15 Tips Mudah Mendidik Anak Solat


1. Dekatkan anak dengan laungan azan

Apabila mendengar azan di TV, biarkan ia disiarkan di TV dan ajarkan anak cara menyahut azan. Begitu juga jika di luar rumah atau di dalam kereta, berhenti berbual atau apa saja aktiviti ketika itu dan sahutlah azan.

Ia dapat menjadi contoh untuk anak-anak dan mengajar mereka tentang azan dan juga cara menghormati dan menyahut azan. Jika berkesempatan, boleh ceritakan pada anak-anak mengenai sejarah azan. Kenapa ada azan dan kisah muazzin Nabi s.a.w iaitu Bilal bin Rabah r.a.

2. Ajarkan anak doa selepas azan

Bacakan doa selepas azan dan ajar anak-anak untuk ikut atau meng'amin'kan doa selepas azan. Jika diamalkan selalu, 5 kali sehari, 7 kali seminggu, sampai sebulan, insya Allah anak pun sudah boleh membaca sendiri.

Jangan lupa amalkannya di rumah ataupun di dalam kereta. Ambil peluang di mana saja ketika mendengar azan.

3. Didik solat sejak bayi

Jika anda mempunyai anak kecil, setiap kali solat, bawa sekali anak dalam solat dengan cara mendukung anak (rujuk cara dukung anak dalam solat). Ini boleh dilakukan ibu mahupun bapa. Jika dilakukan setiap kali di awal waktu solat, anak kecil itu akan sentiasa bersedia setiap kali masuk waktu solat.

Sekiranya anak sudah sedikit besar dan tidak mampu untuk didukung lagi, letakkan anak di sebelah kita bersolat seperti di dalam 'playpen' supaya anak dapat melihat kita bersolat. Kebanyakkan situasi, anak-anak akan tenang apabila berada bersama kita ketika solat. Insya Allah dipermudahkan Allah.

Tidak perlu tunggu sehingga anak 10 tahun, baru kita terhegeh-hegeh mahu mengajarkan dan menunjukkan cara mendidik anak-anak solat. Mulakan dari usia bayi lagi.

4. Ajarkan anak berwuduk

Jangan lepas tangan, membiarkan tanggungjawab pada guru di sekolah tunjukkan cara berwuduk. Semak juga cara bagaimana anak ambil wuduk. Ajarkan anak-anak cara mengambil wuduk dengan betul.

Tampalkan cara mengambil wuduk bergambar di setiap bilik air supaya mudah anak mengikutinya. Setiap kali selepas azan, terus suruh anak-anak ambil wuduk. Cara mendidik anak solat bermula dengan cara mendidik anak ambil wuduk. Bila wuduk sempurna, barulah solat juga sempurna.

5. Dengarkan anak bacaan dalam solat

Solat bersama anak-anak dan kuatkan sedikit bacaan dalam solat supaya anak dapat mendengar dan mengikut. Pada masa yang sama, anak akan menghafal bacaan dalam solat dan secara tak langsung menghafal surah-surah lazim.

Anak-anak seharusnya dididik sejak mereka kecil tentang perkara agama

6. Solat berjemaah

Cuba untuk solat bersama-sama pada setiap waktu, bangun awal untuk sama-sama solat Subuh sebelum keluar bekerja atau menghantar anak ke tadika atau kes sekolah.

Solat berjemaah dan kenalkan aturan saf. Jika ayah bekerja, bolehlah solat bersebelahan dengan ibu. Jika tidak ke surau atau masjid, apabila hujung minggu, ambil peluang untuk berjemaah bersama-sama.

7. Ajarkan anak berwirid

Bacakan wirid supaya anak dapat mendengarnya dengan jelas. Lama-kelamaan anak juga turut hafal kerana 5 kali sehari diperdengarkan wirid yang sama. Di waktu-waktu terluang, bacakan atau ajarkan akan maksud wirid-wirid tersebut.

8. Bacakan doa untuk anak

Selepas berwirid, bacakan doa dalam bahasa melayu yang 'special' untuk setiap anak, biar mereka mendengar doa itu. Selitkan juga doa syukur kerana mendapat anak yang baik seperti mereka (sebut nama anak sekali dalam doa) yang rajin solat, rajin belajar, rajin menolong ibu dan ayah.

Isikan pengharapan kita di dalam doa itu kepada Allah dan biarkan anak-anak mendengar doa tersebut. Cuba lihat reaksi mereka. Cara ini mampu melembutkan hati anak-anak.

9. Bersalaman selepas solat

Bersalaman selepas solat diiringi dengan ciuman dan pelukan kasih sayang. Cara ini dapat mengalirkan ikatan yang kuat antara ibu bapa dan anak. Peluk rapat-rapat ahli keluarga kita.

Walaupun anak kecil tidak tahu apa-apa, mereka akan rasakan aura kegembiraan itu jika bersalaman satu keluarga. Bukan sahaja satu cara mendidik anak solat, bersalaman dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

10. Beri anak pujian

Puji mereka setiap kali selepas solat. Puji sikap mereka yang tekun, solat dengan baik, tidak joget-joget dan bermain-main. Beritahu mereka yang kita bangga dan bersyukur mendapat anak seperti mereka.

11. Tazkirah dan taklim

Jika berkesempatan, selitkan sessi tazkirah dan taklim mengenai solat setiap kali selepas solat. Seperti rukun solat, apa faedah solat, apa rugi kalau tidak bersolat, sejarah solat Nabi Muhammad s.a.w dan Israk wa Mikraj.

Anggaplah ia sessi tazkirah bersama anak, boleh diamalkan seminggu sekali ataupun setiap kali selepas solat Isyak bagi taklim dengan istiqamah. Cara mendidik anak solat yang sebegini selalunya lebih berkesan dan melekat dalam minda anak-anak.

12. Tegur kesilapan solat anak

Setiap kali solat, jika terpandang silap anak, tegur mereka selepas sessi berdoa. Tetapi jangan lupa untuk mulakan dengan pujian setiap kali ingin menegur kesilapan anak. Beginilah cara mendidik anak solat yang anak suka. Ibu bapa tidak marah, malah beri pujian pula.

13. Ajak anak ke masjid atau surau

Jika berdekatan rumah ada masjid, sila ke masjid. Jika tiada, ke surau sahaja. Ini adalah antara cara yang paling efektif. Bila selalu ke masjid dan solat, mereka dapat praktis dan lihat bagaimana orang lain solat ikut imam.

Kadang-kadang, anak kecil hanya tahu bermain sahaja di masjid atau surau. Biarkan sahaja mereka, asalkan tidak membuat bising yang keterlaluan. Inilah satu cara mendekatkan mereka dengan rumah Allah, dalam salah satu cara mendidik anak solat secara halus. Walaupun tidak faham, lama-kelamaan, anak akan memahaminya sendiri.

14. Belikan telekung dan kopiah yang anak suka

Ingat lagi zaman dulu-dulu, ramai ibu sanggup mengait kopiah anak sendiri. Siap ada nama anak lagi! Itu adalah salah satu cara agar anak rajin pakai kopiah dan mengerjakan solat. Nampak jelas kesungguhan orang-orang lama dalam usaha mengajarkan cara mendidik anak solat, sebelum mereka tahu apa-apa tentang solat.

Sekiranya ada anak perempuan, belikan telekung yang dia berkenan. Semoga usaha mendidik anak solat akan jadi lebih mudah jika anak ada pakaian kegemaran mereka sendiri.

15. Amalkan doa surah Ibrahim ayat 40

Dalam usaha dan cara mendidik anak solat, amalkan doa dari surah Ibrahim ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur iaitu dihembuskan di ubun-ubun mereka. Bacakan supaya anak dapat mendengar sama dan ajak membaca doa ini bersama, lama-kelamaan mereka dapat menghafal doa ini.


Didiklah anak tentang solat bermula dengan solat 5 waktu. Kemudian barulah solat-solat sunat berjemaah seperti solat Hari Raya dan sebagainya. Jangan nanti anak-anak hanya tahu solat Hari Raya sahaja tetapi tidak tahu solat fardhu 5 waktu dan solat Jumaat.

Terlalu banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk mendekatkan anak dengan solat. Sebagai ibu bapa kitalah seharusnya yang bijak memberi pendidikan terbaik kepada mereka agar berjaya di dunia dan akhirat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: