10 Tips Mengajar Bayi Supaya Lebih Pintar


Bayi kecil tidak semestinya tidak boleh diajar. Jika anda mahu bayi anda menjadi pintar, anda perlu bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk membantu bayi anda mencapai sepenuhnya potensi dirinya.

Berikut 10 tips mengajar bayi anda mencapai potensi diri :

1. Pengulangan

Bayi cepat belajar jika anda sentiasa melakukan pengulangan secara konsisten. Sebagai contoh, jika anda mahu mengajar bayi anda tentang warna, sebutkan warna itu misalnya warna biru. Begitu juga dengan abjad atau nombor. Jika anda terjumpa abjad atau nombor, sebutkan dengan kuat.

Biarkan bayi anda mendengar. Jika anda lakukan secara kerap, bayi akan cepat belajar. Anda juga boleh cuba meletakkan sekumpulan barang berwarna sama di hadapan bayi. Seterusnya sentiasa mengulangi sebut warna itu. Ini adalah teknik pengajaran yang terbaik untuk bayi.

Minda anak anda adalah seperti ‘span’ pada usia ini, ia menyerap apa sahaja pengajarang yang diberikan kepadanya. Sekarang, terpulang kepada anda untuk mengisi dengan ilmu yang berguna.

2. Jangan berbahasa bayi!

Goo goo gaa gaa! Bahasa bayi yang begitu mengagumkan dan ia sememangnya sangat menarik apabila anda melihat bayi comel berbahasa begitu. Tetapi jangan ikut bahasa bayi anda, jika anda ingin mengajarnya berkomunikasi.

Cara ini memang sukar, tetapi inilah cara mengajar yang betul untuk bayi anda bercakap. Cuba jangan bercakap bahasa bayi apabila bersama dengannya. Cuba bayangkan anda sedang bercakap orang dewasa.

Paling bagus bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang betul. Daripada anda menggunakan ‘ne ne’ yang mewakili susu atau ‘mam mam’ untuk makanan. Anda pasti teruja bila bayi anda dapat belajar dengan pantas dengan bahasa yang betul.

3. Ganjaran

Seperti anak anda yang sudah besar, bayi juga suka diberi ganjaran. Mereka suka anda memuji, memeluk dan menciumnya. Cubalah anda katakan "adik pandai" sambil menepuk tangan, apabila bayi berjaya memasukkan blok mainan dalam kotak kecil.

Pasti bayi akan menunjukkan riak wajah gembira kepada anda. Apa yang pasti, bayi suka dibelai dan dimanja dengan ucapan sayang. Bayi sangat suka jika dirinya dipeluk dan diberi ciuman. Selain itu, anda juga boleh memberikan ganjaran dengan memberikan biskut kegemarannya jika dia melakukan apa yang anda suka.

4. Bacakan buku

Anda pastinya sudah biasa dengan cara ini, tetapi inilah cara istimewa untuk mengajar anak anda mengenal buku dan melatihnya untuk suka membaca buku. Bacalah kepadanya walaupun dia belum faham apa yang anda bacakan. Sambil bayi duduk di atas riba anda, pegang tangannya untuk dia merasai buku itu.

Tetapi kadang kala, bayi mungkin akan mengiggit buku, biarkan dia melakukan begitu. Namun anda mesti memastikan buku itu diperbuat daripada fabrik kain (atau yang tak terlalu keras). Dalam pada itu, teruskan membacakan buku kepadanya supaya dia juga suka membaca buku. Bayi akan cuba meniru anda membaca buku dan mungkin akan membacanya sendiri nanti.

5. Mulakan awal!

Ajarlah anak anda pada awal usianya. Perkenalkan perkara baru kepada anak anda. Jangan menunggu pada usia 3 atau 4 tahun baru hendak mula mengajarnya abjad, nombor dan objek-objek di sekelilingnya.

Anda harus lakukan pengajaran sekarang! Bayangkan anak kecil anda boleh mengenal nombor, huruf atau warna pada awal usianya. Tentu anda gembira dengan kecemerlangannya.

6. Bersabar

Percayalah anak tidak akan pintar jika anda tidak menggunakan kaedah-kaedah yang dinyatakan seperti di atas secara konsisten. Namun anda perlu bersabar untuk melakukannya. Jangan putus asa, jika tidak mendapat melihat perubahan anak anda. Terus melakukan pengajaran sehingga anak pandai.

7. Penerokaan

Biarkan bayi melakukan penerokaan di sekelilingnya. Biarkan dia belajar memegang, merasa, menghidu bau, mendengar dan melihat. Misalnya untuk bau anda boleh sediakan bunga ros, buah epal untuk dia pegang dan puppet kecil untuk dia melihat. Namun utamakan ruang penerokaannya selamat untuk anak anda belajar dengan selesa dan gembira.

8. Belajar dengan gembira

Mengajar anak bukan sesuatu yang membosankan! Nyanyilah lagu dan aktiviti yang menyeronokkan untuk membantu anak belajar dengan gembira. Bayangkan, anda akan dapat melihat anak belajar dengan cepat untuk mengambil barang dalam bekas permainannya. Lakukan ia setiap hari. Pasti anak dapat melakukan dengan baik sekali.

9. Permudahkan

Jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada anak supaya dapat mengikut arahan anda dengan betul. Dia masih kecil, berilah dia masa untuk melakukannya. Jangan biarkan dia duduk sehingga 4 jam untuk belajar abjad. Lakukan aktiviti yang ringkas dan mudah dalam tempoh masa yang pendek antara 5 hingga 10 minit untuk mengelak anak mudah berasa bosan.

10. Teruskan!

Untuk memastikan anda berjaya mengajarnya dengan baik, lakukan pengajaran setiap hari. Jangan putus asa. Ingat anda sedang mengajar anak kecil, bukannya anak yang besar dan sudah boleh berdikari.

Pengajaran satu atau dua minggu tidak mencukupi untuk anak. Oleh itu, lakukan ia sebagai rutin harian untuk dia mengenal tentang persekitarannya. Lakukan dengan konsisten dan fokus supaya pembelajaran ini berjaya dengan cemerlang.

Kesimpulan

Percayalah bahawa setiap anak itu ada potensi diri yang mesti dicungkil. Kepintaran mereka jangan dipersiakan. Ayuh, jadilah ibu bapa yang efektif!
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: