Doa Dan 13 Tips Baik Pulih Diri Secara Menyeluruh


Entri kesinambungan daripada entri sebelum ini yang bertajuk - 11 Tips Mendidik Anak Nakal Menjadi Soleh.

Mulai hari ini baik pulih diri secara menyeluruh dengan 13 tips berikut :

1. Jaga solat 5 waktu

Dan lakukan solat-solat sunat qabliah dan ba'diah untuk menampung segala kekurangan dalam solat-solat fardhu kita.

2. Solat taubat dan istighfar 70 kali sehari

Lakukan juga solat hajat, istikharah dan tutup dengan solat Witir setiap malam. Nabi s.a.w suruh kita untuk solat witir setiap malam sebagai penutup kepada semua amalan kita setiap hari untuk dipersembahkan kepada Allah s.w.t.

3. Maafkan semua orang setiap malam

Lakukanlah sebelum masuk tidur (lelapkan mata) agar hati jadi bersih, badan sihat, wajah jadi anggun, doa dimakbulkan, semua orang sayang dan anak dengar cakap kita.

4. Baca ayat 40 surah Ibrahim

Untuk merangsang ahli keluarga supaya solat dan elok perangai, bacalah Surah Ibrahim (ayat 40). Ini memang doa khas untuk mohon agar diri dan keluarga jaga solat.

5. Baca Doa Pembuka 12 Pintu, Doa Membuang Sifat Negatif, Bismillah 5 dan Ayat Kursi

Pengalaman menunjukkan sesiapa yang mengamalkan doa-doa tersebut, maka orang bujang akan bertemu jodoh, suami isteri akan bertambah sayang, orang bergaduh akan jadi damai, selesai masalah, langsai hutang, anak-anak jadi hebat dan soleh, hilang perangai buruk seperti enggan solat dan sebagainya.




6. Pagar diri dengan Al-Fatihah dan Surah 3 Qul

Baca Surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas, kemudian hembus ke tapak tangan dan sapu seluruh badan. Ini akan menghindar daripada gangguan manusia, binatang, jin dan sihir.

7. Lembutkan hati anak dengan ayat berikut

Atau orang lain dengan; Surah Al-Fatihah, Surah Ta Ha (ayat 1-5), Surah Al-Hasyr (ayat 21-24) dan Ayat Kursi kemudian hembus ke badan, makanan, gambar atau pakaian yang sudah dipakai sebelum dicuci atau sekadar menghembus ke arah orang itu dari jauh.

8. Layan lebih baik dari kebiasaan

Layan anak lebih baik daripada biasa agar dia rasa bersalah jika ingkar perintah ibubapa.

9. Baca bismillah dan beri salam ketika masuk rumah

Setiap kali hendak masuk rumah, pesan kepada semua ahli keluarga kita untuk baca Bismillah 3 kali, senyum, beri salam dan masuk dengan melangkah kaki kanan dahulu.

Ini akan menghindarkan syaitan bernama Dasim daripada masuk ke kepala kita dan ganggu manusia supaya berkonflik, suami isteri supaya bergaduh hingga bercerai-berai, anak-anak melawan ibu bapa, anak-anak bergaduh sesama sendiri, anak-anak jadi ekstra nakal dan sebagainya.

10. Baca tiga Asma Allah berikut

Setiap kali nak nasihati anak, nak suruh anak solat atau belajar, bacalah 3 Asma Allah s.w.t ini - Ya 'Aziz, Ya Jabbar, Ya Mutakabbir dan hembus ke arah anak jika masih jauh atau berdehem depannya jika sudah berhadapan. Ini akan melembutkan hatinya agar dapat mendengar cakap atau hujah ibu bapa.

11. Baca doa berikut ketika kesedihan

Jika terlalu sedih atau tertekan, bacalah 3 doa berikut :

1 - Inna lillahi wainna ilahi rojiuun.
2 - Ya Allah, aku redha dengan segala ujian-Mu, berilah aku pahala atas redha ini.
3 - Ya Allah, aku ada masalah anak sukar nak dengar cakap ibubapa. Ya Allah, Kau bantulah selesaikan masalahku. Kau jadikan dia anak yang soleh, sabar, pintar, baik akhlak, mendengar cakap ibubapa, rajin belajar dan sebagainya. Insya Allah hati akan tenang dan doa akan dimakbulkan.

12. Hembus kepala anak dengan ayat ini

Baca Al-Fatihah, Ayat Kursi dan Surah Al-Insyirah dan hembus atas kepala anak kita setiap hari hingga aqil baligh. Ini akan membantu dia jadi anak yang soleh, pintar, berakhlak mulia dan taat kepada ibubapa.

13. Cuba nasihati anak semasa dia tidur

Cukup dengan berbisik di telinganya atau sekadar bercakap dalam hati. Nasihatkan agar jadi anak yang baik, sopan santun, dengar cakap ibu bapa, dan sebagainya. Ikut kajian dan pengalaman peribadi, jika kita istiqamah menasihati anak kita semasa mereka tidur, anak-anak insya Allah akan berubah menjadi anak yang baik.

Cuba amalkan selama 40 hari, kerana tabiat baru terbentuk dalam masa 40 hari. Insya Allah segala masalah anak yang keluarga anda hadapi akan selesai langkah demi langkah. Selamat beramal dan moga berjaya.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: