Membeli rumah pertama tidaklah sesusah mana jika anda tahu aturannya. Ketika usia muda inilah jangan buat hutang banyak sangat. Bila banyak hutang nanti tidak mampu hendak menyimpan untuk membayar deposit rumah.
Tidak perlu tunggu masuk umur 30-35 tahun baru hendak membeli rumah pertama. Carilah rumah yang berharga di bawah RM150k untuk pelaburan hartanah dahulu. Baiki CCRIS, semak DSR dan teruskan niat memiliki aset hartanah.
Berikut 7 perkara perlu beres sebelum anda membeli rumah pertama :
1. Mempunyai pekerjaan yang stabil
Anda mesti mempunyai pekerjaaan yang stabil. Pihak bank akan mengambil kira tentang perkara ini. Sekurang-kurangnya anda perlu bekerja lebih daripada enam bulan. Barulah pihak bank akan lebih berkeyakinan pada anda.
2. Tambahkan wang simpanan
Wang simpanan ini penting untuk membayar kos yang berkaitan nanti. Antaranya kos guaman, duti setem dan sebagainya. Paling kurang, kena sediakan dalam 10% hingga ke 15% daripada harga jualan rumah tersebut. Mulakan membuat simpanan daripada sekarang.
3. Baiki Laporan CCRIS
Laporan CCRIS yang lengkap akan membuatkan permohonan pembiayaan perumahan anda senang diluluskan. Selagi laporan CCRIS anda ada angka “0”, anda ada peluang cerah untuk dapatkan pembiayaan perumahan. Jika ada sebarang komitmen dengan pihak bank, jangan lambat bayar.
Jika tiada laporan CCRIS, adakah boleh memohon pembiayaan perumahan? Ya, boleh saja. Bank perlukan bukti yang menunjukkan anda mampu membayar pembiayaan perumahan tepat pada masanya. Kalau tiada laporan CCRIS, mungkin kadar keuntungan bank lebih tinggi daripada mereka yang telah ada laporan CCRIS.
Baca : 5 Kos Yang Anda Perlu Ambil Tahu Sebelum Membeli Rumah
4. Baiki hutang tertunggak
Kadang-kadang anda tidak sedar pun anda kena CTOS disebabkan menjadi penjamin pada adik-beradik, sedara mara atau kawan. Kalau sudah kena CTOS, wajib langsaikan dulu hutang tertunggak. Sebab itulah perlu elak daripada suka berhutang yang tidak perlu seperti beli telefon pintar atau beli sofa pun berhutang.
5. Baiki nisbah hutang kepada pendapatan
Debt Service Ratio (DSR) adalah Nisbah Hutang Kepada Pendapatan. Semakin tinggi nisbah, semakin banyaklah hutang/komitmen anda. Pihak bank mengambil kira faktor ini untuk menentukan berapa jumlah kelayakan pembiayaan rumah yang anda boleh dapat. Pengiraan DSR ini berlainan bagi setiap bank namun konsepnya tetap sama. Lain bank, lain SOP nya. Rajin-rajinkanlah diri ke bank untuk bertanya.
6. Dokumentasi yang lengkap
Sediakan dokumen yang lengkap sebelum memburu hartanah. Kalau boleh anda sediakan dokumen sokongan yang lengkap terus. Pegawai bank yang nak proses permohonan anda pun senang hati. Antaranya :
1. Salinan Kad Pengenalan (pastikan jelas depan dan belakang).
2. Penyata Pendapatan Tahunan (EA: Swasta, EC: Penjawat Awam).
3. Surat Pengesahan Majikan (kalau penjawat awam boleh sertakan surat lantikan atau pengesahan jawatan).
4. Slip Gaji (3 bulan atau kalau nak letak 6 bulan pun boleh kalau bulan itu ada terima bonus ataupun OT).
5. Penyata EPF (terkini).
6. Penyata Bank (3-6 bulan).
7. Dokumen Sokongan. Seperti :
● Tabung Haji, ASB, Fixed Deposit.
● Unit Amanah, simpanan, saham.
● Surat perjanjian hutang/komitmen kena bayar pada bank setiap bulan untuk perkiraan DSR.
● Sebarang dokumen yang boleh menampakkan anda mampu membayar ansuran bulanan.
● Laporan CCRIS.
7. Baki selepas tolak komitmen
Juga dikenali sebagai Net Disposable Income (NDI). Sebagai kos sara hidup. Selepas anda sudah bayar semua komitmen dengan bank, mesti anda perlukan wang untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu anda kena ada baki yang cukup seperti yang bank tetapkan. NDI bergantung kepada tempat anda tinggal sama ada kawasan bandar ataupun luar bandar. Ia bergantung juga pada status perkahwinan.
Kebiasaannya standard, bank akan ambil RM1000. Ada juga bank yang ambil RM1300. Rajin-rajinkanlah "menapak" pergi ke bank untuk bertanya. Kalau masa muda ini anda sibuk pergi travel sana sini, jadi geng backpackers, silakan. Tetapi simpan dulu nota ini untuk anda baca masa umur 35 tahun nanti.
Masa itu anda akan kata rugi tak beli rumah di usia muda. Rumah sudah semakin mahal. Kawan anda yang gaji lebih rendah daripada anda pun sudah ada 2-3 rumah. Masa itu anda tengok sajalah gambar travel anda sambil air mata mula menitis. Sadis bukan?
Membeli rumah perlu perancangan yang rapi, terutamanya rumah pertama. Sekurang-kurangnya setahun sebelum membeli anda perlu bersedia dari segi mental, kewangan dan pengetahuan untuk membeli rumah pertama. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kerugian kalau tersilap langkah.
- Daku Amat