah bentuk roh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang berterbangan?”

Tertunduk Si atheis tersebut bila mana mendengar persoalan pemuda bijak tersebut. Ternyata olokannya sebentar tadi kembali tertimpa ke atas dia.

Si atheis menjawab dengan keadaan penuh malu : “Maaf, tentu sekali aku tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya.”

Pemuda itu lalu meneruskan bicaranya : “Jika makhluknya seperti roh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku, bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Roh serta sekalian alam ini?”

Soalan Keenam

Si atheis : “Di manakah Tuhan kamu duduk sekarang?”

Pemuda itu kembali bertanyakan soalan kepada Si atheis : “Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya, dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?”

Si atheis menjawab : “Aku tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu tersebut.”

Pemuda itu seraya berkata : “Kamu sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya, masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini.”

Soalan Ketujuh

Si atheis : “Aku pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya (iaitu selepas dihisab oleh Allah Taala di padang Mahsyar) namun bila mana sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya (maksudnya tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)?”

Pemuda itu tersenyum lagi lalu menjawab : “Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor. Ianya bermula dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?”

Terkelu Si atheis ini untuk memberikan jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya. Pemuda itu tersenyum melihat Si atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan.

Kemudian beliau menyambung bicaranya : “Nah, kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan? Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu.”

Soalan Kelapan

Si atheis : “Aku ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal.”

Pemuda itu tenang membetulkan kedudukannya. Lalu beliau menjawab : “Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”

Sekali lagi Si atheis terdiam membisu seribu bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini.

Soalan Kesembilan

Ia soalan terakhir yang ditanyakan oleh Si atheis tersebut kepada pemuda itu bila mana mereka telah mati kutu dan sudah terlampau malu ialah berkenaan : “Jika kamu terlalu bijak , apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”

Maka pemuda itu menjawab dengan tenang : “Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada di bawah. Jawapan hanya boleh diberikan bila mana aku berada di atas mengambil alih tempatmu.”

Si atheis itu lalu bersetuju dengan cadangan pemuda tersebut, lalu mereka bertukar tempat.

Pemuda itu naik ke atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.

Bila mana pemuda itu sudah berada di atas, terus beliau menjawab : “Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan pemuda itu ke atas) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan Si atheis tersebut ke bawah).”

Akhirnya Si atheis mengakui bahawa tiada lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan oleh pemuda itu dengan penuh hikmah.

Walau sudah hampir ribuan tahun pemuda soleh itu meninggalkan kita, namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita.

Al-Fatihah buat al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit atau lebih dikenali dengan nama Imam Hanafi serta kepada seluruh gurunya dan kesemua muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Hujah Imam Hanafi dengan addahri (atheis) ada dalam kitab darus samin.

Wallahu a'lam.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: