7 Tips Untuk Dapatkan 'Gentle Birth' Kurangkan Rasa Sakit Semasa Bersalin


Sudah pasti ramai bakal ibu buat pertama kali di luar sana rasa agak takut untuk bersalin. Macam-macam perkara mereka fikirkan. Memang proses melahirkan anak memang sakit tetapi kepuasan melihat wajah anak yang dikandung ke sana sini selama lebih sembilan bulan, sudah pasti membuatkan sakit yang ditanggung seolah-olah lenyap begitu saja.

Ada pertanyaan yang bermain di minda bakal ibu kali pertama, ada ke cara hendak kurangkan rasa sakit ini selain bantuan ubatan? Khabar baik, sebenarnya ada cara untuk kurangkan rasa sakit dengan mengamalkan teknik-teknik tertentu.

Seorang ibu yang baru melahirkan anak ketiganya telah berkongsikan bagaimana untuk mendapatkan 'gentle birth' iaitu teknik yang memudahkan proses bersalin. Ibu melahirkan anak dengan tenang, selamat dan kurangkan rasa sakit di mana beliau telah mencuba untuk kandungan kedua dan ketiga ternyata berjaya.

Apa itu Gentle Birth?

Gentle birth adalah satu teknik bersalin dengan mudah, tenang, selamat serta mengurangkan rasa sakit sebelum, semasa dan selepas bersalin.

Menakjubkan bukan? Memang menakjubkan kalau kita tahu cara dan teknik untuk memanipulasi minda separa sedar terhadap sakit yang dirasai kepada perkara yang indah-indah sekaligus mengurangkan ataupun menghilangkan rasa sakit.

Berikut 7 tips untuk dapatkan 'Gentle Birth' kurangkan rasa sakit bersalin :

1. Teknik pernafasan yang betul

'Contraction' adalah saat yang sakit bagi ibu-ibu yang hampir melahirkan. Ada yang cakap sakit seperti nak patah pinggang, sakit berkali ganda dari senggugut atau sakit macam nak putus urat. Semua itu hanya gambaran dan istilah sahaja. Percaya tak, sakit yang digambarkan itu sebenarnya boleh hilang atau dikurangkan dengan teknik pernafasan yang betul.

Bagaimana caranya? Di saat 'contraction' datang, siap sedia tarik nafas sedalam yang boleh kemudian lepaskan perlahan melalui mulut tanpa mengeluarkan suara. Ulang sebanyak 3-5 kali. Insya Allah sakit tadi akan berkurangan. Teknik pernafasan ini bukan sahaja membantu mengurangkan rasa sakit tersebut tetapi ia juga membuat bakal ibu lebih tenang.

Nota : Teknik pernafasan yang lain boleh baca buku, 'Hypnobirthing, the mongan method'.

2. Aktifkan minda separa sedar

Minda separa sedar tidak berfungsi secara logik tapi ia lebih kepada imaginasi, rasa hati dan emosi. Contohnya :

Minda Sedar : "Aku nak bersalin normal."
Minda Separa Sedar : "Boleh ke normal? Bersalin anak sulung ni, macam susah je.." (ini yang perlu kita tukar).

Minda separa sedar adalah 90% dalam diri kita. Jadi, dengan menguasainya, kita mampu mencapai apa saja yang dihajati. Inilah kekuatan luar biasa yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia.

Bagaimana hendak aktifkan minda separa sedar ini?

Kita boleh aktifkan di saat dalam keadaan tenang dengan suasana yang tenang. Paling senang adalah saat kita hendak tidur. Berbicara dengan diri sendiri apa yang kita nak lakukan esok dan berdoalah meminta pada Allah s.w.t. Ulang dan terus ulang.

Semasa 'preggy' anak sulung, kedua dan seterusnya, setiap masa dan setiap hari sentiasa cakap dalam hati :

● "Baby bersalin 38 minggu."
● "Mudah bersalin."
● "Bersalin normal."
● "Lepas bersalin tak sakit-sakit dah."
● "Dalam labour room setengah jam je."
● "Kembali berat asal."

Alhamdulillah, semua yang di atas berjaya! Cuma yang berat saja tak tahu lagi. Anak kedua berjaya, yang ketiga tidak tahu lagi. Petuanya hanya aktifkan minda separa sedar semasa di awal kehamilan sehinggalah saat-saat nak bersalin. Alhamdulillah berhasil!

3. Positif

Amalan positif ini memang sentiasa perlu dipraktikkan. Sebab bila kita positif, kita akan tarik perkara-perkara positif di sekeliling kita. Sebab itulah kepada orang terdekat, jangan buat ibu-ibu sedang hamil bersedih!

Saat hendak bersalin adalah sangat penting untuk bakal ibu set dalam minda dengan kata-kata positif seperti :

● "Ummi kuat!"
● "Baby mesti keluar dengan selamat!
● "Ummi boleh!"
● "Allah bantu!"

Contoh kata-kata di atas akan memberi semangat pada diri sendiri. Insya Allah ia sangat membantu memudahkan proses kelahiran!

4. Lama dalam sujud

Ini adalah salah satu teknik mempercepatkan bukaan rahim. Posisi sujud juga mampu menghilangkan rasa sakit 'contraction'. Bagi ibu-ibu yang mengetahui bahawa kandungannya sonsang, cara ini mampu membetulkan kedudukan bayi.

5. Tukar sakit kepada nikmat

Saat contraction datang, cuba 'imagine' perkara-perkara yang indah. Ketika berada dalam labour room, saat contraction makin tinggi, terus tukar rasa sakit tadi dengan 'imagine' baby sudah selamat, baby sihat, baby comel, suami azankan baby.

Para bakal ibu boleh terus 'create' cerita yang indah-indah dan 'what you guess?' Sakit itu hilang! Alhamdulillah.

6. Zikir dan doa Nabi Yunus

Antara perkara yang mampu buat kita lebih tenang ialah berzikir. Saat sakit datang, berzikirlah untuk ingat akan kebesaran Allah s.w.t. Semua itu dapat kurangkan rasa sakit.

Lepas tu baca doa Nabi Yunus a.s : "Lailahaila anta subhanaka inni kuntum minaz zolimin" Insya Allah sakit tadi akan hilang.

7. Makan kurma dan air Zam-zam

Kurma dan air zam-zam sangat berkhasiat dan mampu memberi tenaga segera pada badan. Terutama ketika masuk labour room, kalau sempat jangan tinggalkan dua benda ini. Insya Allah ia juga dapat membantu memudahkan proses kelahiran serta memberi tenaga yang luar biasa.

Kesimpulan

Semoga perkongsian yang kecil ini dapat memberi manfaat kepada para bakal ibu di luar sana. Insya Allah. Akhir sekali, buat ibu-ibu yang bakal melahirkan anak pertama, jangan takut. Melahirkan bayi adalah perjalanan yang sangat menakjubkan. Rasai kehebatan dan kekuasaan yang Allah beri buat anda insan-insan terpilih. Go go fighting!
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

Related Posts:

You might like these as well: