Memaparkan catatan dengan label Anak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anak. Papar semua catatan

11 Tips Didik Anak Rajin Solat


Mendidik anak-anak menunaikan ibadat solat fardhu hukumnya adalah wajib. Kewajipan mendidik anak-anak mengerjakan solat ketika mereka mencapai usia tujuh tahun dan dibolehkan memukul dengan pukulan yang tidak mencederakan jika mereka enggan mengerjakan solat apabila mencapai usia sepuluh tahun.

Disebutkan dalam sebuah hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka itu berumur sepuluh tahun. (Hadis riwayat Abu Daud)

Berikut 11 tips boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak akan kewajipan menunaikan solat fardhu :

1. Biasakan anak mendengar laungan azan

Sejak usia bayi lagi biasakan anak mendengar laungan azan yang berkumandang di masjid berhampiran rumah atau dari televisyen. Berhenti bercakap atau melakukan aktiviti lain sebaliknya beri tumpuan kepada suara azan. Secara tidak langsung anda menunjukkan contoh kepada si kecil bahawa mereka mesti menghormati laungan azan.

2. Ajar anak doa selepas azan

Anak kecil sangat cepat mengingati apa yang diajar setiap hari. Mereka berupaya untuk menghafal doa yang anda bacakan setiap hari. Oleh itu rajinlah membaca doa selepas azan setiap kali selesai mendengar laungan azan. Anda pasti terkejut apabila satu hari kelak anak boleh lancar membaca doa tersebut yang hanya didengari daripada anda setiap hari.

3. Didik solat sejak bayi

Siapa kata bayi tidak boleh diajak solat bersama. Anda boleh mula mengajak si comel bersolat bersama keluarga. Bawa sekali anak dalam solat dengan cara mendukungnya. Ia boleh dilakukan sama ada oleh ibu atau ayah. Rutin ini akan mendedahkan anak tentang waktu bersolat dan dia pasti akan bersedia untuk solat bersama.

Jika dia sudah semakin besar, letakkan anak di sebelah anda ketika bersolat. Percayalah, anak tidak akan mengganggu anda sebaliknya akan mengikut pergerakan anda bersolat.

4. Ajar anak mengambil wuduk

Jika si kecil suka mengikut anda mengambil wuduk, biarkan sahaja. Jangan marahkannya sebaliknya anggap ia sebagai satu proses pembelajaran anak. Bahkan lebih berkesan sekiranya anda boleh menampal cara-cara mengambil wuduk secara bergambar di pintu bilik air supaya ia memudahkan anak mengikutnya.

5. Dengarkan anak bacaan dalam solat

Biasakan anak mendengar bacaaan dalam solat anda dengan membacanya kuat sedikit ketika bersolat. Anda juga boleh membacanya ketika di luar waktu solat. Jika selalu mendengarnya tidak mustahil anak anda cepat menghafalnya.

6. Solat berjemaah

Amalan solat berjemaah di tempat azan dilaungkan iaitu masjid diakui petua berkesan mengukuhkan ikatan kekeluargaan. Oleh itu ajak anak solat bersama jika boleh pada setiap waktu solat. Kebiasaan ini akan menjadi benteng tarbiah terkuat dalam diri anak akan keutamaan mengerjakan solat berjemaah terutama bagi anak lelaki.

7. Ajar anak berwirid

Biasakan anak anda mendengar bacaan wirid, tasbih dan tahmid selepas bersolat. Awalnya dia mungkin tidak memberikan sebarang respon tetapi lama kelamaan anak akan seronok berwirid sama.

8. Berdoa untuk anak

Berdoalah untuk kebaikan anak anda. Sebut namanya dan mohonlah doa supaya dia menjadi anak yang baik, anak yang soleh dan solehah, rajin belajar, rajin menolong ibu dan ayah. Tentu sahaja mereka akan berasa gembira kerana ayah menyebut namanya dalam doa tersebut.

9. Berikan anak pujian

Kanak-kanak memang suka dipuji. Oleh itu jangan lupa memuji kelakuan baik mereka yang rajin bersolat dan dapat mengerjakan solat dengan betul tanpa bermain. Ia dapat menyuntik semangat mereka untuk terus bersolat dengan tertib.

10. Tegur kesilapan solat anak

Sekiranya anak melakukan kesilapan ketika bersolat, tegur kesilapan tersebut selepas selesai berdoa. Teguran biarlah secara berhemah iaitu meminta anak jangan mengulangi kesilapan tersebut sambil diiringi dengan sedikit pujian.

11. Amalkan doa surah Ibrahim ayat 40

Amalkan doa dari surah Ibrahim ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur. Minta daripada Allah agar menjadikan diri kita dan anak-anak kita sebagai hamba yang sentiasa mengerjakan solat.


Maksud ayat 40 surah Ibrahim :

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku."
Kesimpulan

Solat itu tiang agama. Ia amalan pertama yang akan dihisab di hari akhirat nanti. Oleh itu utamakan mengajar anak bersolat terlebih dahulu sebelum pembelajaran yang lain.

10 Tips Mengajar Bayi Supaya Lebih Pintar


Bayi kecil tidak semestinya tidak boleh diajar. Jika anda mahu bayi anda menjadi pintar, anda perlu bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk membantu bayi anda mencapai sepenuhnya potensi dirinya.

Berikut 10 tips mengajar bayi anda mencapai potensi diri :

1. Pengulangan

Bayi cepat belajar jika anda sentiasa melakukan pengulangan secara konsisten. Sebagai contoh, jika anda mahu mengajar bayi anda tentang warna, sebutkan warna itu misalnya warna biru. Begitu juga dengan abjad atau nombor. Jika anda terjumpa abjad atau nombor, sebutkan dengan kuat.

Biarkan bayi anda mendengar. Jika anda lakukan secara kerap, bayi akan cepat belajar. Anda juga boleh cuba meletakkan sekumpulan barang berwarna sama di hadapan bayi. Seterusnya sentiasa mengulangi sebut warna itu. Ini adalah teknik pengajaran yang terbaik untuk bayi.

Minda anak anda adalah seperti ‘span’ pada usia ini, ia menyerap apa sahaja pengajarang yang diberikan kepadanya. Sekarang, terpulang kepada anda untuk mengisi dengan ilmu yang berguna.

2. Jangan berbahasa bayi!

Goo goo gaa gaa! Bahasa bayi yang begitu mengagumkan dan ia sememangnya sangat menarik apabila anda melihat bayi comel berbahasa begitu. Tetapi jangan ikut bahasa bayi anda, jika anda ingin mengajarnya berkomunikasi.

Cara ini memang sukar, tetapi inilah cara mengajar yang betul untuk bayi anda bercakap. Cuba jangan bercakap bahasa bayi apabila bersama dengannya. Cuba bayangkan anda sedang bercakap orang dewasa.

Paling bagus bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang betul. Daripada anda menggunakan ‘ne ne’ yang mewakili susu atau ‘mam mam’ untuk makanan. Anda pasti teruja bila bayi anda dapat belajar dengan pantas dengan bahasa yang betul.

3. Ganjaran

Seperti anak anda yang sudah besar, bayi juga suka diberi ganjaran. Mereka suka anda memuji, memeluk dan menciumnya. Cubalah anda katakan "adik pandai" sambil menepuk tangan, apabila bayi berjaya memasukkan blok mainan dalam kotak kecil.

Pasti bayi akan menunjukkan riak wajah gembira kepada anda. Apa yang pasti, bayi suka dibelai dan dimanja dengan ucapan sayang. Bayi sangat suka jika dirinya dipeluk dan diberi ciuman. Selain itu, anda juga boleh memberikan ganjaran dengan memberikan biskut kegemarannya jika dia melakukan apa yang anda suka.

4. Bacakan buku

Anda pastinya sudah biasa dengan cara ini, tetapi inilah cara istimewa untuk mengajar anak anda mengenal buku dan melatihnya untuk suka membaca buku. Bacalah kepadanya walaupun dia belum faham apa yang anda bacakan. Sambil bayi duduk di atas riba anda, pegang tangannya untuk dia merasai buku itu.

Tetapi kadang kala, bayi mungkin akan mengiggit buku, biarkan dia melakukan begitu. Namun anda mesti memastikan buku itu diperbuat daripada fabrik kain (atau yang tak terlalu keras). Dalam pada itu, teruskan membacakan buku kepadanya supaya dia juga suka membaca buku. Bayi akan cuba meniru anda membaca buku dan mungkin akan membacanya sendiri nanti.

5. Mulakan awal!

Ajarlah anak anda pada awal usianya. Perkenalkan perkara baru kepada anak anda. Jangan menunggu pada usia 3 atau 4 tahun baru hendak mula mengajarnya abjad, nombor dan objek-objek di sekelilingnya.

Anda harus lakukan pengajaran sekarang! Bayangkan anak kecil anda boleh mengenal nombor, huruf atau warna pada awal usianya. Tentu anda gembira dengan kecemerlangannya.

6. Bersabar

Percayalah anak tidak akan pintar jika anda tidak menggunakan kaedah-kaedah yang dinyatakan seperti di atas secara konsisten. Namun anda perlu bersabar untuk melakukannya. Jangan putus asa, jika tidak mendapat melihat perubahan anak anda. Terus melakukan pengajaran sehingga anak pandai.

7. Penerokaan

Biarkan bayi melakukan penerokaan di sekelilingnya. Biarkan dia belajar memegang, merasa, menghidu bau, mendengar dan melihat. Misalnya untuk bau anda boleh sediakan bunga ros, buah epal untuk dia pegang dan puppet kecil untuk dia melihat. Namun utamakan ruang penerokaannya selamat untuk anak anda belajar dengan selesa dan gembira.

8. Belajar dengan gembira

Mengajar anak bukan sesuatu yang membosankan! Nyanyilah lagu dan aktiviti yang menyeronokkan untuk membantu anak belajar dengan gembira. Bayangkan, anda akan dapat melihat anak belajar dengan cepat untuk mengambil barang dalam bekas permainannya. Lakukan ia setiap hari. Pasti anak dapat melakukan dengan baik sekali.

9. Permudahkan

Jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada anak supaya dapat mengikut arahan anda dengan betul. Dia masih kecil, berilah dia masa untuk melakukannya. Jangan biarkan dia duduk sehingga 4 jam untuk belajar abjad. Lakukan aktiviti yang ringkas dan mudah dalam tempoh masa yang pendek antara 5 hingga 10 minit untuk mengelak anak mudah berasa bosan.

10. Teruskan!

Untuk memastikan anda berjaya mengajarnya dengan baik, lakukan pengajaran setiap hari. Jangan putus asa. Ingat anda sedang mengajar anak kecil, bukannya anak yang besar dan sudah boleh berdikari.

Pengajaran satu atau dua minggu tidak mencukupi untuk anak. Oleh itu, lakukan ia sebagai rutin harian untuk dia mengenal tentang persekitarannya. Lakukan dengan konsisten dan fokus supaya pembelajaran ini berjaya dengan cemerlang.

Kesimpulan

Percayalah bahawa setiap anak itu ada potensi diri yang mesti dicungkil. Kepintaran mereka jangan dipersiakan. Ayuh, jadilah ibu bapa yang efektif!

Tips Mudah Untuk Hamil Bagi Pasangan Yang Mahukan Anak


Ramai yang PM, WhatsApp bertanyakan apa tips yang diamalkan untuk isteri mudah hamil. Insya Allah, isteri dan suami boleh amalkan tips di bawah ini. Alhamdulilah, baru buat 3 minggu, sudah ada rezeki dikurniakan Allah cahaya mata.

Apa yang penting kita usaha dan jangan mudah putus asa. Berbaik sangka kepada Allah kerana Allah bertindak menurut sangkaan hamba-Nya.

Berikut tips mudah untuk hamil (pregnant) :

Bahan-bahan :

1. Kurma 1 kilo (syor cari kurma yang jenis betul-betul liat).

2. Susu kambing fresh 1 liter (syor beli 5 botol).

Cara-cara nak amalkan :

1. Isteri ambil segenggam kurma dan suami pun sama juga.

2. Buangkan biji kemudian masukkan dalam blender. Blenderkan kurma dengan susu kambing 1 liter tadi sampai hancur.

3. Hasil blender tadi itu, dibahagikan dua (sama rata).

4. Sebelum minum, niatkan terlebih dahulu supaya Allah kurniakan rezeki zuriat penyejuk mata kepada anda. Baca surah Maryam ayat 1-12, kemudian suami isteri bolehlah minum sampai habis. Jangan simpan tetapi habiskan terus.

5. Keesokkannya dan seterusnya, amalkan setiap hari segelas susu kambing dan 7 biji kurma. Baca surah Maryam seperti dia atas juga.

6. Amalkan secara berterusan, jangan putus asa dengan mengalah sekerat jalan. Sentiasa berbaik sangka dengan Allah. Tunaikan segala kewajipan dan tinggalkan segala larangan Allah. Guna asbab tapi jangan yakin asbab itu yang berkuasa beri manfaat mahupun mudarat. Ini kerana yang berkuasa mendatangkan manfaat mahupun mudarat hanyalah Allah s.w.t bukan makhluk. Tugas kita hanya berusaha dan berikhtiar dengan mencari asbab terbaik bersesuaian dengan keinginan kita. Minta dengan amal ibadat dan doa kepada Allah terlebih dahulu kemudian barulah berikhtiar dengan perantaraan asbab.

Insya Allah, Allah tidak hampakan. Pasangan yang mandul pun mampu pregnant. Selagi ada rahim, selagi itulah boleh mengandung.

Tips ini diperolehi dari sorang ustaz. Ustaz itu kata kadang-kadang wanita tidak mengandung bukan sebab mandul tetapi rahim dikacau jin yang berteduh di situ. Sebab itu disuruh minum susu kambing kerana susu kambing ini musuh kepada jin (jin tak suka susu kambing).

Cubalah, sudah ada tiga orang yang amalkan seperti yang diajar mengikut cara di atas, Alhamdulillah akhirnya mengandung. Sedangkan sudah lima tahun dia tunggu untuk hamil. Insya Allah ada rezeki mereka suami isteri untuk menimang cahaya mata.

12 Pesanan Ibu Bapa Kepada Anak Elak Jadi Mangsa Jenayah


Kanak-kanak tidak mampu membezakan antara yang perkara yang merbahaya atau sebaliknya. Jadi tidak pelik jika ramai yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa melampiaskan nafsu mereka! Jenayah terhadap kanak-kanak seperti culik, rogol dan bunuh makin menggila. Sudah pasti ibu bapa sangat bimbang kerana malang itu tidak berbau! Jangan kerana kelekaan yang sedikit, mengundang musibah besar buat si anak.

Berikut 12 pesanan penting yang patut diajar pada anak-anak :

1. Peka dengan keselamatan diri

Pendidikan tentang keselamatan diri perlu bermula dari rumah dan diterapkan sejak kecil. Ini penting agar menjadi kebiasaan kepada mereka untuk berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling.

2. Jangan mudah percaya orang tak dikenali

Jangan mudah percaya kepada sesiapa sahaja dan tinggalkan anak kepada mereka yang tidak dikenali. Jika perlu sekalipun, tinggalkan anak kepada jurujual dengan pengetahuan supervisor mereka seketika.

3. Ajar anak mengingati nombor telefon

Ajar anak mengingati nombor telefon anda (ibu bapa), pengasuh dan juga pihak polis. Tulis nombor-nombor telefon penting pada beg sekolah anak-anak anda. Ajarkan bagaimana untuk menghubungi mereka ketika berada dalam kecemasan, tersesat jalan, didekati orang yang mencurigakan dan sebagainya.

4. Jangan dekati orang tak dikenali

Jadikan slogan; ‘Jangan Dekati Orang Tak Dikenali’, walaupun orang tersebut menghulurkan gula-gula, duit, aiskrim dan sebagainya. Terapkan waspada pada anak-anak agar tidak mempercayai orang yang tidak dikenali.

5. Jangan percaya cakap orang tak dikenali

Pesan dengan anak-anak, jangan sesekali mempercayai cakap orang yang tidak dikenali jika dia memberitahu; “ayah atau ibu adik yang minta pakcik jemput adik balik dari sekolah,” atau perkataan lain seumpamanya. Pendek kata, 'jangan ikut cakap orang yang tak dikenali'.

6. Kenali kenderaan sekolah dan pemandunya

Mengenali wajah pemandu van atau bas sekolah mereka. Penting juga untuk mengajar mereka menghafal nombor plat van atau bas sekolah. Ini sekurang-kurangnya dapat mengelakkan mereka daripada terpedaya dengan penjenayah yang cuba menyamar sebagai pemandu bas sekolah.

7. Tunggu kenderaan dalam kawasan sekolah

Sentiasa ingatkan mereka agar menunggu anda atau bas sekolah di dalam kawasan sekolah atau tempat yang ramai dengan orang. Ingatkan mereka setiap hari agar sentiasa berada dalam kumpulan rakan-rakan, bukannya bersendirian. Sesekali, minta anak menjadi juru pandu arah ketika dalam perjalanan ke tempat-tempat ini untuk menguji ingatan mereka.

8. Cam laluan pulang ke rumah

Jika keluar rumah, sentiasa galakkan anak-anak mengecam laluan balik ke rumah, tadika atau sekolah. Tunjukkan gambaran atau bagunan-bangunan, papan tanda jalan atau apa sahaja yang mudah diingati mereka.

9. Menjerit atau mengigit jika situasi cemas

Ajar anak-anak untuk menjerit sekuat hati atau menggigit jika menghadapi keadaan kecemasan. Tekankan pada mereka, menjerit adalah perlu apabila mereka benar-benar memerlukannya.

10 Keselamatan ketika membeli-belah

Jika keluar membeli-belah dengan anak-anak, jangan sesekali tinggalkan anak di dalam troli membeli-belah sambil anda memilih barangan keperluan. Bawa dan tolak troli bersama-sama walau di mana anda pergi.

11 Jangan takutkan anak dengan polis

Jangan sesekali menakutkan anak-anak dengan polis atau pegawai keselamatan. Ajar mereka untuk mendapatkan bantuan daripada pegawai keselamaan atau polis jika mereka terpisah mahupun tersesat.

12 Keluar rumah pakai pakaian terang

Jika keluar dengan anak-anak, biasakan memakai pakaian berwarna terang. Warna-warna terang mudah menjadi perhatian. Mudah untuk mengawasi mereka terutama apabila berada di tempat yang terlalu ramai orang.

6 Perkara Besar Yang Ibu Bapa Boleh Belajar Daripada Seorang Anak Kecil


Menjadi ibu bapa adalah sesuatu yang berada di luar jangkaan sementelah di awal perkahwinan. Ramai pasangan benar-benar menyangka bahawa mereka belum bersedia. Namun, Allah lebih tahu apa yang dirancangkan untuk anda.

Allah mahu anda belajar dan lebih mengenali kekuatan diri. Ada banyak perkara yang telah anda tempuhi dan anda tidak pernah terfikir dapat melakukannya sebelum ini. Pengalaman jaga anak telah benar-benar membuka mata, terutamanya dalam 6 hal di bawah ini.

Apa yang ajaibnya, anda mempelajarinya semua daripada anak anda yang belum mampu bertutur dan mendengar dengan baik. Anak anda yang belum matang dan serba tidak memahami duniawi. Pengalaman jaga anak memberi anda perspektif baru.

Berikut 6 perkara besar yang ibu bapa boleh belajar raripada seorang anak kecil :

1. Tidak Berdendam

Apabila dimarah, anak kecil tak pernah berdendam. Malah, dia mendakap anda dengan lebih erat. Dia mahukan perhatian yang lebih lagi apabila anda memalingkan muka kerana kecewa atau geram dengan sikapnya.

Walaupun anda yang bersalah kerana tidak mampu menahan sabar, dia tidak pernah mengungkitnya seperti apa yang anda selalu buat. Apabila bangun dari tidur, dia cepat mendapatkan anda dan memandang anda dengan penuh kasih sayang seperti tiada apa yang pernah berlaku antara kamu. Malunya dengan diri sendiri memang tak terkira!

2. Fikirkan Perkara Yang Baik Sebelum Tidur

Selalunya, setiap malam sebelum tidur, anak akan bertanya; "Mama, esok apa?" Dia ingin diingatkan tentang perkara-perkara baik yang telah berlaku dan bakal berlaku pada keesokan harinya. Patutlah mereka sangat segar dan bertenaga apabila bangun pagi!

Jika dibandingkan dengan diri sendiri, anda jarang memikirkan apa-apa sebelum masuk tidur kerana beranggapan semuanya adalah rutin. Ternyata, anak ini lebih bijak kerana sains sendiri merungkaikan bahawa 10 minit terakhir sebelum tidur adalah waktu yang paling penting untuk anda membuat refleksi (muhasabah) diri dan perancangan.

Sebab itulah kajian mendapati anak kecil akan senyum sebanyak 300 kali sehari berbanding orang dewasa yang hanya mampu tersenyum sebanyak 30-40- kali.

3. Let it go

Ada masanya anak tak sukakan sesuatu makanan yang anda masak, tidak mahu memakai baju yang anda pilihkan, tidak mahu menyiapkan lukisan yang dia mulakan. Walaupun anda ibu atau ayahnya, anda tidak akan dapat mengawal semua perkara untuknya. Apatah lagi apabila dia besar nanti.

4. Lebih Menghargai Suami/Isteri

Sejak menjadi ibu atau bapa, anda belajar untuk menjadi 'superdad' atau 'supermom'. Tipulah kalau isteri tak pernah rasa geram dengan suami yang sedap berehat sedangkan anda dilambakkan dengan macam-macam kerja rumah.

Ada masanya isteri berasa cemburu kerana anak lebih suka bergurau dengan suami. Memanglah dia boleh buat begitu sebab dia tak pernah sesibuk ibu! Tapi, pengalaman jaga anak mengubah tanggapan negatif anda terhadap suami anda.

Anak amat menghormati dan menyayangi ayahnya yang tak pandai menyanyikan lagu kegemarannya, ayah yang tak pandai memasakkan makanan kegemarannya, ayah yang selalu lupa membawa tuala mengesat hingusnya, ayah yang serba kekok semasa menguruskan keperluan hariannya.

Hal ini membuat isteri berfikir; "Kalau anak saya boleh menerima semua kekurangan ayahnya ini, kenapa tidak saya sebagai isterinya?" Jika difikirkan semula, anda kini boleh tersenyum dan menganggap inilah yang unik tentang suami anda.

5. Kenapa Tergesa-gesa?

Anda lupa untuk tersenyum dan menghargai moment di mana anak anda mahu pergi memetik bunga kerana hari semakin gelap. Atau anda lupa untuk meraikan kejayaan anak anda memakai kasut sendiri di kala ibu bapanya sudah terlewat ke tempat kerja.

Apa yang anda ingat, anda asyik menyuruh anak supaya cepat, cepat, dan cepat. Sampai satu saat, anak anda yang mendesak anda supaya memenuhi permintaannya di saat itu juga. Dia berkelakuan sama seperti apa yang anda lakukan kepadanya. Aduhai baru anda sedar bahawa tindakan anda sungguh menjengkelkan.

6. Kalau Nak Buat Sesuatu, Buatlah!

Dalam banyak-banyak orang, anda tak sangka anda akan belajar menemui keyakinan diri daripada seorang anak kecil. Anak kecil tak pernah teragak-agak. Mereka nekad, mereka kurang memikirkan akibatnya. Tindakan mereka juga spontan dan jujur.

Kalau nak lompat, mereka akan lompat. Kalau nak sesuatu, mereka akan cakap. Kalau nak cari mainan, mereka akan terbalikkan saja kotaknya. Ternyata, walau kena marah sekalipun, ia amat berbaloi!

Kesimpulan

Pengalaman menjaga anak banyak membuat anda berfikir. Ramai lagi ibu bapa yang turut melalui perasaan ini sepanjang pengalaman jaga anak. Sebagai manusia biasa, anda memang tak boleh lari daripada kesilapan. Namun, itu tak bererti anda tak boleh belajar daripadanya.

Anak-anak ini adalah anugerah yang tak terhingga, dan Allah boleh mendatangkan 1001 alasan untuk kita berfikir.

4 Perkara Amalkan Di Rumah Supaya Lebih Berkesan Mendidik Anak


Dalam soal mendidik anak-anak, ada ibu bapa yang meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya ke bahu guru di sekolah, dari pra sekolah sampailah mereka boleh membaca.

Ada sesetengah ibu bapa pula telah memulakan pendidikan awal untuk anak-anak dari kecil dengan membeli mainan berbentuk pembelajaran. Namun, akhirnya ada yang mengatakan mereka telah mencuba, tetapi anak seperti tidak berminat atau cara mereka tidak berkesan.

Jadi, bagaimanakah cara yang betul dan berkesan untuk ibu bapa mendidik anak-anak dengan mudah di rumah?

Berikut 4 perkara diamalkan di rumah untuk mendidik anak supaya lebih berkesan :

1. Dakwah

Didik anak-anak bercakap tentang dakwah. Semua nabi di hantar untuk kerja dakwah, sekarang zaman dimana tiada lagi nabi dihantar untuk buat kerja dakwah. namun kerja dakwah perlu di teruskan, tidak terhenti pada zaman nabi sahaja.

Untuk datangkan kebaikan dalam diri kita dan anak-anak, wujudkan suasana dakwah, jadikan setiap kita sebagai DA'I. Salah satu dakwah adalah ajak anak-anak solat awal waktu, ajak mereka ke masjid. Ajar anak bercakap perkara-perkara kebaikan. Ajar anak kita untuk dakwah sesama mereka.

Bercakap tentang kehebatan dan kebesaran Allah s,w.t. Bahawa; "Mudarat dan manfaat datangnya dari Allah. Sihat dan sakit datangnya dari Allah. Rezeki bukan datang dari mak ayah tetapi dari Allah".

2. Ta'lim wal ta'lum (belajar dan mengajar)

Setiap hari ajar anak ilmu agama, baca hadith secara berterusan (Istiqamah) dalam rumah. Tutup tv, Handphone, fokus kepada majlis ta'lim. Ayah wajib menuntut ilmu agama. Ilmu untuk betulkan solat, ilmu tauhid, ilmu fiqah dan lain-lain.

Apa yang kita dengar dan belajar di masjid, bawa balik ke rumah, ajar isteri dan anak-anak apa yang kita belajar di masjid. Ayah wajib ajar anak isteri solat dengan betul. Luangkan masa untuk ajar dan lihat anak solat dengan betul. Muzakarah sifat-sifat sahabat nabi s.a.w.

3. Ibadat

Terapkan dalam diri ibu bapa dan anak-anak perbanyakkan ibadat. Perbanyakkan ZIKIR, perbanyakkan SELAWAT. Bagi masa setiap hari siang dan malam untuk baca al-Quran. Sorang alim kata, jika tak mampu untuk baca al-Quran, pegang al-Quran cium, insya Allah lepas cium akan rasa nak baca al-Quran.

Perbanyakan solat-solat sunat. Dengan berbanyakkan solat sunat, akan mudah untuk datangkan khusyuk dalam solat fardhu. Solat awal waktu di mana azan dilaungkan. Pesan orang alim untuk wanita, solat awal waktu, dengar azan terus bersedia di atas sejadah. Habis azan terus solat. Solat untuk wanita adalah dirumah (terbaik di dalam bilik mereka).

4. Khidmat

Didik diri kita dan anak-anak untuk khidmat kepada diri. Tunaikan hak diri kita. MENCEGAH diri dari penyakit, jaga pemakanan, jaga kebersihan diri, memakai pakaian yang kemas, bersih dan cantik.

Kadang-kadang kita terlupa untuk khidmat kepada diri sendiri. Hari-nari nasihat orang jaga pemakanan yang sihat, sedangkan kita sendiri tidak jaga.

Khidmat untuk mak ayah di kampung. Setiap hari atau setiap minggu call mak ayah, Tanya khabar mereka. Kalau boleh barang dapur atau keperluan asas mereka setiap bulan kita sediakan. Pastikan kita tidak susahkan mereka untuk keluar membeli barang-barang tesebut. Jika mereka bersama kita, hari-hari khidmat untuk mereka.

Ajar anak-anak kita untuk khidmat kepada atuk mereka. Picit-picit badan mereka, layan dan hormat mak ayah kita lebih dari layan seorang RAJA.

Ada masa lapang didik anak-anak untuk khidmat bersihkan rumah, bersihkan pakaian, gosok pakaian mereka sendiri. Terapkan dalam diri anak-anak kita dengan sifat khidmat, bukan sifat 'arahan'. Ceritakan kepada mereka ganjaran Allah bagi orang yang suka khidmat pada orang lain.

Jika empat perkara di atas wujud di dalam rumah kita, Insya Allah kemana anak-anak pergi, empat perkara tersebut akan sebati dalam diri mereka.

Tidak susah untuk hidupkan agama dalam diri setiap anak kita. Wujudkan terlebih dahulu suasana amal agama di dalam rumah kita seperti amalan masjid Nabawi pada zaman Nabi s.a.w iaitu Dakwah, Ta'lim wa Ta'lum, Ibadat dan Khidmat, maka Allah s.w.t akan jaga mereka di mana mereka berada.

Semoga bermanfaat.

5 Teknik Orang Jepun Didik Anak Cepat Pandai


Rakyat negara matahari terbit, Jepun, sememangnya terkenal dengan sikap rajin, berdisiplin dan bijak. Sudah tentu ajaran dan didikan dari ibu bapa mereka semenjak kecil menjadi pendorong utama kepada pembesaran anak-anak yang bijak.

Berikut 5 tip bagaimana orang Jepun mendidik anak mereka supaya cepat pandai :

1. Teknik Rangsangan Otak

Mereka menggunakan teknik merangsang otak kanan. Otak kanan adalah lebih kreativiti, otak kiri adalah cenderung kepada kira-kira dan fakta.

Bila anak kita mula nak tidur ayam, cakap perlahan-lahan pada mereka; "mama/abah sayang adik, adik anak yang hebat”. Berikan perkataan yang positif pada mereka. Anak-anak ini akan menyimpan memori imaginasi.

2. Biarkan Anak Bermain

Biasakan anak bermain warna dan melukis di kertas, bermain tanah liat, menggunting kertas. Biarkan mereka conteng kerana proses ini merangsang otak kanannya.

Ada kajian yang menunjukkan penggunaan penyepit ketika makan oleh bangsa cina dan Jepun membolehkan menambah rangsangan pada otak kanan anak-anak. Tak salah ikut benda yang baik. Kayu penyepit sebenarnya mengaktifkan kerja tangan sekaligus merangsang otak kanan anak-anak ini.

3. Marahlah Tapi Jangan Tengking

Jangan marah dengan menengking anak-anak kerana semuanya akan disimpan melalui otak kanannya. Orang kita selalu dengar perkataan “jangan”, jangan itu, jangan ini, sehingga anak-anak itu takut mencuba perkara yang baru. Akhirnya sampai besar mereka sukar bercakap di khalayak.

4. Teknik Imaginasi

Selalu menggunakan teknik imaginasi. Perasan tak, anak kita selalu cerita perkara dalam imaginasinya? Layankan. Selalulah bercerita dengan mereka dan minta mereka sambungkan cerita itu. Cerita itu akan jadi merapu dan mengikut imaginasi mereka. Sebenarnya baik untuk melatih otak kanan mereka.

5. Teka-Teki

Satu teknik lagi adalah selalu bermain teka-teki atau masukkan barang dalam kotak dan minta dia teka apa barang dalam kotak itu. Membuatkan mereka mula berfikir dan mengaktifkan otak kanan.

Jika selama ini kita mungkin tidak pernah melakukan perkara diatas, mulai hari ini boleh mula amalkan dan lihat bagaimana reaksi anak. Jangan marah-marah anak kerana mereka dalam proses mengenal dan belajar, jadi why so serious? Semoga bermanfaat.

5 Sentuhan Dan 4 Ciuman Ibu Bapa Ini Bantu Bentuk Sikap Positif Anak


Percaya atau tidak, hanya dengan sentuhan dan ciuman anda sebagai ibu bapa boleh menjadi asbab anak anda akan membesar dengan emosi yang lebih positif.

Mengikut saranan doktor Psikologi terhadap ibu bapa, terdapat empat ciuman dan lima sentuhan yang harus diamalkan terhadap anak-anak.

Ianya hendaklah dilakukan setiapa hari dari semenjak lahir setiap hari tanpa had waktu dan umur, selagi dia anak kita.

Berikut empat ciuman dan lima sentuhan tersebut :

4 tempat ciuman :

1. Di Ubun-ubun

Sebagai menunjukkan kebanggaan kita terhadapnya (sambil mendoakan agar si anak jadi anak soleh/solehah), insya Allah.

2. Di Dahi

Ciuman ini menandakan kita redha terhadapnya sebagai dia anak kita. Rasulullah s.a.w pernah mencium anaknya, Fatimah r.anha di dahi beliau.

3. Di Kedua-dua Pipi

Iaitu sebagai tanda 'syauq' (perasaan sayang dan rindu) kita terhadap si anak.

4. Di Tangan Anak

Tanda 'mawaddah wa hubb' (kasih sayang) sebagaimana Rasulullah s.a.w juga selalu mencium tangan anakandanya Fatimah r.ha.

Perhatian : Ciuman dimulut hanya khas untuk isteri sahaja.

5 tempat sentuhan :

1. Mengosok Belakang Kepala Anak - Sebagai tanda kasihan belas dan anak akan merasai dikasihani dan terlindung.

2. Menggosok Atas Kepala Atau Ubun-ubun - Ini untuk menunjukkan kebanggaan kita terhadapnya.

3. Menggosok Atas Dahi Anak - Sebagai tanda syauq (perasaan sayang dan rindu) kita terhadap anak.

4. Kedua Pipi - Juga tanda mawaddah wa hubb (kasih sayang).

5. Memegang Kedua Tangannya - Untuk menenangkan anak ketika nampak perasaannya kacau atau keliru.

Tambahan : Gosok di dada ketika perlu. Bila nampak dia menunjukan kecenderungan membuat sesuatu yang tidak baik atau sedang marah, gosoklah dadanya untuk menenangkannya.

Wallahu a'lam.

7 Kesan Positif Pelukan Ibu Bapa Pada Anak


Anak-anak yang kerap dipeluk akan tampil menjadi anak yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, penuh dengan kasih sayang dan kurang tekanan. Mereka akan menjadi anak yang lebih tenang di mana keadaan ini akan membantu perkembangan diri mereka.

Namun jika perkara ini jarang dilakukan maka hubungan ibu bapa dan anak-anak akan menjadi sangat dingin.

Fitrah diri mereka yang amat memerlukan sentuhan dan kehangatan kasih sayang terpaksa mengharungi satu keadaan yang tegang dan penuh dengan emosi yang keras.

Berikut 7 kebaikan yang anak akan terima daripada sebuah pelukan ibu bapa :

1. Rasa tenang dan percaya diri

Memeluk anak-anak dapat meningkatkan rasa tenang dan percaya diri dalam diri mereka. Kebiasaan ini secara tidak langsung dapat menjaga kualiti hubungan anda sekeluarga.

2. Menurun rasa cemas dan tekanan

Sebuah pelukan ternyata mempunyai khasiat luar biasa. Ini mampu membuat rasa cemas dan juga tekanan darah menurun.

3. Rasa bahagia

Memeluk orang-orang tersayang adalah cara paling sederhana dapat membuat mereka merasa bahagia.

4. Ubat mujarab tenangkan jiwa

Saat anak-anak bermasalah dan tertekan, pelukan merupakan ubat paling mujarab membantu menenangkan fikiran dan jiwa yang bergolak.

5. Rsa diri dihargai

Pelukan daripada ibu bapa mahupun keluarga anak membuat anak-anak merasa bahawa mereka adalah insan yang paling berharga dan beruntung di dunia.

6. Kehidupan jadi seimbang

Kebiasaan memeluk anak-anak membuatkan bukan sahaja kehidupan anak-anak, tetapi juga ibu bapa menjadi lebih seimbang. Ini memberi kita kekuatan untuk mengendalikan emosi agar lebih tenang dan bahagia.

7. Dapat menyampaikan isi hati

Apa yang dirasakan memang selayaknya disuarakan. Namun meskipun tanpa bicara pelukan dapat menjadi cara terbaik untuk menyampaikan isi hati dan perasaan.

5 Rahsia Buat Anak Dengar Cakap Ibu Bapa


Ramai ibu bapa terpaksa menjerit untuk menarik perhatian anak-anak yang degil. Semakin anda menjerit, semakin kurang perhatian yang diberi oleh anak-anak.

Berikut 5 teknik mudah agar anak mendengar kata tanpa perlu meninggikan suara :

1. Bagi amaran

Anak-anak lebih takut apabila anda memberi amaran kerana mereka takut mereka tidak dapat apa yang mereka mahu. Sebagai contoh, selagi anak anda tidak mengemas barang-barang permainan, selagi itu mereka tidak boleh bermain basikal di taman.

2. Sentiasa bertenang

Hati ibu bapa mana yang tidak 'panas' apabila melihat makanan bersepah di ruang tamu gara-gara sikap anak yang gemar makan di depan tv. Teknik terbaik sebelum anda mahu menjerit adalah dengan bertenang sambil melihat anak-anak yang kian membesar dan semestinya sikap mereka hanya boleh dilihat ketika mereka masih kecil.

3. Ingat peranan anda

Apabila anda memilih untuk menjerit pada anak anda, sebenarnya anda telah merendahkan peranan anda sebagai ibu. Anda tidak boleh menuntut penghormatan daripada anak anda dengan menjerit sebaliknya anda perlu ingat peranan anda sebagai ibu adalah menunjukkan moral yang baik. Bercakap perlahan dan kawal dengan tenang menunjukkan anda ibu yang bijak.

4. Jadi lebih rapat

Anda menjerit dari tingkat atas atau dari dapur, namun anak-anak tetap mengabaikan anda. Ramai ibu bapa bertindak demikian kerana sudah memanggil anak-anak banyak kali tapi tidak didengari. Cara terbaik adalah pergi ke arah anak, tarik perhatiannya, lakukan 'eye contact' dan bercakap perlahan dengannya.

5. Bayangkan anda mempunyai tetamu

Kawal kemarahan dan rasa mahu menjerit dengan membayangkan jeritan anda mungkin akan didengari oleh jiran atau tetamu di dalam rumah anda. Membayangkan anda mempunyai tetamu membuatkan anda menolak untuk menjerit kerana akan memalukan anda sekeluarga.

Namun ada ibu bapa memang terpaksa memanggil anak berulang kali sambil menjerit kerana sikap anak yang sukar memberi kerjasama apabila dipanggil.

Sebenarnya menjerit bukanlah jalan penyelesaian kerana sikap anda akan dijadikan contoh oleh anak kelak sama ada bersama adik-beradik atau rakan-rakan di sekolah.

Jika anda tidak mahu anak-anak anda menjerit sesama sendiri, anda sendiri perlu datang dan bercakap perlahan di depan mereka.

Hebat Efek Suara Ibu Pada Otak Kanak-Kanak


Kurang dari satu saat, itu masa yang diperlukan oleh seorang kanak-kanak untuk mengenalpasti suara ibunya.

Satu kajian dari Universiti Standford mengkaji bagaimana kanak-kanak memberi reaksi kepada suara ibu berbanding dengan suara wanita yang tidak dikenali. Dan saintis mendapati, suara ibu bukan sahaja dikenalpasti di bahagian pemprosesan suara, malah di beberapa bahagian otak yang lain.

Bahagian otak seperti emosi, ganjaran, pengecaman wajah dan fungsi sosial juga akan 'memberi respon' apabila suara ibu kedengaran. Dengan ringkasnya, suara ibu boleh 'mengajar' sistem-sistem ini dan mempengaruhi bagaimana anak-anak berkomunikasi secara sosial.

"Banyak dari proses sosial, bahasa dan emosi dipelajari dengan mendengar suara ibu." Kata pakar di Standford, Daniel Abrams yang mengetuai kajian itu.

"Tapi, hanya sedikit yang kita tahu bagaimana otak kita menyusun dirinya mendengar suara yang penting ini (suara ibu). Kita tidak sedar bahawa suara ibu boleh mempunyai akses yang begitu cepat ke banyak bahagian sistem otak," ujar beliau lagi.

Di dalam kajian itu, dua dozen kanak-kanak, yang berumur 7 hingga 12 menjalani imbasan MRI ketika mendengar klip bunyi pendek dari pelbagai sumber bunyi. Beberapa klip bunyi diambil dari suara ibu mereka sendiri manakala beberapa lagi diambil dari orang yang tidak dikenali.

Menariknya, biarpun suara ibu berdurasi kurang dari satu saat, kanak-kanak boleh meneka suara ibu mereka dengan ketepatan 97 peratus. Hasil ujian itu mendapati bahawa banyak kawasan otak yang 'memberi respon' apabila mendengar suara ibu dan ini sangat mengujakan para saintis.

"Kita tahu bahawa dengan mendengar suara ibu boleh menjadi sumber keselesaan emosi kepada kanak-kanak. Di sini kami menunjukkan hubungkaitnya secara biologi," katanya.

Reaksi otak terhadap suara ibu tidak terhad untuk kanak-kanak sahaja.

Satu kajian pada 2010 mendapati bahawa remaja yang sedang menempuh masa yang sukar akan tenang apabila mendengar suara ibu di telefon kerana perbualan itu akan membantu menurunkan hormon stress dan melepaskan oxytocin, iaitu satu bahan kimia yang boleh membuat seseorang itu merasa gembira.

Jadi, jika ibu anda menelefon, pastikan panggilannya diangkat. Dengan hanya mendengar suaranya, anda akan menjadi tenang dan gembira.

Cara Betul Bersihkan Botol Susu Bayi


Bayi memang anugerah paling indah bagi pasangan suami isteri. Sesuatu yang indah dan bernilai, mesti dijaga, dirawat, dipelihara dengan sepenuh hati dan penuh teliti.

Bayi dilahirkan dengan imuniti yang terbatas, yang terhad, belum lagi kompleks seperti orang dewasa. Jadi, seorang bayi lebih mudah dijangkiti penyakit walaupun puncanya adalah perkara-perkara yang kita anggap remeh dan kecil. Seperti membersihkan botol susu yang digunakan oleh si bayi.

Jadi bagaimana cara yang sempurna membersihkan botol susu bayi? Ini cuma ikhtiar untuk menjauhkan asbab jatuhnya penyakit kepada bayi kita. Allah s.w.t jualah yang maha kuasa dan cuma Dia yang mampu memberi manfaat dan mudarat kepada hambaNya.

Berikut cara betul membasuh botol susu bayi anda :

1. Basuh dalam air suam panas

Letakkan semua botol, puting susu, penutup, gegelang penahan, cakera yang telah dibilas ke dalam air panas suam. Basuh dengan sempurna supaya kesan susu ditanggalkan. Lakukan proses ini secepat mungkin selepas penyusuan, sebelum susu boleh mengering.

2. Gosok bahagian dalam botol

Gosok bahagian dalam botol tersebut dengan berus botol untuk mengasingkan semua kesan susu. Gosok dengan cermat di sekeliling leher botol serta jalur skrunya. Hati-hati ketika mencuci puting susu untuk memastikan semua ketulan susu betul-betul tanggal.

3. Sapukan garam dalam puting susu

Sapukan garam di bahagian dalam puting susu dan gerakkan ke sekeliling dengan cara memicit dan mengurut hujungnya. Cara ini membantu mengikis dan mengasingkan kesan susu.

4. Bilas botol di bawah air yang mengalir

Bilas botol, puting susu dan peralatan lain dengan sempurna di bawah air yang mengalir. Anda juga boleh gunakan pin untuk membersihkan lubang-lubang pada puting susu.

5. Periksa keadaan puting dan botol

Periksa puting dan botol dengan baik dan buangkan ia jika sudah retak, rekah dan pecah. Bakteria boleh membiak di permukaan yang rosak dan terus bertahan hidup walaupun sudah melalui proses penbersihan dan pensterilan.

6. Mensteril perkakasan penyusuan anak

Sekarang proses mensteril perkakasan penyusuan anak menjadi lebih mudah apabila adanya peralatan pensterilan stim elektrik yang banyak di pasaran. Pilih sahaja jenama yang mana satu cuma harganya memang agak mahal. Tetapi jangan risau kalau anda tiada peralatan tersebut. Proses mensteril tetap boleh dilakukan tanpa masalah.

Berikut 4 cara Pensterilan perkakasan penyusuan anak :

1. Pensterilan dengan stim elektrik

Cara ini lebih cepat dan efisien. Hanya mengambil masa lapan hingga 12 minit sahaja termasuk masa untuk menyejuk. Ia boleh mengekalkan keadaan steril botol sehinga enam jam jika ditinggalkan di dalam pensteril dengan tudung ditutup. Pastikan botol, puting dan perkakasan lain diletakkan dengan mulutnya mengadap ke bawah. Dengan ini ia boleh memastikan pensterilan secara penuh.

2. Pensterilan dengan ketuhar gelombang mikro

Siapa yang ada ‘mikrowave’ di rumah boleh steril botol susu anak menggunakannya. Hanya ambil masa 90 saat sahaja untuk mensterilkan satu botol. Jangan tutup botol semasa dibakar dalam mikrowave, sebab tekanan boleh meningkat di dalamnya semasa proses memanaskan.

3. Pensterilan dengan cara didihan

Ini cara paling mudah dan digunakan oleh kebanyakan ibu. Pastikan anda sudah mencuci terlebih dahulu perkakasan botol susu anak. Masukkan semua ke dalam periuk besar yang mempunyai penutup. Isikan air dan tenggelamkan semua perkakasan penyusuan sepenuhnya.

Pastikan tiada udara yang terperangkap dalam botol-botol dan puting, kemudian tutup periuk dan rebus tidak kurang dari 10 minit. Selepas direbus selama 10 minit, barulah boleh tutup api dapur. Jangan buka penutup periuk sehingga anda hendak menggunakan perkakasan tersebut.

4. Pensterilan dalam air sejuk

Boleh juga mensteril perkakasan penyusuan anak dalam air sejuk. Tetapi mesti menggunakan larutan bebas toksin yang larut dalam air sejuk. Ia juga ada dalam bentuk biji. Larutan in membunuh bakteria dengan berkesan. Anda boleh menggantikan larutan itu setiap 24 jam.

Boleh menggunakan bekas pensteril khas untuk tujuan mensteril dalam air sejuk sama ada baldi atau bekas plastik berpenutup. Pastikan bekas tersebut dapat menenggelamkan kesemua botol dan peralatan lain sepenuhnya. Pastikan tiada buih dan udara tertinggal dalam botol dan biarkan ia tenggelam sekurang-kurangnya 30 minit untuk mensterilkan dengan sempurna.

Keluarkan perkakasan hanya apabila anda hendak menggunakannya. Goncang setiap peralatan bila anda mengeluarkannya atau bilas dan buangkan semua cecair dengan air sejuk masak, jika anda suka.

Ketahui Cara Betul Menegur Anak Lelaki


Sekiranya anda ada anak lelaki, ketika marah elakkan membebel dengan nada tinggi kerana cara kanak-kanak lelaki (juga lelaki dewasa) dan kanak-kanak perempuan memahami sesuatu adalah berbeza.

Seperti di dalam gambarajah, kanak-kanak perempuan mempunyai otak yang berselirat seperti spaghetti menyebabkan anak perempuan lebih mudah memahami apa yang ibu mereka bebelkan kerana otak mereka boleh proses banyak perkara dalam satu masa.

Gambarajah menunjukkan perbezaan otak lelaki dan perempuan

Berbanding anak lelaki, anak lelaki punyai otak berkotak-kotak seperti waffle. Otak anak lelaki hanya memproses satu perkara dalam satu masa dan fokusnya hanya pada satu perkara.

Apa akan jadi sekiranya anda membebel sambil menengking dan memeking dengan nada tinggi kepada anak lelaki anda?

Anak lelaki anda tidak akan faham satu pun apa yang ingin anda sampaikan kepada mereka. Mereka hanya akan dengar bunyi bising yang menyakitkan telinga tanpa memahami apa yang ingin anda sampaikan.

Kesimpulannya

Apabila anda ingin menegur anak lelaki maka tenangkan dulu emosi anda, tegur dengan tenang dengan nada yang pelbagai supaya lebih difahami. Dan ulang hanya satu perkara apa yang ingin anda tegaskan hingga difahami oleh anak lelaki anda.

5 Faedah Suami Rajin Tolong Isteri Jadi Inspirasi Anak-Anak


Siapa yang dikurniakan suami yang ringan tulang? Tidak kekok bantu membereskan kerja rumah tanpa diarahkan. Bertuahlah wanita tersebut kerana mempunyai suami yang lari daripada lelaki tipikal yang sering digambarkan.

Kepada bapa-bapa yang termasuk dalam katergori tersebut, tahniah diucapkan. Anda sememangnya lelaki yang hebat! Pastinya ia tidak pernah melunturkan ‘kemachoan’ anda sebagai suami dan papa.

Sebenarnya tidaklah sesukar mana untuk bapa membantu isteri dalam membereskan kerja-kerja rumah. Apatah lagi sekiranya sama-sama keluar bekerja dan pulang ke rumah menjelang malam. Tentu sahaja jika seorang yang dibebankan dengan segala urusan rumah tangga, tentu tidak terkira kepenatannya.

Ada banyak kelebihan yang akan dinikmati oleh suami isteri sekiranya masing-masing saling membantu. Bukan sahaja kelebihant tersebut dirasakan oleh suami dan isteri bahkan anak-anak yang sedang membesar turut menerima tempiasnya.

1. Model ikutan

Tahukah papa semua, contoh yang anda tunjukkan dengan membantu isteri membuat kerja rumah telah memberi nilai positif kepada anak-anak. Anda menjadi model ikutan anak-anak.

2. Anak menyanjung bapa

Secara tidak langsung anak-anak amat menyanjung bapa mereka yang rajin membantu dan pastinya ia memupuk sifat rajin anak-anak untuk turut membantu membuat kerja-kerja rumah.

3. Berbahagi tugas

Apa kata mulai hari ini, berbahagilah kerja-kerja rumah anda. Mungkin boleh dimulakan dengan tugas-tugas ringan terlebih dahulu seperti menyapu lantai rumah, membuang sampah di dapur, membasuh pinggan mangkuk ketika isteri sibuk memasak dan selepas makan, menukarkan lampin anak ketika isteri sibuk di dapur dan bermacam lagi tugas rumah tangga yang anda sendiri lebih tahu.

4. Ringankan beban isteri

Percayalah bantuan yang dihulurkan walaupun sedikit, ia membantu meringankan bebanan isteri yang perlu menguruskan rumah tangga dan anak-anak selepas pulang dari tempat kerja.

5. Rumah tangga harmoni

Keadaan rumah yang bersih tentu sahaja tidak mengganggu fikiran anda berdua dan anak-anak juga lebih gembira. Yang pastinya, ia turut memberi kesan positif kepada keharmonian rumah tangga anda.

15 Tips Mudah Mendidik Anak Solat


1. Dekatkan anak dengan laungan azan

Apabila mendengar azan di TV, biarkan ia disiarkan di TV dan ajarkan anak cara menyahut azan. Begitu juga jika di luar rumah atau di dalam kereta, berhenti berbual atau apa saja aktiviti ketika itu dan sahutlah azan.

Ia dapat menjadi contoh untuk anak-anak dan mengajar mereka tentang azan dan juga cara menghormati dan menyahut azan. Jika berkesempatan, boleh ceritakan pada anak-anak mengenai sejarah azan. Kenapa ada azan dan kisah muazzin Nabi s.a.w iaitu Bilal bin Rabah r.a.

2. Ajarkan anak doa selepas azan

Bacakan doa selepas azan dan ajar anak-anak untuk ikut atau meng'amin'kan doa selepas azan. Jika diamalkan selalu, 5 kali sehari, 7 kali seminggu, sampai sebulan, insya Allah anak pun sudah boleh membaca sendiri.

Jangan lupa amalkannya di rumah ataupun di dalam kereta. Ambil peluang di mana saja ketika mendengar azan.

3. Didik solat sejak bayi

Jika anda mempunyai anak kecil, setiap kali solat, bawa sekali anak dalam solat dengan cara mendukung anak (rujuk cara dukung anak dalam solat). Ini boleh dilakukan ibu mahupun bapa. Jika dilakukan setiap kali di awal waktu solat, anak kecil itu akan sentiasa bersedia setiap kali masuk waktu solat.

Sekiranya anak sudah sedikit besar dan tidak mampu untuk didukung lagi, letakkan anak di sebelah kita bersolat seperti di dalam 'playpen' supaya anak dapat melihat kita bersolat. Kebanyakkan situasi, anak-anak akan tenang apabila berada bersama kita ketika solat. Insya Allah dipermudahkan Allah.

Tidak perlu tunggu sehingga anak 10 tahun, baru kita terhegeh-hegeh mahu mengajarkan dan menunjukkan cara mendidik anak-anak solat. Mulakan dari usia bayi lagi.

4. Ajarkan anak berwuduk

Jangan lepas tangan, membiarkan tanggungjawab pada guru di sekolah tunjukkan cara berwuduk. Semak juga cara bagaimana anak ambil wuduk. Ajarkan anak-anak cara mengambil wuduk dengan betul.

Tampalkan cara mengambil wuduk bergambar di setiap bilik air supaya mudah anak mengikutinya. Setiap kali selepas azan, terus suruh anak-anak ambil wuduk. Cara mendidik anak solat bermula dengan cara mendidik anak ambil wuduk. Bila wuduk sempurna, barulah solat juga sempurna.

5. Dengarkan anak bacaan dalam solat

Solat bersama anak-anak dan kuatkan sedikit bacaan dalam solat supaya anak dapat mendengar dan mengikut. Pada masa yang sama, anak akan menghafal bacaan dalam solat dan secara tak langsung menghafal surah-surah lazim.

Anak-anak seharusnya dididik sejak mereka kecil tentang perkara agama

6. Solat berjemaah

Cuba untuk solat bersama-sama pada setiap waktu, bangun awal untuk sama-sama solat Subuh sebelum keluar bekerja atau menghantar anak ke tadika atau kes sekolah.

Solat berjemaah dan kenalkan aturan saf. Jika ayah bekerja, bolehlah solat bersebelahan dengan ibu. Jika tidak ke surau atau masjid, apabila hujung minggu, ambil peluang untuk berjemaah bersama-sama.

7. Ajarkan anak berwirid

Bacakan wirid supaya anak dapat mendengarnya dengan jelas. Lama-kelamaan anak juga turut hafal kerana 5 kali sehari diperdengarkan wirid yang sama. Di waktu-waktu terluang, bacakan atau ajarkan akan maksud wirid-wirid tersebut.

8. Bacakan doa untuk anak

Selepas berwirid, bacakan doa dalam bahasa melayu yang 'special' untuk setiap anak, biar mereka mendengar doa itu. Selitkan juga doa syukur kerana mendapat anak yang baik seperti mereka (sebut nama anak sekali dalam doa) yang rajin solat, rajin belajar, rajin menolong ibu dan ayah.

Isikan pengharapan kita di dalam doa itu kepada Allah dan biarkan anak-anak mendengar doa tersebut. Cuba lihat reaksi mereka. Cara ini mampu melembutkan hati anak-anak.

9. Bersalaman selepas solat

Bersalaman selepas solat diiringi dengan ciuman dan pelukan kasih sayang. Cara ini dapat mengalirkan ikatan yang kuat antara ibu bapa dan anak. Peluk rapat-rapat ahli keluarga kita.

Walaupun anak kecil tidak tahu apa-apa, mereka akan rasakan aura kegembiraan itu jika bersalaman satu keluarga. Bukan sahaja satu cara mendidik anak solat, bersalaman dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

10. Beri anak pujian

Puji mereka setiap kali selepas solat. Puji sikap mereka yang tekun, solat dengan baik, tidak joget-joget dan bermain-main. Beritahu mereka yang kita bangga dan bersyukur mendapat anak seperti mereka.

11. Tazkirah dan taklim

Jika berkesempatan, selitkan sessi tazkirah dan taklim mengenai solat setiap kali selepas solat. Seperti rukun solat, apa faedah solat, apa rugi kalau tidak bersolat, sejarah solat Nabi Muhammad s.a.w dan Israk wa Mikraj.

Anggaplah ia sessi tazkirah bersama anak, boleh diamalkan seminggu sekali ataupun setiap kali selepas solat Isyak bagi taklim dengan istiqamah. Cara mendidik anak solat yang sebegini selalunya lebih berkesan dan melekat dalam minda anak-anak.

12. Tegur kesilapan solat anak

Setiap kali solat, jika terpandang silap anak, tegur mereka selepas sessi berdoa. Tetapi jangan lupa untuk mulakan dengan pujian setiap kali ingin menegur kesilapan anak. Beginilah cara mendidik anak solat yang anak suka. Ibu bapa tidak marah, malah beri pujian pula.

13. Ajak anak ke masjid atau surau

Jika berdekatan rumah ada masjid, sila ke masjid. Jika tiada, ke surau sahaja. Ini adalah antara cara yang paling efektif. Bila selalu ke masjid dan solat, mereka dapat praktis dan lihat bagaimana orang lain solat ikut imam.

Kadang-kadang, anak kecil hanya tahu bermain sahaja di masjid atau surau. Biarkan sahaja mereka, asalkan tidak membuat bising yang keterlaluan. Inilah satu cara mendekatkan mereka dengan rumah Allah, dalam salah satu cara mendidik anak solat secara halus. Walaupun tidak faham, lama-kelamaan, anak akan memahaminya sendiri.

14. Belikan telekung dan kopiah yang anak suka

Ingat lagi zaman dulu-dulu, ramai ibu sanggup mengait kopiah anak sendiri. Siap ada nama anak lagi! Itu adalah salah satu cara agar anak rajin pakai kopiah dan mengerjakan solat. Nampak jelas kesungguhan orang-orang lama dalam usaha mengajarkan cara mendidik anak solat, sebelum mereka tahu apa-apa tentang solat.

Sekiranya ada anak perempuan, belikan telekung yang dia berkenan. Semoga usaha mendidik anak solat akan jadi lebih mudah jika anak ada pakaian kegemaran mereka sendiri.

15. Amalkan doa surah Ibrahim ayat 40

Dalam usaha dan cara mendidik anak solat, amalkan doa dari surah Ibrahim ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur iaitu dihembuskan di ubun-ubun mereka. Bacakan supaya anak dapat mendengar sama dan ajak membaca doa ini bersama, lama-kelamaan mereka dapat menghafal doa ini.


Didiklah anak tentang solat bermula dengan solat 5 waktu. Kemudian barulah solat-solat sunat berjemaah seperti solat Hari Raya dan sebagainya. Jangan nanti anak-anak hanya tahu solat Hari Raya sahaja tetapi tidak tahu solat fardhu 5 waktu dan solat Jumaat.

Terlalu banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk mendekatkan anak dengan solat. Sebagai ibu bapa kitalah seharusnya yang bijak memberi pendidikan terbaik kepada mereka agar berjaya di dunia dan akhirat

7 Panduan Bapa Bermain Dengan Anak Agar Bijak


Bermain juga satu pelajaran buat si kecil. Biasanya bayi menghabiskan banyak masa dengan ibu. Apa kata kali ini bapa pula yang ambil alih melayani kehendaknya bermain.

Bayi pada usia 0-2 tahun memerlukan sokongan dan dorongan daripada ibu bapa untuk belajar banyak perkara. Selain itu waktu bermain juga menggambarkan kasih sayang yang tidak terhingga buat si kecil.

Berikut 7 panduan bermain yang boleh dilakukan bapa bersama si kecil.

1. Meniarap

Ketika bayi baru belajar meniarap, tentu dia akan terasa kesukarannya. Bapa jadikan aktiviti ini sebagai satu permainan yang menarik. Penglibatan bapa dapat memberi peluang bayi mengetahui fungsi kaki, tangan dan badannya.

2. Merangkak

Ketika merangkak, bayi akan menggunakan keempat-empat anggota tangan dan kakinya. Oleh itu, bapa perlu luang masa untuk merangkak bersama-samanya kerana proses pembelajarannya akan menjadi lebih seronok.

3. Belajar duduk

Bayi yang sedang belajar duduk akan memulakan kemahirannya itu dengan menghalakan kakinya luas-luas ke hadapan. Tangannya juga bebas meneroka apa sahaja yang menarik minatnya. Bapa boleh gunakan masa ini untuk duduk bersama-samanya dan membelek helaian buku berwarna-warni.

4. Belajar berdiri dan memanjat tangga

Bapa perlu peka dengan perubahan pada bayi, sekiranya bayi sudah mampu mengkoordinasi kaki dan tangannya dengan sempurna, anda boleh lakukan aktiviti belajar berdiri dan memanjat agar kemahiran tersebut dapat dimantapkan. Sentiasa mengawasi pergerakan bayi agar dia tidak terjatuh dan tercedera.

5. Kenal objek dan cari bunyi

Bapa boleh bermain dengan si kecil menggunakan objek berbunyi. Aktiviti seperti ini boleh membantu bayi memantapkan kemahiran, menghalusi koordinasi dan menguji kecekapannya.

6. Bermain bola

Pada usia tujuh bulan dan ke atas, bayi anda mudah tertarik melihat bola berwarna-warni bergolek. Ketika usia ini, bapa harus melakukan aktiviti menunjuk, memegang dan memberikan semula bola kepada anda.

7. Dukung terbalik

Dukung secara terbalik dengan selamat adalah salah satu aktiviti yang gemar dilakukkan oleh bapa kepada bayinya. Percayalah si kecil suka jika dilakukan sedemikian oleh bapa bahkan jika terlihat wajah bapanya, dia akan mengagah minta didukung.

Namun pastikan keselamatan anak diutamakan. Aktiviti ini jika sudah biasa dipraktikkan sejak kecil, mampu merangsang koordinasi kaki dan tangan bayi serta membuatkan mereka berkeyakinan.

20 Kaedah Psikologi Mendidik Anak Cara Islam


Selalu kita dengar, bila nampak seseorang anak itu nakal kelakuannya, orang akan kata; “mak bapak dia tak pandai ajar anak la tu. Apa nak jadi la budak tu. Dah besar nanti mesti jahat”. Agak keras bunyinya bukan?

Bagaimana kalau anak itu adalah anak kita sendiri? Tentu sungguh meruntun jiwa. Kadang-kadang bukan kita tidak ajar anak kita, cuma anak itu terpengaruh dengan kawan-kawan yang lain. Apa salahnya datang hampir pada anak nakal itu dan berikan sedikit nasihat? Bimbang jika tiada siapa peduli, mereka akan jadi lebih teruk lagi.

Jadi, apakah sepatutnya yang ibu bapa lakukan? Berikut 20 kaedah/panduan psikologi mendidik anak, termasuklah cara memukul anak mengikut Islam :

1. Elakkan pukul anak dari bahagian lutut ke atas

Kawal diri sebagai ibu-bapa. Elakkan pukul anak dari lutut keatas. Kalau marah sangat, pukul tapak kaki anak. Nasihat terlebih dahulu, baru pukul (jika perlu) sebagai jalan terakhir untuk mendisiplinkan anak.

2. Elakkan guna tangan atau anggota tubuh lain memukul anak

Yang lebih penting, walaupun kita pernah mengalami perkara ini, jangan sesekali menampar anak menggunakan tangan kita. Ia akan menjadi lebih buruk di mana anak akan bertambah nakal dan degil.

3. Ajar anak solat

Rotan atau pukul anak di telapak kakinya. Pukul seadanya sahaja, bukan dengan amarah yang meluap-luap. Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, dan pukullah mereka kerana tidak solat ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka” (H.R. Ahmad dan Abu Daud)
Imam Nawawi mengatakan : orang yang tidak diberatkan mendirikan solat, tidaklah diperintahkan kita menyuruh mereka mengerjakannya, kecuali anak-anak kecil lelaki dan perempuan. Anak yang telah sampai umur 7 tahun jika mumayyiz, disuruh atas dasar sunnat mendirikan solat. Jika mereka telah berumur 10 tahun, wajiblah diperintahkan mereka mendirikan solat. Dan dipukul jika mereka enggan mendirikannya. Hadis ini mengingatkan kita kepada firman Allah :

“Dan perintahkanlah ahli keluargamu mendirikan solat dan bersabarlahkamu diatas kesukaran-kesukaran yang kamu hadapi kerananya..” (Toha : 132)

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka..” (At-Tahrim : 66)

Kata pengikut-pengikut Asy-Syafie : Hendaklah para wali anak iaitu ibu bapa atau penjaga memerintahkan anak-anak menghadiri jamaah solat dan menerangkan kepada mereka hukum-hukum agama yang harus mereka kerjakan sebagaimana wajib atas wali memberi pendidikan kepada anak-anak tentang aurat, arak, dusta, mengumpat dan sebagainya.

Kata Ar-Rafi’ie : Diberatkan ibu bapa memberikan pendidikan bersuci, solat dan undang-undang syariat kepada anak-anaknya ketika mereka berumur 7 tahun dan memukul mereka jika mereka enggan menuruti jika umur mereka telah mencapai 10 tahun. Belanja belajar diambil dari harta si anak jika dia berharta dan dipikul pula oleh bapanya jika si anak tidak berharta.

Jika ia tidak berbapa, maka belanja itu dipikul oleh ibunya. Jika si anak tidak mempunyai wali, kewajiban tersebut dilaksanakan oleh yang berwajib di dalam negara. Contohnya qadhi atau seumpamanya. Anak-anak kecil memanglah tidak diberatkan dengan sesuatu perintah agama baik berdasarkan wajib atau sunnat. Hadis di atas sebenarnya ditujukan kepada para wali. Tujuannya ntuk membiasakan anak-anak mendirikan solat sejak sebelum mukallafnya lagi. Apabila telah dibiasakan sejak kecil, tidaklah menjadi berat baginya untuk melakukannya sesudah ia besar.

4. Nama panggilan yang baik

Beri dan panggil anak dengan nama yang baik-baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. Lebih malu apabila kawan-kawan mereka mengetahui panggilan itu.

5. Peluk anak setiap hari

Berikan anak anda pelukan setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.

6. Pandangan kasih sayang

Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran. Ibu bapa mana yang tak sejuk hati bila tengok anak-anaknya 'happy'.

7. Berikan pujian dan ganjaran pada anak

Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan. Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.

8. Akui kesilapan anak dan bersabar

Sentiasa bersabar dengan kerenah anak. Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.

9. Utamakan keluarga atau ‘Family First’

Anak-anak ingin masa berkualiti. Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga. Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali.

10. Elakkan mengeluh kerana anak, ucapkanlah Astaghfirulllah

Doa ibu sangat mustajab. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah ibu bapa mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban kepada ibu bapa.

11. Dengar bila anak bercakap

Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap. Dengan kata lain, ‘Be a good listener’.

Ajar anak cakap perkara yang baik-baik sahaja. Ketahui cara-cara bercakap secara betul dan berkesan dengan anak-anak. Orang kata, kena juga ada ilmu untuk bercakap dengan anak. Jangan asyik ibu bapa sahaja yang betul.

Ayah lebihkan masa dengan anak perempuan, ibu lebihkan masa dengan anak lelaki. Anak mahukan pelukan hangat dari ibu bapa

12. Tenangkan anak

Adakalanya, anak kita panik dan tidak tahu nak buat apa. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya. Peluk erat-erat dan tunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

13. Tunjuk anak bagaimana cara menenangkan diri

Jangan hanya peluk sahaja. Selitkan kata-kata nasihat dan iktibar yang sewajarnya. Kalau bergaduh sesama adik-beradik, leraikan dengan suara yang lembut. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya. Pertama sekali, ibu bapa kena tenangkan diri dahulu!

14. Sambut ‘birthday’ bersama-sama

Tentu anak teruja jika dapat kek hari jadi. Zaman dahulu, tiada sambutan hari jadi, cukup sekadar dengan bubur merah. Zaman sekarang lain, boleh cuba buat sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai.

Anak-anak yang datang daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain. Sejujurnya, tidak perlu ‘party’ atau kek yang besar. Bagi kanak-kanak, sepotong kek sahaja sudah memadai.

15. Ulang arahan beberapa kali

Ketika memberi makan kepada bayi misalnya, beritahu supaya makan kenyang-kenyang, bukan main-main. Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali. Ibu bapa kena sabar dalam hal ini. Kadang-kadang anak tidak memahami arahan. Mereka perlu membiasakan diri dan mengikuti arahan itu berkali-kali.

16. Buat aktiviti bersama anak-anak

Luangkanlah masa bersama anak anda di luar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri. Buat aktiviti yang berfaedah bersama-sama. Ingat, kualiti masa lebih penting daripada kuantiti. Anak akan ingat saat-saat indah mereka bersama ibu-bapa sampai bila-bila.

17. Tinggalkan kerja di pejabat

Anak inginkan perhatian. Jika dibawa balik kerja di pejabat ke rumah, tentu sekali masa akan diutamakan pada kerja. Mengadap laptop sepanjang masa adalah satu pengabaian pada anak-anak dari segi emosi.

18. Hargailah permainan kesayangan anak anda

Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

19. Usah biarkan anak tidur tanpa ciuman selamat malam

Nampak macam kebaratan? Oh tidak! Cuma masyarakat kita kurang mengamalkan perbuatan ini. Ciuman adalah suatu yang subjektif. Mereka mungkin belum memahami apa erti ciuman. Namun, berikan ciuman sebagai tanda kasih sayang kita pada mereka. Sambil cium, sambil usap kepala anak. Bacakan doa yang baik-baik.

20. Terima anak seadanya

Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibu bapa yang sempurna. Kadang-kadang tanpa sengaja, kita akan pukul anak dan menyesal kemudiannya. Tiada ibu-bapa yang sempurna. Tujuan kita disini ialah untuk belajar bersama-sama.

Kesimpulan

Didiklah anak sebaiknya mengikut lunas Islam. Mereka akan menjadi penghalang kita sebagai ibu bapa daripada api neraka.

Daripada Aisyah R.ha katanya; “Datang kerumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya”. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah). Setelah Nabi s.a.w datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka.”
Sama-sama kita berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah. Kalau ada masa, boleh belajar cara disiplinkan anak tanpa pukul anak. Semoga bermanfaat!

Doa Dan 13 Tips Baik Pulih Diri Secara Menyeluruh


Entri kesinambungan daripada entri sebelum ini yang bertajuk - 11 Tips Mendidik Anak Nakal Menjadi Soleh.

Mulai hari ini baik pulih diri secara menyeluruh dengan 13 tips berikut :

1. Jaga solat 5 waktu

Dan lakukan solat-solat sunat qabliah dan ba'diah untuk menampung segala kekurangan dalam solat-solat fardhu kita.

2. Solat taubat dan istighfar 70 kali sehari

Lakukan juga solat hajat, istikharah dan tutup dengan solat Witir setiap malam. Nabi s.a.w suruh kita untuk solat witir setiap malam sebagai penutup kepada semua amalan kita setiap hari untuk dipersembahkan kepada Allah s.w.t.

3. Maafkan semua orang setiap malam

Lakukanlah sebelum masuk tidur (lelapkan mata) agar hati jadi bersih, badan sihat, wajah jadi anggun, doa dimakbulkan, semua orang sayang dan anak dengar cakap kita.

4. Baca ayat 40 surah Ibrahim

Untuk merangsang ahli keluarga supaya solat dan elok perangai, bacalah Surah Ibrahim (ayat 40). Ini memang doa khas untuk mohon agar diri dan keluarga jaga solat.

5. Baca Doa Pembuka 12 Pintu, Doa Membuang Sifat Negatif, Bismillah 5 dan Ayat Kursi

Pengalaman menunjukkan sesiapa yang mengamalkan doa-doa tersebut, maka orang bujang akan bertemu jodoh, suami isteri akan bertambah sayang, orang bergaduh akan jadi damai, selesai masalah, langsai hutang, anak-anak jadi hebat dan soleh, hilang perangai buruk seperti enggan solat dan sebagainya.




6. Pagar diri dengan Al-Fatihah dan Surah 3 Qul

Baca Surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas, kemudian hembus ke tapak tangan dan sapu seluruh badan. Ini akan menghindar daripada gangguan manusia, binatang, jin dan sihir.

7. Lembutkan hati anak dengan ayat berikut

Atau orang lain dengan; Surah Al-Fatihah, Surah Ta Ha (ayat 1-5), Surah Al-Hasyr (ayat 21-24) dan Ayat Kursi kemudian hembus ke badan, makanan, gambar atau pakaian yang sudah dipakai sebelum dicuci atau sekadar menghembus ke arah orang itu dari jauh.

8. Layan lebih baik dari kebiasaan

Layan anak lebih baik daripada biasa agar dia rasa bersalah jika ingkar perintah ibubapa.

9. Baca bismillah dan beri salam ketika masuk rumah

Setiap kali hendak masuk rumah, pesan kepada semua ahli keluarga kita untuk baca Bismillah 3 kali, senyum, beri salam dan masuk dengan melangkah kaki kanan dahulu.

Ini akan menghindarkan syaitan bernama Dasim daripada masuk ke kepala kita dan ganggu manusia supaya berkonflik, suami isteri supaya bergaduh hingga bercerai-berai, anak-anak melawan ibu bapa, anak-anak bergaduh sesama sendiri, anak-anak jadi ekstra nakal dan sebagainya.

10. Baca tiga Asma Allah berikut

Setiap kali nak nasihati anak, nak suruh anak solat atau belajar, bacalah 3 Asma Allah s.w.t ini - Ya 'Aziz, Ya Jabbar, Ya Mutakabbir dan hembus ke arah anak jika masih jauh atau berdehem depannya jika sudah berhadapan. Ini akan melembutkan hatinya agar dapat mendengar cakap atau hujah ibu bapa.

11. Baca doa berikut ketika kesedihan

Jika terlalu sedih atau tertekan, bacalah 3 doa berikut :

1 - Inna lillahi wainna ilahi rojiuun.
2 - Ya Allah, aku redha dengan segala ujian-Mu, berilah aku pahala atas redha ini.
3 - Ya Allah, aku ada masalah anak sukar nak dengar cakap ibubapa. Ya Allah, Kau bantulah selesaikan masalahku. Kau jadikan dia anak yang soleh, sabar, pintar, baik akhlak, mendengar cakap ibubapa, rajin belajar dan sebagainya. Insya Allah hati akan tenang dan doa akan dimakbulkan.

12. Hembus kepala anak dengan ayat ini

Baca Al-Fatihah, Ayat Kursi dan Surah Al-Insyirah dan hembus atas kepala anak kita setiap hari hingga aqil baligh. Ini akan membantu dia jadi anak yang soleh, pintar, berakhlak mulia dan taat kepada ibubapa.

13. Cuba nasihati anak semasa dia tidur

Cukup dengan berbisik di telinganya atau sekadar bercakap dalam hati. Nasihatkan agar jadi anak yang baik, sopan santun, dengar cakap ibu bapa, dan sebagainya. Ikut kajian dan pengalaman peribadi, jika kita istiqamah menasihati anak kita semasa mereka tidur, anak-anak insya Allah akan berubah menjadi anak yang baik.

Cuba amalkan selama 40 hari, kerana tabiat baru terbentuk dalam masa 40 hari. Insya Allah segala masalah anak yang keluarga anda hadapi akan selesai langkah demi langkah. Selamat beramal dan moga berjaya.

11 Tips Mendidik Anak Nakal Menjadi Soleh


Anak adalah anugerah dan amanah Allah s.w.t kepada ibu bapa. Mereka ibarat kain yang putih yang bersih lagi suci. Kecantikan dan keindahan kain itu bergantung kepada ibu bapa itu sendiri untuk mencorakkannya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini untuk membentuk budi pekerti yang mulia berlandaskan syariat Islam. Pembentukan itu haruslah dilakukan ketika mereka masih di dalam kandungan ibu lagi.

Jika ditakdirkan mereka ini anak yang degil, keras hati, keras kepala dan nakal, janganlah anda kecewa dan patah semangat dalam menangani masalah ini. Anggaplah ia sebagai satu ujian Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang dikasihi. Ingat hakikat bahawa Allah s.w.t uji hamba-Nya setakat kemampuan hamba-Nya untuk menanggung ujian itu. Jadi janganlah sesekali merasa kecewa atau patah semangat.

Setiap masalah berpunca daripada beberapa hal berikut :

1 - Hati yang kotor.
2 - Fikiran yang negatif.
3 - Amalan yang tidak betul.
4 - Gangguan metafizikal termasuk sihir.
5 - Jahil tentang agama dan tanggungjawab, atau
6 - Semata-mata ujian Allah s.w.t kerana sayang-Nya kepada anda.

Jadi cuba semak diri anda tentang apakah punca sebenar masalah yang anda hadapi itu.

Anak-anak yang nakal semasa kecil, akan menjadi orang dewasa yang bijaksana. Jadi tukar paradigma tentang anak anda itu. Fikiran dan kata-kata ibu bapa kepada anak-anak adalah suatu doa yang makbul.

Sabda Nabi s.a.w bahawa Allah s.w.t bertindak seperti mana yang difikirkan oleh hamba-Nya. Dalam Islam, anak berumur 1-7 tahun didiklah dengan penuh kasih sayang dan banyak bergurau.

Berikut 11 tips mendidik anak nakal jadi soleh/solehah dan mendengar cakap :

1. Pastikan anak makan malam sebelum maghrib

Ini supaya mudah belajar waktu malam. Makan malam lepas maghrib buat anak mudah letih dan mengantuk bila belajar. Makanan hadam selepas 1 ½ jam makan. Jadi anak boleh belajar dengan berkesan dan fokus jika belajar 1 ½ jam selepas makan malam.

Pastikan dia kurang makan daging merah, banyakkan daging putih seperti ayam dan ikan. Daging merah buat anak pemarah dan agrasif serta mudah melawan cakap.

Pastikan mereka makan buah sebelum makan nasi agar badan dapat serap Vitamin C yang ada dalam buah-buahan. Vitamin C membantu tenangkan fikiran anak di samping mampu jaga kulit.

2. Banyakkan memeluk anak

Anak yang sering dipeluk akan tenang, kurang degil, rasa selamat dan disayangi serta tidak perlu nak buat nakal.

3. Pesan anak untuk menghadap Qiblat semasa belajar

Atau ketika mengaji al-Quran, ini akan tingkatkan keberkatan dalam belajar.

4. Sebelum belajar baca doa penerang hati

Ini termasuklah surah Al-Insyirah untuk kuat ingatan, mudah faham, jadi tenang, mudah patuh arahan ibu bapa dan tidak banyak meragam.

5. Letak pokok hidup

Seperti pokok keladi air, di kanan dan kiri meja tempat anak belajar untuk bekalkan oksigen kepada otak anak semasa belajar.

6. Beri anak supplement

Makanan tambahan yang dapat menguatkan minda, tenangkan emosi, lembutkan hati dan kuatkan daya ingatannya.

7. Bacakan surah ini di kepala anak

Surah-surah berikut, iaitu; Al-Fatihah, ayat Kursi dan surah Al-Insyirah untuk rangsang otak dan memori anak dan jadikan dia anak yang tenang, baik akhlak, dengar cakap ibubapa dan pintar. Bacakan waktu malam semasa nak belajar dan waktu anak nak pergi tadika atau sekolah.

8. Elakkan anak memakai pakaian berwarna merah atau oren

Menurut kajian, warna merah dan oren akan rangsang anak jadi agresif dan hyperaktif.

9. Suruh anak tidur mengiring kekanan

Ini agar otak jadi lebih pintar, puas tidur dan ikut sunnah Nabi s.a.w.

10. Pastikan rezeki benar-benar berkat

Pastikan rezeki yang ibu bapa terima bukan saja halal tetapi benar-benar berkat. Elakkan perkara haram dan syubahat dalam rezeki serta keluarkan zakat pendapatan dan zakat-zakat yang berkenaan. Rezeki yang kurang berkat juga jadi punca anak jadi agresif, tidak dengar cakap ibu bapa dan extra nakal.

11. Ibu bapa baik pulih diri secara bersepadu

Ini supaya Allah s.w.t ubah anak-anak jadi hebat dan cemerlang. Jika baik pulih diri kita secara bersepadu, Allah s.w.t akan ubah anak-anak dan semua orang di sekeliling kita. Juga, semakin rapat kita dengan Allah s.w.t, maka Allah akan perbaiki hubungan kita dengan semua orang.

Nota : Bersambung di entri seterusnya, bertajuk - Doa Dan 13 Tips Baik Pulih Diri Secara Menyeluruh

Panduan Membasuh Uri Anak Baru Lahir


Menimang cahaya mata adalah satu perkara yang amat menggembirakan. Apa tidaknya kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga bukan sahaja bakal menyerikan hidup pasangan suami isteri, malah ia juga sebagai pengikat kasih sayang antara suami isteri.

Dalam keseronokan menerima orang baru dalam hidup, bagi suami ada satu perkara yang penting anda tahu. Iaitu perihal membasuh uri cara yang betul. Tatacara menguruskan uri ini mudah sebenarnya tapi tetap kena belajar.

Secara ringkasnya uri atau dalam bahasa sainsnya ialah placenta yang mana ia adalah organ yg terbentuk di dalam rahim semasa kehamilan. Bagi manusia, ianya tebal dan berdiameter lebih kurang 18cm. Dipenuhi salur darah dan bersambung dengan bayi menerusi tali pusat.

Plasenta berfungsi untuk membekalkan zat makanan dan oksigen kepada fetus (bayi di dalam kandungan) dan juga bertindak sebagai kelenjar endokrin. Setelah bayi keluar, plasenta akan dikeluarkan melalui pengecutan rahim.

Gambarajah langkah demi langkah membasuh uri bayi dengan betul

Berikut langkah demi langkah cara-cara membasuh uri yang betul :

Bahan-bahan yang diperlukan

1. Limau Nipis.
2. Garam.
3. Asam Jawa.
4. Asam Keping.
5. Plastik (mudah reput).
6. Kain Putih (Napkin).

Cara-cara membasuh

1. Mulakan dengan membaca Bismillah.

2. Cuci uri dengan bersih. Hilangkan kesan-kesan darah tanpa menggunakan sabun.

3. Bilas dengan air bersih sambil berselawat dan berdoa dengan doa yang baik.

4. Lumurkan uri dengan garam dan basuh sehingga bersih.

5. Basuh uri dengan asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir. Bilas sehingga bersih.

6. Perahkan limau dan lumurkan. Ini bertujuan untuk menghilangkan bau-bau yang tidak menyenangkan.

7. Letakkan di dalam plastik yang mudah reput seperti plastik 7-Eleven atau plastik Tesco dan ikat dengan kemas.

8. Bungkus bersama kain putih dan diikat kemas.

9. Gali tanah sedalam mungkin. Ini bagi mengelakkan dikesan oleh binatang seperti anjing dan kucing.

10. Jangan diletakkan sebarang benda asing seperti pen, pensel, lilin dan sebagainya kerana boleh membawa kepada syirik dan khurafat.

Secara jujurnya, membasuh uri tidaklah sukar seperti yang disangka. Lakukan dengan ikhlas dan sepenuh hati kerana uri yang dibasuh itu adalah zuriat kita. Titipkan doa-doa yang baik agar zuriat kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa.
You might like these as well: