Untungnya sebagai umat Islam, kita sudah lama diajar menerusi sunnah baginda s.a.w untuk melakukan ibadah atau urusan muamalah, sama ada dalam keluarga atau masyarakat dilakukan secara berjemaah. Contohnya dalam ibadah solat, ketika mahu makan, bermusafir dan sebagainya.
Menerusi sabdaan Nabi s.a.w, kita diberitahu bahawa dalam berjemaah ada keberkatan dan banyak kebaikan serta hikmah.
Jadi kita sudah arif dan faham bagaimana sekiranya kita bersolat secara berjemaah, ganjarannya adalah berlipat kali ganda.
Namun begitu, kenapa kita jarang-jarang sekali ingin menggunakan konsep yang sama dalam kegiatan seharian kita. Berjemaah dalam melakukan semua perkara?
Menerusi video animasi di bawah ini, kita dapat lihat dengan lebih jelas bagaimana berusaha dalam kumpulan akan memberikan hasil yang lebih terjamin dan lumayan. Pendek kata, kejayaan akan lebih mudah dicapai dalam berkumpulan.
Apabila kita melakukan sesuatu dalam kumpulan, banyak perkara yang kita boleh baiki kerana tiada siapa yang sempurna pada zaman sekarang. Kita akan boleh mencapai hampir kepada kesempurnaan apabila kita bergerak dalam kumpulan. Namun ianya hanya akan berhasil, sekiranya setiap yang ada dalam jemaah tersebut sedia untuk bekerjasama dan menerima teguran dan pendapat antara satu sama lain.
Kita patut contohi bangsa Cina yang melakukan banyak perkara dalam konsep berjemaah ini, bagaimana kejayaan orang Cina bukan disebabkan mereka mempunyai ilmu ataupun duit, tetapi sebab utama adalah mereka mempunyai jaringan kerjasama yang kuat antara satu sama lain.