6 Perkara Besar Yang Ibu Bapa Boleh Belajar Daripada Seorang Anak Kecil


Menjadi ibu bapa adalah sesuatu yang berada di luar jangkaan sementelah di awal perkahwinan. Ramai pasangan benar-benar menyangka bahawa mereka belum bersedia. Namun, Allah lebih tahu apa yang dirancangkan untuk anda.

Allah mahu anda belajar dan lebih mengenali kekuatan diri. Ada banyak perkara yang telah anda tempuhi dan anda tidak pernah terfikir dapat melakukannya sebelum ini. Pengalaman jaga anak telah benar-benar membuka mata, terutamanya dalam 6 hal di bawah ini.

Apa yang ajaibnya, anda mempelajarinya semua daripada anak anda yang belum mampu bertutur dan mendengar dengan baik. Anak anda yang belum matang dan serba tidak memahami duniawi. Pengalaman jaga anak memberi anda perspektif baru.

Berikut 6 perkara besar yang ibu bapa boleh belajar raripada seorang anak kecil :

1. Tidak Berdendam

Apabila dimarah, anak kecil tak pernah berdendam. Malah, dia mendakap anda dengan lebih erat. Dia mahukan perhatian yang lebih lagi apabila anda memalingkan muka kerana kecewa atau geram dengan sikapnya.

Walaupun anda yang bersalah kerana tidak mampu menahan sabar, dia tidak pernah mengungkitnya seperti apa yang anda selalu buat. Apabila bangun dari tidur, dia cepat mendapatkan anda dan memandang anda dengan penuh kasih sayang seperti tiada apa yang pernah berlaku antara kamu. Malunya dengan diri sendiri memang tak terkira!

2. Fikirkan Perkara Yang Baik Sebelum Tidur

Selalunya, setiap malam sebelum tidur, anak akan bertanya; "Mama, esok apa?" Dia ingin diingatkan tentang perkara-perkara baik yang telah berlaku dan bakal berlaku pada keesokan harinya. Patutlah mereka sangat segar dan bertenaga apabila bangun pagi!

Jika dibandingkan dengan diri sendiri, anda jarang memikirkan apa-apa sebelum masuk tidur kerana beranggapan semuanya adalah rutin. Ternyata, anak ini lebih bijak kerana sains sendiri merungkaikan bahawa 10 minit terakhir sebelum tidur adalah waktu yang paling penting untuk anda membuat refleksi (muhasabah) diri dan perancangan.

Sebab itulah kajian mendapati anak kecil akan senyum sebanyak 300 kali sehari berbanding orang dewasa yang hanya mampu tersenyum sebanyak 30-40- kali.

3. Let it go

Ada masanya anak tak sukakan sesuatu makanan yang anda masak, tidak mahu memakai baju yang anda pilihkan, tidak mahu menyiapkan lukisan yang dia mulakan. Walaupun anda ibu atau ayahnya, anda tidak akan dapat mengawal semua perkara untuknya. Apatah lagi apabila dia besar nanti.

4. Lebih Menghargai Suami/Isteri

Sejak menjadi ibu atau bapa, anda belajar untuk menjadi 'superdad' atau 'supermom'. Tipulah kalau isteri tak pernah rasa geram dengan suami yang sedap berehat sedangkan anda dilambakkan dengan macam-macam kerja rumah.

Ada masanya isteri berasa cemburu kerana anak lebih suka bergurau dengan suami. Memanglah dia boleh buat begitu sebab dia tak pernah sesibuk ibu! Tapi, pengalaman jaga anak mengubah tanggapan negatif anda terhadap suami anda.

Anak amat menghormati dan menyayangi ayahnya yang tak pandai menyanyikan lagu kegemarannya, ayah yang tak pandai memasakkan makanan kegemarannya, ayah yang selalu lupa membawa tuala mengesat hingusnya, ayah yang serba kekok semasa menguruskan keperluan hariannya.

Hal ini membuat isteri berfikir; "Kalau anak saya boleh menerima semua kekurangan ayahnya ini, kenapa tidak saya sebagai isterinya?" Jika difikirkan semula, anda kini boleh tersenyum dan menganggap inilah yang unik tentang suami anda.

5. Kenapa Tergesa-gesa?

Anda lupa untuk tersenyum dan menghargai moment di mana anak anda mahu pergi memetik bunga kerana hari semakin gelap. Atau anda lupa untuk meraikan kejayaan anak anda memakai kasut sendiri di kala ibu bapanya sudah terlewat ke tempat kerja.

Apa yang anda ingat, anda asyik menyuruh anak supaya cepat, cepat, dan cepat. Sampai satu saat, anak anda yang mendesak anda supaya memenuhi permintaannya di saat itu juga. Dia berkelakuan sama seperti apa yang anda lakukan kepadanya. Aduhai baru anda sedar bahawa tindakan anda sungguh menjengkelkan.

6. Kalau Nak Buat Sesuatu, Buatlah!

Dalam banyak-banyak orang, anda tak sangka anda akan belajar menemui keyakinan diri daripada seorang anak kecil. Anak kecil tak pernah teragak-agak. Mereka nekad, mereka kurang memikirkan akibatnya. Tindakan mereka juga spontan dan jujur.

Kalau nak lompat, mereka akan lompat. Kalau nak sesuatu, mereka akan cakap. Kalau nak cari mainan, mereka akan terbalikkan saja kotaknya. Ternyata, walau kena marah sekalipun, ia amat berbaloi!

Kesimpulan

Pengalaman menjaga anak banyak membuat anda berfikir. Ramai lagi ibu bapa yang turut melalui perasaan ini sepanjang pengalaman jaga anak. Sebagai manusia biasa, anda memang tak boleh lari daripada kesilapan. Namun, itu tak bererti anda tak boleh belajar daripadanya.

Anak-anak ini adalah anugerah yang tak terhingga, dan Allah boleh mendatangkan 1001 alasan untuk kita berfikir.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: