Bayi memang anugerah paling indah bagi pasangan suami isteri. Sesuatu yang indah dan bernilai, mesti dijaga, dirawat, dipelihara dengan sepenuh hati dan penuh teliti.
Bayi dilahirkan dengan imuniti yang terbatas, yang terhad, belum lagi kompleks seperti orang dewasa. Jadi, seorang bayi lebih mudah dijangkiti penyakit walaupun puncanya adalah perkara-perkara yang kita anggap remeh dan kecil. Seperti membersihkan botol susu yang digunakan oleh si bayi.
Jadi bagaimana cara yang sempurna membersihkan botol susu bayi? Ini cuma ikhtiar untuk menjauhkan asbab jatuhnya penyakit kepada bayi kita. Allah s.w.t jualah yang maha kuasa dan cuma Dia yang mampu memberi manfaat dan mudarat kepada hambaNya.
Berikut cara betul membasuh botol susu bayi anda :
1. Basuh dalam air suam panas
Letakkan semua botol, puting susu, penutup, gegelang penahan, cakera yang telah dibilas ke dalam air panas suam. Basuh dengan sempurna supaya kesan susu ditanggalkan. Lakukan proses ini secepat mungkin selepas penyusuan, sebelum susu boleh mengering.
2. Gosok bahagian dalam botol
Gosok bahagian dalam botol tersebut dengan berus botol untuk mengasingkan semua kesan susu. Gosok dengan cermat di sekeliling leher botol serta jalur skrunya. Hati-hati ketika mencuci puting susu untuk memastikan semua ketulan susu betul-betul tanggal.
3. Sapukan garam dalam puting susu
Sapukan garam di bahagian dalam puting susu dan gerakkan ke sekeliling dengan cara memicit dan mengurut hujungnya. Cara ini membantu mengikis dan mengasingkan kesan susu.
4. Bilas botol di bawah air yang mengalir
Bilas botol, puting susu dan peralatan lain dengan sempurna di bawah air yang mengalir. Anda juga boleh gunakan pin untuk membersihkan lubang-lubang pada puting susu.
5. Periksa keadaan puting dan botol
Periksa puting dan botol dengan baik dan buangkan ia jika sudah retak, rekah dan pecah. Bakteria boleh membiak di permukaan yang rosak dan terus bertahan hidup walaupun sudah melalui proses penbersihan dan pensterilan.
6. Mensteril perkakasan penyusuan anak
Sekarang proses mensteril perkakasan penyusuan anak menjadi lebih mudah apabila adanya peralatan pensterilan stim elektrik yang banyak di pasaran. Pilih sahaja jenama yang mana satu cuma harganya memang agak mahal. Tetapi jangan risau kalau anda tiada peralatan tersebut. Proses mensteril tetap boleh dilakukan tanpa masalah.
Berikut 4 cara Pensterilan perkakasan penyusuan anak :
1. Pensterilan dengan stim elektrik
Cara ini lebih cepat dan efisien. Hanya mengambil masa lapan hingga 12 minit sahaja termasuk masa untuk menyejuk. Ia boleh mengekalkan keadaan steril botol sehinga enam jam jika ditinggalkan di dalam pensteril dengan tudung ditutup. Pastikan botol, puting dan perkakasan lain diletakkan dengan mulutnya mengadap ke bawah. Dengan ini ia boleh memastikan pensterilan secara penuh.
2. Pensterilan dengan ketuhar gelombang mikro
Siapa yang ada ‘mikrowave’ di rumah boleh steril botol susu anak menggunakannya. Hanya ambil masa 90 saat sahaja untuk mensterilkan satu botol. Jangan tutup botol semasa dibakar dalam mikrowave, sebab tekanan boleh meningkat di dalamnya semasa proses memanaskan.
3. Pensterilan dengan cara didihan
Ini cara paling mudah dan digunakan oleh kebanyakan ibu. Pastikan anda sudah mencuci terlebih dahulu perkakasan botol susu anak. Masukkan semua ke dalam periuk besar yang mempunyai penutup. Isikan air dan tenggelamkan semua perkakasan penyusuan sepenuhnya.
Pastikan tiada udara yang terperangkap dalam botol-botol dan puting, kemudian tutup periuk dan rebus tidak kurang dari 10 minit. Selepas direbus selama 10 minit, barulah boleh tutup api dapur. Jangan buka penutup periuk sehingga anda hendak menggunakan perkakasan tersebut.
4. Pensterilan dalam air sejuk
Boleh juga mensteril perkakasan penyusuan anak dalam air sejuk. Tetapi mesti menggunakan larutan bebas toksin yang larut dalam air sejuk. Ia juga ada dalam bentuk biji. Larutan in membunuh bakteria dengan berkesan. Anda boleh menggantikan larutan itu setiap 24 jam.
Boleh menggunakan bekas pensteril khas untuk tujuan mensteril dalam air sejuk sama ada baldi atau bekas plastik berpenutup. Pastikan bekas tersebut dapat menenggelamkan kesemua botol dan peralatan lain sepenuhnya. Pastikan tiada buih dan udara tertinggal dalam botol dan biarkan ia tenggelam sekurang-kurangnya 30 minit untuk mensterilkan dengan sempurna.
Keluarkan perkakasan hanya apabila anda hendak menggunakannya. Goncang setiap peralatan bila anda mengeluarkannya atau bilas dan buangkan semua cecair dengan air sejuk masak, jika anda suka.