Viral gambarajah yang memberi amaran kepada ibu bapa agar tidak menggunakan bantal bagi bayi mereka. Katanya, nanti tulang belakang tidak akan terbentuk seperti yang sepatutnya. Namun, adakah benarkah bayi tidak boleh gunakan bantal?
Ada 2 perkara yang perlu disentuh di sini :
1. Proses pembentukan tulang belakang.
2. Syndrom Kematian Mengejut Bayi (Sudden Infant Death Syndrome - SIDS).
Pembentukan Tulang Belakang
Tulang belakang manusia ketika dilahirkan adalah berbentuk melengkung mengikut abjad C (disebut sebagai Kyphosis dalam bidang perubatan). Lengkungan pada tulang tengkuk (Cervical Lordosis) mula terbentuk apabila bayi mula mengangkat kepalanya iaitu ketika berusia 2 hingga 3 bulan.
Lengkungan pada tulang belakang pinggang (Lumbar Lordosis) pula mula terbentuk apabila bayi mula merangkak. Lengkungan ini lebih terbentuk apabila bayi mula berdiri bagi bertatih dan seterusnya berjalan ketika ia berusia 9 hingga 12 bulan.
Meletakkan bantal semata-mata TIDAK akan mengganggu proses pembentukan lengkungan lordosis dan kyphosis ini sebagaimana yang didakwa dalam gambarajah tersebut. Namun risikonya yang sebenar adalah berkaitan dengan SIDS.
Syndrom Kematian Mengejut Bayi (Sudden Infant Death Syndrome - SIDS)
SIDS adalah satu keadaan dimana bayi-bayi meninggal secara mengejut. Antara sebab-sebab ia berlaku adalah :
1. Kemalangan.
2. Jangkitan kuman.
3. Metabolic disorders (masalah metabolik bayi).
4. Congenital abnormality (kecacatan dalam kandungan).
Malang tidak berbau. Kemalangan boleh berlaku di mana bantal juga boleh menyebabkan bayi lemas sekiranya ia menutupi muka bayi kita. Terdapat beberapa kes telah dilaporkan di mana berlakunya kes SIDS.
Bukan sahaja bantal, malah selimut, teddy bear, Panda Bear, Garfield, Pokemon atau apa sahaja mainan lembut (soft toys) boleh menyebabkan kematian bayi.
Selain daripada itu, anatomi occiput (tulang tengkorak bahagian belakang) bayi secara relatif adalah lebih besar berbanding manusia dewasa dan meletakkan bantal boleh menyebabkan bayi lemas akibat saluran pernafasan menjadi lebih sempit dan terhalang.
Langkah-langkah mengelakkan ini berlaku :
1. Elakkan gunakan bantal bagi bayi berusia kurang 1 tahun.
2. Elakkan menutup kepala bayi dengan kain, selimut dan sebagainya.
3. Selimut hendaklah kemas disisipkan dibawah tilam.
4. Boleh bedung (swaddling) bayi bagi mengelakkan bayi senang tersentak atau sejuk tapi perlu tahu teknik yang betul iaitu bedung di bahagian pinggul ke bawah hendaklah tidak terlalu ketat. Kaki mestilah TIDAK menjadi lurus akibat dibedung ketat. Sendi pinggul perlu boleh bebas bergerak. Ini adalah bagi mengelakkan masalah sendi pinggul tidak normal (Development Dysplasia of the Hip - DDH).
5. Tidurkan bayi secara terlentang. Elakkan tidur mengiring atau tertelangkup bagi mengurangkan risiko SIDS.
6. Pastikan kaki bayi anda mencecah hujung katil bayi. Ini boleh mengelakkan bayi menggelungsur ke bawah yang boleh menyebabkan bayi lemas.
Kesimpulan
1. Elakkan daripada menggunakan bantal untuk bayi anda di bawah usia 1 tahun bagi mengelakkan risiko SIDS.
2. Bantal boleh menyebabkan pernafasan bayi anda terganggu disebabkan faktor anatomi kepala bayi.
3. Pemakaian bantal TIDAK mengganggu pembentukkan tulang belakang yang normal.
4. Sentiasa awasi bayi anda. Pastikan anda tahu posisi dan kedudukan bayi anda.