Bahkan sebuah pukulan atau cubitan yang disertai dengan tengkingan akan membunuh lebih dari berjuta-juta sel otak anak pada ketika itu juga.
Akan tetapi sebaliknya, dengan satu pujian, kehangatan pelukan penuh kasih sayang akan menaikkan dan meningkatkan kecerdasan seseorang anak. Ini kerana pujian mampu membuat perkembangan otak anak-anak menjadi sangat cepat.
Ibu bapa mana yang tak pernah tengking anak? Rasanya kalau sudah bergelar ibu bapa, sekurang-kurangnya mesti ada sekali anda akan 'tengking' anak walaupun dalam hati sudah berazam tak mahu lagi jerit dan tengking anak.
Bagaimanapun ibu bapa akan seboleh mungkin memperbaiki dirinya supaya menjadi ibu bapa yang terbaik kepada anak-anak. Biasanya lepas tengking atau marah anak, ibu bapa akan menyesal atas keterlanjurannya. Kalau sudah terpukul anak, ada juga yang bukan sahaja rasa menyesal tetapi senyap-senyap menangis kerana rasa bersalah.
Untuk semua ibu bapa yang berhati mulia, berusahalah untuk hilangkan rasa kesal dan bersalah selepas anda menengking anak kerana sebenarnya tidak ada ibu bapa yang mahu berbuat demikian terhadap anak sendiri, tetapi kebanyakan ibu bapa melakukannya kerana mahu yang terbaik buat si anak.
Berikut 10 cara bagaimana hendak berhenti menengking anak :
1. Tanamkan azam untuk tidak marah anak bila bangun dari tidur
Sebelum tidur sentiasa sematkan dalam diri anda untuk menjadi ibu yang lebih baik hari esok berbanding hari ini. Sebaik bangun tidur, cakap pada diri sendiri yang hari ini anda nak jadi ibu bapa yang paling baik dan tidak marah anak. Permulaan yang baik di pagi hari akan mengurangkan risiko anda cepat 'naik angin.'
2. Tanya diri sendiri, "Seronok ke jerit anak depan orang lain"?
Ia memang agak memalukan diri sendiri kalau kita hilang kawalan diri dan naik angin depan orang lain. Bayangkan ada orang lain dalam bilik bersama anda dan anak, ini membantu meredakan kemarahan anda.
3. Tahu had sempadan anda
Tetapkan had sempadan pada diri sendiri supaya anda tidak menengking anak. Bila anda menghampiri garisan had itu cepat-cepat ingatkan diri sendiri dengan cara beredar dari situasi tersebut. Seminit dua 'keluar' dari zon marah membantu anda mengelakkan tingkah laku yang hanya akan membuatkan anda menyesal selepas itu.
4. Fikir, "Berbaloikah menjadi perengus dan pemarah?"
Kalau asyik marah dan menjerit saja, mesti kita rasa cepat letih. Jadi memang tidak berbaloi kalau asyik nak marah anak-anak sahaja. Kalau anda boleh kawal marah sebelum ia muncul, sudah tentu anda boleh 'selamatkan' hari anda, menjadi lebih tenang dan bermakna.
5. Minta bantuan suami atau isteri
Menguruskan hal anak-anak bukan hanya tugas ibu atau bapa sahaja. Jangan lupa libatkan sekali teman hidup anda! Beritahu suami atau isteri anda supaya segera mengambil alih urusan anak-anak bila anda sudah bertukar menjadi 'singa lapar'.
Ia sangat membantu! Ibu yang sedang naik angin memang cenderung menengking dan mungkin naik tangan pada anak-anak. Buat juga perkara yang sama jika suami anda sedang marahkan anak-anak.
6. Penuhkan hari dengan perkara positif
Mulakan hari dengan solat dan doa. Sentiasa mohon kepada Tuhan agar memberikan anda kesabaran dan kekuatan untuk berhadapan dengan kerenah anak-anak. Semoga perjalanan kita seharian membesarkan anak dipermudahkan oleh Allah s.w.t.
7. Bayangkan perkara buruk
Sentiasa bayangkan benda buruk kalau anda jenis ibu bapa yang selalu menjerit dan menengking anak bila marah. Risiko untuk anda hilang kawalan diri ketika marah lalu akan pukul anak sampai lembik atau hingga cedera. Memang minta dijauhkan. Bila fikir perkara buruk sudah tentu anda tak mahu jadi ibu bapa yang kuat menengking.
8. Jadilah seperti guru dengan murid
Memang geram kalau kena ulang cakap perkara yang sama banyak kali. Tapi, sentiasa ingat yang anak anda adalah insan kecil yang sedang belajar tentang kehidupan dan menjadi insan yang baik satu hari nanti. Jadi jangan harapkan mereka boleh jadi sempurna dalam masa sehari dua.
Bila anda anggap mereka sedang dalam proses belajar maka terasalah seperti seorang guru sedang mengajar anak murid dan bukan ibu bapa yang keletihan berhadapan dengan anak yang nakal.
9. Dengar perkara yang menenangkan
Bila rasa marah, orang kata dengarlah bunyi-bunyian yang mampu memberi ketenangan seperti alunan muzik, zikir, bacaan al-Quran. Ia mampu memberikan magis kepada diri anda yang sedang menahan kemarahan.
10. Banyakkan berzikir dan beristighfar
Bagi orang muslim, eloklah banyakkan berzikir dan beristighfar apabila anda terasa hendak marah dan menengking anak.
Paling penting, jangan hilang sabar dengan diri sendiri. Sama seperti anak anda, proses ini juga satu pengalaman belajar bagi diri anda sebagai ibu bapa.