Terdapat tiga hal yang wajib ditahan pada bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, iaitu menahan makan/minum, hawa nafsu dan amarah.
Sesungguhnya orang kuat itu bukanlah yang menang dalam bergusti tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya. Tapi, kalau tak boleh nak ditahan juga rasa marah itu, macam mana?
Berikut 5 cara mencegah marah di bulan Ramadhan :
1. Solat 5 waktu
Salah satu sumber amarah adalah hati yang tidak tenang dan solat adalah merupakan ubat yang mujarab untuk mendapatkan ketenangan hati, jiwa dan raga.
Soal ketenangan jiwa adalah janji Allah yang sudah pasti akan diberikan kepada orang yang mendirikan dan menjaga solat dengan sempurna.
Ada jaminan yang pasti bahawa orang yang benar-benar menjaga solatnya dengan sempurna, bakal memperoleh ketenangan ini. Allah s.w.t berfirman :
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." (Al-Quran : Surah Ar-Ra'd, ayat 28)2. Membaca Al-Quran
Membaca ayat suci Al-Quran tidak hanya mendapatkan pahala tetapi juga boleh menenangkan jiwa. Bagi anda yang sedang di dalam keadaan ingin marah, maka segeralah membaca atat-ayat suci Al-Quran atau mendengarkan Al-Quran. Dengan mendengarkan ayat-ayat Al-Quran, hati akan tenang dan emosi boleh berkurangan.
3. Menghindari dehidrasi
Sebuah kajian menemukan bahawa kurangnya meminum air setiap hari akan membuatkan seseorang (terutama wanita) menjadi cepat marah. Dehidrasi membuatkan emosi tidak stabil tanpa sebab yang jelas. Kerana itu, sebaiknya anda penuhi keperluan air dalam tubuh badan ketika bersahur dan ketika berbuka puasa.
4. Tidur yang cukup
Kurangnya waktu tidur juga boleh membuatkan seseorang mudah beremosi. Di dalam bulan yang penuh dengan barakah ini, pertahankan juga kualiti tidur anda tanpa meninggalkan ibadah. Kita akan lebih sering terjaga di bulan Ramadhan, yang penting kualiti tidur kita baik.
5. Berzikir
Firman Allah s.w.t dalam Surah Ar-Ra'd Ayat 28 : "...Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."
Berikut 6 cara mengatasi marah di bulan Ramadhan :
1. Berwudhuk
Sesungguhnya marah-marah dari syaitan dan sesungguhnya syaitan diciptakan dari api dan sesungguhnya api dimatikan dengan air. Maka ketika salah satu kalian marah-marah maka hendaklah berwudhuk.
2. Membaca ta'awudz
Nabi Muhammad s.a.w telah mengajarkan umat Islam untuk mengucapkan Ta'awudz untuk menghindari amarah, iaitu sekiranya dia mengucapkan A'udzu billahi minas syaitanirrajim (aku memohon perlindungan kepada Allah dari Syaitan yang terkutuk).
3. Segeralah Duduk
Apabila dengan Ta'awudz kemarahan belum hilang maka disyariatkan dengan duduk, tidak boleh berdiri. Apabila salah seorang di antara kita marah dalam keadaan berdiri, duduklah, jika belum hilang maka berbaringlah. Hal ini kerana marah dalam keadaan berdiri lebih besar kemungkinannya melakukan perkara-perkara yang di luar batasan daripada dalam keadaan duduk. Sedangkan berbaring lebih jauh lagi baik dari duduk dan berdiri.
4. Mengambil sikap diam tidak banyak berbicara
Diam tidak berbicara ketika marah merupakan ubat yang mujarab untuk menghilangkan kemarahan, kerana banyak berbicara di dalam keadaan marah tidak mampu mengawal sehingga terjatuh kepada pembicaraan yang tercela dan membahayakan diri sendiri serta orang lain.
5. Sentiasa ingat besarnya pahala orang yang memaafkan
"Jika hari kiamat tiba, terdengarlah suara panggilan; Manakah orang-orang yang dahulu (di dunia) memaafkan kesalahan sesama manusia? Datanglah kalian pada Tuhanmu dan terimalah pahala-pahalamu. Dan menjadi hak setiap muslim jika ia memaafkan kesalahan orang lain untuk masuk syurga." Hadis Riwayat Adh Dhalak dari Ibnu Abbas.
6. Mengingat besarnya pahala menahan amarah
Menahan amarah adalah sifat terkemuka orang-orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Iaitu orang yang bersegeralah menuju ampunan dari Allah dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang suka mendermakan hartanya dalam keadaan senang dan susah, menahan amarah dan suka memaafkan kesalahan orang lain.