11 Tips Mendidik Anak Nakal Menjadi Soleh


Anak adalah anugerah dan amanah Allah s.w.t kepada ibu bapa. Mereka ibarat kain yang putih yang bersih lagi suci. Kecantikan dan keindahan kain itu bergantung kepada ibu bapa itu sendiri untuk mencorakkannya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini untuk membentuk budi pekerti yang mulia berlandaskan syariat Islam. Pembentukan itu haruslah dilakukan ketika mereka masih di dalam kandungan ibu lagi.

Jika ditakdirkan mereka ini anak yang degil, keras hati, keras kepala dan nakal, janganlah anda kecewa dan patah semangat dalam menangani masalah ini. Anggaplah ia sebagai satu ujian Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang dikasihi. Ingat hakikat bahawa Allah s.w.t uji hamba-Nya setakat kemampuan hamba-Nya untuk menanggung ujian itu. Jadi janganlah sesekali merasa kecewa atau patah semangat.

Setiap masalah berpunca daripada beberapa hal berikut :

1 - Hati yang kotor.
2 - Fikiran yang negatif.
3 - Amalan yang tidak betul.
4 - Gangguan metafizikal termasuk sihir.
5 - Jahil tentang agama dan tanggungjawab, atau
6 - Semata-mata ujian Allah s.w.t kerana sayang-Nya kepada anda.

Jadi cuba semak diri anda tentang apakah punca sebenar masalah yang anda hadapi itu.

Anak-anak yang nakal semasa kecil, akan menjadi orang dewasa yang bijaksana. Jadi tukar paradigma tentang anak anda itu. Fikiran dan kata-kata ibu bapa kepada anak-anak adalah suatu doa yang makbul.

Sabda Nabi s.a.w bahawa Allah s.w.t bertindak seperti mana yang difikirkan oleh hamba-Nya. Dalam Islam, anak berumur 1-7 tahun didiklah dengan penuh kasih sayang dan banyak bergurau.

Berikut 11 tips mendidik anak nakal jadi soleh/solehah dan mendengar cakap :

1. Pastikan anak makan malam sebelum maghrib

Ini supaya mudah belajar waktu malam. Makan malam lepas maghrib buat anak mudah letih dan mengantuk bila belajar. Makanan hadam selepas 1 ½ jam makan. Jadi anak boleh belajar dengan berkesan dan fokus jika belajar 1 ½ jam selepas makan malam.

Pastikan dia kurang makan daging merah, banyakkan daging putih seperti ayam dan ikan. Daging merah buat anak pemarah dan agrasif serta mudah melawan cakap.

Pastikan mereka makan buah sebelum makan nasi agar badan dapat serap Vitamin C yang ada dalam buah-buahan. Vitamin C membantu tenangkan fikiran anak di samping mampu jaga kulit.

2. Banyakkan memeluk anak

Anak yang sering dipeluk akan tenang, kurang degil, rasa selamat dan disayangi serta tidak perlu nak buat nakal.

3. Pesan anak untuk menghadap Qiblat semasa belajar

Atau ketika mengaji al-Quran, ini akan tingkatkan keberkatan dalam belajar.

4. Sebelum belajar baca doa penerang hati

Ini termasuklah surah Al-Insyirah untuk kuat ingatan, mudah faham, jadi tenang, mudah patuh arahan ibu bapa dan tidak banyak meragam.

5. Letak pokok hidup

Seperti pokok keladi air, di kanan dan kiri meja tempat anak belajar untuk bekalkan oksigen kepada otak anak semasa belajar.

6. Beri anak supplement

Makanan tambahan yang dapat menguatkan minda, tenangkan emosi, lembutkan hati dan kuatkan daya ingatannya.

7. Bacakan surah ini di kepala anak

Surah-surah berikut, iaitu; Al-Fatihah, ayat Kursi dan surah Al-Insyirah untuk rangsang otak dan memori anak dan jadikan dia anak yang tenang, baik akhlak, dengar cakap ibubapa dan pintar. Bacakan waktu malam semasa nak belajar dan waktu anak nak pergi tadika atau sekolah.

8. Elakkan anak memakai pakaian berwarna merah atau oren

Menurut kajian, warna merah dan oren akan rangsang anak jadi agresif dan hyperaktif.

9. Suruh anak tidur mengiring kekanan

Ini agar otak jadi lebih pintar, puas tidur dan ikut sunnah Nabi s.a.w.

10. Pastikan rezeki benar-benar berkat

Pastikan rezeki yang ibu bapa terima bukan saja halal tetapi benar-benar berkat. Elakkan perkara haram dan syubahat dalam rezeki serta keluarkan zakat pendapatan dan zakat-zakat yang berkenaan. Rezeki yang kurang berkat juga jadi punca anak jadi agresif, tidak dengar cakap ibu bapa dan extra nakal.

11. Ibu bapa baik pulih diri secara bersepadu

Ini supaya Allah s.w.t ubah anak-anak jadi hebat dan cemerlang. Jika baik pulih diri kita secara bersepadu, Allah s.w.t akan ubah anak-anak dan semua orang di sekeliling kita. Juga, semakin rapat kita dengan Allah s.w.t, maka Allah akan perbaiki hubungan kita dengan semua orang.

Nota : Bersambung di entri seterusnya, bertajuk - Doa Dan 13 Tips Baik Pulih Diri Secara Menyeluruh
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: