10 Ciri Orang Negatif Yang Wajar Dijauhi

Perkara yang paling penting perlu selalu dititik beratkan adalah untuk sentiasa bersikap positif. Dalam soal memilih rakan pula, jauhkan diri daripada bergaul dengan orang-orang yang bersikap negatif. Kehidupan kita mungkin dikelilingi ramai orang, setiap orang pula mempunyai pemikiran yang berbeza. Ada yang positif dan ada juga yang negatif.

Bergaul dengan orang-orang yang memiliki sikap negatif secara langsung akan memberi kesan terhadap diri kita sendiri. Contohnya, akan kurangnya keyakinan diri, pemikiran menjadi suram dan pastinya anda akan rasa kurang bahagia. Jadi ini kenapa pentingnya anda menjauhi orang-orang seperti ini.

Menjauhi tidak bermaksud anda membuang terus orang-orang negatif dari hidup anda. Ada kalanya sifat atau sikap negatif yang dipamerkan oleh mereka bagus untuk dijadikan sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri sendiri.

Tetapi, jika hendak berjaya dalam kehidupan tidak salah rasanya anda menjauhkan diri dari orang-orang yang bersifat negatif. Baik dari segi kelakuan, tindakan mahupun gaya pemikiran.

Berikut 10 ciri orang negatif yang wajar kita jauhi :


1. Orang negatif selalunya sering merasa bimbang

Orang yang memiliki sifat negatif selalunya sering merasa bimbang dalam banyak perkara. Pola pemikiran yang seperti ini biasanya untuk melindungi diri mereka dari melakukan perkara-perkara buruk yang mungkin belum pernah mereka alami. Walaupun perkara itu sebenarnya biasa sahaja, tapi cukup buat mereka risau.

Contohnya seperti dalam perniagaan. Mereka sentiasa risau dengan risiko kerugian dan selalu berfikir tentangnya, padahal mereka baru sahaja melangkah dan belum mengalami kerugian pun.

Pemikiran seperti ini membuatkan mereka takut untuk gagal sebelum mencuba. Perasaan risau dan bimbang yang melampau juga sebenarnya membuatkan langkah anda tersekat dan menghalang anda untuk melangkah lebih jauh untuk maju.

2. Mereka selalu memberitahu apa yang patut anda lakukan

Pernahkah anda diberitahu oleh seseorang untuk membuat keputusan berdasarkan apa yang dimahukan oleh individu tersebut? Contohnya seperti dalam membeli rumah, kereta ataupun pekerjaan apa yang sesuai buat anda. Secara tidak sedar, itu adalah petanda mereka sedang memberitahu anda bahawa mereka sebenarnya masih belum berjaya dalam hidup sendiri.

Dengan cara itu mereka cuba untuk mengatur dan membuat keputusan untuk orang lain, dalam kes ini diri anda adalah mangsa mereka. Maka, jauhi sahaja diri anda daripada orang seperti ini. Ini ciri tipikal yang ada pada orang-orang bersifat negatif.

3. Mereka suka berahsia

Petanda orang negatif adalah apabila anda berborak atau berdiskusi tentang sesuatu perkara, ia jadi sangat membosankan. Mereka selalunya kelihatan sangat takut untuk bercerita mengenai diri sendiri.

Apa yang dibimbangkan adalah jika terlalu banyak informasi yang diberikan akan digunakan orang lain untuk menjatuhkan mereka dalam pelbagai cara. Biasanya apabila berbincang dalam bab perniagaan. Maksud rahsia di sini bukanlah yang termasuk dalam urusan dan hal peribadi.

4. Mudah putus asa

Orang yang bersifat negatif sangat jarang membayangkan kejayaan, apa yang selalu difikirkan adalah risiko, kerugian dan gagal. Sikap seperti ini akhirnya buat mereka takut untuk melangkah dan akhirnya sentiasa berputus asa dalam segala hal yang mereka cuba ceburi.

Punca besar putus asa adalah kerana kurangnya ilmu dan motivasi. Kesan buruk disebabkan sifat ini boleh menyebabkan anda rasa tertekan dan mempengaruhi mood percakapan yang selalu bernada negatif.

5. Suka berita buruk

Nah, ini yang paling senang dikesan. Orang yang bersifat negatif suka dengan berita-berita buruk seperti gosip, hal-hal yang belum tentu benar atau tepat. Apa sahaja yang didengarnya akan menjadi topik untuk dibualkan.

Contohnya berita buruk tentang seseorang, antara ayat yang sering kita dengar, “Tahu tak yang si polan itu sebenarnya..’ dan mereka seterusnya akan terus memberi jawapan.

Yang bahayanya, berita buruk atau negatif ini boleh mempengaruhi orang lain lebih dalam dari pemikiran yang sebelumnya. Jadi elakkan terlalu banyak mendengar berita-berita buruk dan negatif.

Cuba juga hindari gosip-gosip yang negatif kerana ia akan mempengaruhi gaya pemikiran anda. Banyakan mendengar berita atau cerita yang mampu memotivasikan diri anda, contohnya cerita tentang kejayaan seseorang di dalam bidang atau kerjayanya.

6. Kuat mengeluh

Orang bersifat negatif suka mengeluh! Contohnya mendapat gaji yang sikit, bos yang terlalu berdisiplin atau dibebani kerja yang banyak. Padahal semua ini sebenarnya bukanlah satu masalah yang besar. Solusinya mudah, jika anda mahu terus dengan perkerjaan itu, ikuti sahaja peraturannya atau berhenti dan cari kerja yang lain.

Oleh kerana itu mereka tidak mampu mencuba pengalaman baru dan akhirnya hanya selesa tinggal di zon yang sama sahaja. Lebih rugi apabila mereka tidak cuba berusaha untuk memiliki masa depan yang lebih baik.

Hakikatnya dalam Islam sendiri ada mengingatkan agar kita sentiasa bersyukur. Lebih kerap kita bersyukur, lebih banyak nikmat yang akan kita rasai dalam hidup, bukannya dengan mengeluh.

7. Kurang prestasi

Kurang berprestasi atau prestasi tidak baik sebenarnya disebabkan banyak faktor. Tetapi faktor yang paling utama adalah kerana memiliki sifat negatif. Orang yang bersifat negatif selalunya akan memberi alasan dan merasakan bahawa dirinya kurang bijak, tidak sempurna dan lain-lain.

Ancaman paling bahaya yang menghalang kejayaan anda sebenarnya adalah diri anda sendiri. Dalam sehari purata kita bercakap dengan diri sendiri adalah antara 150 ke 300 patah perkataan atau hampir sebanyak 50,000 patah perkataan.

Bayangkan jika yang dibicarakan kepada diri sendiri hanyalah perkataan yang bersifat negatif. Secara tidak sedar anda sebenarnya sedang sabotaj diri sendiri daripada menjadi seorang yang mahukan kejayaan.

8. Tiada rancangan masa hadapan

Orang yang memiliki sifat negatif sangat jarang untuk bercerita tentang masa hadapan. Mereka lebih kerap bercerita tentang penderitaan yang sedang mereka lalui.

Sangat berbeza dengan orang yang bersifat positif, mereka lebih suka bercerita tentang masa hadapan seperti apa yang ingin dilakukan dan bagaimana cara untuk mendapatkannya. Inilah yang dikatakan membuat mimpi menjadi kenyataan.

9. Kehilangan perkara-perkara baik dalam hidup

Mereka yang bersifat negatif selalu kehilangan banyak perkara-perkara baik dalam hidupnya. Mereka tidak kenal erti kepuasan, gembira, suka dan bahagia.

Mereka sekalipun tidak pernah ambil tahu dengan emosi seperti ini kerana mereka tidak pernah merasakannya. Paling teruk mereka tidak pernah berusaha untuk mengubah hidup dan suka mengkritik orang lain apabila dirasakan tidak sesuai dengannya.

10. Memberi respon negatif pada berita baik

Anda mungkin pernah bertemu dengan orang-orang negatif seperti ini. Sebagai contoh, apabila anda bercerita tentang impian atau idea pekerjaan yang baru, mereka selalunya akan memberi nasihat supaya berhati-hati dengan risiko yang bakal dihadapi.

Kesimpulan

Orang negatif juga selalunya akan berfikir mustahil, itu tidak boleh, ini jangan buat, sebelum berani mencuba. Jadi, sebaiknya jauhi sahaja dari orang-orang yang seperti ini.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: