Kebiasaanya, kejayaan milik orang yang mempunyai sifat percaya diri yang kukuh atau mempunyai mental yang kuat! Ini kerana, sifat ini membuatkan mereka dapat mengawal emosi walau dalam apa jua keadaan sekali pun.
Hasilnya, pemikiran dan tingkah laku inilah yang menjadi sebahagian daripada kunci mereka cemerlang dan seterusnya bahagia dalam kehidupan. Tidak dinafikan, semua orang berhak untuk memiliki mental yang kuat. Asalkan ada kemahuan dan keberanian untuk melakukannya.
Berikut 10 ciri-ciri yang ada pada orang yang memiliki mental yang kuat :
1. Bertanggungjawab
Orang yang memiliki mental yang kuat tidak duduk termenung mengenang nasib yang menimpa dirinya. Tidak minta dikasihi walau seteruk mana pun ujian yang hadir. Mereka mengambil langkah bertanggungjawab terhadap perbuatan yang telah mereka lakukan dan sentiasa memahami yang hidup ini tidaklah mudah.
2. Mereka tidak dikawal
Orang yang memiliki sifat ini tidak membenarkan sesiapa sahaja mengawal diri mereka. Mereka tidak mengizinkan orang lain berkuasa di atas hidup mereka dan sekiranya mereka melakukan kesalahan, mereka tidak akan menyalahkan orang lain. Mereka boleh memberi respon dalam pelbagai keadaan dengan cara yang bijak. Mereka inilah orang yang ‘berani buat berani tanggung.’
3. Boleh mengawal emosi
Antara paling ketara yang dapat dilihat adalah orang seperti ini boleh mengawal emosi mereka. Contohnya bila berhadapan dengan situasi yang teruk seperti kehilangan dompet misalnya, selalunya mereka tidak akan mengeluh dan cuba fokus kepada apa yang patut dilakukan untuk menyelesaikan masalah.
Menyedari sesuatu yang lebih penting perlu diutamakan dan mereka terus melakukan tindakan (aksi). Menurut pendapat mereka, tiada satu masalah pun yang tidak dapat diselesaikan. Katanya, "bukan mati pun!"
4. Tidak ikut orang lain
Hanya kerana ramai orang lakukan sesuatu perkara, ini tidak bermakna mereka juga turut perlu melakukan perkara yang sama. Pemikiran mereka tidak mudah dipengaruh. Dan mereka juga sangat tegas dan yakin dengan pendiriannya.
5. Tidak peduli tanggapan orang lain
Orang yang memiliki mental yang kuat tidak menghiraukan tanggapan orang lain, mereka sedar bahawa tidak perlu menyenangkan semua orang. Mereka tidak takut untuk berkata 'tidak' atau berkata benar bila diperlukan.
Prinsip mereka adalah berusaha untuk menjadi baik dan berlaku adil kepada semua orang, dalam masa yang sama boleh menangani sifat marah orang terhadap dirinya.
6. Tidak takut mengambil risiko
Orang yang memiliki mental yang kuat tidak mengambil risiko sebarangan, tetapi mereka juga tidak takut untuk mengambil risiko. Mereka menghabiskan masa untuk menilai sesuatu risiko sebelum membuat keputusan yang besar.
7. Tidak mengenang masa lalu
Orang seperti ini tidak akan 'dimakan' oleh kesilapannya di masa yang lalu. Mereka tidak membuang masa dengan memikirkan kesilapan yang lalu atau apa sahaja perkara buruk yang pernah dilaluinya. Mereka belajar dari kesilapan, dalam masa yang sama berusaha untuk menjadi lebih baik dan merancang masa hadapan yang cemerlang.
8. Tidak dengki dengan orang lain
Mereka tidak dengki malah menghargai kejayaan orang lain. Mereka tidak rasa terhina atau patah hati ketika orang lain mampu mencapai lebih daripadanya. Orang seperti ini percaya bahawa setiap kejayaan datang dari usaha dan kerja keras.
9. Pantang menyerah kalah
Gagal bukan alasan untuk berhenti dari menggapai kejayaan. Orang yang memiliki mental yang kuat tidak kalah dengan kegagalan, sebaliknya menjadikan kegagalan sebagai satu pemangkin untuk tumbuh membesar. Mereka sentiasa bersedia untuk terus mencuba sehingga berjaya.
10. Tidak takut sendiri
Oleh kerana sifat yakin dan percaya pada diri sendiri yang kuat, mereka tidak takut untuk berdiri pada kaki sendiri daripada hidup mengharapkan bantuan orang lain. Ketika bersendirian, mereka akan menggunakan waktu untuk menjadi lebih produktif.
Bagi mereka kejayaan tidak bergantung kepada orang lain melainkan dirinya sendiri. Bersendirian bukan bermaksud hidup dalam kesepian atau tanpa teman, tapi mereka mampu berdikari dan bahagia walaupun seorang diri.
Di atas adalah antara ciri-ciri orang yang memiliki mental yang kuat. Adakah anda memiliki ciri-ciri ini? jika ya, Syabas! kerana anda adalah salah seorang daripada mereka yang mempunyai mental yang kuat.