10 Perbuatan Ibu Bapa Yang Meninggalkan Kesan Panjang Dalam Ingatan Anak


Ada banyak kenangan zaman kanak-kanak yang tidak dapat kita lupakan. Lebih-lebih lagi apabila sudah dewasa. Dan ibu bapa pun sudah menjangkau usia tua atau sudah pun meninggalkan kita. Pasti banyak kenangan bersama mereka yang akan kita pegang sampai bila-bila.

Kadang-kadang apabila teringat, pasti senyuman akan terukir dibibir kita. Bagaimana ibu membelai kita sewaktu tidur, bagaimana bapa sentiasa berada dibelakang kita menyokong tidak kira di waktu jatuh dan bangunnya kita. Kesemuanya masih diingati.

Ibu bapa perlu ingat, tiada ertinya anak-anak dilimpahkan dengan kemewahan tanpa beserta limpahan kasih sayang. Mereka mungkin mendapat apa sahaja yang mereka mahukan, tetapi hakikatnya yang perlukan adalah kasih sayang dan perhatian kedua ibu bapa. Biar bersederhana dalam harta benda, tetapi mewah dengan kasih sayang.

Berikut 10 perbuatan ibu bapa yang tinggalkan kesan panjang dalam ingatan anak :

1. Membaca bersama anak-anak

Perkara yang paling tidak dapat lupakan adalah apabila ibu bapa sering menemani anak membaca buku. Sebelum kita pandai membaca, ibu bapa membaca buku kepada kita hampir 2-3 kali setiap hari. Apabila kita sudah pandai mengeja perlahan-lahan, mereka akan berada disebelah mendengar, sambil memperbetulkan ejaan kita yang masih pelat di waktu itu. Disebabkan itu, minat kita untuk membaca bercambah setiap hari.

Teruskan melakukan perkara yang sama kepada anak-anak kita pula. Sebagaimana kita menyimpannya sebagai kenangan yang manis membaca bersama ibu bapa dahulu, anak-anak juga pasti akan mengingatinya setelah mereka dewasa.

Jangan berkata, tiada masa! Andai anda mempunyai masa untuk menonton televisyen atau scroll updates di facebook, masakan anda tidak mempunyai masa untuk membaca bersama anak-anak.

Dengan membaca, anda boleh mengasah minda kreatif anak-anak. Cuba menyuruh anak-anak reka jalan cerita baru atau mengaitkan jalan cerita tersebut dengan keadaan realiti sekarang. Anda pasti akan terkesima dengan betapa kreatifnya minda anak-anak ini. Pasti menarik!

Tidak semestinya kita membacakan mereka cerita berbentuk fantasi semata-mata. Cerita Melayu kita juga kaya dengan ilmu dan pengajaran. Kisah-kisah para Nabi, kisah Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya juga perlu dibacakan dalam keluarga, kerana mengandungi banyak unsur bermanfaat. Selain dari memberi pengajaran pada anak-anak, kita juga banyak boleh muhasabah diri sendiri dan mengambil pengajaran dari kisah-kisah tersebut.

2. Mendengar anak-anak bercakap

Realiti keadaan zaman sekarang, tidak hairan melihat kedua ibu bapa sibuk bekerja. Jadi apabila pulang dari pejabat, kita mesti mahu berehat dan memberi masa untuk diri sendiri. Tetapi jangan sekali-kali kita lupa, anak-anak memerlukan perhatian kita dan merindui kita tatkala kita sibuk di pejabat. Mereka mahu kita mendengar mereka bercerita kisah di sekolah, menunjukkan hasil karya mereka atau sekadar melayan soalan-soalan mereka.

Jangan sekali-kali berkata, nantilah! nak tengok tvlah! Jadikanlah anak-anak berasa bahawa mereka adalah keutamaan atau priority kita. Kunci utama untuk mendengar adalah - Berhenti seketika.

Berhenti seketika membelek facebook di telefon bimbit. Berhenti seketika menonton bola. Berhenti seketika bermain game. Berhenti seketika apa sahaja yang kita sedang lakukan. Bukannya menyuruh anak-anak menunggu kita meluangkan masa untuk mereka. Tak rugi, tertinggal satu babak drama. Tak rugi, menangguhkan mengejar high score game. Tak rugi, tertinggal satu post facebook. Tetapi paling merugikan adalah apabila anak-anak sudah mula merasakan, mereka tidak penting kepada kita sebagai ibu bapanya.

Anak-anak yang bermasalah, sebenarnya sering mahukan perhatian dari ibu bapa. Apabila mereka sering meragam, ibu bapa akan memberi perhatian yang cukup pada mereka. Jangan terkejut! bahawa memarahi dan merotan kerana sayangkan anak pun dikira sebagai memberikan perhatian pada mereka. Mereka tidak kisah, jika dibandingkan sekiranya mereka berkelakuan baik dan kemudian ibu bapa terus membiarkan mereka bermain sendirian dan sibuk dengan hal masing-masing. Jadi, luangkan masa untuk mendengar. Tidak kira betapa remehnya pada anda, ia sebenarnya sangat penting pada anak-anak.

3. Memeluk anak penuh kasih sayang

Hakikatnya, tidak kira dewasa atau kanak-kanak, kadang-kadang kita sangat memerlukan pelukan. Pelukan penuh kasih sayang itu mampu meredakan ketegangan dan memberi ketenangan. Terasa dikasihi dan diambil berat tanpa memerlukan kata-kata. Cukup sekadar dengan pelukan.

Dengan pelukan ibu bapa kepada anak-anak ia menggambarkan kasih sayang kita padanya. Pelukan menggambarkan kesediaan kita berada di sisinya waktu susah dan senang. Pelukan menggambarkan perhatian kita pada mereka. Pelukan menggambarkan perlindungan ibu bapa pada anak-anak. Tidak kira anak yang masih belum pandai berbicara, atau anak yang sudah meningkat remaja, ketahuilah waktu bila mereka sangat memerlukan pelukan ibu bapa.

4. Adakan tradisi keluarga

Teringat sewaktu kecil dahulu, hujung minggu adalah waktu masa dihabiskan di perpustakaan. Bapa akan membawa anak-anak ke perpustakaan yang berbeza setiap minggu. Seronok menyulusuri rak-rak buku mengambil mana-mana buku yang menarik. Pergi ke perpustakaan adalah bagaikan tradisi keluarga.

Selain pergi perpustakaan, bapa gemar membawa anak-anak ke kedai haiwan terutamanya kedai ikan. Anak-anak seronok melihat ikan pelbagai jenis dan warna. Kalau nasib baik, berjayalah pujuk bapa belikan seekor kura-kura atau beberapa ekor ikan!

5. Makan bersama keluarga

Makan bersama satu keluarga, tidak kira sarapan atau makan malam. Makan bersama sekurang-kurangnya sekali sehari boleh menguatkan kasih sayang sesama ahli keluarga.

Lebih-lebih lagi apabila anak-anak meningkat remaja, komunikasi antara mereka dan ibu bapa berkurang. Jadi apabila makan bersama, ibu bapa boleh meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Inilah masa yang sesuai untuk makan bersama, berbual, bertukar pendapat, bertanyakan pengalaman di sekolah, dan mengemas bersama.

      Baca : 5 Khasiat Minum Air Halia Panas Untuk Wanita Amalkan

6. Semua anak adalah anak kesayangan

Tidak dinafikan, setiap ibu bapa takkan terlepas untuk lebih menyayangi salah seorang anak berbanding anak-anak lain. Ibu bapa tidak bermaksud untuk membeza-bezakan kasih sayang tetapi ada antara anak yang lebih pandai mengambil hati berbanding anak yang lain.

Cuba kita mengubah tabiat dengan membuatkan setiap anak merasakan mereka adalah anak kesayangan ibu bapa mereka. Kita tidak seharusnya memilih hanya salah seorang anak sahaja sebagai anak kesayangan. Kita seharusnya menjadikan semua anak adalah anak kesayangan. Jadikan mereka istimewa di mata kita, dengan karekter mereka yang tersendiri.

7. Meraikan perbezaan setiap anak

Setiap anak mempunyai karekter yang berlainan. Mereka berbeza antara adik-beradik mereka. Pencapaian mereka juga pasti berbeza. Pasti ada yang lebih cemerlang dalam pelajaran berbanding adik beradik yang lain. Ada juga yang lebih petah berbicara berbanding yang lain. Pendek kata, setiap antara mereka mempunyai daya keupayaan dan bakat yang berbeza.

Namun begitu, setiap anak-anak berkongsi kualiti yang sama iaitu mereka memerlukan untuk 'merasakan' mereka berjaya. Tidak kira sejauh mana perbezaan tahap kejayaan tersebut, tetapi ibu bapa harus meraikan mereka secara adil.

Sekiranya ada anak pandai membaca seawal 4 tahun dan diberikan hadiah sebuah basikal impian, anak seterusnya juga harus diberikan hadiah impian mereka walaupun mereka pandai membaca agak lewat berbanding anak lain. Hentikan membanding-banding antara anak. Keadaan ini akan membuatkan anak tersebut kurang keyakinan diri dan terasa tidak dihargai.

Marilah membuatkan anak-anak membesar dengan merasakan ibu bapanya percaya pada mereka. Ibu bapa seharusnya merupakan penyokong utama anak-anak dalam apa jua yang mereka lakukan. Ibu bapa harus sentiasa memberitahu anak-anak bahawa mereka bangga dengan anak-anaknya.

8. Bermain bersama anak-anak

Kanak-kanak memang dilahirkan mempunyai naluri suka bermain. Suasana persekitaran keluarga yang sering bermain bersama bukan sekadar satu pilihan, tetapi patut diwajibkan. Cuba cari suatu aktiviti yang membolehkan setiap ahli keluarga enjoy.

Board games, memanjat gunung, memancing, bermain badminton, membaca, menonton wayang, bermain boling atau apa saja aktiviti yang membolehkan masa yang dihabiskan berkualiti dan menyeronokkan bersama ahli keluarga.

9. Menghadiri setiap momen anak

Kehidupan anak-anak terbentuk dengan beberapa momen yang tampak kecil, tetapi indah. Kebanyakan momen tersebut terjadi daripada beberapa event atau peristiwa. Majlis penyampaian hadiah di sekolah, majlis hari jadi, perlawanan sukan, perdebatan pidato, persembahan dan banyak lagi. Momen tersebut sangat istimewa buat mereka. Lebih bermakna apabila momen tersebut membuatkan mereka merasakan bahawa mereka insan yang sangat penting buat ibu bapa.

Apabila ibu bapa menjadi orang yang terpenting dalam momen tersebut, anak-anak akan rasa lebih dihargai. Apabila kita mengingati momen tersebut, kita menghadiri setiap kali majlis penyampaian hadiahnya di sekolah, tidak pernah terlepas menonton acara lumba larinya di sekolah, apabila kita mengambil gambar mereka dengan penuh bangga, melambai dengan penuh keterujaan, anak-anak tidak akan lupa sampai bila-bila.

10. Menyayangi anak-anak

Terakhir tetapi paling utama adalah KASIH SAYANG. Kasih sayang merupakan perkara yang paling utama dalam suatu perhubungan keluarga. Tidak kira semarah mana kita padanya, sebenci mana sikap seseorang pada kita, asalkan kita mengasihinya, kita pasti tidak akan meninggalkan atau mengabaikannya.

Apabila kita menyayangi anak-anak, kita membina karekter mereka, kita akan sentiasa berdoa semoga Allah memberikan apa sahaja yang terbaik buat mereka. Kita membuatkan mereka merasakan mereka adalah unik, memberi inspirasi kepada mereka untuk menemui minat dan bakat sebenar mereka, membimbing mereka, mengajar mereka, malahan ibu bapa turut boleh belajar sesuatu dari mereka.

      Baca : 7 Tip Jaga Solat Bagi Ibu Ada Anak Kecil

Kesimpulan

Kenangan bukanlah percuma, namun kosnya sedikit pun tidak melibatkan wang ringgit, tetapi masa. Semuanya bergantung kepada ibu bapa untuk bagaimana membuatkan setiap momen tersebut berharga. Setiap anak-anak layak untuk mendapat zaman kanak-kanak yang indah. Janganlah mensia-siakannya.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: