Ketahui 4 Hukum Melintas Depan Orang Bersolat


Pengajian kitab Umdatul Ahkam di Masjid Nabawi malam tadi memasuki bab melintasi depan orang solat. Kata Syeikh Firanda, ramai orang yang masih tidak faham hukum melintas depan orang solat. Bahkan ada Ulama mengatakan Dosa Besar.

Pernah berlaku di Masjid Universiti Madinah, waktu itu hari kemasukkan pelajar-pelajar baru. Pelajar-pelajar dari seluruh dunia ada di universiti Madinah dengan bermacam-macam ragam.

Seorang pelajar Perancis solat berdekatan dengan pintu. Tiba-tiba pelajar baru dari china nak masuk Masjid. Pelajar Perancis itu tahan dengan tangan. Pelajar china itu kehairanan. Ada ke patut dia nak masuk masjid tapi kena tahan (halang).

Dia pun cuba nak masuk lagi tapi ditahan lagi dengan tangan. Pelajar china itu pun naik angin terus pukul pelajar Perancis itu sebab ingat pelajar itu saja nak tunjuk 'otai'. Mentang-mentanglah dia pelajar baru ingatkan orang nak buli.

Habis kecoh satu masjid meleraikan. Itu di Masjid universiti, tempat orang yang majoritinya belajar agama. Pun masih ada yang kurang faham, kata Syeikh.

Dalam kitab Imam ibnu Daqiq menyatakan hukum melintas depan orang solat ada 4 :

1. Orang yang sedang solat, TIDAK SENGAJA solat di tempat laluan orang dan orang yang lalu itu sudah tidak ada laluan lain - Keduanya tidak berdosa.

2. Orang yang sedang solat, SENGAJA solat di tempat laluan orang dan orang yang lalu itu pula masih ada tempat lain boleh lalu tapi SENGAJA nak lalu depan orang solat - Keduanya berdosa.

3. Orang yang solat SUDAH BERUSAHA mencari tempat yang orang tidak lintas tapi masih ada orang sengaja lintas depan orang solat itu padahal ada laluan lain - Orang yang lintas itu sahaja berdosa.

4. Orang yang solat itu solat di tempat orang lalu padahal ada ruang atau kawasan lain yang orang tidak lalu tapi dia TIDAK BERUSAHA mencari tempat orang tak lalu. Dan orang yang lalu pulak memang terpaksa lalu di situ - Orang yang bersolat itu sahaja berdosa.

Maka sangat penting kita letak sutrah (penghadang) di depan kita ketika kita bersolat. Ianya Sunnah Baginda s.a.w dan sunat muakkadah (sunat yang sangat dituntut).

Masya Allah pentingnya belajar agama. Harta pusaka Baginda s.a.w iaitu ilmu agama sedang dibahagi-bahagikan di Masjid Nabawi. Semoga Allah memberikan kita faham agama. Beri kekuatan pada kita untuk amalkan agama dan beri hidayat kepada kita untuk menyebar menyampai memdakwahkan agama ini ke seluruh alam.

Semoga menjadi asbab hidayat dan kebaikan untuk seluruh umat.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: