Ibadah puasa merupakan satu ibadah yang penting dan ia menjadi bekal kepada para daie dalam meneruskan perjuangan dakwah.
Sheikh Mustafa Masyur di dalam bukunya Fiqh Dakwah, menyatakan;
“Muslim yang benar dalam keislamannya akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan gembira dan bahagia, sebagaimana kegembiraan kaum mukmin dengan karunia dan rahmat Allah. Ia beristirahat sejenak dari kepenatan hidup, berbekal dan memperbaharui semangatnya untuk meneruskan perjalanan dakwah. Namun tiada yang dapat menikmati kebaikan tersebut dan memperoleh bekal tersebut kecuali orang hidup bersama Ramadhan dan menunaikan puasa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w."
Berikut 10 bekal dakwah yang dapat diperolehi melalui ibadah puasa :
1. Bekal Al-quran
Pada bulan Ramadhan, kita lebih bersemangat untuk membaca, mengkaji, menghafal dan mengamalkan Alquran. Di samping itu kita dapat meneguk hikmah, hidayah, ibrah dan sebagainya untuk menghidupkan hati kita yang kering.
Ini adalah sebenar-benar bekal untuk seorang daie. Al-quran sebagai bekalnya dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dalam dakwah. Al-quran menjadi tempat rujukannya untuk melalui jalan dakwah.
2. Bekal solat malam
Orang yang berpuasa melakukan solat malam selama sebulan penuh, ini adalah bekalan yang tidak terhingga, ia dapat mendidik jiwa, merasai kenikmatan berhubung secara langsung dengan Allah disepertiga malam, mengadu dan merintih kepada-Nya.
3. Bekal Iktikaf
Bulan Ramadhan adalah bulan yang Rasulullah s.a.w melazimi iktikaf. Iktikaf memiliki pengaruh dan kesan yang amat mendalam pada jiwa.
Orang yang beriktikaf menjadi tetamu Allah di rumah-Nya, meninggalkan seketika kesibukan dunia semata-mata untuk fokus beribadat kepada Allah, mendekatkan diri kepada-Nya, berzikir, bermunajat dan menangis kerana takut pada Allah. Allah memuliakan para tetamu-Nya, sehingga mereka keluar dari Ramadhan dengan membawa bekal taqwa, keimanan dan petunjuk.
4. Bekal Ikhlas
Puasa membimbing pelakunya untuk sentiasa mengikhlaskan niat kepada Allah. Dan keikhlasan menjadi bekal yang signifikan oleh setiap individu yang menapaki jalan dakwah kerana amal akan menjadi sia-sia tanpa keikhlasan.
5. Bekal mujahadah
Dalam puasa kita akan menghadapi saat mujahadah terhadap keinginan nafsu kita. Mujahadah adalah bekal penting bagi seorang daie yang berjuang di jalan Allah. Orang yang berpuasa mengekang nafsu liar dalam jiwa mereka dan hal itu dapat membantunya untuk menghindari yang diharamkan pada bulan-bulan berikutnya.
6. Bekal sifat sabar
Ibadah puasa akan membangunkan sifat sabar dalam diri muslim. Kesabaran merupakan sifat yang paling penting oleh para daie kerana dengan sifat itulah mereka dapat mengatasi rintangan dan meneruskan perjalanan dalam jalan dakwah tanpa kelemahan dan kelesuan.
7. Bekal sifat santun
Puasa dapat membentuk sifat santun (tidak mudah marah) dalam diri muslim. Apabila ada yang menentangnya, mencelanya, maka dia menahan amarahnya dan mengatakan “sesungguhnya aku sedang berpuasa”.
Alangkah pentingnya sifat ini kepada para aktivis dakwah, pengendalian jiwa yang baik, berlapang dada dan tidak mudah marah kerana inilah menjadi penyebab keberhasilan dakwah.
8. Bekal mengasihi yang lain
Puasa akan mendidik hati untuk mengasihi orang lain terutamanya golongan fakir miskin. Kewajipan zakat fitrah di akhir Ramadhan menegaskan makna ini.
Saat berpuasa kita akan merasai betapa peritnya apa yang dihadapi oleh orang miskin dan kita akan lebih mengasihi mereka dengan sedekah yang kita hulurkan kepada mereka yang memerlukan. Ini bekalan penting dalam dakwah.
9. Bekal ketahanan fizikal
Puasa, terutamanya pada musim panas menyebabkan muslim perlu bersabar dan tahan ujian di medan jihad atau peperangan dan melawan musuh. Kita kembali menyelak lembaran sejarah bahawa Perang Badar juga berlaku dalam bulan Ramadhan dan bekal puasa menyebabkan mereka kuat dan thabat dalam menentang kaum musyrikin.
10. Bekal disiplin dengan masa
Puasa membiasakan muslim untuk disiplin waktu, kerana setiap orang yang berpuasa akan memerhatikan waktu berbuka dan waktu imsak.
Para dai sangat memerlukan bekalan ini untuk menjadikan mereka berdisplin dengan masa kerana kehidupan para daie penuh dengan pertemuan, mesyuarat, dan sebagainya yang memerlukan para dai untuk sentiasa menepati waktu dan menguruskan masa dengan sebaiknya.
Melalui ibadah puasa, ia secara automatik membentuk peribadi muslim yang bijak menguruskan masa.
Kesimpulan
Semoga dengan bekalan yang perolehi daripada ibadah puasa ini, memudahan untuk para daie menempuhi perjuangan dakwah ini. Jalan dakwah masih panjang dan semoga syurga menjadi pengakhirannya.
Malam pertama Ramadhan dinamakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w; “Malam Allah memandang hamba-Nya”. Maka sesiapa yang dipandang oleh Allah s.w.t, maka tiadalah dia akan celaka.
Dan perkara ini berulang setiap kali datang Ramadhan. Oleh itu, kita perlu bersedia sebelum datang malam pertama bulan Ramadhan. Bagaimana nak bersedia untuk mendapatkan pandangan Allah s.w.t?
Dengan zahir dan batin. Secara zahir adalah dengan mandi dan memakai pakaian yang bersih dan baik. Secara batin pula ialah dengan hati yang bersih, tanpa rasa marah, atau penyakit hati yang lain. Kita akan menyambut Ramadhan dengan pakaian yang baik dan hati yang bersih demi mendapatkan pandangan Allah s.w.t.
Selamat Menyambut Ramadhan 1437H.